Tuesday, July 6, 2010

PKR TERUS ANGKUH CABAR KDN

Ini satu perkembangan menarik.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu tunjuk keangkuhan dan kedegilannya sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diuji dan dicabar untuk bertindak tegas.

Kegagalan KDN bertindak akan membawa imej buruk kepada kerajaan jika PKR terus berdegil dan melakukan apa yang mereka sudah nyatakan.

Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua Suara berkata semalam, suara rasmi PKR - Suara Keadilan - akan diterbitkan seperti biasa Rabu ini (lusa) walaupun permit penerbitannya masih belum diperbaharui oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dengan angkuh, Tian Chua berkata PKR tidak berhasrat untuk menghentikan penerbitan walaupun permit mereka tidak diperbaharui.

"Kami tidak pasti apa yang diperkatakan oleh kerajaan apabila diberitahu bahawa permit kami tidak diperbaharui tetapi tidak digantung. Apakah kami boleh menerbitkan Suara Keadilan sementara keputusan dibuat,” soal Tian Chua.

Menurut Ahli Parlimen Batu itu, ini satu lagi keputusan 'flip flop' kerajaan BN. Permit akhbar tabloid itu yang dikeluarkan pada Julai 2009 tamat tempohnya pada 30 Jun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerbitan tidak berpuas hati dengan penjelasan ketua editor, Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung penjelasannya mengenai sebuah artikel yang mendakwa Felda bankrap.

Malaysiakini memetik Tian Chua berkata semalam : “Pada asasnya, tiada perkembangan. Kerajaan masih tidak memberikan kedudukan sebenar. Justeru, kita akan meneruskan penerbitan dan tidak akan memberhentikannya.”

“Maksud saya, tiada sebab untuk berhenti, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kita adalah akhbar yang dimiliki oleh pembangkang. Tiada sebab untuk memuja ataupun memuji kerajaan tetapi sebaliknya memberi pandangan yang kritikal - itu kerja kita.

"Jadi, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan yang kita mencemarkan imej atau nama baik kerajaan sebagai sebab untuk menamatkan penerbitan kami,” katanya.

Katanya, kelewatan pembaharuan permit adalah 'kes lazim' dan ia berlaku kepada kebanyakan syarikat lain dan PKR akan menerbitkan edisi Suara Keadilan minggu ini.

"Biasanya, apabila lesen tamat, penerbitan belum memperbaharuinya. Tetapi ia tidak bermakna mereka (KDN) telah mengharamkannya, ” kata Tuan Chua.

Naib presiden PKR, Lee Boon Chye pula sebelum ini pernah berkata dengan atau tanpa permit, mereka kan terus mencetak akhbar berkenaan.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), yang juga Naib presiden PKR pagi semalam telah mengemukakan permohonan kepada Dewan Rakyat menuntut supaya satu perbahasan diadakan bagi membincangkan isu tersebut atas dasar ia melanggar kebebasan akhbar.

Katanya, tindakan pihak kementerian tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan telah menafikan hak rakyat untuk mendapatkan akses kepada maklumat dan juga pandangan alternatif.

Menurut Azmin, permohonan untuk memperbaharui permit itu telah dibuat pada 11 Mac tetapi Kementerian Dalam Negeri dalam suratnya bertarikh 2 Julai mengarahkan PKR supaya menghentikan penerbitan akhbar berkenaan.

Bercakap dalam sidang akhbar di obi Parlimen, semalam, Azmin berkata, PKR menuntut pihak Kementerian Dalam Negeri supaya menghormati demokrasi dan hak pihak pembangkang untuk bersuara.

Menurut laporan mStar, Azmin berkata, pihak kementerian dalam surat yang bertarikh 2 Julai itu menegaskan bahawa mereka tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan berkaitan laporan mengenai Felda.

“Kami merasakan alasan KDN untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan sebagai sesuatu yang pelik, tidak masuk akal dan berniat buruk.

"Malah adalah tidak logik untuk memikirkan akhbar parti ini hanya perlu melaporkan aktiviti parti tanpa sebarang rencana atau laporan berkaitan isu-isu semasa dan juga tentang apa yang berlaku dalam kerajaan,’’ katanya.

Azmin juga berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan berasa tergugat dengan laporan berita muka depan Suara Keadilan dengan tajuk Felda bankrap kerana jika laporan itu tidak benar, Felda sentiasa boleh menyaman mereka atau membawa kes itu ke mahkamah.

Malah katanya, Felda telahpun memulakan prosiding undang-undang ke atas Suara Keadilan.Ketika ini, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran Kementerian Dalam Negeri masih menimbang permohonan PKR untuk memperbaharui permit Suara Keadilan. Permit akhbar rasmi parti berkenaan telah tamat tempoh pada 30 Jun lalu

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaitun Ab Samad mengulas kenyataan Tian Chua berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang sekiranya parti itu bertindak menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Tegasnya: "Kalau beroperasi tanpa lesen, mereka perlu menanggung risiko dikenakan tindakan."

Pada 28 Jun, KDN memberi tempoh seminggu kepada sidang redaksi akhbar untuk memberi penjelasan mengenai artikel artikel "Felda Bankrap" yang dianggap berunsur fitnah.

Akhbar itu juga sebelum itu diberi surat tunjuk sebab sebanyak tiga kali iaitu pada Januari, Februari dan April tahun ini dan dilaporkan akhbar itu menjawab pada 29 Jun lalu tetapi KDN tidak berpuas hati.

Zaitun sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan yang dikeluarkan pada Julai tahun lepas tamat pada 30 Jun tahun ini dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

No comments:

Post a Comment