Monday, December 27, 2010

NAJIB UMUM STRUKTUR BARU UMNO MALAYSIA 3 PETANG INI?

Najib ketika mengumumkan untuk julung-julung kalinya kesediaan menyahut cabaran merebut jawatan Presiden UMNO di Kuala Terengganu hampir dua tahun lalu.

Pada ketika rakyat Malaysia sedang gembira dengan keputusan perlawanan bolasepak Malaysia-Indonesia yang berpihak kepada Malaysia semalam dan ramai memperkatakan pilihan raya kecil Tenang di Johor yang akan diadakan tidak lama lagi, tiga jam lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijangka akan mengumumkan peralihan kepimpinan UMNO beberapa negeri.

Wakil media dijemput ke Tingkat 38, PWTC untuk satu sidang media khas oleh Perdana Menteri jam 3 petang nanti dan ramai mengatakan ia sebagai pengumuman mengenai struktur baru UMNO Malaysia seperti dijanjikan oleh Najib ketika Perhimpunan Agung UMNO baru lalu.

Paling mendapat tempat dalam perbincangan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan Perlis.

Jika Terengganu dikatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mungkin dilantik semula atau dikembalikan ke jawatan lamanya, timbul spekulasi kononnya Menteri Besar Perlis akan menerima nasib seperti Ahmad Said sebelum ini.

Pada 22 Disember lalu (Rabu), Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu mengakui telah banyak kali ditanya mengenai spekulasi mengatakan beliau bakal digantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Sehingga hari ini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pertukaran tersebut yang kini menjadi buah mulut rakyat Perlis. Saya tidak tahu tentang adanya pertukaran pemimpin yang dikatakan akan dimaklumkan esok namun khabar angin tentangnya telah acap kali saya terima," katanya.

Md. Isa dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri 24 April tahun lalu menggantikan Datuk Seri Md. Isa turut tidak mengetahui desas-desus mengenai tindakan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang ke Putrajaya sehari sebelum itu untuk menemui Perdana Menteri.

Di Terengganu sejak dua bulan lalu, pecacai politik menyebarkan berita kononnya Ahmad Said akan kekal sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri kerana Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan kekal kerana desakan orang UMNO Terengganu sendiri yang mahukan dikekalkan sedemikian.

Malah ada mengatakan Hishamuddin tidak mahu lepaskan jawatan itu kerana melihat pentingnya beliau menerajui Terengganu selain kerana ‘kemelut’ belum selesai, juga untuk base politik Hishamuddin dalam persediaan untuk pemilihan parti akan datang.

Ada pecacai lain pula membawa berita, Najib yang terlalu sayangkan Datuk Seri Idris Jusoh akan tetap meletakkan beliau sebagai Timbalan Pengerusi sekalipun ‘terpaksa’ melantik Ahmad Said sebagai Pengerusi.

Manakala ada sebahagian lagi mengatakan ‘sayang kepada Idris’ akan ditunjukkan oleh UMNO Pusat dengan melantiknya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Apa sahaja spekulasi, hanya Najib yang dapat menjawabnya.

Di Kedah pula, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sudah menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, dan dikatakan ramai pemimpin di negeri itu yang gundah-gulana.

Malahan awal-awal lagi, salah seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat UMNO negeri menyatakan anak kepada bekas Perdana Menteri itu tidak layak menyandang jawatan tersebut. Di kalangan ketua-ketua bahagian pula berpendapat hanya kelompok mereka sahaja yang layak.

Inilah penyakit lama yang masih melumuri UMNO, ketika Barisan Nasional (BN) amat memerlukan satu pasukan yang mantap bagi merampas kembali Kedah daripada PAS.

Di Selangor sehingga ini belum ada calon khusus yang disebut-sebut tetapi antara yang dikatakan hampir pasti ialah Datuk Seri Noh Omar, walaupun nama bekas Ketua UMNO Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed turut diperkatakan.

Soal penting ialah Najib mahu melakukan transformasi dalam UMNO.

Terima sahaja dan berilah sokongan atau bantuan. Biar hilang jawatan jangan hilang kuasa UMNO di mana-mana negeri juga.

Semua pemimpin danahli UMNO merasakan peritnya bila hilang kuasa sama ada di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Di Perak, Datuk Seri Dr Zamri Kadir turut memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi.
Banyak agenda Melayu dan Islam akan tergencat jika pemimpin UMNO terus bertelagah.

Bilakah masanya mereka akan sedar dan insaf selain berani mentransformasi diri untuk ‘rela menjadi pengikut’ selepas sekian lama menjadi pemimpin.

Mereka perlu sedar akan tiba orang lain, tidak kiralah sekiranya lebih muda, untuk menjadi pemimpin yang dipercayai.

Sebagai ahli UMNO yang setia berkhidmat, terimalah keputusan Presiden UMNO dan MKT untuk melicinkan perjalanan UMNO dan sama-sama memenangkan parti dalam pilihan raya.

Tidak ada gunanya menjadi pemimpin UMNO sedangkan kawasan atau negeri diperintah oleh orang lain dan kita berada di pihak lawan walau seketika atau sepanjang masa!

1 comment:

  1. matlamat kita ahli umno adalah utk memerintah,bukan hanya matlamat peribadi...yg lebih penting adalah parti dan negara...bukankah ini perjuangan kita,kenapa ada lagi yg makan hati benci membenci......yg sudah,sudahlah...yg lepas kita lepaskan lah....keputusan nya ada ditangan kita....pentingkan ahli dan org melayu..jgn pentingkan diri sendiri...MB telah di-istiharkan sebagai pengerusi perhubungan negeri,marilah sama2 kita buat keje,bukan duk asyik bersengketa.....hidup umno...org kemaman.

    ReplyDelete