Friday, November 6, 2015

MANFAAT DAN KEBIMBANGAN BERKAITAN PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK


Artikel BERNAMA

Berikut adalah soalan lazim berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang tersiar dalam laman sesawang Kementerian Perdagangan Antrbangsa dan Industri http://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/258.

Terdapat tujuh topik utama, pertama ialah mengenai manfaat dan kebimbangan berkaitan TPP.

Di bawah perbincangan mengenai manfaat daripada TPP, 11 soalan dibincangkan iaitu mengenai bagaimana TPPA boleh memberi manfaat kepada negara.

1. Kenapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)?

Sebagai sebuah negara perdagangan dengan pasaran domestik yang kecil, Malaysia akan terus mengamalkan regim perdagangan dan pelaburan terbuka bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang bagi guna tenaga berkemahiran tinggi dan menggalakkan pembangunan teknologi serta inovasi.

Oleh itu, Malaysia perlu memastikan bahawa pasaran global dikawal oleh peraturan yang telus dan mudah dijangka serta kekal bersifat liberal. WTO terus menjadi keutamaan teratas kita.

Memandangkan proses Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengambil masa lebih panjang, maka Malaysia menggunakan Perjanjian Perdagangan Bebas untuk mencari peluang akses ke pasaran yang lebih baik bagi barangan dan perkhidmatan dari negara ini.

Setakat ini, Malaysia menandatangani 13 FTA:

Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (1992)

ASEAN-China (2004)

ASEAN-Korea (2006)

ASEAN-Jepun (2008)

ASEAN-India (2009)

ASEAN-Australia-New Zealand (2009)

Malaysia-Jepun (2005)

Malaysia-Pakistan (2007)

Malaysia-New Zealand (2009)

Malaysia-Chile (2010)

Malaysia-India (2011)

Malaysia-Australia (2012)

Malaysia-Turki (17 April 2014)


Di samping rundingan perjanjian TPP yang dimuktamadkan pada 5 Okt 2015, Malaysia juga mengadakan rundingan mengenai FTA berikut:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP); Malaysia-EU FTA; Perjanjian Perkongsian Ekonomi Persatuan Perdagangan Bebas Malaysia-Eropah (MEEPA); dan ASEAN-Hong Kong FTA.

2. Bagaimanakah TPP memberi manfaat kepada Malaysia?

(i) Akses Pasaran

Para pengeksport Malaysia akan memperoleh kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau mereka dalam mengeksport produk seperti produk elektrik dan elektronik, produk kimia, produk minyak sawit, produk getah, produk kayu, tekstil dan alat ganti serta komponen automotif.

TPP akan memberi akses keutamaan bagi barangan dan perkhidmatan dari Malaysia ke dalam empat pasaran FTA "baharu" iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico dan Peru. Bagi pasaran ini, jumlah eksport mungkin meningkat apabila TPP dilaksanakan, kerana:

- duti import bagi hampir 90 peratus produk akan dihapuskan di AS.

- duti import bagi hampir 95 peratus produk akan dihapuskan di Kanada;

- duti import bagi hampir 77 peratus produk akan dihapuskan di Mexico; dan

- duti import bagi hampir 81 peratus produk akan dihapuskan di Peru.

Di samping itu, Jepun tidak memasukkan papan lapis ke dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (FTA), manakala ASEAN-Jepun FTA akan menawarkan akses keutamaan kepada papan lapis serta produk yang didapatkannya dari Malaysia.

Peraturan asal mula yang membenarkan pengumpulan input daripada semua pihak TPP akan memudahkan lagi barangan dari Malaysia layak mendapat duti keutamaan.

Ini juga memberi lebih banyak peluang kepada pengeluar produk alat ganti dan komponen dari Malaysia untuk menyalurkan bekalan ke dalam rantaian nilai serantau.

Kandungan nilai serantau yang tinggi dalam peraturan asal mula bagi kenderaan automotif serta alat ganti dan komponen akan menggalakkan pengeluar auto yang ketika ini mendapatkan alat ganti dan komponen dari luar negara TPP mendapatkannya dari Malaysia.

(ii) Manfaat Kepada Pengguna

- Malaysia akan menghapuskan duti import bagi hampir 85% produk yang diimport dari negara TPP apabila menyertai perjanjian itu. Kita boleh menjangka bahawa pengguna di Malaysia akan menikmati pilihan lebih luas bagi produk berkualiti tinggi yang berasal dari TPP pada harga kompetetif.

(iii) Menambah Baik Tadbir Urus dan Ketelusan

- TPP juga dijangka meningkatkan ketelusan dan amalan kawal selia baik, dari dalam negara dan dalam kalangan anggota TPP, melalui penyelarasan dan pertukaran maklumat yang lebih baik.

3. Bagaimanakah Kebimbangan Malaysia Ditangani?

Sama seperti dalam semua rundingan lain, hasil seimbang perlu diwujudkan bagi semua pihak. Oleh itu, kompromi perlu wujud dalam sesetengah bidang.

Dalam kes Malaysia, mandat kita adalah berasaskan Perlembagaan, memelihara hak negara dan memastikan dasar utama bagi pembangunan sosioekonomi dipulihara, termasuk dasar berkaitan Bumiputera.

Bagi bidang yang sensitif, Malaysia meminta jangka masa lebih panjang untuk melaksanakan kewajipan bagi perolehan kerajaan dan syarikat milik negara serta hak harta intelek.

Kita juga mengeluarkan seksyen tertentu atau langkah yang sensitif bagi Malaysia daripada kewajipan pelaburan dan perkhidmatan, termasuk tanah, penswastaan dan penjualan pelaburan serta keutamaan Bumiputra.

4. Bagaimanakah hak kedaulatan dipulihara?

TPP memperkukuhkan lagi hak kedaulatan kerajaan untuk melaksanakan kawal selia bagi kepentingan orang ramai, termasuk langkah yang diambil untuk melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta keselamatan negara.

Hak negeri untuk melaksanakan kawal selia dalam bidang yang terkandung dalam Senarai Negara, akan dipulihara. Sebagai contoh, kelulusan tanah tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan oleh sesuatu negeri.

5. Apakah fleksibiliti yang disediakan bagi melaksanakan dasar berkaitan Bumiputera?

Walaupun terdapat 30 Bab dalam TPP, tidak semua Bab menjejaskan pelaksanaan dasar berkaitan Bumiputera. Bagi bab utama yang memberi kesan terhadap pelaksanaan dasar berkaitan Bumiputera, fleksibiliti berikut diberikan:

- Perolehan Kerajaan

Fleksibiliti yang diberi bagi penyertaan Bumiputera, termasuk peruntukan hingga sebanyak 30% kepada kontraktor Bumiputera dalam perkhidmatan pembinaan yang terbuka kepada anggota TPP.

Bagi perkhidmatan pembinaan yang tidak dibuka kepada anggota TPP, keutamaan Bumiputera sedia ada akan dikekalkan. Di samping itu, program Kontrak Pusat dan keutamaan harga bagi barang dan perkhidmatan yang diberi kepada pembekal dan pekilang Bumiputera, akan dikekalkan.

- Perusahaan Milik Negara (SOE)

SOE akan mempunyai fleksibiliti untuk memberi keutamaan kepada pembekal Bumiputera dan PKS hingga 40% peratus daripada pembelian tahunan mereka.

- Perkhidmatan dan Pelaburan

Malaysia boleh mengekalkan dasar sedia ada dan mengguna pakai dasar baharu berkaitan kepentingan Bumiputera melalui pewujudan lesen/permit baharu serta penambahan dalam pelaburan dan perkhidmatan.

6. Harta Intelek (IP) bagi Produk Farmaseutikal

- Pencapaian hasil kesihatan awam yang lestari bergantung pada kesalingberkaitan dalam dasar kesihatan negara, persekitaran kawal selia, suasana perdagangan dan daya saing, dasar perolehan, strategi inovasi dan sistem harta intelek.

- Paten adalah satu daripada jenis IP. Perlindungan paten pada umumnya adalah bertujuan untuk mengukuhkan insentif berasaskan pasaran bagi pihak berkepentingan sektor swasta untuk melaburkan sumber mereka dalam penyelidikan produk dan pembangunan teknologi baharu.

- Insentif seperti ini dianggap sangat berharga dalam dunia perubatan, khususnya dalam mencipta ubat-ubatan baharu berikutan pertimbangan teknikal dan keperluan jumlah wang yang besar berserta kadar tinggi kegagalan, termasuk di peringkat akhir dalam membangunkan sesuatu produk serta isu berkaitan liabiliti produk.

- Ubat-ubatan baharu memerlukan perbelanjaan besar untuk dicipta, tetapi agak murah untuk dihasilkan. Dalam keadaan seperti ini, adalah tidak lestari bagi sesuatu syarikat untuk melaburkan modal dalam pembangunan produk dan mendapatkan kelulusan kawal selia sekiranya pesaing mereka berada dalam kedudukan sudah bersedia untuk memperkenalkan produk replika mereka dengan serta merta.

- Bagaimanapun, kerajaan sedar inovasi tidak boleh dicapai dengan mengasingkannya daripada kebimbangan tentang akses kepada perubatan dan akses ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas dari segi keperluan mempunyai inovasi dan peraturan yang berkesan.

- Tanpa insentif, adalah diragui sektor swasta akan membuat pelaburan besar untuk mencipta atau membangunkan ubat-ubatan, yang kebanyakannya sedang digunakan di negara maju dan membangun. Sebaliknya, kerajaan juga sedar tentang kebimbangan yang disuarakan tentang kesan terhadap harga produk farmaseutikal di Malaysia.

- Objektif Malaysia dalam rundingan yang diadakan ialah untuk mencapai kesimbangan sewajarnya antara menyediakan pelindungan harta intelek yang kukuh agar ubat-ubatan baharu boleh terus ditemui dan untuk menangani keperluan bagi mednpatkan ubat-ubatan perlu.

- Dalam TPP, semua pihak memahami keperluan negara membangun bagi mendapatkan akses kepada ubat-ubatan pada harga patut dan mereka sependapat bahawa fleksibiliti dan pengecualian di bawah Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia mengenai Aspek Berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek adalah penting kepada negara yang perlu menangani krisis kesihatan, termasuk HiV/AIDS.

- Pihak kepada TPP telah mengesahkan komitmen bersama mereka terhadap Deklarasi Doha mengenai TRIPS dan Kesihatan Awam, yang bertujuan membantu negara membangun dalam menangani kebimbangan tentang kesihatan awam melalui fleksibiliti WTO.

7. Adakah TPP akan membawa kepada perlanjutan tempoh pelindungan paten?

- Mengenai dakwaan bahawa TPP akan melanjutkan perlindungan paten, adalah penting untuk mengetahui bahawa perlindungan paten bagi ubat-ubatan farmaseutikal tetap kekal selama 20 tahun, sejajar dengan TRIPS.

Hanya jika berlaku kelewatan yang tidak sepatutnya, tempoh perlindungan paten ini akan dilanjutkan.

Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia mampu memberi kelulusan pasaran dalam lingkungan penanda aras antarabangsa sedia ada iaitu kurang daripada dua tahun, kemungkinan tempoh berkenaan dilanjutkan, tidak sepatutnya timbul.

Mengenai paten, Malaysia mampu memberi paten bawah lima tahun dan oleh itu, kemungkinan akan diberi tempoh lanjutan tidak sepatutnya timbul.

8. TPP dan Perlindungan Data Farmaseutikal

- Mengenai Perlindungan Data Farmaseutikal, ia telah dikuatkuasakan di Malaysia sejak 2011 dan data ujian produk inovator dilindungi bagi tempoh lima tahun.

Sepanjang tempoh itu, data berkaitan keselamatan dan keberkesanan akan menjadi milik eksklusif syarikat penyelidikan farmaseutikal yang memohon mendapatkan kelulusan kawal selia.

Kerajaan bersetuju meluaskan pelindungan data kepada produk biologik bagi menyediakan layanan tidak bersifat menindas.

- Biologik merujuk kepada ubat-ubatan bukan kimia yang menggunakan proses bioteknologi. Ia adalah antara kemajuan paling menarik dalam perubatan moden dan paling kompleks serta mahal.

Tempoh eksklusif lebih pendek akan membolehkan biosimilar lebih murah memasuki pasaran dengan lebih awal.

- Hasil akhir biologik memberi dua opsyen kepada Pihak bekenaan: i) untuk menyediakan perlindungan data selama lapan tahun, ii) perlindungan data selama lima tahun dan langkah lain yang mengiktiraf bahawa keadaan pasaran juga menyumbang kepada perlindungan pasaran yang berkesan, bagi mewujudkan hasil seimbang di pasaran.

Kajian semula akan dilakukan 10 tahun selepas TPPA dikuatkuasakan.

- Malaysia diberi tempoh peralihan selama lima tahun untuk memperkenalkan perlindungan data bagi biologik.

- Hasil akhir TPP adalah sama dengan dasar Malaysia dalam memperkenalkan perlindungan data selama lima tahun.

9. Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)


- Satu daripada kebimbangan utama mengenai TPP ialah memasukkan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS).

ISDS bukan perkara baharu bagi Malaysia kerana kita telah memasukkan ISDS ke dalam perjanjian pelaburan dua hala (BIT) dan FTA kita.

Pelabur asing di Malaysia boleh mengemukakan tuntutan ISDS terhadap kerajaan dan begitu juga, pelabur Malaysia di luar negara, akan mendapat mekanisme perlindungan serupa dalam TPP.

Perlu dinyatakan bahawa terdapat sejumlah besar syarikat Malaysia yang melabur di luar negara hari ini. Malah, sehingga akhir tahun lepas, saham pelaburan Malaysia di luar negara melebihi jumlah pelaburan asing langsung di Malaysia.

- Pihak TPP mengekalkan hak kedaulatan mereka untuk mengawal selia objektif kebajikan awam yang sah.

- Pihak TPP boleh memilih untuk menolak ISDS bagi tuntutan yang mencabar langkah kawalan tembakau.

- Dalam kes Malaysia, ISDS tidak akan memohon tempoh tiga tahun selepas penguatkuasaan projek pemerolehan kerajaan di bawah had yang ditentukan bagi kontrak.

- Penambahbaikan tambahan terhadap mekanisme ISDS:

.mempercepatkan kajian semula dan penolakan tuntutan tanpa merit (tuntutan remeh) dan pelabur akan membayar yuran guaman serta kos bagi tuntutan remeh;

.Pengukuhan tuntutan yang timbul daripada perkara atau keadaan yang sama;

.tidak boleh membuat tuntutan sekiranya telah melebihi tempoh tiga tahun dan enam bulan;

.prasyarat bagi menyelesaikan sesuatu tuntutan melalui perundingan dan rundingan sebelum mencapai pertikaian formal; dan

.keputusan untuk tidak memperbaharui atau mengekalkan subsidi bukan suatu ekspropriasi.

10. Adakah TPP akan mengakibatkan kebanjiran buruh asing?

- TPP tidak memberi hak bagi kemasukan buruh asing. Kemasukan buruh asing, termasuk profesional, akan dikawal undang-undang dan peraturan yang terdapat di Malaysia dan akan berdasarkan kepada keperluan industri.

Kerajaan akan terus memberi keutamaan terhadap peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan.

- Bab mengenai buruh dalam TPP mengandungi disiplin yang memperjuangkan kebajikan serta hak pekerja, termasuk klausa berkaitan gaji minimum dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang telahpun dilaksanakan Malaysia.

- Pada 2014 sahaja, syarikat dari seluruh dunia, termasuk dari AS, Australia, Eropah dan timur laut Asia, sama ada telah membuka perniagaan atau mengembangkan operasi mereka yang telah sedia ada di Malaysia.

Daripada 773 projek pembuatan yang memulakan pengeluaran pada 2014, 34.7% adalah milik asing.

Ini mewujudkan 35,130 pekerjaan, 25% atau 8,700 daripadanya di peringkat eksekutif yang memerlukan pendidikan tinggi.

- Sesetengah MNC di Malaysia mempunyai hubungan kukuh dengan PKS kita, yang mewujudkan pekerjaan dan peluang perniagaan dalam bidang pengeluaran perisian, pembungkusan dan penyelesaian peragaan serta reka bentuk dan pembuatan alat ganti jentera.

TPP dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana)

- PKS sudah pun bersaing di bawah FTA sedia ada di mana lebih 90% daripada duti import dihapuskan.

- PKS akan mendapat manfaat daripada TPP kerana ketika ini, mereka mempunyai akses kepada pasaran lebih liberal di bawah TPP bagi eksport mereka di empat pasaran baharu di mana Malaysia tidak mempunyai FTA ketika ini. Pasaran itu ialah AS, Kanada, Mexico dan Peru.

- PKS akan mendapat manfaat melalui penyertaan dalam rantaian bekalan serantau kerana lebih banyak input akan diperoleh daripada negara TPP bagi memenuhi peraturan syart asal mula.

- Di bawah TPP, satu bab dikhususkan bagi langkah untuk memudahkan penyertaan PKS ke dalam rantaian bekalan global dengan meningkatkan ketelusan dan perkongsian maklumat secara dalam talian dan sebagai program pembinaan keupayaan bagi membantu PKS. 

Thursday, November 5, 2015

NAZIR – SUKAR PROMOSI MALAYSIA DI LUAR NEGARA AKIBAT SKANDAL 1MDB



"Bukan Nazir sahaja tetapi ramai sudah jemu dan mulai rasa lugar (sebu) dan ‘nak jeluwok’ dengan isu ini. Mereka menanti untuk diselesaikan, jika tidak, rakyat mungkin bantu ‘menyelesaikannya’ melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti"

Isu 1MDB 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ni memang berhantu…

Ia bukan sekadar menjadi isu yang memeningkan kepala rakyat dan pemimpin di negara ini tetapi menjadi tajuk penting di banyak akhbar luar negara.

Contohnya akhbar South China Morning Post meletakkan 'banner' ini yang menunjukkan isu ini memang diminati oleh pembaca di luar negara, Malah akhbar sama ada di Jerman, Britain, Australia dan Amerika Syarikat turut melaporkan isu ini.


Dalam negara, ia menyerlahkan kelainan pendapat bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga di kalangan ahli perniagaan.

Yang membezakan ialah ada yang berani bersuara dan ada yang hanya memendamkan perasaan.

Berlainan pendapat yang diluahkan, da yang menyumbangkan kepada pertelingkahan besar dan ada yang terkorban kedudukan dan politik seseorang.

Ia tidak terbatas di kalangan pesaing, kawan dan kaum keluarga.

Semalam terserlah apabila wujudnya perbezaan pendapat antara tokoh perniagaan dan orang nombor satu Malaysia mengenai kesan 1MDB terhadap mempromosi negara.

Pengerusi CIMB Datuk Nazir Razak mengatakan sukar untuk mempromosikan Malaysia ketika negara dilanda skandal 1MDB dan isu-isu lain.

Nazir menyatakan perkara itu semalam menjelang ucapannya Isnin depan di pada Persidangan Pelabur CIMB di London. Beliau akan bercakap mengenai politik dan ekonomi Asean.

Dalam postingnya di Instagram Nazir berkata: "Saya telah lama mempromosikan Malaysia tetapi tidak pernah tugas itu menjadi lebih sukar seperti sekarang kerana 1MDB dan isu-isu berkaitan.”

Kenyataan Nazir itu jelas bercanggah dengan jawapan abangnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa isu 1MDB bukan faktor penghalang kemasukan pelaburan asing ke Malaysia sebaliknya telah meningkat.

Nazir turut memuat naik gambarnya di London pada tahun 1992 ketika menyertai program kempen jelajah menarik pelaburan pertamanya.

Tegas Najib, jumlah pelaburan asing sebenarnya meningkat.

"Keadaan ini dapat digambarkan melalui peningkatan aliran masuk pelaburan asing sebanyak RM22.4 bilion dalam tempoh separuh masa pertama 2015. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding RM17.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh masa kedua 2014," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat.


Abdul Aziz ingin tahu reaksi kerajaan dalam isu 1MDB serta meminta menjelaskan tentang kesan isu berkenaan terhadap kemasukan pelabur asing ke negara ini.

Apakah melalui kenyataannya semalam menyerlahkah lagi bahawa Nazir memang  lantang mengkritik 1MDB yang diilhamkan abangnya?


Untuk membuktikan bahawa isu 1MDB tidak meninggalkan apa-apa kesan, Kementerian Kewangan mengatakan pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sebanyak RM133.5 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini berbanding RM112 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kementerian itu berkata meskipun terdapat isu berbangkit, namun kemasukan pelaburan asing masih berterusan.

"Pelabur asing di Malaysia merupakan pelabur jangka panjang yang telah mengambil kira proses perkembangan ekonomi Malaysia secara menyeluruh termasuk asas mikro ekonomi yang kukuh seperti kadar pengangguran yang rendah, tabungan negara yang tinggi, rizab antarabangsa yang mencukupi dan hutang kerajaan yang terkawal," kata kementerian itu lagi.

Selain 1MDB dikaitkan dengan pelaburan asing, isu ini juga turut dikaitkan dengan kejatuhan ringgit.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) meminta Kementerian Kewangan menyatakan pendirian mengenai kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang berpendapat bahawa susutan nilai ringgit boleh dipulihkan dan ekonomi boleh terus berkembang apabila isu 1MDB diselesaikan.

Dalam jawapannya,  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, isu 1MDB bukan punca utama kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika (USD).

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat semalam  bahawa kemerosotan itu disebabkan empat faktor, termasuk jangkaan pelabur asing mengenai kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Faktor lain ialah kedudukan ekonomi dunia seperti pertumbuhan yang perlahan di China dan kejatuhan harga komoditi seperti minyak mentah.

Katanya, sentimen negatif lain seperti usul undi tidak percaya yang dibangkitkan pihak pembangkang untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, juga merupakan antara faktornya. 

"Kalau kita nak menyentuh soal 1MDB, negara seperti Rusia, New Zealand, Australia dan Brazil, mereka juga mengalami kejatuhan nilai mata wang, walaupun tidak ada 1MDB.

"Walaupun sentimen negatif telah menyebabkan para pelabur, khususnya pelabur asing, berada dalam keadaan ketidaktentuan, ia bukan bukan punca utama kejatuhan nilai ringgit," katanya semasa sesi soal jawab.

Kata Johari, dalam tempoh September 2014 hingga Oktober 2015, ringgit susut sebanyak 21.6 peratus berbanding USD yang turut didorong aliran keluar pelaburan portfolio, khususnya pelabur asing.

Mata wang asing serantau juga mengalami penyusutan nilai antara 5.9 dan 19.5 peratus berbanding USD dalam tempoh yang sama, katanya.

Kita berdoa agar isu 1MDB ini diselesaikan dengan cepat kerana jika ia berterusan ‘berhantu’, banyak lagi masalah akan timbul dan mungkin menjejaskan Malaysia di masa hadapan.

Sama ada Nazir benar atau Najib benar tidak timbul.

Yang penting,  selagi skandal tidak diatasi atau ditutup, selagi itulah ia akan terus ‘berhantu’.

Ia akan menjadi ketakutan, iguan dan kebimbangan serta mimpi ngeri bukan sahaja kepada pemimpin politik tetapi juga rakyat yang mengharapkan suasana politik dan ekonomi menjadi semakin stabil.

Ramai sudah jemu dan mulai rasa lugar (sebu) dan ‘nak jeluwok’ dengan isu ini.


Mereka menanti untuk diselesaikan, malah jika tidak juga selesai, rakyat mungkin bantu ‘menyelesaikannya’ melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti!

Tuesday, November 3, 2015

BERAPA KALI LAGIKAH KERAJAAN MAHU BIARKAN LAPORAN PALSU?


“Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu kerana ia   menjejaskan siasatan  dan ‘menutup periok nasi ‘pegawai yang dikaitkan.”

Sekali lagi berita palsu tersebar membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang ada kaitan dengan kes penting yang sedang disiasat.

Kali ini dilaporkan ada arahan perpindahan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi diarahkan untuk kembali ke Jabatan Peguam Negara  (AGC)  walaupun tempoh pinjamannya dilanjutkan sehingga 2017.

Laporan yang disifatkan EKSLUSIF oleh portal berita berkenaan semalam sudah pasti mengejutkan semua pihak.


Laporan bertajuk ‘Pemindahan mengejut pendakwa raya’ yang disiarkan pada  2 Nov 2015, 6:45 petang itu menyebut, “Seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan hari ini. Menurut sumber kepada Malaysiakini, pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.”

Laporan portal berita itu turut menyebut, pemindahan Ahmad Shazalee secara mengejut itu juga disahkan oleh sumber daripada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Ahmad Shazalee melaporkan diri untuk kerjanya hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan : “Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.”


Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya. Difahamkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.

Menurut portal berita itu lagi yang memetik sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, keputusan Jabatan Peguam Negara itu sebagai 'kerja gila' kerana tidak ada penggantian.

Sumber yang dipetik The Malaysian Insider pula menyebut, Ahmad Shazalee yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit Ogos lalu, dikatakan masih bertugas dengan SPRM, walaupun ada laporan mengatakan beliau dipindahkan secara mengejut ke Pejabat Peguam Negara.

"Beliau tidak menerima sebarang surat pertukaran walaupun beliau dijadualkan akan dinaikkan pangkat. Beliau boleh kekal dalam SPRM selepas proses kenaikan pangkat ini," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider sambil menyatakan Shazalee sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 7 tahun lepas. 


Pada 1 Ogos, Shazalee merupakan antara tujuh pegawai SPRM yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan ke atas SRC International.

Ia berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemindahan seterusnya RM42 juta ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

SRC International adalah bekas anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos lalu, Ahmad Shazalee adalah seorang daripada enam pegawai SPRM yang ditahan polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan pasukan petugas khas 1MDB.

Polis menyerbu rumah beliau di Persint 11, Putrajaya dan pejabat Badan Operasi Khas SPRM di Presint 3.

Beberapa kotak fail dan komputer riba antara yang dirampas daripada agensi itu.

Jika memang benar laporan ‘ekslusif’  itu TIDAK BENAR atau PALSU, ia sesuatu yang sangat malang kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain kepada  Ahmad Shazalee sendiri.

Ini kerana selain perbuatan itu  pastinya akan menjejaskan siasatan ke atas SRC International, ia juga mungkin menjejaskan kenaikan pangkat pegawai berkenaan.

Dilaporkan , laporan media yang tidak disahkan boleh menjejaskan kenaikan pangkat Shazalee ini.

Shazalee adalah satu-satunya timbalan pendakwa raya yang berkhidmat dengan unit operasi khas SPRM ketika ini, yang mengendalikan kes berprofil tinggi, dan terdapat kira-kira 30 timbalan pendakwa raya dipinjamkan ke SPRM dari Jabatan Peguam Negara bagi membantu siasatan dan menjalankan pendakwaan. 

Beliau sudah berkhidmat dengan perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 20 tahun.

Agak aneh dengan laporan ‘ekslusif’ itu apabila tuan badan sendiri - Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkenaan – menegaskan beliau sendiri  tidak mengetahui mengenai arahan perpindahan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sehingga ia dilaporkan media.

Ahmad Shazalee terkejut mengenai arahan perpindahan secara tiba-tiba itu."Saya juga terkejut. Saya masih datang ke pejabat SPRM, tiada siapa memberitahu saya apa-apa mengenai arahan perpindahan," katanya semalam.

Yang peliknya pula laporan ada menyebut bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdul mengesahkan arahan perpindahan itu tetapi berkata beliau tidak pasti tarikh arahan itu berkuatkuasa. Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali semalam menafikan dakwaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) di bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua (SPRM) dipindahkan.

“Saya sudah semak. Berita kamu berkaitan DPP yang dikatakan dipindah keluar daripada SPRM adalah palsu,” katanya dalam pesananteks kepada Malaysiakini lewat malam semalam.

Tweet Pejabat Peguam Negara (AGC) malam semalam  menyebut:“AGC menjelaskan bahawa tiada arahan pemindahan kepada DPP Shazalee Abdul Khairi keluar daripada SPRM.”

Persoalannya:

1.     Berapa lama lagi pihak berkuasa mahu membiarkan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menjejaskan siasatan dan kenaikan pangkat pegawai berterusan?

2.     Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu terpaksa menerima hukumannya;

3.     Tindakan tegas sangat wajar apabila berita palsu boleh menjejaskan siasatan sesuatu kes penting seperti dalam isu SRC International ini;

4.     Jika benar laporan sebegini boleh menjejaskan kenaikan pangkat seseorang, tidakkah ini perbuatan ‘menutup periok nasi keluarga pegawai’ berkenaan; dan

5.     Bagi individu yang teranianya sebegini, apakah tidak ada peluang untuk mereka mengambil tindakan, umpamanya saman ganti rugi atau sebagainya?

Kerana itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain yang berkaitan juga Ahmad Shazalee sendiri boleh menilai opsyen tindakan yang sewajarnya.

Lebih dibimbangi, laporan ini dibuat mungkin dengan sengaja mahu menjejaskan reputasi semua pihak yang ada kaitan dengan siasatan terhadap SRC Internasional.


Mungkin banyak lagi jawapan dan tindakan selepas ini.

Friday, October 30, 2015

YANG DITUNGGU SUDAH TIBA…NAH SAMAN YANG KAU MAHU!


"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab." 
- Kenyataan Tuntutan Saman PM

Nah saman yang kau mahu…

Itulah yang berlaku semalam apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

Saman itu difailkan pada 27 Oktober (Selasa) lepas melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).


Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 28 Oktober (Rabu), Dr Ling menganggap dirinya seorang yang penyabar tetapi hairan mengapa Perdana Menteri lambat dalam memfailkan saman terhadapnya.

"Saya masih menunggu. Saya seorang penyabar. Tidak perlu terburu-buru, saya menunggu,” katanya yang dipetik oleh The Star Online.

"Saya juga hairan mengapa beliau mengambil masa yang sebegitu lama (untuk menyaman), tetapi saya akan terus bersabar," katanya.

Dalam tuntutannya, Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2015,  menerusi satu artikel.

Perdana menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau telah menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib juga berkata pengertian nyata dan biasa perkataan-perkataan yang disiarkan dalam artikel itu difahamkan bermaksud, antara lain, bahawa beliau telah menyalah guna dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi, beliau telah menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin sebuah parti politik dan pemimpin masyarakat, dan beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

"Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya," kata kenyataan tuntutan itu.

Plaintif menekankan bahawa dakwaan dalam perkataan- perkataan berbaur fitnah itu adalah sangat serius dan telah menyebabkan penghinaan terhadapnya dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia dan antarabangsa.

"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tuntutan.

Najib mendakwa bahawa perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.


Sebelum ini, Najib menghantar surat tuntutan kepada bekas menteri pengangkutan itu kerana menuduh dirinya mengambil wang rakyat.

Beliau memberi Ling tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf. Ling bagaimanapun berkata beliau bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib perlu berundur.

Bekas Presiden MCA itu juga enggan menarik balik kenyataan beliau atau meminta maaf dan memaklumkan beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri di mahkamah.
Tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf yang diberikan luput pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini, peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun berkata perdana menteri akan membuat keputusan sama ada untuk mengheret Ling ke mahkamah selepas membentangkan Bajet 2016, yang dilakukan pada Jumaat lalu.

Pada 27 Oktober (Selasa) lalu, Hafarizam memberitahu wartawan bahawa Najib akan membuat keputusan dalam satu atau dua hari lagi.


Melalui tuntutannya semalam, Najib menyatakan bahawa Dr Ling, yang juga bekas menteri pengangkutan, menyedari sepenuhnya dan berhasrat supaya perkataan-perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan, dengan mengetahui bahawa ia akan menarik pembaca media maya atau arus perdana di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

"Keseriusan dan kancah sakndal akibat penerbitan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu telah menyebabkan kerosakan teruk yang tidak dapat diperbaiki ke atas reputasi plaintif khususnya, tetapi tidak terbatas kepada hubungan plaintif dengan masyarakat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," kata kenyataan tuntutan itu.

Beliau berkata surat tuntutan yang diserahkan kepada Dr Ling pada 5 Oktober lepas menuntut Dr Ling, antara lain, menghentikan dan berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang merujuk kepada Najib dan menyiarkan kenyataan mohon maaf secara bertulis yang lengkap dan menarik balik kenyataan berbaur fitnah.

Bagaimanapun, defendan melalui peguam Tetuan Ranjit Singh Yeoh telah menjawab dalam surat bertarikh 8 Oktober lepas dengan menyatakan beliau tidak memaklumi atau mengaku tentang apa-apa kenyataan yang terkandung dalam surat tuntutan itu dan mempunyai hak untuk mengambil atau menerima tindakan undang-undang susulan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa defendan langsung tidak menyesali terhadap penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu, dan ia menunjukkan sikap defendan yang sebenarnya," kata Najib.