Tuesday, October 19, 2010

SAYUTI OMAR KINI BERGELAR JUTAWAN...

Tahniah rakan blogger MSO – Mohd Sayuti Omar – kerana kini mungkin bergelar jutawan dengan pengambilalihan akhbar tabloid SIASAH miliknya.

Saya mendapat berita ini membaca sebuah blog yang turut memetik perkembangan ini daripada beberapa blog yang lain. Entah berapa jutalah MSO dibayar. RM5 juta? RM7 juta?

Pendedahan oleh Pisau. Net dan AIDC mengenai pengambilalihan ini pastinya menyerlahkan lagi pendirian MSO dalam politik.

Kini terang lagi bersuluh, beliau adalah penyokong Anwar Ibrahim (Datuk Seri) dan PKR totok. Tidak dapat dinafikan lagi – jika benar pendedahan Pisau.Net – Sayuti kini mengalami kehidupan lebih baik daripada blogger lain yang proUMNO.

Ramai blogger yang proUMNO kini dilihat tidak penting bagi Ibu Pejabat UMNO, khususnya Setiausaha Agung UMNO apabila mengatakan ahli UMNO hanya perlu membaca umno.online dan tidak yang lain yang hanya ‘blogger nyamuk’.

Sedangkan pembangkang – khususnya PAS dan PKR – melihat peranan media baru termasuk blog semuanya penting biarpun kecil sekali pun.

Sekali lagi tahniah MSO!

PANAS! ANWAR BELI SAYUTI OMAR DAN AKHBAR SIASAH!

AIDCReveal

Berita ini bukan rahsia lagi. Pisau.net telah mendedahkan Anwar Ibrahim akan mengambil alih sepenuhnya akhbar tabloid SIASAH yang selama ini dianggap 'nuetral' bagi menggantikan Suara Keadilan, organ rasmi PKR.

Akhbar tabloid SIASAH adalah milik penulis politik terkenal, Mohd Sayuti Omar (MSO) yang dari tahun 1998 sudah pro Anwar Ibrahim. Kecenderungan penulisan MSO sejak beberapa bulan lalu yang pro Anwar mengesahkan lagi berlaku 'deal' di antara pihak Anwar dengan penulis "Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa".

Identiti sokongan politik MSO sukar dibaca. Ada pihak mendakwa beliau ahli PAS dan pihak yang lain pula mendakwa bukan. Malah ada pihak menafikan beliau bukan pro Erdogan (ahli PAS pro Anwar Ibrahim) berdasarkan tulisannya yang mengecam Husam Musa, bekas Naib Presiden PAS yang sering disebut-sebut sebagai ketua Erdogan.

Tetapi yang pasti, beliau merupakan penulis politik oportunis yang mementingkan survival bisnes.

Sorotan ringkas MSO, Anwar & Media Pembangkang

Pada tahun 1990, MSO pernah menulis buku mengkritik Anwar bertajuk "Anwar Ibrahim : Mimpi dan Realiti". Khabarnya buku itu dirampas di kilang percetakan oleh orang-orang Anwar dan menyebabkan MSO mengalami kerugian.

Anuar Tahir, bekas Setiausaha Agung ABIM yang ketika itu merupakan penyokong totok Anwar, pernah ancam mahu menumbuk muka MSO gara-gara penulisan dalam buku tersebut.

Trend penulisan mengkritik Anwar diteruskan secara berkala oleh penulis politik pro PAS, Ahmad Lutfi Othman yang menghasilkan lebih 4 buah buku politik

Pada tahun 1998, Ahmad Lutfi, bekas wartawan Harakah masih meneruskan kritikan terhadap Anwar dengan penghasilan buku-buku politiknya, tetapi MSO mengubah haluan menjadi pembela Anwar dalam bukunya bertajuk "Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa".

Khabarnya melalui buku itu MSO mendapat pendapatan lumayan kerana bukunya sold out dan bukunya diulang cetak penerbitannya.

ketika itu, pandangan Ahmad Lutfi menjadi tidak popular, kerana dianggap melawan arus. Selain MSO yang menyokong Anwar, Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakah juga pro Anwar Ibrahim.

Selepas pemecatan Anwar dari UMNO hingga ke tahun 2003, Zulkifli Sulong sering meletakkan berita Anwar sebagai berita muka depan Harakah, organ bulanan PAS.

Sekitar tahun 2003, ketika Haji Hadi Awang menjawat Presiden PAS, beliau mengalami krisis populariti, kerana Anwar Ibrahim lebih popular di kalangan ahli-ahli PAS berbanding dengan Presiden PAS sendiri. Semua ini berpunca daripada sentuhan Zulkifli Sulong yang lebih memberi publisiti kepada Anwar Ibrahim di Harakah.

Ekoran daripada itu, Zulkifli Sulong (gambar kiri) dipancung daripada mengekalkan jawatan Ketua Pengarang Harakah dan diganti dengan Suhaimi Mokthar, bekas Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Hadi Awang.Klik di sini

Selepas itu, Ketua Pengarang Harakah diambil alih oleh Ahmad Lutfi Othman. Manakala Zulkifli Sulong pula bersama-sama MSO menerbitkan akhbar Siasah.

Walaupun Ahmad Lutfi dikatakan masih menyimpan peluru-peluru sisi gelap Anwar, tetapi beliau tidak menyiarkannya di Harakah kerana menjaga setiakawan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Namun pemilihan Ahmad Lutfi yang dikenali sebagai ikon anti Anwar sebagai Ketua Pengarang Harakah sudah menunjukkan mesej yang sangat jelas.

Sebelum pilihanraya ke-12, Ramli Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Meli Kapak Jangak mendedahkan di blognya, bahawa beliau terpaksa mengambil alih penerbitan "Mingguan Wasilah" miliknya daripada terus digunakan sebagai saluran propaganda Husam Musa.

Meli dikatakan tidak berpuas hati dengan pembayaran permit "Mingguan Wasilah" oleh Husam Musa yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pembayaran permit ahkbar Siasah milik MSO.

Difahamkan ketika itu Husam Musa adalah Naib Presiden PAS telah membeli permit "Mingguan Wasilah" dan "Siasah" sebagai saluran propaganda PAS yang berwajah nuetral.

Ekoran pendedahan itu, Meli telah disaman oleh Husam. Begitu juga dengan MSO yang juga turut disaman Husam ekoran pendedahan penyelewengan projek kambing Japnapari di blognya.

Masa Depan Siasah

Walaupun Siasah kepunyaan MSO tetapi difahamkan permitnya telah dibayar oleh Harakah. Operasi Siasah turut menumpang pejabat dan operasi Harakah, di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

Apabila Suara Keadilan ditamatkan permit oleh KDN, dikatakan PKR tidak lagi berminat untuk meneruskan modus operandinya menggunakan wajah Suara Keadilan, walhal sebelum ini Suara Keadilan diterbitkan tanpa mempedulikan soal permit atau tidak.

Isunya bukan soal permit, tetapi soal strategi untuk menawan golongan pengundi atas pagar seramai mungkin dalam menghadapi PRU ke 13.

Anwar dikatakan lebih berminat dengan pengambilalihan 'Siasah' yang sebelum ini berjaya menembusi pasaran golongan tidak berparti, daripada meneruskan survival Suara Keadilan yang hanya berlegar di kalangan ahli-ahli PKR sahaja.

Ekoran minat Anwar itu, Ahli Lembaga Pengarah Harakah telah membincangkan masa depan Siasah. Setakat ini belum ada kata putus dibuat oleh jawatankuasa Harakah itu.

Namun begitu, MSO selaku pemilik permit dan Zulkifli Sulong, ketua pengarang Siasah dikatakan lebih berminat dengan tawaran Anwar itu bersandarkan janji-janji sagu hati yang sangat lumayan.

Wartawan-wartawan Suara Keadilan akan diserapkan secara automatik ke Siasah dan dijanjikan dengan gaji bulanan yang dikatakan mencecah RM3,000 seorang.

Gosip semakin bertiupkencang. Dikatakan penguatkuasaan pengambilan Siasah sepenuhnya oleh PKR akan dilakukan selepas Pilihanraya Kecil DUN Galas.

Siasah yang selama ini dilihat nuetral, tidak pro-Anwar dan lebih pro kerajaan perpaduan bakal bertukar wajah sebaliknya, selepas Anwar menguasai sepenuhnya akhbar tersebut.

Monday, October 18, 2010

BATU SAPI – UJI PERSEFAHAMAN PARTI KOMPONEN BN

Walaupun ia hanya pilihan raya kecil dan keputusan tidak akan menyaksikan perubahaan dalam kerajaan negeri tetapi SAPP berhasrat menggoncang BN ...kemenangan kepada SAPP penting bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri. - Yong Teck Lee

Jangan hanya melihat pentingnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan tetapi juga lihat betapa signifikannya pilihan raya kecil Parlimen P 185 – Kawasan Batu Sapi di Sabah.

Selain Sabah yang jelas juga adalah simpanan Tetap BN, pilihan raya kecil ini menjadi platform penting menguji kerjasama dan persefahaman komponen parti Barisan Nasional (BN).

Kenapa saya katakan demikian?

Pertama, kerusi ini majoritinya adalah pengundi Bumiputera sebanyak 62.4 peratus dan daripadanya 62.1 peratus adalah Bumiputera Islam.

Sementara di kalangan pengundi Cina pula seramai 37.2 peratus daripada keseluruhan 26,004 pengundi di kawasan parlimen berkenaan.

Apa yang jelas, dalam kawasan itu orang Cina terbahagi kepada penyokong tiga parti iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS yang mewakili Barisan Nasional serta partim pecahan BN, Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan Datuk Yong Teck Lee (gambar kiri) .

Walaupun ia hanya pilihan raya kecil dan keputusan tidak akan menyaksikan perubahaan dalam kerajaan negeri tetapi SAPP berhasrat menggoncang BN yang boleh menyebabkan ahlinya hilang sokongan kepada BN.

Ini ujian getit bagi parti itu setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.

Mengulangi hasrat parti itu untuk merampas kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang, Yong berkata kemenangan kepada SAPP penting bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Kerana itu adalah penting bagi Sapp memenangi kerusi yang mempunyai majoriti penduduk bumiputera seperti Batu Sapi.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari PBS yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu. Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Sehingga ini calon belum dipastikan tetapi semalam PBS berkata BN besar kemungkinan akan mengekalkan calon keturunan Cina untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata penyandang kerusi tersebut mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang juga bendahari agung PBS, merupakan seorang keturunan Cina dan calon yang mereka cadangkan semestinya dari kaum itu.

PBS semalam mengadakan mesyuarat majlis tertinggi PBS dan menurut Pairin, setakat ini 10 calon telah disenaraikan.

Apapun, senarai tersebut akan disenarai pendekkan sebelum mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil itu.

Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah, dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama parti komponen BN hari ini bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata walaupun PBS mencadangkan nama calon namum pemilihan muktamad calon terletak di tangan pucuk kepimpinan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Selasa depan ( 26 Oktober) sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 4 November.

Di pihak Parti Maju Sabah, pihaknya semalam mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil itu dan ia diumumkan oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Malah, Yong juga disebut-sebut sebagai kemungkin calon mewakili parti itu walaupun belum disahkan. Ditanya sama ada beliau bersedia mencalonkan diri sendiri pada pilihan raya 4 November ini Yong berkata parti belum membuat keputusan. "Calon adalah paling utama dalam mana-mana pilihan raya, tetapi ada masa yang sesuai untuk semua perkara.

"Hari ini (kita umumkan) untuk bertanding. Calon kita akan diumumkan kemungkinan pada 23 November di Sandakan, bila kita rasmikan pejabat baru di kawasan Karamunting dan Batu Sapi" katanya.

Semalam Yong mengelak menjawab peluang SAPP sebaliknya mendakwa UMNO yang sepatutnya gusar kerana batu Sapi adalah kubu kuat mereka. Katanya: "Apa peluang kita? Batu Sapi adalah kerusi tradisi SAPP (bila ia bertanding) untuk BN."

Di sebalik itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin menggesa parti komponen BN terutama supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

BN perlu menang besar kerana dalam keadaan sekarang, bukan sahaja komponen perlu bersatu dan menjamin kemenangan, pemimpin LDP perlu menunjukkan kematangan dan komitmen kepada perjuangan BN dengan memberi sokongan padu kepada Musa yang mengetuai kempen pilihan raya di Batu Sapi.

"Kita mesti meletak ke tepi sebarang perbezaan pendapat. Ini merupakan detik amat penting ke arah memastikan kemenangan besar BN," katanya yang dilantik sebagai pengarah operasi jawatankuasa kempen pilihan raya Karamunting.

Beliau berkata jawatankuasa kempen akan berkempen habis-habisan dalam memastikan BN mengekalkan kerusi Batu Sapi.

Amat jelas komponen BN perlu bersetuju dan bekerjasama dalam setiap perkara termasuk penentuan calon dan kerja-kerja berkempen dan menenangi hati rakyat di kawasan itu.

Pilihan raya kecil ini adalah ujian bagi BN Sabah dan kepimpinan Musa yang sejauh ini dilihat teguh dan mampu menerajui Sabah untuk terus cemerlang!

Saturday, October 16, 2010

BAJET 2011 MENDAKAP SEMANGAT, REALITI PENTADBIRAN TERKINI

Beberapa hari sebelum Bajet 2011 dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, spekulasi mulai timbul kononnya ia akan menjadi 'bajet pilihan raya'.

Penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat kali kedua Rabu lepas menguatkan lagi spekulasi itu, pada ketika penganalisis mencari lebih banyak petunjuk, seperti kemungkinan pengurangan cukai pendapatan, peningkatan cukai beberapa barang dan bonus buat petugas kerajaan.

Yang nyata, sehari sebelum Bajet 2011 dibentangkan, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim beranggapan kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai tanda awal Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Ada kemungkinan kita akan saksikan Pilihan Raya Umum (PRU) yang mengejut dan saya jangkakan pembentangan bajet esok (jumaat) adalah bajet pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen kelmarin (Khamis).


Menurutnya, beliau percaya kerajaan 'takut' kerana tidak mampu menangani asakan oleh Pakatan Rakyat yang berpendapat cukai baru itu akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN. Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka. "Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.”

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya. "Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka. ''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Dan semalam, apabila bajet dibentangkan dengan beberapa potongan cukai, ramai mulai percaya ia jauh menyimpang daripada terma bajet pilihan raya, kerana keseluruhan bajet dilihat bergerak ke arah menambah pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah, kebanyakannya di bawah pendapatan RM3,000, di samping menambah baik sistem penyampaian kerajaan selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Jika anda tanya sekiranya ini adalah bajet pilihan raya atau tidak, saya akan katakan tidak. Agenda-agenda penting sebuah bajet pilihan raya tidak kelihatan di sini," kata ahli ekonomi yang juga bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn (gambar kiri).

Fong, Bekas dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya berkata, bajet itu dilihat bergerak ke arah membaiki sistem penyampaian kerajaan dalam usaha menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Jika anda lihat dengan teliti, peningkatan dalam cukai perkhidmatan daripada lima kepada enam peratus, bertujuan untuk bersiap sedia untuk pelaksanaan GST, mungkin pada empat peratus tidak lama lagi. Jadi penangguhan Rang Undang-undang GST kononnya petanda bahawa pilihan raya semakin hampir, adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagaimanapun di pihak pembangkang, mereka tetap dengan pendirian bahawa bajet ini adalah bajet pilihan raya kerana kerajaan memasukkan beberapa langkah tertentu seperti peruntukan RM500 juga kepada kontraktor Kelas F, meningkatkan elaun bulanan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan juga peningkatan perbelanjaan buat sektor perbekalan dan perkhidmatan.

"Saya masih percaya yang ini adalah bajet pilihan raya. BN kelihatan sedang bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya umum," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua.

Pandangannya itu turut dikongsi oleh penganalisis politik Prof James Chin dari Monash University di Kuala Lumpur.

"Kali terakhir petugas kerajaan tidak dapat banyak, dan kali ini Perdana Menteri memberikan insentif RM500 untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah," katanya.

Bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian pula, Bajet 2011 bukan satu bajet pilihan raya, kerana ia lebih kepada langkah Perdana Menteri mewujudkan keseimbangan antara pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur.

"Ini mungkin langkah pertama ke arah pilihan raya, tapi ia bukan bajet pilihan raya," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu.

Perdana menteri sebenarnya sedang memberi tumpuan kepada bajet yang dapat membantunya dalam mendapatkan hasil Rancangan Transformasi Kerajaan dan Rancangan Transformasi Ekonomi, katanya.

Walau ke arah mana sekalipun Bajet 2011 ini, ia adalah, belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak ke arah mencapai negara maju menjelang 2020. Ia menyaksikan peruntukan keseluruhan kerajaan berjumlah RM212 bilion, menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi negara mencapai sasarannya.

Cadangan peruntukan yang dibuat itu berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2010 apabila RM162.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus sementara RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Paling penting, Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula dijadikan peta panduan.

Friday, October 15, 2010

ROSMAH BERLAGAK MENTERI?

"Rosmah seolah-olah mencerminkan kepada rakyat bahawa Shahrizat tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota jemaah menteri.Kalau macam ini baik tutup sahaja kementerian Shahrizat dan letak sahaja tanggungjawab ini di bawah Rosmah," - Zuraida Kamaruddin

Bukan saya kata. Tolong!

Ini Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang kata.

Beliau membidas cadangan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya pusat bersepadu bagi membantu golongan remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa berkahwin ditubuhkan.

Menurut Suara Keadiloan yang dipetik Malaysiakini yang memetik Zuraida (kanan), sebagai berkata, tindakan Rosmah itu dilihat mahu mengambil alih tanggungjawab serta memperlekehkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dam Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil.

"Saya hendak cakap pun tak faham, apakah sebenarnya peranan Rosmah. Beliau menteri atau isteri Perdana Menteri ke, apa jawatan rasmi beliau yang sebenarnya?

"Cadangan beliau menunjukkan beliau ingin campur tangan dalam kementerian dan urusan kerajaan, dia tidak ada apa-apa latar belakang maklumat mengenai masalah tersebut tiba-tiba nak bagi idea yang sebegini. Ini adalah satu perkara yang 'adhoc'.

"Sebarang cadangan sekali pun, Rosmah perlu berbincang dengan pihak kementerian yang berkenaan dan bukannya berlagak seperti mahu ambil alih tugas menteri dan campur tangan dalam pentadbiran negara," kata Zuraida.

Zuraida berkata Rosmah seolah-olah mencerminkan kepada rakyat bahawa Shahrizat tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota jemaah menteri.

"Kalau macam ini baik tutup sahaja kementerian Shahrizat dan letak sahaja tanggungjawab ini di bawah Rosmah," sindir beliau lagi.

Semasa di Belgium mengiringi Datuk Seri Najib Razak, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Kelapan di Brussels, Rosmah telah melawat "Centre of Integrated Family Welfare" (CIG) untuk mendapatkan input bagi menangani masalah pembuangan bayi .

Pusat itu ditubuhkan oleh kerajaan Belgium dengan bertujuan mendekatkan lagi perhubungan ibu dengan anak di mana remaja yang tidak berkahwin akan diberikan latihan bagi menjalankan kehidupan seperti biasa.

Lawatan Rosmah ke CIG itu telah dibidas Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad (kanan) yang menyifatkan seolah-olah kerajaan hilang punca dan kontang idea untuk mengatasi gejala berkenaan.

Idris berkata tindakan Rosmah itu ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan Islam mempunyai penyelesaiannya yang jitu terhadap masalah ini.