Thursday, October 7, 2010

MALAYSIA BUKAN LAGI NEGARA BEBAS, MERDEKA

Seorang penyokong fanatik Anwar Ibrahim menjerit dan meminta supaya bekas pembantu Anwar Ibrahim, Muhammad Rahimi Osman berhenti daripada mengadakan sidang media dan keluar dari sebuah restoran di Klang semalam.

Jangan nak larikan perhatian dengan mengatakan kes penyangak menghentikan sidang media di Klang semalam, sebagai kes terpencil.

Kita semakin meluat dengan kumpulan atau pihak tertentu yang semakin menunjukkan aksi bersifat gangsterisme dan keangkuhan kaum.

Kenapa mereka kini berani dan sanggup mengambil tindakan seolah-olah undang-undang di tangan mereka?

Apakah negara ini kini dikawal oleh ‘Orang Anwar’ dan kita tidak bebas lagi untuk menyatakan sesuatu yang kita rasa benar dan perlu dinyatakan kepada awam?

Juga apakah negara ini kini dikawal oleh ‘gangster’ yang boleh menghentikan sesuatu majlis begitu sahaja hanya kerana dia atau kumpulan itu daripada penyokong penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Apakah Malaysia ini bebas dan berdaulat? Jika demikian kenapa sewenang-wenangnya ada orang menggunakan kuasa dan ‘keberaniannya’ untuk menghentikan sidang media dengan begitu mudah?

Apa akan jadi kelak jika cara ini dijadikan contoh dan kumpulan seperti ini semakin berleluasa?

Apakah negara Malaysia kini seperti dalam filem Tamil di mana penyangak boleh lakukan apa sahaja dan polis tidak mampu bertindak apa-apa.

Sungguh menyedihkan membaca berita bahawa sidang sidang akhbar oleh bekas pembantu kepada Anwar dipaksa dihentikan begitu sahaja selepas diganggu sekumpulan lelaki sebaik sahaja mahu bermula.

Cara kekerasan yang digunakan oleh kumpulan berkenaan amat kasar dan tidak sewajarnya berlaku.

Laporan Bernama yang dipetik Berita Harian Online menyebut, semasa wartawan sedang sibuk menunggu apa yang bakal diutarakan olehMuhamad Rahimi Osman, di dalam satu bilik di sebuah restoran di sini kira-kira 4.05 petang semalam, mereka dikejutkan dengan jeritan suara "Oi Sudahlah Rahimi Sudahlah" dan "Keluar, Keluar" berulang kali.

Kumpulan lelaki itu meminta Rahimi supaya menghentikan sidang akhbar itu dan tidak membuat dakwaan terhadap Anwar yang kini sedang dibicarakan di atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mereka juga mengambil kesempatan memburuk-burukkan Muhamad Rahimi, yang juga seorang ahli perniagaan, di hadapan media yang sedang menunggu kenyataan daripadanya.

Bagaimanapun, Rahimi kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan sidang akhbar itu pada jam 4.30 petang dan beredar daripada bilik itu yang bukan sahaja panas kerana gangguan daripada pihak luar tetapi kerana lebih daripada 30 pengamal media bersesak-sesak dalam bilik itu.

Bukan Rahimi sahaja yang bimbang dengan keselamatannya tetapi pihak media yang khuatirkan keselamatan mereka turut bergegas keluar dan merasa lega apabila melihat beberapa anggota polis telah berada di luar restoran itu untuk mengawal keadaan.

Walau apa juga tujuan Rahimi memanggil sidang media itu ia adalah hak beliau untuk bercakap tetapi dengan memaksa dihentikan sidang media itu dengan kekerasan membuatkan kita tertanya-tanya, tidak bebas lagikah Malaysia ini?

Juga pertanyaan, siapa yang berkuasa di Malaysia sekarang? Gangster? Penyokong Anwar? Kumpulan daripada kaum tertentu?

Perasaan kita – bangsa Melayu – semakin dicabar meluat-luat.

Kementerian Dalam Negeri dan polis jangan berdiam diri.

Jangan sampai rakyat takut dan merasakan mereka ‘tidak bebas dan merdeka’ lagi di bumi Malaysia!

CALON ORANG ASLI UNTUK PERSENDA KU LI?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata semalam SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 September lepas berhubung kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept.

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan berikutan wakil rakyat, Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada Barisan Nasional (BN), mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Pada ketika SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi, dua kenyataan PAS Kelantan semalam menarik perhatian.

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa bahawa parti itu sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi DUN Galas membawa banyak makna.

Kata Husam ini tidak mustahil jika ada calon yang sesuai dan setelah diambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

Beliau mengulas kenyataan ketua masyarakat Orang Asli dari Galas, Pandak a/l Panjang Ey bahawa pihaknya mempunyai jentera gerak gempur parti sendiri untuk membantu kempen pilihan raya itu dan tidak mahu parti politik mengganggu dan masuk berkempen di kawasan penempatan Orang Asli.

Husam memberi alasan PAS menerima calon dari semua pihak dalam menghadapi pilihan raya selaras dengan dasar parti itu untuk semua.

Namun kenyataan Husam selalunya ‘penuh bermakna’. Apakah Husam sengaja menyatakan PAS bersedia meletakkkan calon Orang Asli sebagai mempersendakan UMNO dan Barisan Nasional yang mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di situ?

Atau PAS awal-awal sudah merasakan mereka akan kecundang dan daripada menanggung malu meletakkan calon mereka, PAS Kelantan lebih rela ‘menggadaikan maruah’ dengan meletakkan calon Orang Asli.

Kenyataan Husam berbeza dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS sudah ada calon.

Nik Aziz mengatakan pihaknyta tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu biarpun Anggota Parlimen tersebut pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya semalam. Nik Aziz mengatakan PAS sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang mneyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya.

Apakah Nik Aziz akan tertarik dengan cadangan Husam untuk meletakkan Orang Asli jika Tengku Razaleigh menjadi calon.

Kita sama-sama tunggu nanti.

Apapun, pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

Wan Ahmad berkata Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai pusat penamaan calon dan Dewan Pusat Sivik Gua Musang sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu berikutan kawasannya luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter. Katanya 323 petugas terlibat sepanjang pilihan raya kecil itu.

Wednesday, October 6, 2010

PHUA CHU KANG DISISI TUN DR MAHATHIR DI HOSPITAL AUSTRALIA?

Menyamakan Tun Dr Hasmah Mohd Ali dengan Phua Chu Kang?

Begitulah gambaran yang dikatakan oleh seorang pemimpin PAS Terengganu – Ustaz Saiful Bahari – terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Jika sebelum ini Azmin Ali mengatakan Dr Mahathir pemimpin yang ‘tersungkur’, melalui satu kenyataan terbukanya, Saiful menulis dalam blognya: “Bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr. Mahathir dimasukkan ke hospital Epworth Melbourne, Australia selepas mengadu sakit dada, 2 Okt. lalu dan kini dilaporkan semakin pulih. Ketika dirakamkan di wad pada 11 pagi 4 Okt. Kelihatan beliau telah semakin sihat tetapi siapa disisi beliau?

Sekali imbas tengok macam Phua Chu Kang disisi, artis komedi terkenal TV Singapura. Dengan rambut palsunya bersama tahi lalat gergasi dipipi dan memakai but getah kuning. Rupa-rupanya yang ceria di sisi beliau adalah, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Nampak lebih muda dan sihat disamping suaminya tersayang. Rambut masih lagi tak beruban berbanding suaminya, Dr Mahathir meskipun usianya telah mencecah 84 tahun (12 Julai 1926). Nak kata seksi lagi tak munasabahlah…”

Saiful seterusnya berkata: “Hari ni pun banyak pewarna rambut yang sudahlah diragui bahan buatannya tetapi ia juga menegah telapnya air pada rambut yang jika seseorang itu mandi junub ia menjadi tidak sah. Samalah seperti cat kuku yang menjadi penghalang daripada sahnya wudhu’ maupun mandi junub. Tetapi bagi seseorang yang tak pernah sembahyang maupun mandi junub, apa sangat dikisahkannya. Cuma kalaulah dengan usia sedemikian beliau memakai pakaian seperti beliau kembali ke Malaysia dari Mekah tahun 1991 itu…. Alangkah lebih manis dan lebih baik dari segi syarak. Apapun ia bergantung dengan kepercayaan dan keimanan seseorang.

Seterusnya Saiful mengulas pula mengenai kakak Dr Hasmah: “Lihatlah kakaknya (Datin Zaliha Mohd Ali)… tak beruban jugak. Apa agaknya hikmah dan petua yang diamalkan. Adakah ini nikmat dan kelebihan yang diberikan buat keluarga Siti Hasmah. Kelihatan muda dan panjang umur. Ingat ketika kisah nabi Musa a.s menemui yang menemui Firaun dah pernah menawarkan mukjizat untuk didoakan agar Firaun sentiasa muda jika ia beriman. Peringkat awal ia ingin beriman tetapi menterinya Haman mencadangkan diwarnakan rambutnya hitam untuk kelihatan muda. Sebab itu dilarang mewarnakan rambut dengan pewarna tetapi dibolehkan dengan menginainya.

Dengan entri bertajuk “Gambar siapa disisi Tun Mahathir di Hospital Australia? “ itu juga Saiful ada mengatakan Dr Mahathir mahu meninjau tempat sesuai di Australia untuk berhijrah.

Kata Saiful: “Kenapa Mahathir ke Australia? Memang ada forum. Tetapi dalam masa yang sama meninjau tempat yang sesuai. Yelahh! Beliau pernah menyebut untuk berhijrah meninggalkan Malaysia jika PR menang. Biarlah Anwar memerintah menjadi PM. Dia nak lari keluar. Apapun diharap dapat pulang ke Malaysia selepas sembuh nanti. Pilihanraya lambat lagi dan PR belum memerintah. Nampaknya Ibrahim Ali dan PERKASA masih memerlukan beliau.”

Selanjutnya Saiful menulis mengenai pandangan politiknya yang bagi saya tidaklah perlu diperkatakan. Yang mahu ditimbulkan di sini hanyalah tiga perkara di atas.

Yang menariknya pada entri 4 Oktober, 7:14 am ini, ada kira-kira 20 komen dan 90 peratus ‘mengutuk’ cara ‘ustaz’ ini menggambarkan Dr Siti Hasmah sedemikian.

Saya perturunkan satu komen menarik yang tidak menyumpah seranah Saiful : “Sesugguhnya salah satu istizraz Allah kepada hambanya ialah dengan membiarkan hambanya merasa hebat dan benar. Lalu mereka merasakan apa yang dilakukan adalah benar. Merasakan ilmunya benar. Merasakan perbuatannya benar. Lalu Allah akan menambahkan lagi rasa kebenarannya dan rasa kehebatannya supaya dia terus menerus melakukan caci maki yang dirasakannya benar. Semoga Allah mengampunkan anda. Kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah walau apapun party dan fahaman.”

Persoalannya, apakah dalam PAS yang mendakwa sebagai parti Islam juga 'ada binatang di kalangan manusia'?. Baca selanjutnya jika berminat di sini.

Tuesday, October 5, 2010

DR MAHATHIR KELUAR HOSPITAL DENGAN SEMANGAT TINGGI

Syukur Alhamdulilah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Hospital Epworth di Melbourne 12 tengah hari ini.

Laporan Bernama yang memerik seorang jurucakap hospital, berkata Dr. Mahathir keluar dari hospital dengan semangat yang tinggi.

Beliau telah berada di hotel penginapannya dan akan kembali ke tanah air minggu ini.

Bekas Perdana Menteri menerima rawatan di Hospital Epworth, Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru.

mStar yang memetik Pegawai Khas Dr Mahathir, Sufi Yusoff pula berkata, pasukan perubatan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Dr Mahatahir.

"Namun beliau masih akan diletakkan di bawah pemerhatian untuk pemerhatian lanjut untuk satu tempoh yang belum ditentukan," katanya.

Selain itu menurut Sufi, Dr Mahathir akan ditempatkan di sebuah hotel berhampiran bagi memudahkan pasukan perubatan membuat pemantauan.

"Pelepasan dari hospital hari ini ke sebuah hotel berhampiran juga merupakan sebahagian daripada proses pemulihan untuk mencepatkan proses pemulihan Dr Mahathir.

"Sepanjang tempoh ini, pasukan perubatan akan terus memantau rawatan antibiotik serta menjalani fisioterapi susulan," katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali berada di Melbourne sejak Khamis lalu untuk berucap pada seminar pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Melbourne.