Thursday, July 8, 2010

FITNAH & BOHONG UNTUK TUMBANGKAN BN

Hmm...bacalah sendiri.

Apa jenis pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya? Apakah hidup mereka penuh kebohongan, menipu dan menjatuhkan orang lain untuk dipijak dan mendapat kuasa?

Apakah cara itu halal dalam politik yang dikatakan berteraskan Islam dan orang Malaysia?
Apakah orang Malaysia tidak berbudaya dan beragama?

Siapa di sebalik ini semua kalau bukan orang yang meroyan mahu jadi Perdana Menteri?

Siapa mahu menjadi Perdana Menteri di Malaysia hari ini selain daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menjadi majoriti di Parlimen?

Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang 24 jam, 7 hari seminggu dan 256 hari setahun meroyan mahu menjadi Perdana Menteri?

Sungguh menjijik dan memalukan apabila taktik mengalahkan BN dilakukan dengan cara berbohong, rosak peribadi orang, memfitnah dan pelbagai cara yang tidak beretika lain.

Pendedahan oleh Ahli Parlimen (MP) Bebas, Zulkifli Noordin di Dewan Rakyat semalam menyedih dan memalukan kita kerana yang melakukannya ialah orang Melayu dan mengaku Islam.

Jenis Melayu dan Islam apakah mereka ini? Yang bersekongkol dengan kumpulan ini, khususnya dari PAS pun tumpang sekaki!

Di Dewan Rakyat semalam mendakwa bahawa beliau disuruh melakukan bermacam pembohongan semasa menyertai pembangkang dalam strategi mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya terpaksa akui sememangnya itu strategi, dan saya sendiri pernah terlibat,” kata MP Kulim-Bandar Baharu itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Mahkamah Rendah (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sama ada tindakan pembangkang menyerang kehakiman, polis, istana dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan merupakan strategi pembangkang bagi melumpuhkan kerajaan BN.

"Memang mana-mana pembangkang pun tugasnya nak jatuhkan kerajaan, nak ambil alih kerajaan. Cara itu yang tak kena, yang kita persoal ialah etika. Takkan sampai kita hancurkan nama orang, rosakkan peribadi orang.

"Saya akui memang itu disuruh tetapi akhirnya kita sedar, benda ini tak betul dan perlu diperbetulkan sebab yang nak jawab depan Allah. Saya akui memang itu strategi sebenarnya,” tambahnya.

Zulkifli sebelum itu berkata, beliau disuruh menggunakan strategi tersebut sejak zaman reformasi pada tahun 1998.

"Contoh, saya buat cerita mengenai kena racun arsenik. Saya antara orang terdepan yang bawa isu arsenik,” katanya merujuk kepada dakwaan kononnya Datuk Seri Awnar Ibrahim diberi racun tersebut semasa dalam tahanan ketika itu.

Menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang bangun mencelah bahawa Zulkifli sendiri pernah memaki hamun hakim dalam ceramahnya sebelum ini, katanya, beliau telah mengambil inisiatif memohon maaf dengan mereka yang terbabit.

"Memang kita dulu diajar maki hamun, caci orang, tuduh orang, semua orang tak betul, hina orang dengan label macam-macam,” katanya.
Zulkifli selanjutnya berkata, contoh strategi pembangkang yang dapat dilihat ialah dalam isu yang mengaitkan APCO di negara ini dengan Yahudi.

"Tengok bagaimana putar belit isu APCO ini. Saya tak pernah nak cakap isu APCO ini, (tapi) orang dah tanya pendirian saya tentang isu APCO. Dia katakan APCO masuk ke Malaysia, masuk ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, menguasai sistem komunikasi, APCO telah begini, APCO begitu.”

"Yang dia tak beritahu dengan rakyat, APCO yang pergi ke PDRM ini dengan APCO Worldwide adalah dua perkara berbeza. Kalau tengok APCO ini yang dikatakan masuk dalam sistem komunikasi PDRM dikaitkan dengan APCO Worldwide, APCO Worldwide bukan APCO,” katanya.

Tuesday, July 6, 2010

PKR TERUS ANGKUH CABAR KDN

Ini satu perkembangan menarik.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu tunjuk keangkuhan dan kedegilannya sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diuji dan dicabar untuk bertindak tegas.

Kegagalan KDN bertindak akan membawa imej buruk kepada kerajaan jika PKR terus berdegil dan melakukan apa yang mereka sudah nyatakan.

Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua Suara berkata semalam, suara rasmi PKR - Suara Keadilan - akan diterbitkan seperti biasa Rabu ini (lusa) walaupun permit penerbitannya masih belum diperbaharui oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dengan angkuh, Tian Chua berkata PKR tidak berhasrat untuk menghentikan penerbitan walaupun permit mereka tidak diperbaharui.

"Kami tidak pasti apa yang diperkatakan oleh kerajaan apabila diberitahu bahawa permit kami tidak diperbaharui tetapi tidak digantung. Apakah kami boleh menerbitkan Suara Keadilan sementara keputusan dibuat,” soal Tian Chua.

Menurut Ahli Parlimen Batu itu, ini satu lagi keputusan 'flip flop' kerajaan BN. Permit akhbar tabloid itu yang dikeluarkan pada Julai 2009 tamat tempohnya pada 30 Jun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerbitan tidak berpuas hati dengan penjelasan ketua editor, Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung penjelasannya mengenai sebuah artikel yang mendakwa Felda bankrap.

Malaysiakini memetik Tian Chua berkata semalam : “Pada asasnya, tiada perkembangan. Kerajaan masih tidak memberikan kedudukan sebenar. Justeru, kita akan meneruskan penerbitan dan tidak akan memberhentikannya.”

“Maksud saya, tiada sebab untuk berhenti, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kita adalah akhbar yang dimiliki oleh pembangkang. Tiada sebab untuk memuja ataupun memuji kerajaan tetapi sebaliknya memberi pandangan yang kritikal - itu kerja kita.

"Jadi, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan yang kita mencemarkan imej atau nama baik kerajaan sebagai sebab untuk menamatkan penerbitan kami,” katanya.

Katanya, kelewatan pembaharuan permit adalah 'kes lazim' dan ia berlaku kepada kebanyakan syarikat lain dan PKR akan menerbitkan edisi Suara Keadilan minggu ini.

"Biasanya, apabila lesen tamat, penerbitan belum memperbaharuinya. Tetapi ia tidak bermakna mereka (KDN) telah mengharamkannya, ” kata Tuan Chua.

Naib presiden PKR, Lee Boon Chye pula sebelum ini pernah berkata dengan atau tanpa permit, mereka kan terus mencetak akhbar berkenaan.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), yang juga Naib presiden PKR pagi semalam telah mengemukakan permohonan kepada Dewan Rakyat menuntut supaya satu perbahasan diadakan bagi membincangkan isu tersebut atas dasar ia melanggar kebebasan akhbar.

Katanya, tindakan pihak kementerian tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan telah menafikan hak rakyat untuk mendapatkan akses kepada maklumat dan juga pandangan alternatif.

Menurut Azmin, permohonan untuk memperbaharui permit itu telah dibuat pada 11 Mac tetapi Kementerian Dalam Negeri dalam suratnya bertarikh 2 Julai mengarahkan PKR supaya menghentikan penerbitan akhbar berkenaan.

Bercakap dalam sidang akhbar di obi Parlimen, semalam, Azmin berkata, PKR menuntut pihak Kementerian Dalam Negeri supaya menghormati demokrasi dan hak pihak pembangkang untuk bersuara.

Menurut laporan mStar, Azmin berkata, pihak kementerian dalam surat yang bertarikh 2 Julai itu menegaskan bahawa mereka tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan berkaitan laporan mengenai Felda.

“Kami merasakan alasan KDN untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan sebagai sesuatu yang pelik, tidak masuk akal dan berniat buruk.

"Malah adalah tidak logik untuk memikirkan akhbar parti ini hanya perlu melaporkan aktiviti parti tanpa sebarang rencana atau laporan berkaitan isu-isu semasa dan juga tentang apa yang berlaku dalam kerajaan,’’ katanya.

Azmin juga berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan berasa tergugat dengan laporan berita muka depan Suara Keadilan dengan tajuk Felda bankrap kerana jika laporan itu tidak benar, Felda sentiasa boleh menyaman mereka atau membawa kes itu ke mahkamah.

Malah katanya, Felda telahpun memulakan prosiding undang-undang ke atas Suara Keadilan.Ketika ini, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran Kementerian Dalam Negeri masih menimbang permohonan PKR untuk memperbaharui permit Suara Keadilan. Permit akhbar rasmi parti berkenaan telah tamat tempoh pada 30 Jun lalu

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaitun Ab Samad mengulas kenyataan Tian Chua berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang sekiranya parti itu bertindak menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Tegasnya: "Kalau beroperasi tanpa lesen, mereka perlu menanggung risiko dikenakan tindakan."

Pada 28 Jun, KDN memberi tempoh seminggu kepada sidang redaksi akhbar untuk memberi penjelasan mengenai artikel artikel "Felda Bankrap" yang dianggap berunsur fitnah.

Akhbar itu juga sebelum itu diberi surat tunjuk sebab sebanyak tiga kali iaitu pada Januari, Februari dan April tahun ini dan dilaporkan akhbar itu menjawab pada 29 Jun lalu tetapi KDN tidak berpuas hati.

Zaitun sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan yang dikeluarkan pada Julai tahun lepas tamat pada 30 Jun tahun ini dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

PILIHANRAYA UMUM KE 13 SUDAH HAMPIR?

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum semakin kedengaran biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyatakan ia tidak perlu diadakan tergopoh gapah.

Bercakap di Tumpat, Kelantan, 16 Jun lalu, Najib mengatakan kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau tetapi mengatakan tarikh pilihan raya akan datang akan “mengejutkan semua pihak”.

Malaysiakini kelmarin menyiarkan sebuah entri bertajuk ‘Pilihan raya pada September?’ yang memetik pendapat sarjana politik James Chin yang percaya percaya bahawa Perdana Menteri mungkin mengambil tindakan itu selepas mengumumkan prestasi ekonomi untuk suku tahun kedua.

Katanya, keputusan kerajaan secara tiba-tiba untuk meningkatkan peruntukan untuk kawasan-kawasan mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

"Ia pasti suatu masa sebelum September kerana Najib perlu (dokongan) pertumbuhan yang kukuh daripada suku tahun kedua," kata James yang kini mengajar di sebuah universiti swasta. Kalau (pilihan raya diadakan) tahun depan, ketika itu Najib tidak boleh lagi mengawal ekonomi," katanya.

Beliau menambah, Najib bakal berdepan dengan bahaya kita berlakunya kemelesatan ekonomi global yang kedua.

MCA sudah menyatakan belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 jika ia diadakan pada September ini. Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata MCA baru sahaja melalui krisis dalaman dan sedang melalui proses pemulihan, justeru parti itu tidak sempat untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya jika ia diadakan tahun ini.

Katanya, selain itu, MCA juga masih belum memikirkan mengenai calon-calon parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk menyatupadukan ahli-ahli bagi memastikan parti berupaya meneruskan perjuangannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mengenai pilihan raya mungkin akan diadakan September ini.

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau mengatakan pilihan raya boleh diadakan pada masa terdekat memandangkan tinjauan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lepas.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang begitu yakin yang PAS akan menawan banyak kerusi kerana sambutan rakyat yang semakin baik terhadap perjuangan parti itu.

Bagi Najib pula, pelbagai sumber kajian perlu diambil kira untuk dijadikan asas sebelum sebarang keputusan mengadakan pilihan raya umum dibuat.

“Itu satu punca kajian sahaja (Merdeka Centre), kita tidak boleh bergantung kepada satu penilaian untuk panggil pilihan raya. Kita kena ambil kira pelbagai faktor dan sumber sebelum adakan pilihan raya seperti kekuatan parti dan calon-calon yang berwibawa," katanya.

Walaupun Najib menafikan tetapi dengan cakap-cakap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa dolak-dalik lagi, menguatkan semula andaian pilihan raya umum tidak jauh lagi daripada tarikhnya.

"Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita nak beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum?

Sampai bila kita nak katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah yang terpaksa kita hadapi masa pemulihan dulu?

"Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Serdang.

Hishamuddin berkata telah tiba bagi BN, khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Menurut beliau, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh di dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

Beliau turut mengatakan, kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan sebaik mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita dan parti di setiap negeri," katanya.

Monday, July 5, 2010

MELAYU TANJUNG JANGAN DIJADIKAN JERUK 'ASAM & PALA'

Oleh Hassan Mohd. Noor (Utusan Malaysia)

KALAU ke Pulau Pinang, nasi kandar sudah menjadi satu kemestian. Dari Kuala Lumpur, ada yang sanggup mencari nasi kandar Line Clear di Jalan Penang. Tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.

Di Pasar Chowrasta, Jalan Penang atau sebelum melangkah masuk ke feri di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, pelbagai jenis jeruk dijual.

Tak kiralah siapa yang proses dan jual jeruk itu, tetapi biasanya orang akan bawa pulang sebagai oleh-oleh.

Padahal, jeruk ini boleh didapati di mana-mana sahaja. Di daerah Balik Pulau, banyak buah pala ditanam dan di situ ada pengusaha jeruk.

Jeruk terutama buah pala memang popular di Pulau Pinang. Ada juga ‘asam’ lain. Di Pulau Pinang, macam-macam asam ada termasuk asam gelugur (dijadikan asam keping untuk kuah laksa dan asam pedas), asam jawa, asam ko, malahan belimbing pun disebut sebagai asam sama ada belimbing besi atau belimbing buluh.

Tetapi asam yang ingin disentuh pada minggu ini bukan asam yang dibuat jeruk atau ‘ikan di laut asam di darat, bertemu juga dalam belanga’ tetapi Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong.
Sebelum ini ‘pala’ dah jadi jeruk apabila Kampung Buah Pala, sebuah perkampungan orang India yang menternak lembu terpaksa ‘dirobohkan’ demi pembangunan.

Bagaimanapun nasib mereka agak baik. Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dikatakan sudah diteroka sejak 200 tahun itu tetapi pampasan yang diterima lebih melegakan. Khabarnya mereka mendapat rumah teres dua tingkat yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Sebaliknya di Kampung Jalan Pokok Asam, yang kebanyakannya nelayan dan ‘orang lama’, pampasan yang dikatakan bakal diterima hanyalah RM75,000.

Dengan suasana selesa di sebuah perkampungan yang dinikmati selama ini, tiba-tiba kehidupan penduduk Kampung Jalan Pokok Asam yang berusia hampir 100 tahun itu akan berubah.
Belum pasti di mana mereka akan tinggal dengan pampasan RM75,000 itu.

Tiada lagi suasana anak-anak bermain di kampung. Episod indah itu akan berakhir. Mungkin mereka akan menjadi penghuni di rumah pangsa kos rendah.

Terkepung! Tiada lagi kebebasan sebagai orang kampung. Apakah ia sesuai untuk penduduk di situ menjalani kehidupan baru? Sukar untuk meramalkan kehidupan mereka pada masa depan.
Pada masa yang sama apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ini? Kebajikan rakyat seperti ini harus dijaga. Kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah penduduk itu.

Tentunya kerajaan negeri tidak mahu dilihat sebagai ‘menekan’ orang Melayu. Sebelum ini satu persatu isu mengenai masalah Melayu ditonjolkan. Selepas gerai ikan bakar, gerai buah-buahan dan gerai atas pokok dirobohkan, timbul pula isu Kampung Jalan Pokok Asam, yang juga melibatkan orang Melayu.

Sebelum ini ketika berhadapan dengan kritikan berhubung banyak gerai Melayu dirobohkan, kerajaan negeri menafikan.
Kerajaan pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan serta risalah yang menyatakan lebih banyak tindakan dikenakan ke atas peniaga bukan Melayu.
Maka sesetengah orang Melayu menerima bulat-bulat kenyataan itu.

Mereka mudah lupa seperti kata Dr. Mahathir Mohamad. Lupakah orang Melayu bahawa di Pulau Pinang, jumlah peniaga yang teramai adalah bukan Melayu? Berapa kerat sangat orang Melayu yang berniaga di pulau itu?

Paling ramai ketika bazar Ramadan...itu pun kecoh satu pulau. Kalau masuk pusat beli-belah, memang ramai orang Melayu tetapi sebagai jurujual bukannya peniaga. Jadi fahamilah kira-kira mudah, jangan terlalu asyik dibuai angka itu.

Ini bukan soal rasis atau perkauman tetapi kenyataan.
Berbalik kepada kampung Melayu, berapa lama lagi kampung-kampung di sekitar Georgetown (sebelah pulau) seperti di Sungai Pinang, Jalan Perak, Gelugor dan Tanjung Tokong mampu bertahan?

Hakikatnya, lambat laun perkampungan Melayu akan terhakis. Nasib baik ada Koperasi Melayu Pulau Pinang yang membina rumah pangsa untuk orang Melayu.

Maka dapatlah mereka bertahan di tengah-tengah pembangunan yang semakin pesat itu. Jika tidak, mereka terpaksa ‘lari’ ke Telok Bahang atau Balik Pulau atau ke Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Mungkin Melayu Pulau Pinang juga bernasib baik kerana masih tinggal di tanah wakaf. Tetapi apakah mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti penduduk di Jalan Pokok Asam? Mungkin yang tinggal hanya tanah kubur dan masjid.

Kampung-kampung Melayu mungkin akhirnya akan menjadi `jeruk’ seperti `pala dan asam’. Apakah Kampung Makam juga akan dimakamkan satu hari nanti? Jika ini berlaku, ia adalah satu episod yang amat menyedihkan bagi orang Melayu.

Semoga tanah-tanah wakaf akan dilindungi dan menjadi tempat orang Melayu terus berteduh di situ. Tetapi pemimpin Melayu yang ada `sedikit kuasa’ termasuk dalam parti politik perlulah melakukan sesuatu untuk mempertahankannya. Ingatlah bahawa pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi janganlah sampai kehidupan yang dinikmati selama ini musnah.

Kepada siapa Melayu Pulau Pinang yang merupakan minoriti mahu mengadu nasib? Dengan minoriti yang berpecah kepada Melayu UMNO, Melayu Gerakan, Melayu Pas, Melayu PKR dan Melayu DAP, apakah terbela nasib mereka?

Pemimpin Melayu pula tidak seharusnya bercakaran sesama sendiri. Mereka harus bangkit - walaupun teramat sukar - dengan satu semangat baru. Contohi semangat berpasukan seperti dalam pasukan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung. Lihatlah kebangkitan beberapa pasukan yang menghampiri kemuncak kejohanan.

Paling penting untuk dijadikan contoh bagaimana kesebelasan pemain seperti pasukan Jerman adalah muka baru yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan itu.

Renungi kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengenai semangat berpasukan.

Kemudian gabungkan pula dengan semangat kesebelasan muka baru pasukan Jerman. Mungkin gabungan semangat dan muka baru ini, Melayu tidak lagi sekadar menjadi tukang sorak di luar padang sambil makan kuaci atau kacang goreng.

Jika tidak, mereka hanya sekadar menang sorak kampung tergadai. Ingat juga kata-kata orang Pulau Pinang...Balik Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas!