Thursday, April 18, 2013

PAKATAN SINGKIRKAN AHMAD SAID SEBAGAI MB GEJALA BERTERUSAN...


Tajuk menarik di Terengganu sehari dua sebelum penamaan calon Sabtu ini ialah apakah Datuk Seri Ahmad Said akan terus menjadi Menteri Besar?

Selepas nama-nama calon Barisan Nasional (BN) diumumkan, ada yang meramalkan beberapa nama akan dilantik menggantikan Pengerusi Barisan Nasional Terengganu itu walaupun Ahmad Said baru menjadi Menteri Besar selama empat tahun.

Mulanya beliau diramalkan akan digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini untuk memudahkan laluan pemimpin lain menjadi Menteri Besar.

Namun selepas namanya turut tersangkut sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, banyak sms dan pertanyaan dikemukan dengan pertanyaan ‘Betul ke Ahmad Said akan diganti’.

Dengan beberapa Ketua Bahagian UMNO bertanding di DUN kali ini, termasuk Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri) dan Datuk Wan Farid Wan Salleh ( Ladang), ia menguatkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar ini.

Apa pihak cuba mempersalahkan Ahmad Said kerana gugurnya enam daripada 10 bekas 'Budak Hitam' daripada bertanding dalam PRU13. Kumpulan 10 Budak Hitam ini dikaitkan dengan kumpulan yang menentang kepimpinan Ahmad Said dan yang mengirim 'SMS Ugut Bunuh' yang menyebabkan kumpulan itu memulaukan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, beberapa ADUN dikatakan digugurkan kerana 'onar' mereka sendiri umpamanya di Parlimen Setiu apabila empat ADUN tidak menghadirkan diri pada Mesyuarat UMNO Bahagian berkenaan pada Oktober 2010. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin merasmikan persidangan tersebut.


Mungkin pertanyaan sama ada Ahmad Said akan terus menjadi Menteri Besar sengaja dibuat selepas ada kumpulan yang berkempen supaya Ahmad Said tidak dicalonkan semula dan gagal untuk 'melontarnya' daripada mempertahankan DUN Kijal sekali lagi pada pilihan raya ini.

Sebuah blog, teganukini, sehingga ini sudah menyiarkan tiga siri rencana bertajuk ‘Asal Bukan Ahmad Said’ (baca di sini, di sini, di sini) yang menggambarkan betapa isu mengenai siapa Menteri Besar Terengganu, hangat semula di negeri Penyu itu.

Antara sebab-sebab yang dikatakan Ahmad Said tidak akan dilantik semula seperti dipetik penganalisis melalui blog berkenaan, iaitu Panglima Gunung Tebu termasuklah:

1. Perlantikannya sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dibuat hanya sebagai ‘sementara’ selepas Sultan Terengganu tidak berkenan dengan perlantikan Idris;

2. Perlantikan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kerana ‘kegagalan’ Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatukan UMNO Terengganu yang berkrisis. Ahmad Said dilihat mampu memainkan peranan itu untuk sementara sehingga selepas PRU-13;

3. Penglibatan anggota istana Terengganu dalam politik PAS dikaitkan dengan ‘restu istana Terengganu’ untuk melemahkan Ahmad Said selain sebagai ‘signal’ untuk beliau memikirkan mengundur diri;



4. Disebarkan berita kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak senang dengan Ahmad Said berkaitan pengumuman Menteri Besar itu mempertahankan kawasan minyak yang menjadi ‘sengketa’ antara Pahang dan Terengganu yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri;

5. Ramai kalangan Pegawai Tadbir Terengganu (TCS) tidak senang dengan cara Ahmad Said memperkenankan pelantikan, khususnya ke jawatan penting, khususnya orang yang ‘rapat’ dengan beliau;

6. Ada pihak atas dikatakan ‘tidak senang’ dengan Ahmad Said kerana berbelanja ‘ikut selera’ terhadap projek-projek yang dikatakan tidak akan mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri seperti pembangunan Tasik Kenyir, Zoo Kemanan serta juga pembangunan Bandar Baru Kijal; dan

7. Ahmad Said dituduh melindung orang tertentu, khususnya ‘orang kesayangannya’ dengan cara menghantar belajar ke luar negara walaupun orang itu ‘dikatakan melakukan kesalahan tertentu’. 

Lebih menarik, pemerhati politik melihat isu ini sengaja ditimbulkan oleh kalangan pemimpin UMNO yang mahu Ahmad Said digugurkan selain ramalan pemimpin PAS.

Sesetengah pemimpin PAS cuba menangguk di air keruh dan orang yang paling suka mengadu-domba dalam PAS seolah-olah perbuatannya DIHALALKAN ALLAH ialah calon DUN PAS Paka yang kalah pada 2008 itulah. Tidak ada orang lain dah...


Ada beberapa persoalan ditimbulkan umpamanya kalaupun menang, apakah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan ‘berkenan’ untuk melantiknya semula?

Namun bagi Ahmad Said, soal beliau jadi MB atau tidak itu tidak penting ketika ini. Lagipun falsafahnya ialah 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.

Bagi Ahmad Said, yang penting ialah BN menang lebih besar daripada PRU12. BN mahu menawan balik Parlimen Kuala Terengganu serta beberapa DUN yang dikuasai PAS selain mengekalkan 28 kerusi DUN yang dimiliki sekarang. Misi BN Terengganu ialah menang besar hasil sokongan rakyat untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Kerana itu, BN Terengganu yang mematuhi tauliah calon yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat BN Pusat terpaksa menerimanya dengan tangan terbuka kerana calon-calon yang dikemukakan itu adalah calon yang boleh memenangkan BN.

Selepas penamaan calon di kediaman Rasmi Menteri Besar di Kuala Terengganu kelmarin, ada bersimpati dengan penyandang yang digugurkan. Malah ada menyatakan rasa tidak puas hati kerana bekas wakil rakyat yang dianggap berjasa dan berpengaruh turut digugurkan seperti Datuk Rosol Wahid di DUN Ajil.

Ada soalan dikemukakan seorang wartawan kepada Ahmad Said ketika sidang media selepas pengumuman nama calon semalam. Soalannya ialah apakah dengan pencalonan kali ini akan melenyapkan kumpulan ‘Budak Hitam’ berkenaan?  Ahmad Said menjawab selamba: ‘Ada yang dikekalkan dan ada yang digugurkan. Yang penting BN Terengganu akan tetap utuh.”


Contohnya ada kalangan bekas ‘Budak Hitam’ tetap kekal bertanding pada PRU13 ini termasuk Alias Abdullah di Alor Limbat, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar di Air Puteh , Ramli Nuh di Bukit Tunggal dan Pahemi Yusof di Jerteh. Ini bermakna bahawa tidak semua Budak Hitam gugur tetapi hanya 60 peratus.

Mengulas mengenai perubahan di Setiu, Ahmad Said  berkata, perpaduan memainkan peranan yang penting bagi memastikan kemenangan BN.

Iktibar daripada kes di Terengganu ini ialah jangan sekali-kali kerana 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Contohnya kerana marahkan Ketua Bahagian, empat ADUN sanggup pulaukan persidangan UMNO - parti yang diwakili mereka - dan ironinya dirasmikan sendiri oleh Timbalan Presiden parti.

Begitu juga dengan beberapa kes lain termasuk 'SMS Ugut Bunuh' yang kemudiannya semakin terserlah bukan orang yang dituduh melakukannya sebaliknya kemungkinan ia dirancang oleh pihak tertentu.

Tidak wajar mengulas panjang kes ini kerana ia masih kes mahkamah di Kuala Terengganu. Mungkin selepas PRU13, hakim akan membuat keputusan.


Selain itu, sebagai pengikut, kita perlu berfikir panjang dan tidak emosi dengan tindakan kita dan ada hadnya mematuhi ketua kerana bimbang 'gerabak akan ketinggalan terkontang-kanting' sebaliknya KEPALA KERETA API meluncur laju terus meninggalkan 'gerabak' dalam kebingungan!

Lebih buruk seolah-olah kepala itu langsung TIDAK PEDULI dan TIDAK MERASA BERDOSA di atas perbuatannya.

Apapun, setidak-tidaknya kita boleh katakan kepada beberapa bekas ADUN dan pemimpin UMNO Terengganu,  'learn your lesson!

Tuesday, April 16, 2013

KE MANA MCA SELEPAS PRU13 – HIDUP ATAU TINGGAL NYAWA IKAN?


 

MCA sekutu rapat UMNO sejak sebelum merdeka berdepan 'pertempuran hidup atau mati' pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan perlu menggunakan strategi baharu untuk menghadapinya.

MCA hanya akan bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

Jumlah itu kurang tiga kerusi yang mereka wakili untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lalu.

Selain itu MCA berdepan dengan ujian kesetiaan hubungannya dengan UMNO apabila sekurang-kurang dua kerusi diintainya, iaitu di Parlimen Gelang Patah dan Wangsa Maju kini jadi milik UMNO.

Di Parlimen Wangsa Maju calon UMNO yang bertanding ialah Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah dan sudah nampak jelas MCA Wangsa Maju 'tidak puas hati'.


Presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan parti itu melepaskan kerusi Parlimen Gelang Patah, yang kini menjadi medan pertempuran antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dr Chua sendiri antara empat presiden parti komponen BN sah tidak akan bertanding pada PRU13 kali ini.
Tiga lagi ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui. Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas juga tidak akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Oleh yang demikian semua ahli parti MCA diharapkan memastikan kelangsungan pemerintahan BN bagi memastikan masa depan MCA terjamin. MCA akan bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu kurang tiga kerusi Parlimen berbanding pilihan raya 2008, dengan 68 muka baharu di kalangan 127 calonnya.

Tiga pemimpin kanan MCA termasuk dua naib presiden dan juga bekas presiden, tidak terpilih mewakili parti itu dalam pilihan raya umum kali ini.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Senator Gan Ping Sieu. Turut digugurkan ialah bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.Beliau yang mewakili Parlimen Pandan sebelum ini merupakan nama yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai sama ada akan turut dipilih semula sebagai calon atau tidak.

Kini teka-teki tersebut sudah terjawab. MCA juga tidak menyenaraikan calon mereka di kerusi Gelang Patah kerana tempat itu akan ditandingi oleh wakil Umno iaitu Menteri Besar Johor.


Ketua MCA Gelang Patah, Jason Teoh tidak disenaraikan langsung untuk mana-mana kerusi. Kesemua yang digugurkan atau tidak terpilih semula adalah bagi memberi laluan kepada 19 muka baru yang akan diperkenalkan oleh MCA kali ini.

Untuk kerusi parlimen ujarnya, MCA mempertaruhkan nasib dan harapan ke atas 21 orang calon daripada jawatankuasa pusat parti, 11 calon daripada Pemuda dan lima calon dari sayap Wanita.

Kesemua calon Wanita adalah terdiri daripada muka-muka baru. Untuk kerusi negeri pula, beliau menyatakan MCA meletakkan harapan kepada 53 calon dari pusat, 25 calon Pemuda dan 12 calon dari Pergerakan Wanita.

MCA mengumumkan nama-nama calon untuk semua kerusi yang ditandinginya melainkan untuk kerusi Parit Yaani di Johor atas sebab-sebab teknikal.

Selain isu bertanding, MCA berdepan dengan cara ia mendisiplinkan ahlinya dan SABOTAJ paling awal yang ditunjukkan dalam Barisan Nasional (BN) ialah daripada MCA. Bagaimana Dr Chua akan menguruskan bantahan ini? 


Hari ini, MCA Wangsa Maju bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wangsa Maju memutuskan memboikot BN sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berikutan Datuk Yew Teong Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Teong Look mendakwa beliau telah bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan tidak henti-henti berkhidmat menjaga kebajikan rakyat hampir lima tahun.

“Saya telah membelanjakan RM2.5 juta tanpa bantuan parti komponen yang lain untuk penduduk di Wangsa Maju tetapi kerja keras tidak dinilai oleh pucuk pimpinan BN. “Saya mengambil keputusan untuk berehat dan apa-apa keputusan dari MCA serta NGO bagi memboikot pilihan raya bukanlah dalam kawalannya sekarang,” katanya.

Namun begitu, beliau tetap akur dengan keputusan pemilihan calon yang dibuat pucuk pimpinan BN.

Bantahan disuarakan selepas mesyuarat tergempar bersama MCA dan wakil-wakil NGO Wangsa Maju setelah mengetahui Teong Look tidak dicalonkan, semalam.

Ketua Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA, Lim Choong Hong berkata, 120 NGO seluruh Wangsa Maju telah sepakat bersama MCA akan memboikot pilihan raya kali ini.

Beliau mendakwa suara rakyat di akar umbi di Wangsa Maju langsung tidak didengar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah NGO menghantar memorandum kepada Najib supaya Teong Look dicalonkan.

Beliau turut member amaran bahawa MCA akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA bagi mengutuk tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang tidak mempertahankan kerusi Wangsa Maju.

Beliau tidak ragu-ragu menegaskan undi masyarakat Cina di Wangsa Maju akan beralih kepada parti pembangkang dan BN akan kalah teruk PRU13 sebagai tanda protes kepada keputusan ini.

Kita tunggu apa reaksi pemimpin tertinggi BN dalam kes MCA ini selain menunggu apa respons rakyat kepada calon-calon MCA pada PRU13 ini.

Friday, April 12, 2013

VIDEO SEKS - CIK GU PA SERAH KEPADA MAHKAMAH UNTUK BERCAKAP BAGI PIHAKNYA...

 
Akhirnya mereka bersuara.

Hari ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali atau Cik Gu Pa tidak naik angin seperti berlaku sebelum ini.

Dia hanya bersuara dengan mengatakan beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan media mengenai video seks yang diedarkan sejak malam tadi.

Dengan kata lain, Cik Gu Pa akan menguci mulutnya dan membiarkan mahkamah menentukan segala-galanya sama ada beliau berada di pihak yang ‘benar’ atau yang ‘salah’.


Rasanya saya macam terperasan bahawa cara ini juga digunakan oleh seorang pemimpin besar pembangkang sebelum ini apabila kes video seksnya dengan China Doll disebarkan.

Bagus juga Mahkamah Malaysia ini. Ternyata ia dipercayai oleh semua pihak dan pembangkang. Jadi dakwaan mahkamah Malaysia tidak ‘bersih’ dan tidak ‘saksama’ tidak benar sama sekali.

Sebaliknya seorang peguam yang mewakili Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan bahawa individu dalam video seks terbaru adalah anak guamnya.

Asmuni Awi, yang mengetuai firma Awi dan Co, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau baru sahaja dilantik oleh Mustafa untuk mewakilinya.

"Ini memang fitnah. Tidak ada orang buat kerja ini melainkan Umno. Pelanggan saya menafikannya. Video itu tiba-tiba sahaja muncul," kata Asmuni yang juga pengerusi Lajnah undang-undang PAS.

Asmuni memberi amaran bahawa anak guamnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengeluar atau blogger yang memuat-naik imej tersebut. "Kalau kita tahu prodesur siapa yang terbitkan video ini kita akan ambil tindakan," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah Sekteriat Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis sedang menyiasat identiti individu yang terlibat dalam video berkenaan.

“Kami belum membuat sebarang tangkapan kerana siasatan masih lagi berjalan. Kita harap orang ramai dapat tampil bagi membantu siasatan,” katanya Sebelum ini dilaporkan, sebuah blog politik

Kedahan69ers.com memuat naik klip rakaman video berdurasi empat saat pada pukul 8.30 malam Khamis.

Video berkenaan menunjukkan aksi seorang lelaki menyerupai pemimpin PAS sedang hendak memakai seluar dalamnya ketika duduk di tepi katil dan ia kelihatan seperti dalam sebuah bilik hotel.

Lelaki berkenaan hanya memakai sehelai singlet berwarna putih. Selepas itu, satu lagi blog Medan Info Kita memuat naik satu lagi versi rakaman video yang lebih panjang.

Dengan rakaman yang lebih lama, iaitu 25 saat, ia menunjukkan aksi lelaki berkenaan di atas katil bersama seorang wanita dalam satu bilik yang sama dan paparan skrin menunjukkan mereka sedang bersiap.

Mustafa hanya mengeluarkan kenyataan satu perenggan mengatakan bahawa beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan itu.

"Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan," katanya dalam kenyataan satu perenggan yang disiarkan dalam akhbar web PAS Harakahdaily .

"Saya tidak akan menjawab sebarang petanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi Co untuk uruskan," kata beliau dalam kenyataan ringkas.

Beliau membuat kenyataan itu dipercayai merujuk kepada video seks dan foto yang disebarkan melalui beberapa blog Umno sejak lewat petang semalam. Bernama pula memetik.


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap penyebaran gambar dan DVD lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai fitnah dan bukan masalah besar kepada Pas.

Hadi sendiri pun tidak percaya lelaki itu adalah pemimpin PAS sebagaimana yang didakwa oleh beberapa bloger.

"Teruskanlah sebarkan video itu. Ia hanya akan menguatkan parti apabila orang ramai mengetahui yang ia adalah tidak benar," ujar Hadi sambil menyeru para penyokong PAS agar mengadakan sembahyang hajat.

Beliau berkata perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan Pas yang dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat ketika ini.

"Kita (Pas) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu). Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala," katanya. 

Abdul Hadi hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi mangsa kerana beliau bukanlah calon Pas untuk bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Semalam di Kampung Alor Lintang Besut, polis dilaporkan menemui 16 bungkusan yang mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan seorang pemimpin kanan Pas.

Berikutan PAS dan para pemimpinnya tidak percaya lelaki yang muncul dalam klip video seks terbaru adalah salah seorang pemimpin tertinggi mereka dan Hadi menganggap tidak perlu memanggil satu mesyuarat khas untuk membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut berkata rakyat Malaysia sepatutnya lebih matang dalam berpolitik daripada menggunakan taktik lama.

”Musuh politik tidak sepatutnya menyentuh hal peribadi…fokus kepada polisi. Saya bimbang dengan suasana politik tempatan sekiranya taktik seperti ini terus digunakan,” katanya.

Abdul Wahid menjelaskan beliau sangat terperanjat mengapa pemimpinan kanan PAS itu diserang kerana beliau tidak berminat untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Berdasarkan pengetahuan saya, beliau hanya mahu memfokuskan kepada hal-hal parti sahaja.

Saya sangat terkejut mengapa dalam banyak-banyak orang hanya beliau yang diserang,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meminta pihak berkuasa menyiasat penyebaran video berkenaan.

"Biar pihak polis siasat. Kami sudah lali dengan isu sebegini, kita sudah tidak peduli. Saya beranggapan apa jua skandal yang didedahkan kini adalah bermotifkan politik,” katanya.

Beliau menambah orang yang akan menanggung reputasi dan imej yang buruk adalah mereka yang membuat dan mengedarkan video berkenaan, termasuk pihak berkuasa yang tidak mengambil sebarang tindakan mengenainya.

Seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub menyifatkan rakaman video tersebut sebagai politik kotor, terutamanya ketika hampir kepada tarikh pilihan raya umum ke-13.

“Ia merupakan tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh pihak yang terdesak dengan menggunakan taktik kotor seperti ini.

Tindakan menyebarkan video sebegini perlu dikutuk…adalah sangat meragukan apabila video berkenaan disebarkan kurang 10 hari daripada hari penamaan calon,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

CIK GU PA WAJAR PERTAHAN DIRI DENGAN SUMPAH JUNJUNG AL-QURAN...

 

"Mustafa boleh belajar daripada sahabatnya yang pernah mengalami masalah serupa dengan menafikan sekeras-kerasnya bukan beliau dalam video itu. Rakannya itu sanggup menafikan walaupun tidak berani bersumpah junjung al-Quran. Bagi Mustafa, dia mungkin  tidak terdaya melakukan seperti rakannya itu dan jika diminta bersumpah junjung al-Quran Mustafa mungkin terpaksa melakukannya."

Cerita mengenai video seks ‘kononnya’ Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali  atau 'Cikgu Pa' (lahir 7 Disember 1944) terbabit sebagai aktor utama, sudah tersebar kira-kira 24 jam namun belum ada penafian atau ulasan sama ada oleh pemimpin tingggi PAS mahupun PKR.

Harakahdaily dan Malaysiakini serta sekutu-sekutunya pun belum buat penafian, berbanding kalau pemimpin Barisan Nasional (BN) atau UMNO ‘buat silap’ akan dihentam serta merta hingga ‘baham  tanah’.

Editor kanan Malaysiakini, Fathi Aris Omar hanya mampu menimbulkan beberapa persoalan dan menutup ulasannya dengan berkata, pendek kata, skrip video lucah pemimpin Pakatan - sekalipun benar-benar wujud - tunggang-langgang dan boleh menjadikan kita semua cukup meluat dan menentang BN habis-habisan pada Ahad, 5 Mei nanti.

Beberapa blogger proPAS yang terkenal menjadi tukang ramal dan tukang hentam UMNO yang pernah  menggelarkan pemimpin UMNO sebagai ‘syaitan’, ‘bersifat Yahudi’, “Maha Firaun’, ‘Maha Zalim’ dan berbagi lagi nampak terkedu.

Tidak tahu punca mereka berdiam diri sama ada tidak cukup bukti yang ‘menembak balik’ atau terpaksa akur. Atau sedang mereka plot untuk spin dan 'menembak balik UMNO dan BN".


Di harakahdaily online terpampang kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan apabila masalah dalaman melanda Umno – seperti isu perbalahan mengenai calon, perebutan kerusi Umno-MCA, fitnah akan mula dihidupkan untuk mengalih perhatian rakyat.

“Bila Umno nak tutup isu dalaman - masalah calon, perbalahan Umno-MCA, mereka akan mula buat benda gila-gila dan fitnah merata untuk mengalih perhatian rakyat. Taktik ini selalu diulang,” katanya.

Namun menurut beliau, “di zaman internet ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat tidak mudah terpedaya dengan taktik lapuk Umno. Ini baru permulaan... Dekatkan diri dengan Allah. Banyakkan doa. Kuatkan azam untuk istiqamah,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menasihatkan jentera parti agar jangan hilang fokus dan terjatuh ke perangkap lawan.

“Lawan akan cuba nak patahkan hati dan semangat kita. Lebih-lebih lagi bila dia terbau bau kekalahan semakin kuat. Teruskan kerja kita. Jangan fikir lain dan jangan masuk perangkap mereka untuk alihkan fokus kita dan rakyat demi masa depan yang lebih baik. Tepuk sebelah tangan tak bunyi,” tegas beliau lagi.

Bagus ulasan Tuan Ibrahim ini sebagai meredakan kebimbangan ahli PAS mengenai isu berkenaan yang sehingga kini tiada siapa dapat mengatakan ia sesuatu yang benar atau sengaja direka-reka.

Kita pun berharap perkara itu tidak benar kerana ia membabitkan pemimpin penting Parti Islam. Tak kanlah tergamar pemimpin yang dihormati separti Mustafa boleh melakukan sedemikian.

Perempuan ini pelacur atau wanita simpanan?

Lantas teringat pula beberapa kejadian yang pernah didedahkan di Kelantan yang mengaitkan pemimpin PAS dengan adegan 'panas' dalam kereta api, di Perupok dan sebagainya.

Mengenai penyebaran video ini ada laporan mengatakan dua ahli Angkatan Muda Keadilan ditahan polis di Besut untuk siasatan penyebaran video seks membabitkan Mustafa itu.

Pendedahan video ini dikaitkan dengan usaha Mustafa yang dikatakan sedang mengatur untuk memujuk dan membawa pulang kembali Dr Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa ke dalam parti PAS bagi menghadapi PRU13 ini.

Malah dikatakan ia mendapat restu daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sewajarnya pemimpin PAS jangan salahkan mana-mana pihak, terutamanya UMNO kerana dalam pakatan pembangkang pun banyak ‘hantu’ yang lebih dahsyat datipada hantu dalam UMNO.

Kita berharap polis akan cepat mendedahkan siapa sebenarnya yang mengedar video berkenaan dan siapa pula ‘kepala’ dalam perbuatan mengenakan Mustafa ini.

Mustafa yang dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen di Terengganu nampaknya terpaksa melupakan hasrat itu kerana masa untuk beliau membersihkan diri amat terhad.

Malah PAS Terengganu tidak berupaya membantunya memandangkan watak dalam video ini amat jelas menyerupai beliau.

Apapun Mustafa boleh belajar daripada sahabatnya yang pernah mengalami masalah serupa dengan menafikan sekeras-kerasnya bukan beliau dalam video itu.

Rakannya itu sanggup menafikan walaupun tidak berani bersumpah junjung al-Quran. Bagi Mustafa, dia mungkin  tidak terdaya melakukan seperti rakannya itu dan jika diminta bersumpah junjung al-Quran Mustafa mungkin terpaksa melakukannya.

Ini kerana Musyridul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata “mubahalah” atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Pandangan ini selari dengan pendapat bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

“Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong,” katanya Nik Aziz.

Eloklah isu ini diselesaikan dengan cepat agar tidak timbul tuduhan bahawa UMNO kini melakukan konspirasi dengan PAS pula sedangkan tuduhan berkonspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim belum selesai.

Kita mahu agar rakyat jelas dan tidak was-was dengan mana-mana pihak atau parti pada pilihan raya umum kali ini.

Berilah peluang untuk rakyat mengundi seseorang calon atau parti kerana khidmatnya bukan soal-soal remeh temeh.

Namun, ada benar juga kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang turut terpalit dengan satu video agar rakyat memilih calon yang bermoral dan menolak mereka yang terpalit dengan pelbagai skandal demi masa depan negara.

Dalam konteks Mustafa ini, apakah beliau ‘akan bebas daripada soal moral’ seperti Anwar dan Azmin sendiri akibat video seks ini?