Friday, April 5, 2013

PEMBANGKANG KELAM KABUT, GAGAL ATASI ISU AGIHAN KERUSI PRU-13


Sudah nyata pertelingkahan antara parti dalam pakatan pembangkang mengenai pembahagian kerusi makin membesar.

Bibit-bibit pertelingkahan mengenai kerusi yang bakal ditandingi oleh pakatan pembangkang semakin kelam kabut dan ada anggota yang sudah menyatakan mahu bertanding Bebas.

Contohnya selain di Kelantan, akibat pemilihan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai calon pembangkang di Parlimen Indera Mahkota, salah seorang pengasas PKR di Pahang, G. Ramponusamy mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas semata-mata untuk melawan Fauzi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di kerusi tersebut sebagai tanda protes kepada kepimpinan beliau.

Bekas Timbalan Pengerusi 3 PKR negeri itu juga mendakwa, tindakannya bertanding turut didorong oleh permintaan sebahagian ahli parti yang tidak bersetuju Fauzi dinamakan sebagai calon menggantikan Azan Ismail di kerusi itu.

Ramponusamy yang juga bekas calon PKR Parlimen Bentong, pada pilihan raya lalu, berkata beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekiranya PKR tidak menamakan Fauzi sebagai calon.

Mohd Shukri Mohd. Ramli mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas setelah namanya diketepikan oleh PKR ketika mengadakan sidang akhbar di sebuah restoran di Kuantan semalam.
Sementara bekas calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Mohd. Shukri Mohd. Ramli, 42, turut menempelak kepimpinan parti itu kerana memilih Fauzi bertanding di Indera Mahkota sedangkan beliau adalah pemimpin yang sudah ditolak UMNO sendiri.

Mohd. Shukri yang juga penulis blog Cucu Mat Kilau turut mengumumkan akan bertanding calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum dalam PRU-13 ini

Pakatan pembangkang kali ini membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Amat jelas, kesukaran ketiga-tiga sekutu utama pembangkang itu mencapai kata sepakat turut membabitkan kerusi yang bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Esok kita akan selesaikan, kita ada mesyuarat lagi," kata Anwar ringkas sebelum meninggalkan Ibu Pejabat PKR semalam.

Anwar tidak umumkan di mana beliau akan bertanding pada berceramah di Grik malam tadi.
Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu agihan kerusi yang bakal ditandingi termasuk menyelesaikan masalah pertindihan kerusi.

Laporan Utusan Malaysia Online menyebut 'pergelutan' berhubung agihan kerusi pakatan pembangkang di Perak terus menimbulkan tanda tanya apabila Anwar masih menangguhkan pengumuman calon parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu.

Anwar yang sebelum ini mengumumkan hasrat tidak mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk bertanding di Perak juga masih tidak berani mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya dalam 13 (PRU-13.

Penasihat PKR itu yang dijadual akan mengumumkan barisan calon PKR dalam satu ceramah di Grik  malam tadi, tidak berbuat demikian dengan memberi alasan "masih ada perundingan perlu dilakukan".

Difahamkan, Anwar terpaksa menangguhkan pengumuman di saat-saat akhir kerana nama-nama yang sudah ditetapkan masih tidak mendapat persetujuan sebulat suara dan ada penentangan sekutu mereka Pas dan DAP.

Sebaliknya, Anwar dalam ceramah itu hanya mengumumkan calon PKR di tiga kerusi Parlimen iaitu Lumut, Pasir Salak, dan Padang Rengas.

Beliau yang disebut-sebut akan ke Parlimen Lumut hanya mengumumkan bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (B) Imran Abdul Hamid akan bertanding di kawasan itu.

Anwar juga mengumumkan bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub untuk terus bertanding di kerusi Pasir Salak manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan Perak, Meor Ahmad Isharra Ishak pula bertanding di Parlimen Padang Rengas.

"Calon yang lain akan saya umumkan di selatan Perak, itu lebih wajar," kata Anwar dalam ceramah yang turut dihadiri Pengerusi PKR negeri, Muhammad Nur Manuty.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam mengesahkan mengenai kegagalan mereka menyelesaikan isu agihan kerusi pada Khamis seperti yang dijadualkan.

Belum selesai, ada sedikit lagi. Petang esok kami ada lagi mesyuarat di sini," katanya sambil menambah bahawa beliau yakin isu agihan kerusi dapat diselesaikan segera.

Malah, petang semalam pakatan pembangkang turut membatalkan sidang media yang dijadualkan selepas mesyuarat berkenaan.

Kenapa terpaksa dibatalkan?

Bimbang aka nada banyak pertanyaan kerana perpecahan di kalangan pembangkang semakin menyerlah dan mengelakkan soalan wartawan yang semakin berani?

Anwar mengatakan  masih terdapat 'satu dua' isu yang perlu diberi perhatian. "Tentang itu esok saya akan balik Permatang Pauh dan bincang lagi," katanya.

Ketika diajukan soalan sama ada beliau sedang mengintai secara serius untuk bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timor, Anwar sekadar ketawa sebagai jawapan.

"Esok lah...tunggu esok," katanya.

Kerusi Parlimen Ipoh Timor dijangka kosong selepas veteran DAP, Lim Kiat Siang dijangka bertanding di kerusi milik PKR iaitu Parlimen Gelang Patah di Johor.

Tuesday, April 2, 2013

MAHFUZ PERTAHAN ORANG 'HINA RASULULLAH' HANYA KERANA MARAHKAN UMNO

Pelik sungguh manusia bernama Mahfuz Omar ini…

Pada ketika Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani menganggap kenyataan yang dibuat Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda PAS, Khairol Fahmi Mat Som Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya itu dianggap sesuatu yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, Mahfuz mempertahankannya.

Mahfuz dah jadi macam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika ada dengar atau nampak saja UMNO, dia akan cepat jadi ‘meroyan’.

Apa yang dia nak marah sangat dengan UMNO?

Sedangkan Mahfuz sendiri pernah menerima duit orang UMNO pada suatu ketika dan pada suatu tempat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Sebagai kawan, orang UMNO ini sedia bantu Mahfuz dan kalau Mahfuz yang kini Ahli Parlimen memang benci UMNO, dia tidak akan terima pemberian itu…benar daripada kawan, tapi bukan daripada kawan PAS atau PKR atau DAP tapi daripada UMNO!

Mahfuz yang bergelar Datuk, Naib Presiden PAS, mempertahankan Khairol Fahmi terhadap apa yang dikecam oleh pelbagai pihak kerana dianggap menghina Rasulullah SAW dalam kenyataan Twitternya.

Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya menyebut, “Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun Umno akan keluarkan... jahanam Umno” pada 27 Mac lalu.

Tindakannya itu kemudian mendapat kecaman hebat daripada semua pihak termasuklah beberapa pihak yang membuat laporan polis.

Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain, Penasihat Agama Perdana Menteri, semalam meminta PAS mengambil tindakan terhadap Khairol Fahmi kerana menghina Rasullullah SAW.

Katanya tindakan itu jelas keterlaluan dan biadap sehingga mengguris hati umat Islam dengan mengaitkan Nabi, hanya kerana marah terhadap Umno.

Bagaimana boleh Nabi sebagai insan yang mulia dan sempurna ini dibandingkan oleh Khairol Fahmi dengan manusia biasa yang pastinya satu perkara yang tidak betul, kata Abdullah.

"Amat jelas baginya, PAS sudah terlalu jauh menyeleweng dan terpesong seperti yang pernah dikatakan oleh bekas timbalan presiden PAS Nasaruddin Md Isa sebelum ini. Saya harap pemimpin PAS balik ke pangkal jalan dengan tidak terus menerus berjuang dan mengeluarkan kenyataan berlandaskan emosi dan nafsu hingga akhirnya menjadikan Islam itu terlalu ekstrim dan tidak dihormati oleh bangsa lain di dunia ini,” katanya semalam.

Sebaliknya bagi Mahfuz, apa yang cuba dinyatakan Khairol Fahmi dalam Twitternya itu hanya perumpamaan untuk menggambarkan 'kejahatan' Umno, bukan bertujuan menghina Rasulullah SAW.

"Umno saja perbesar isu. Dia (Khairol Fahmi) nak beritahu macam mana jahatnya Umno sampai tahap itu, bukan dia nak kata Nabi Muhammad buat benda tak elok. Dia nak gambarkan, kalau Nabi Muhammad lawan Umno, Nabi juga akan jadi mangsa fitnah Umno. Itu tujuan dia, bukan nak kata Nabi tu jahat," katanya pada sidang media semalam.

Ditanya tidakkah dengan menggunakan nama Rasulullah SAW boleh dianggap keterlaluan kerana kedudukan Baginda yang begitu dimuliakan dalam Islam, Mahfuz berkata, perkara itu dilihat begitu kerana ramai yang menyalah tafsir maksud sebenar yang cuba disampaikan Khairol Fahmi.

“Apa yang keterlaluannya? Dia bukan kata kat Nabi Muhammad, dia kata kat Umno. Kena faham bahasa, Umno ni sampai satu peringkat macam... kenyataan Tok Guru Nik Aziz (Datuk Nik Aziz Nik Mat) mengenai BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bagi anak ayam makan, itu perumpamaan saja. "Kalau perumpamaan tidak boleh pakai, Dewan Bahasa Pustaka, pusat-pusat bahasa di universiti kena buang semua perumpamaan yang ada binatang,” katanya.

Sebaliknya, Mohamad Taufek menganggap kecaman demi kecaman yang diterima oleh Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairol Fahmi Mat Som sebagai satu pengajaran berguna buat dirinya.

Malah dia berharapkan dengan kejadian ia boleh dijadikan sebagai pengajaran berguna untuk beliau (Khairol Fahmi) agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. “Saya yakin, pimpinan PAS akan meneliti setiap apa yang berlaku dari semua aspek termasuklah dari sudut Islam terhadap apa dilakukan beliau.

Sekiranya kita dapati kenyataan itu adalah sesuatu yang tidak wajar, maka beliau harus dikenakan tindakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mohamad Taufek berkata, bagaimanapun, keadaan ini tidak seharusnya diperbesarkan mahu pun dipolitikkan kerana dikhuatiri akan menimbulkan polemik yang lebih serius dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap isu ini tidak perlu diperbesarkan atau dipolitikkan demi meraih perhatian masyarakat, cukuplah sekadar memberi teguran terhadap tindakan beliau itu.

Malah dia pasti pimpinan PAS sendiri akan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya.

Yang pasti, pemimpin PAS tidak akan berbuat apa-apa. Mungkin hanya peringatan dan kejadian menghina Nabi kita akan terus dilakukan oleh pemimpin yang mendakwa mereka Islam.

Thursday, March 28, 2013

AMANAT HADI YANG MEMUNGKINKAN KEPADA BUDAYA MEMBUNUH SESAMA ISLAM DI MALAYSIA…


Kelmarin, 25 Mac 2013, bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan seluruh rakyat yang bermusuh dalam politik jangan sehinggga sanggup membunuh. Malah Dr Mahathir berharap, cara itu tidak menjadi budaya Malaysia.

Kenapa sampai begitu sekali ingatan dibuat oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003?

Kepada siapa?


Perkara ini timbul selepas kenyataan terbuka bekas anggota PAS seumur hidup, Zainol Ismail yang berhasrat bertemu Dr Mahathir untuk memohon maaf kerana pernah merancang membunuh bekas perdana menteri itu pada 1988.

Dr Mahathir mengatakan beliau tidak sedar ada ada perancangan hendak bunuh beliau kerana ketika beliau ‘turun padang’ dan berjalan merata tempat, beliau tidak pernah rasa takut.

Dan hanya sekarang barulah beliau tahu ada orang hendak membunuh beliau.

Kenyataan ini mengundang pertanyaan, apakah benar Dr Mahathir tidak tahu sedangkan polis dan pihak keselamatan ketika itu berjaya menahan beberapa pemimpin PAS, selain mengawal ketat Dr Mahathir pada setiap majlis ‘turun padang’ beliau ke Kedah dan Kelantan.

“Saya tiada apa-apa, saya harap ini tidak menjadi budaya Malaysia. Di Malaysia kalau kita tidak bersetuju atau bermusuh dalam politik, tidaklah sampai tahap nak bunuh. Saya tiada masalah untuk maafkan dia, saya maaf orang lain juga kalau ada," demikian tegas Dr Mahathir kepada pemberita pada Forum Perdana 'Membina Peradaban Bangsa Melayu kelmarin.

Media tempatan kelmarin melaporkan Zainol atau lebih dikenali sebagai CN Afghani, pada Isnin, membuat pengakuan bahawa rancangan melakukan pembunuhan itu timbul, kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang mendakwa Umno kafir.

Bukan setakat itu sahaja kerana ada pendedahan lain yang dibuat di PASir Puteh, Kelantan berkaitan komplot untuk menculik, mencederakan dan membunuh bekas Perdana Menteri, itu kerana ketaksuban mereka terhadap Amanat Haji Hadi yang menghalalkan pemimpin UMNO dibunuh.

Kumpulan pertama dikatakan merancang perkara itu pada 1988 untuk menculik dan membunuh Dr Mahathir manakala kumpulan kedua pula pada 1994, yang mahu melempar bom petrol ketika beliau melakukan lawatan di Semarak, di Pasir Puteh, Kelantan.


Selain Zainon, iaitu bekas EXCO Pemuda PAS Kedah, turut dikaitkan dengan isu mahu membunuh Dr Mahathir ialah oleh bekas Timbalan Ketua Keselamatan PAS Kelantan, Shaidi Hussin, 45 (gambar atas).

Beliau mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Selamat Tinggal PAS di Gaal, malam kelmarin. Zainon, penulis buku Kafirkah Aku mendakwa dia bersama lebih 30 orang yang semuanya ahli PAS, merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Dr Mahathir yang dianggap darahnya halal.

Beliau mahu bertindak demikian kerana menurutnya, sistem pilihan raya di Malaysia lambat untuk PAS mencapai kemenangan, lantas merancang untuk meramPAS kuasa atau membunuh Perdana Menteri pada masa itu.

Mereka turut menyediakan Kabinet bayangan dengan Hadi (Datuk Hadi Awang) sebagai Perdana Menteri.

“Bagi kami ketika itu membunuh Dr Mahathir adalah satu ibadat. Kami memahami sebegitu daripada Amanat Haji Hadi,” tegasnya.

Bagaimanapun, sebelum rancangan itu berjaya dilaksanakan pihak keselamatan dapat menghidu rancangan berkenaan dan sebahagian ahli kumpulan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zainon yang pernah ditahan mengikut ISA selama enam tahun dari 2001 hingga 2006 bagaimanapun menegaskan tidak memaklumkan mengenai rancangan itu kepada kepemimpinan atasan PAS ketika itu. Shaidi pula mendedahkan selePAS berlaku peristiwa pembunuhan di Memali pada 1985, beliau diarahkan oleh ketuanya untuk merancang membunuh Dr Mahathir.

Mereka merancang untuk melempar bom petrol yang dicampur dengan racun ketika lawatan Dr Mahathir di Semarak. Namun cubaan itu gagal kerana kawalan ketat oleh pihak keselamatan terhadap Dr Mahathir ketika itu.

“Ketika itu saya yakin saya benar kerana kepemimpinan PAS ambil sejarah Rasulullah dan membandingkan dengan sejarah perjuangan PAS. Di situ saya yakin sehingga sanggup untuk menyertai komplot membunuh Dr Mahathir, katanya yang mendakwa mendapat latihan ketenteraan di selatan Thailand,” tegasnya.

Menarik berkaitan isu ini ialah kenyataan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1984 pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis PAS yang diwujudkan untuk membunuh Mahathir ketika itu.

Abdul Rahman yang bertugas sebagai pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama ketika laporan itu disiarkan berkata maklumat bagi penghasilan laporan khas bertarikh 11 September 1984 nukilan wartawan Bernama itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.


"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Bernama dalam laporan lain bertarikh 14 Sept 1984 menyiarkan reaksi Dr Mahathir terhadap ancaman itu, yang beliau telah mendapat tahu ura-ura PAS menubuhkan kumpulan untuk membunuh pemimpin Umno, namun menegaskan tidak mempunyai bukti tentang perkara itu.

Laporan khas pada 11 September itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin PAS Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.

Ditanya adakah isu ini ditimbulkan semula bagi meraih kepentingan politik, Abdul Rahman berkata setiap orang punya pendapat masing-masing, namun mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memandang enteng tentang hal keselamatan negara.

"Dulu masa awal tragedi di Lahad Datu ada pihak yang tidak begitu memandang serius, malah ada individu yang menuduh ini permainan politik. Tetapi bila ia mengorbankan nyawa anggota keselamatan kita, baru semua orang pandang serius.

"Generasi kita sekarang tidak mengalami situasi yang dialami generasi terdahulu seperti ancaman komunis, mungkin kerana itu mereka kurang waspada tentang perkara seperti ini. Apapun masyarakat diharap tidak memandang remeh perkara sebegini," katanya.

Mengulas reaksi Dr Mahathir dalam laporan itu yang menyebut perjuangan PAS menjadi berbahaya setelah menukar kepimpinan, Abdul Rahman berkata kenyataan itu berasas kerana adanya pemimpin muda PAS seperti Abdul Hadi yang kini presiden PAS, juga pengasas pendapat ekstremis 'Amanat Haji Hadi'. "Abdul Hadi ketika itu pemimpin muda PAS yang punya pengikut sendiri terutama dalam kalangan golongan muda. Beliau seorang pemidato yang berani, membuatkan ramai yang terpengaruh," katanya.

Seperti biasa PAS akan menafikan semua ini. Tidak hairan jiga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam berusaha menempelak cubaan pihak-pihak tertentu mengaitkan PAS dengan pengakuan bekas ahli seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengaku pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu.

Mustafa menyifatkan cubaan Zainon dan beberapa media membangkitkan semula isu 30 tahun lalu itu kerana sudah menjadi "alat Umno", beliau bagaimanapun meminta polis segera menyiasat kerana isu bunuh bukan perkara main-main.

"Ini 'rubbish'. Patut polis siasat dia (Zainon). Dia mengaku dia hendak bunuh (Dr) Mahathir. Pengakuan hendak bunuh orang ini berat," ujar Mustafa kepada Sinar Harian Online semalam.


Menyifatkan Zainon sebagai alat UMNO, Mustafa kata bekas pemimpin PAS itu boleh kata apa sahaja. “Bila UMNO suruh kata apa pun, mereka (Abdul Rahman dan Zainon) ini akan kata," bidas Mustafa lagi.

Isunya memang bukan pemimpin tertinggi PAS yang suruh melakukan pembunuhan namun bahaya ‘Amanat Hadi’ sudah jelas, apa lagi jika ada pengikut PAS yang taksub.

Walaupun sedar amanat itu sudah mendatangkan banyak kesan tidak baik namun Hadi tetap berdegil tidak mahu menarik balik amanat berkenaan.

Memburukkan keadaan ada pemimpin PAS yang mempertahankan amanat itu dan mengganggapnya sebagai ‘tiada apa’ walapun ternyata sesetengah masyarakat Islam di negara ini merasai derita dan perit kerananya.

Sampai bilakah Hadi mahu berdegil?

Monday, March 18, 2013

PENGGANAS KIRAM III MAHU LANCAR PERANG GERILA DI SABAH

Jamalulu Kiram III tarik balik gencatan senjata dan minta diteruskan gerakan mengganas.
Jamalul Kiram III (saya sngaja tidak gunakan nama Sultan) hari ini mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan media, Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.
"Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?" kata Kiram kepada pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan 'The Philippine Star'.
 
Anggota Rela menyambut bayi berusia sebulan yang dipindahkan di pusat penempatan sementara di Dewan Besar Cenderawasih, dekat Felda Sahabat, semalam.
Jamalulkiram III sebelum ini dipertikaikan menamakan dirinya ‘Sultan’ dan saya tidak mengguakan namanya berpangkatkan ‘Sultan’ bimbang orang ramai menyamakan kedudukannya dengan Sultan Melayu di Malaysia yang berdaulat dan dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Lagipun Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) semalam turut menggesa kerajaan dan media tempatan di negara ini menukar panggilan pengganas Sulu kepada pengganas Kiram.

Pemangku Presiden PSBS, Faizal Sisar berkata, tindakan melabelkan penceroboh sebagai pengganas Sulu turut terpalit tempiasnya kepada masyarakat Suluk yang menetap di Semenanjung

 Kata-kata ini ada kebenarannya kerana melabelkan semuanya ‘Sulu’ akan menyebabkan pihak yang bersih dan taat kepada pemerintah Malaysia akan terpalit sama. Amat wajar jika Faizal bimbang masyarakat Suluk di negara ini turut dilabel pengganas gara-gara tindakan kejam penceroboh Kiram.


“Kita menggesa kerajaan dan media melabelkan pengganas Sulu kepada pengganas Kiram kerana kami masyarakat Suluk di negara ini tidak mahu terpalit dengan insiden berkenaan. Kita tak mahu turut dianggap pengganas,” tegasnya semalam.

Dengan keputusan Kiram hari ini, amat jelas dia tidak mahu mengaku ‘kalah’ dan mahu kesemua anggota pengganas di bawah perintahnya terdedah kepada bahaya serangan pasukan keselamatan Malaysia.

Bagi Kiram III, nafsu dan kehendaknya lebih penting daripada anggota pasukan bersenjatanya walaupun tahu masyarakat antarabangsa sudah mengiktiraf Sabah dalam Malaysia.


Malang sekali apabila jurucakap Kiram III, Abraham Idjirani menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu 'perjuangan' berkata tenteranya akan meneruskan 'perjuangan' mereka.

Katanya, Kiram III telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera Diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara "serang dan lari" terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Kiram III berkata adik lelaki kepada Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram dan pengikut-pengikutnya masih berada di Sabah dan ini bertentangan dengan laporan dari Malaysia yang mendakwa mereka telah melarikan diri. Idjirani juga mendakwa Agbimuddin dan kumpulan pengikutnya masih kuat berdasarkan perbualan telefon dengan Agbimuddin pada malam Sabtu.

Tentera Diraja yang pada masa ini mempunyai 170 orang telah berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengelak daripada pesawat pengintip yang berlegar di sekitar Lahad Datu
 

Kita kesian dengan ‘keyakinan palsu’ diberikan kepada askar Kiram III yang masih di Sabah bahawa mereka akan menang dalam perjuangan tetapi sebenarnya berdepan dengan Operasi Daulat yang semakin kukuh bertapak di Negeri Di Bawah Bayu Itu.

Adalah baik sekiranya persatuan Suluk dan pemimpinnya menyedarkan penyokong Kiram III meletakkan senjata daripada ‘mati tanpa tujuan’ dengan menurut perintah Kriam III yang hanya meletakkan kepentingan peribadi, bukan asasi dalam tindak tanduknya.