Monday, July 5, 2010

MELAYU TANJUNG JANGAN DIJADIKAN JERUK 'ASAM & PALA'

Oleh Hassan Mohd. Noor (Utusan Malaysia)

KALAU ke Pulau Pinang, nasi kandar sudah menjadi satu kemestian. Dari Kuala Lumpur, ada yang sanggup mencari nasi kandar Line Clear di Jalan Penang. Tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.

Di Pasar Chowrasta, Jalan Penang atau sebelum melangkah masuk ke feri di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, pelbagai jenis jeruk dijual.

Tak kiralah siapa yang proses dan jual jeruk itu, tetapi biasanya orang akan bawa pulang sebagai oleh-oleh.

Padahal, jeruk ini boleh didapati di mana-mana sahaja. Di daerah Balik Pulau, banyak buah pala ditanam dan di situ ada pengusaha jeruk.

Jeruk terutama buah pala memang popular di Pulau Pinang. Ada juga ‘asam’ lain. Di Pulau Pinang, macam-macam asam ada termasuk asam gelugur (dijadikan asam keping untuk kuah laksa dan asam pedas), asam jawa, asam ko, malahan belimbing pun disebut sebagai asam sama ada belimbing besi atau belimbing buluh.

Tetapi asam yang ingin disentuh pada minggu ini bukan asam yang dibuat jeruk atau ‘ikan di laut asam di darat, bertemu juga dalam belanga’ tetapi Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong.
Sebelum ini ‘pala’ dah jadi jeruk apabila Kampung Buah Pala, sebuah perkampungan orang India yang menternak lembu terpaksa ‘dirobohkan’ demi pembangunan.

Bagaimanapun nasib mereka agak baik. Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dikatakan sudah diteroka sejak 200 tahun itu tetapi pampasan yang diterima lebih melegakan. Khabarnya mereka mendapat rumah teres dua tingkat yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Sebaliknya di Kampung Jalan Pokok Asam, yang kebanyakannya nelayan dan ‘orang lama’, pampasan yang dikatakan bakal diterima hanyalah RM75,000.

Dengan suasana selesa di sebuah perkampungan yang dinikmati selama ini, tiba-tiba kehidupan penduduk Kampung Jalan Pokok Asam yang berusia hampir 100 tahun itu akan berubah.
Belum pasti di mana mereka akan tinggal dengan pampasan RM75,000 itu.

Tiada lagi suasana anak-anak bermain di kampung. Episod indah itu akan berakhir. Mungkin mereka akan menjadi penghuni di rumah pangsa kos rendah.

Terkepung! Tiada lagi kebebasan sebagai orang kampung. Apakah ia sesuai untuk penduduk di situ menjalani kehidupan baru? Sukar untuk meramalkan kehidupan mereka pada masa depan.
Pada masa yang sama apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ini? Kebajikan rakyat seperti ini harus dijaga. Kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah penduduk itu.

Tentunya kerajaan negeri tidak mahu dilihat sebagai ‘menekan’ orang Melayu. Sebelum ini satu persatu isu mengenai masalah Melayu ditonjolkan. Selepas gerai ikan bakar, gerai buah-buahan dan gerai atas pokok dirobohkan, timbul pula isu Kampung Jalan Pokok Asam, yang juga melibatkan orang Melayu.

Sebelum ini ketika berhadapan dengan kritikan berhubung banyak gerai Melayu dirobohkan, kerajaan negeri menafikan.
Kerajaan pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan serta risalah yang menyatakan lebih banyak tindakan dikenakan ke atas peniaga bukan Melayu.
Maka sesetengah orang Melayu menerima bulat-bulat kenyataan itu.

Mereka mudah lupa seperti kata Dr. Mahathir Mohamad. Lupakah orang Melayu bahawa di Pulau Pinang, jumlah peniaga yang teramai adalah bukan Melayu? Berapa kerat sangat orang Melayu yang berniaga di pulau itu?

Paling ramai ketika bazar Ramadan...itu pun kecoh satu pulau. Kalau masuk pusat beli-belah, memang ramai orang Melayu tetapi sebagai jurujual bukannya peniaga. Jadi fahamilah kira-kira mudah, jangan terlalu asyik dibuai angka itu.

Ini bukan soal rasis atau perkauman tetapi kenyataan.
Berbalik kepada kampung Melayu, berapa lama lagi kampung-kampung di sekitar Georgetown (sebelah pulau) seperti di Sungai Pinang, Jalan Perak, Gelugor dan Tanjung Tokong mampu bertahan?

Hakikatnya, lambat laun perkampungan Melayu akan terhakis. Nasib baik ada Koperasi Melayu Pulau Pinang yang membina rumah pangsa untuk orang Melayu.

Maka dapatlah mereka bertahan di tengah-tengah pembangunan yang semakin pesat itu. Jika tidak, mereka terpaksa ‘lari’ ke Telok Bahang atau Balik Pulau atau ke Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Mungkin Melayu Pulau Pinang juga bernasib baik kerana masih tinggal di tanah wakaf. Tetapi apakah mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti penduduk di Jalan Pokok Asam? Mungkin yang tinggal hanya tanah kubur dan masjid.

Kampung-kampung Melayu mungkin akhirnya akan menjadi `jeruk’ seperti `pala dan asam’. Apakah Kampung Makam juga akan dimakamkan satu hari nanti? Jika ini berlaku, ia adalah satu episod yang amat menyedihkan bagi orang Melayu.

Semoga tanah-tanah wakaf akan dilindungi dan menjadi tempat orang Melayu terus berteduh di situ. Tetapi pemimpin Melayu yang ada `sedikit kuasa’ termasuk dalam parti politik perlulah melakukan sesuatu untuk mempertahankannya. Ingatlah bahawa pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi janganlah sampai kehidupan yang dinikmati selama ini musnah.

Kepada siapa Melayu Pulau Pinang yang merupakan minoriti mahu mengadu nasib? Dengan minoriti yang berpecah kepada Melayu UMNO, Melayu Gerakan, Melayu Pas, Melayu PKR dan Melayu DAP, apakah terbela nasib mereka?

Pemimpin Melayu pula tidak seharusnya bercakaran sesama sendiri. Mereka harus bangkit - walaupun teramat sukar - dengan satu semangat baru. Contohi semangat berpasukan seperti dalam pasukan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung. Lihatlah kebangkitan beberapa pasukan yang menghampiri kemuncak kejohanan.

Paling penting untuk dijadikan contoh bagaimana kesebelasan pemain seperti pasukan Jerman adalah muka baru yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan itu.

Renungi kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengenai semangat berpasukan.

Kemudian gabungkan pula dengan semangat kesebelasan muka baru pasukan Jerman. Mungkin gabungan semangat dan muka baru ini, Melayu tidak lagi sekadar menjadi tukang sorak di luar padang sambil makan kuaci atau kacang goreng.

Jika tidak, mereka hanya sekadar menang sorak kampung tergadai. Ingat juga kata-kata orang Pulau Pinang...Balik Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas!

BAPA BAYI DIBUANG PATUT DIHUKUM

Saya menyokong penuh cadangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kelana Jaya agar Kanun Keseksaan dipinda bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap lelaki yang menjadi pasangan wanita yang dihukum atas kesalahan membuang bayi.

Kerajaan perlu melihat usul ini dalam konteks yang sewajarnya demi menjamin 'bapa' kepada bayi berkenaan tidak terlepas begitu sahaja.

Lagipun, dalam konteks ini bukan wanita sahaja wajar dipersalahkan!

Ahli Wanita UMNO Cawangan Kelana Baru, Norshaireen Abd Khalid, yang mencadangkan usul berkenaan berkata kerajaan perlu menyemak semula peruntukan undang-undang mengenai fenomena pembunuhan dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa kini.

"Mengikut Kanun Keseksaaan Seksyen 309A dan 309B, tidak ada peruntukan hukuman dikenakan terhadap lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perbuatannya yang mendorong kepada tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

"Kajian juga patut dilakukan supaya hukuman maksimum dikenakan terhadap ibu bayi tersebut kerana membunuh atau sengaja membuang dengan niat membunuh," katanya pada persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, itu.

Cadangan itu dikemukakan dalam satu daripada dua usul berkaitan sosial dan pendidikan yang dipersetujui sebulat suara pada persidangan perwakilan ketujuh pergerakan itu, di Petaling Jaya semalam.

Seramai 218 perwakilan bahagian termasuk Ketuanya, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin, hadir pada majlis itu.

Persidangan itu juga turut menyokong usaha Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka supaya dapat meninggalkannya dengan selamat di situ.

Ahli Wanita UMNO Cawangan Penaga Baru, Zawyah Ibrahim, pula mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menyediakan sukatan pelajaran yang sesuai sebelum mengambil keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Kerajaan perlu ada kaedah untuk memastikan pada tiga tahap pertama persekolahan (tahun satu hingga tiga), murid-murid dapat menguasai 3M (menulis, membaca dan mengira) dan kaedah kemahiran lain dapat diperkenalkan untuk mengukur tahap kemahiran murid," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mungkin dimansuhkan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk menstruktur semula sistem pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan gagal menyediakan pendidikan holistik.

Saturday, July 3, 2010

PKR BERDEPAN RISIKO PERPECAHAN

"Pentadbiran Abdul Khalid dilihat sebagai penyumbang kepada perpecahan di kalangan anggota-anggota Parlimen dan ADUN mereka sehingga ada antara mereka yang melompat parti...gerakan untuk menjatuhkan Abdul Khalid itu telah lama dilakukan, cumanya sekarang ia dilakukan dalam keadaan yang lebih terbuka," - Asri Salleh, penganalisis politik.

Pengagihan kuasa dalam pentadbiran dan politik di kalangan pimpinan PKR di Selangor dilihat oleh pemerhati politik bahawa parti itu akan berdepan dengan risiko perpecahan.

Kebimbangan mereka itu berikutan pelantikan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi PKR Negeri kerana ia memperlihatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah hilang kredibilitinya sebagai seorang Menteri Besar yang sepatutnya mentadbir negeri dengan kuasa mutlak.

Pada 27 Jun lepas, Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak diumumkan sebagai Pengerusi PKR Selangor menggantikan Abdul Khalid berkuatkuasa serta merta oleh Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Shah Alam, Selangor.

Menurut pemerhati politik keputusan itu juga mengambarkan bahawa PKR cuba mengadakan pengasingan kuasa antara jawatan Menteri Besar dan Pengerusi PKR negeri dengan Mohamed Azmin diberikan kuasa politik manakala Abdul Khalid diberikan kuasa eksekutif.

Perkembangan itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Khalid yang juga ADUN bagi kawasan Ijok dilihat seperti "hilang taring" kerana beliau kini tidak lagi mempunyai kuasa atau pengaruh dalam politik di negeri itu.

Seorang pemerhati politik, Asri Salleh berkata pengasingan kuasa antara jawatan Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar bakal mencetuskan konflik yang lebih besar khususnya di peringkat membuat keputusan dan ia dikhuatiri boleh boleh menyumbang kepada kejatuhan pakatan pembangkang di Selangor.

Perkembangan ini, katanya, seolah-olah wujud dua nakhoda mengemudi sebuah bahtera yang bakal menimbulkan masalah kerana kebiasaanya mereka yang memegang jawatan Pengerusi parti di peringkat negeri akan juga memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri, kata Asri yang juga Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Terengganu itu kepada Bernama, di Kuala Lumpur.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008 pula menunjukkan bahawa daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, 36 kerusi DUN adalah milik pembangkang dan daripada jumlah itu, PKR mempunyai 15 kerusi, DAP (13) dan PAS (8) sementara Barisan Nasional (BN) dengan 20 kerusi.

Pada masa ini, komposisi DUN Selangor menyaksikan BN menambah satu lagi kerusi menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21 manakala PKR yang sebelum ini mempunyai 15 kerusi DUN, telah kehilangan satu kerusinya apabila ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BN pada 29 Okt tahun lepas.

Asri berkata pengasingan kuasa itu juga dilihat akan menambahkan lagi keretakan yang sedia ada dalam PKR Selangor.
Katanya, ekoran pelantikan tersebut, implikasi yang dapat dilihat bakal berlaku terhadap parti itu ialah penyokong parti PKR akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong Menteri Besar dan kumpulan yang menyokong Naib Presiden PKR itu.

"Kita juga melihat kebergantungan rakan lain iaitu DAP dan PAS kepada PKR. Katakanlah jika berlaku perpecahan dalam PKR, ia akan memberi kesan yang buruk kepada pakatan pembangkang di Selangor yang mana akan mewujudkan senario lompat parti di kalangan Anggota Parlimen dan ADUN kerana krisis keyakinan kepada kepimpinan," katanya.

Bagaimanapun, selepas pengumuman itu dibuat, Abdul Khalid yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak menafikan bahawa tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Sebaliknya, Menteri Besar itu berkata aktiviti pentadbiran negeri telah membataskan masanya untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha memantapkan parti itu dan turut mengakui kekurangan pengalamannya dalam politik memungkinkan jawatan tersebut diberikan kepada Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, menurut Asri, dalam perspektif lain, pelantikan Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PKR Selangor juga dilihat sebagai orang yang diberikan tanggungjawab untuk menyelesaikan segala keretakan dalam PKR Selangor.

"Pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini dilihat sebagai penyumbang kepada perpecahan di kalangan anggota-anggota Parlimen dan ADUN mereka sehingga ada antara mereka yang melompat parti. Makin lama Abdul Khalid duduk di atas, makin banyak anggota yang berpecah," katanyanya.

Beliau juga tidak menolak bahawa pelantikan tersebut juga boleh dilihat sebagai salah satu usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar tersebut.

Katanya, gerakan untuk menjatuhkan Abdul Khalid itu telah lama dilakukan, cumanya sekarang ia dilakukan dalam keadaan yang lebih terbuka.

"Ini adalah permulaan secara terang-terangan untuk menjatuhkan Abdul Khalid dan saya melihat sekarang ialah masa untuk direalisasikan agenda tersebut.

Sememangnya kumpulan untuk menjatuhkan Menteri Besar itu memang wujud. Cumanya dahulu ia dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan sekarang ada pihak yang telah mula menonjolkan diri," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik Prof Madya Shaharuddin Badaruddin berkata pengasingan kuasa tersebut dilihat bakal mewujudkan satu risiko perbezaan pendapat yang ketara di antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid.

Beliau melihat pelantikan itu lebih kepada soal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Abdul Khalid dan ia akan mewujudkan perbezaan pendapat ketara di kalangan mereka dan sekiranya ia dapat mewujudkan kestabilan dan kebaikan, maka itu adalah baik, katanya kepada Bernama.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam itu berkata percubaan PKR itu untuk mengasingkan kuasa di antara parti dan pentadbiran kerajaan negeri mungkin akan membuahkan hasil yang baik sekiranya perbezaan pandangan dapat diatasi.

Dalam pada itu, Shaharuddin tidak menafikan bahawa perlantikan Mohamed Azmin itu juga dilihat bersifat untuk mengawasi dan menegur kerajaan negeri di mana parti boleh menegur kerajaan untuk penambahbaikan implikasinya lebih buruk jika perbezaan pendapat di antara kerajaan dan parti tidak mencapai kata sepakat.

Bernama

KAMPUNG MELAYU DI PULAU PINANG MAKIN LENYAP?

Enam belas buah rumah di Kampung Jalan Pokok Asam yang didiami kira-kira 200 orang akan dirobohkan syarikat pemaju perumahan untuk projek pembangunan rumah mewah di Pulau Pinang. Gambar Bernama

Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini berharap ada pertubuhan sedia membantu nasib mereka yang berkemungkinan hilang rumah kerana diambil pemaju.

Salah seorang penduduk, Shima Ismail, 37, berkata, jika masalah sedemikian tidak ditangani, tidak hairan jika pada satu hari nanti tiada lagi perkampungan milik orang Melayu di tengah bandar raya George Town itu.
Zaiton Ismail dan suaminya, Abdullah Mat Isa tidak dapat menahan kesedihan ketika membaca notis arahan mengosongkan rumah mereka yang dibina lebih seratus tahun di Kampung Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN

"Kampung ini adalah antara perkampungan Melayu yang masih ada di bandar ini.

"Janganlah nanti tiada lagi kampung Melayu di George Town kerana semua mereka telah dihalau keluar dari pulau," katanya ketika ditemui semalam.

Kelmarin, kira-kira 200 penduduk asal Kampung Jalan Pokok Asam diusir oleh pemaju.

Menurut Shima, penduduk kampung kini tidak tahu kepada siapa untuk mereka mengadu dan mendapatkan bantuan.

Ini kerana, jelas beliau, wakil rakyat di kawasan itu sendiri dilihat seolah-olah tidak endah dengan nasib yang menimpa mereka.

"Kami ada mengadu kepada Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi tetapi tidak mendapat sebarang reaksi daripadanya.

"Kami hubungi dia semalam, tapi dia tidak dapat hadir meninjau masalah ini kerana berada di Parlimen," ujarnya

Sebelum ini penduduk di kawasan itu mengatakan mereka mahukan rumah sebagai ganti bukannya duit.

''Kami tidak mahu duit RM75,000 itu, yang kami inginkan hanya sebuah rumah sebagai ganti."

Demikian rintihan kira-kira 50 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong berkenaan. Mereka adalah antara 200 penduduk asal perkampungan itu yang diusir oleh pemaju.

Pengusiran itu didakwa dibuat oleh pemaju tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak.

Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Mohd. Khir Mohd. Said, 44, tindakan pemaju tersebut mengundang kemarahan penduduk ekoran terdapat segelintir kakitangannya yang bersikap kurang ajar semasa mengeluarkan arahan pengosongan rumah.

''Kami bukan pendatang asing yang tinggal di kampung ini secara haram tetapi kami merupakan penduduk asal yang majoritinya menetap di sini lebih 90 tahun.

''Memang kami mengakui ada menerima notis arahan pengosongan awal pada 17 Jun lalu tetapi apa salahnya sekiranya mereka (pemaju) berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya pada sidang akhbar di kampung berkenaan 30 Jun lalu.

Mohd. Khir memberitahu, operasi pengusiran penduduk itu pada awalnya dijangka dijalankan pada pukul 8 pagi di mana sebuah jentolak turut dibawa untuk kerja-kerja perobohan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk, pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam telah menangguhkan tempoh pengosongan selama tiga bulan iaitu berkuat kuasa pada tarikh 13 Oktober depan.

''Tetapi kami yang majoritinya bekerja sebagai nelayan belum memberi kata putus sama ada ingin mengosongkan kampung ini ataupun tidak kerana kes rayuan ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen.

''Lagipun, wang pampasan yang dijanjikan sebanyak RM75,000 itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian kami sepanjang hayat.

''Ketika ini yang kami inginkan hanya pampasan berbentuk rumah kepada setiap ahli keluarga memandangkan setiap lot rumah ini didiami lebih tiga keluarga," jelasnya.

Menurut Mohd. Khir, sebutan kes tersebut akan didengar pada 13 Julai ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang peguam bagi pihak pemaju yang enggan dikenali berkata, mereka bersetuju memberi tempoh selama tiga bulan untuk pengosongan rumah dan menawarkan RM75,000 kepada setiap penghuni terbabit.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pampasan bentuk rumah yang diminta penduduk.

Utusan Malaysia