Tuesday, April 2, 2013

MAHFUZ PERTAHAN ORANG 'HINA RASULULLAH' HANYA KERANA MARAHKAN UMNO

Pelik sungguh manusia bernama Mahfuz Omar ini…

Pada ketika Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani menganggap kenyataan yang dibuat Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda PAS, Khairol Fahmi Mat Som Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya itu dianggap sesuatu yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, Mahfuz mempertahankannya.

Mahfuz dah jadi macam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika ada dengar atau nampak saja UMNO, dia akan cepat jadi ‘meroyan’.

Apa yang dia nak marah sangat dengan UMNO?

Sedangkan Mahfuz sendiri pernah menerima duit orang UMNO pada suatu ketika dan pada suatu tempat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Sebagai kawan, orang UMNO ini sedia bantu Mahfuz dan kalau Mahfuz yang kini Ahli Parlimen memang benci UMNO, dia tidak akan terima pemberian itu…benar daripada kawan, tapi bukan daripada kawan PAS atau PKR atau DAP tapi daripada UMNO!

Mahfuz yang bergelar Datuk, Naib Presiden PAS, mempertahankan Khairol Fahmi terhadap apa yang dikecam oleh pelbagai pihak kerana dianggap menghina Rasulullah SAW dalam kenyataan Twitternya.

Khairol Fahmi menerusi akaun Twitternya menyebut, “Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun Umno akan keluarkan... jahanam Umno” pada 27 Mac lalu.

Tindakannya itu kemudian mendapat kecaman hebat daripada semua pihak termasuklah beberapa pihak yang membuat laporan polis.

Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain, Penasihat Agama Perdana Menteri, semalam meminta PAS mengambil tindakan terhadap Khairol Fahmi kerana menghina Rasullullah SAW.

Katanya tindakan itu jelas keterlaluan dan biadap sehingga mengguris hati umat Islam dengan mengaitkan Nabi, hanya kerana marah terhadap Umno.

Bagaimana boleh Nabi sebagai insan yang mulia dan sempurna ini dibandingkan oleh Khairol Fahmi dengan manusia biasa yang pastinya satu perkara yang tidak betul, kata Abdullah.

"Amat jelas baginya, PAS sudah terlalu jauh menyeleweng dan terpesong seperti yang pernah dikatakan oleh bekas timbalan presiden PAS Nasaruddin Md Isa sebelum ini. Saya harap pemimpin PAS balik ke pangkal jalan dengan tidak terus menerus berjuang dan mengeluarkan kenyataan berlandaskan emosi dan nafsu hingga akhirnya menjadikan Islam itu terlalu ekstrim dan tidak dihormati oleh bangsa lain di dunia ini,” katanya semalam.

Sebaliknya bagi Mahfuz, apa yang cuba dinyatakan Khairol Fahmi dalam Twitternya itu hanya perumpamaan untuk menggambarkan 'kejahatan' Umno, bukan bertujuan menghina Rasulullah SAW.

"Umno saja perbesar isu. Dia (Khairol Fahmi) nak beritahu macam mana jahatnya Umno sampai tahap itu, bukan dia nak kata Nabi Muhammad buat benda tak elok. Dia nak gambarkan, kalau Nabi Muhammad lawan Umno, Nabi juga akan jadi mangsa fitnah Umno. Itu tujuan dia, bukan nak kata Nabi tu jahat," katanya pada sidang media semalam.

Ditanya tidakkah dengan menggunakan nama Rasulullah SAW boleh dianggap keterlaluan kerana kedudukan Baginda yang begitu dimuliakan dalam Islam, Mahfuz berkata, perkara itu dilihat begitu kerana ramai yang menyalah tafsir maksud sebenar yang cuba disampaikan Khairol Fahmi.

“Apa yang keterlaluannya? Dia bukan kata kat Nabi Muhammad, dia kata kat Umno. Kena faham bahasa, Umno ni sampai satu peringkat macam... kenyataan Tok Guru Nik Aziz (Datuk Nik Aziz Nik Mat) mengenai BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bagi anak ayam makan, itu perumpamaan saja. "Kalau perumpamaan tidak boleh pakai, Dewan Bahasa Pustaka, pusat-pusat bahasa di universiti kena buang semua perumpamaan yang ada binatang,” katanya.

Sebaliknya, Mohamad Taufek menganggap kecaman demi kecaman yang diterima oleh Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairol Fahmi Mat Som sebagai satu pengajaran berguna buat dirinya.

Malah dia berharapkan dengan kejadian ia boleh dijadikan sebagai pengajaran berguna untuk beliau (Khairol Fahmi) agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. “Saya yakin, pimpinan PAS akan meneliti setiap apa yang berlaku dari semua aspek termasuklah dari sudut Islam terhadap apa dilakukan beliau.

Sekiranya kita dapati kenyataan itu adalah sesuatu yang tidak wajar, maka beliau harus dikenakan tindakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mohamad Taufek berkata, bagaimanapun, keadaan ini tidak seharusnya diperbesarkan mahu pun dipolitikkan kerana dikhuatiri akan menimbulkan polemik yang lebih serius dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap isu ini tidak perlu diperbesarkan atau dipolitikkan demi meraih perhatian masyarakat, cukuplah sekadar memberi teguran terhadap tindakan beliau itu.

Malah dia pasti pimpinan PAS sendiri akan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya.

Yang pasti, pemimpin PAS tidak akan berbuat apa-apa. Mungkin hanya peringatan dan kejadian menghina Nabi kita akan terus dilakukan oleh pemimpin yang mendakwa mereka Islam.

Thursday, March 28, 2013

AMANAT HADI YANG MEMUNGKINKAN KEPADA BUDAYA MEMBUNUH SESAMA ISLAM DI MALAYSIA…


Kelmarin, 25 Mac 2013, bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan seluruh rakyat yang bermusuh dalam politik jangan sehinggga sanggup membunuh. Malah Dr Mahathir berharap, cara itu tidak menjadi budaya Malaysia.

Kenapa sampai begitu sekali ingatan dibuat oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003?

Kepada siapa?


Perkara ini timbul selepas kenyataan terbuka bekas anggota PAS seumur hidup, Zainol Ismail yang berhasrat bertemu Dr Mahathir untuk memohon maaf kerana pernah merancang membunuh bekas perdana menteri itu pada 1988.

Dr Mahathir mengatakan beliau tidak sedar ada ada perancangan hendak bunuh beliau kerana ketika beliau ‘turun padang’ dan berjalan merata tempat, beliau tidak pernah rasa takut.

Dan hanya sekarang barulah beliau tahu ada orang hendak membunuh beliau.

Kenyataan ini mengundang pertanyaan, apakah benar Dr Mahathir tidak tahu sedangkan polis dan pihak keselamatan ketika itu berjaya menahan beberapa pemimpin PAS, selain mengawal ketat Dr Mahathir pada setiap majlis ‘turun padang’ beliau ke Kedah dan Kelantan.

“Saya tiada apa-apa, saya harap ini tidak menjadi budaya Malaysia. Di Malaysia kalau kita tidak bersetuju atau bermusuh dalam politik, tidaklah sampai tahap nak bunuh. Saya tiada masalah untuk maafkan dia, saya maaf orang lain juga kalau ada," demikian tegas Dr Mahathir kepada pemberita pada Forum Perdana 'Membina Peradaban Bangsa Melayu kelmarin.

Media tempatan kelmarin melaporkan Zainol atau lebih dikenali sebagai CN Afghani, pada Isnin, membuat pengakuan bahawa rancangan melakukan pembunuhan itu timbul, kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang mendakwa Umno kafir.

Bukan setakat itu sahaja kerana ada pendedahan lain yang dibuat di PASir Puteh, Kelantan berkaitan komplot untuk menculik, mencederakan dan membunuh bekas Perdana Menteri, itu kerana ketaksuban mereka terhadap Amanat Haji Hadi yang menghalalkan pemimpin UMNO dibunuh.

Kumpulan pertama dikatakan merancang perkara itu pada 1988 untuk menculik dan membunuh Dr Mahathir manakala kumpulan kedua pula pada 1994, yang mahu melempar bom petrol ketika beliau melakukan lawatan di Semarak, di Pasir Puteh, Kelantan.


Selain Zainon, iaitu bekas EXCO Pemuda PAS Kedah, turut dikaitkan dengan isu mahu membunuh Dr Mahathir ialah oleh bekas Timbalan Ketua Keselamatan PAS Kelantan, Shaidi Hussin, 45 (gambar atas).

Beliau mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Selamat Tinggal PAS di Gaal, malam kelmarin. Zainon, penulis buku Kafirkah Aku mendakwa dia bersama lebih 30 orang yang semuanya ahli PAS, merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Dr Mahathir yang dianggap darahnya halal.

Beliau mahu bertindak demikian kerana menurutnya, sistem pilihan raya di Malaysia lambat untuk PAS mencapai kemenangan, lantas merancang untuk meramPAS kuasa atau membunuh Perdana Menteri pada masa itu.

Mereka turut menyediakan Kabinet bayangan dengan Hadi (Datuk Hadi Awang) sebagai Perdana Menteri.

“Bagi kami ketika itu membunuh Dr Mahathir adalah satu ibadat. Kami memahami sebegitu daripada Amanat Haji Hadi,” tegasnya.

Bagaimanapun, sebelum rancangan itu berjaya dilaksanakan pihak keselamatan dapat menghidu rancangan berkenaan dan sebahagian ahli kumpulan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zainon yang pernah ditahan mengikut ISA selama enam tahun dari 2001 hingga 2006 bagaimanapun menegaskan tidak memaklumkan mengenai rancangan itu kepada kepemimpinan atasan PAS ketika itu. Shaidi pula mendedahkan selePAS berlaku peristiwa pembunuhan di Memali pada 1985, beliau diarahkan oleh ketuanya untuk merancang membunuh Dr Mahathir.

Mereka merancang untuk melempar bom petrol yang dicampur dengan racun ketika lawatan Dr Mahathir di Semarak. Namun cubaan itu gagal kerana kawalan ketat oleh pihak keselamatan terhadap Dr Mahathir ketika itu.

“Ketika itu saya yakin saya benar kerana kepemimpinan PAS ambil sejarah Rasulullah dan membandingkan dengan sejarah perjuangan PAS. Di situ saya yakin sehingga sanggup untuk menyertai komplot membunuh Dr Mahathir, katanya yang mendakwa mendapat latihan ketenteraan di selatan Thailand,” tegasnya.

Menarik berkaitan isu ini ialah kenyataan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1984 pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis PAS yang diwujudkan untuk membunuh Mahathir ketika itu.

Abdul Rahman yang bertugas sebagai pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama ketika laporan itu disiarkan berkata maklumat bagi penghasilan laporan khas bertarikh 11 September 1984 nukilan wartawan Bernama itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.


"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Bernama dalam laporan lain bertarikh 14 Sept 1984 menyiarkan reaksi Dr Mahathir terhadap ancaman itu, yang beliau telah mendapat tahu ura-ura PAS menubuhkan kumpulan untuk membunuh pemimpin Umno, namun menegaskan tidak mempunyai bukti tentang perkara itu.

Laporan khas pada 11 September itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin PAS Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.

Ditanya adakah isu ini ditimbulkan semula bagi meraih kepentingan politik, Abdul Rahman berkata setiap orang punya pendapat masing-masing, namun mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memandang enteng tentang hal keselamatan negara.

"Dulu masa awal tragedi di Lahad Datu ada pihak yang tidak begitu memandang serius, malah ada individu yang menuduh ini permainan politik. Tetapi bila ia mengorbankan nyawa anggota keselamatan kita, baru semua orang pandang serius.

"Generasi kita sekarang tidak mengalami situasi yang dialami generasi terdahulu seperti ancaman komunis, mungkin kerana itu mereka kurang waspada tentang perkara seperti ini. Apapun masyarakat diharap tidak memandang remeh perkara sebegini," katanya.

Mengulas reaksi Dr Mahathir dalam laporan itu yang menyebut perjuangan PAS menjadi berbahaya setelah menukar kepimpinan, Abdul Rahman berkata kenyataan itu berasas kerana adanya pemimpin muda PAS seperti Abdul Hadi yang kini presiden PAS, juga pengasas pendapat ekstremis 'Amanat Haji Hadi'. "Abdul Hadi ketika itu pemimpin muda PAS yang punya pengikut sendiri terutama dalam kalangan golongan muda. Beliau seorang pemidato yang berani, membuatkan ramai yang terpengaruh," katanya.

Seperti biasa PAS akan menafikan semua ini. Tidak hairan jiga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam berusaha menempelak cubaan pihak-pihak tertentu mengaitkan PAS dengan pengakuan bekas ahli seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengaku pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu.

Mustafa menyifatkan cubaan Zainon dan beberapa media membangkitkan semula isu 30 tahun lalu itu kerana sudah menjadi "alat Umno", beliau bagaimanapun meminta polis segera menyiasat kerana isu bunuh bukan perkara main-main.

"Ini 'rubbish'. Patut polis siasat dia (Zainon). Dia mengaku dia hendak bunuh (Dr) Mahathir. Pengakuan hendak bunuh orang ini berat," ujar Mustafa kepada Sinar Harian Online semalam.


Menyifatkan Zainon sebagai alat UMNO, Mustafa kata bekas pemimpin PAS itu boleh kata apa sahaja. “Bila UMNO suruh kata apa pun, mereka (Abdul Rahman dan Zainon) ini akan kata," bidas Mustafa lagi.

Isunya memang bukan pemimpin tertinggi PAS yang suruh melakukan pembunuhan namun bahaya ‘Amanat Hadi’ sudah jelas, apa lagi jika ada pengikut PAS yang taksub.

Walaupun sedar amanat itu sudah mendatangkan banyak kesan tidak baik namun Hadi tetap berdegil tidak mahu menarik balik amanat berkenaan.

Memburukkan keadaan ada pemimpin PAS yang mempertahankan amanat itu dan mengganggapnya sebagai ‘tiada apa’ walapun ternyata sesetengah masyarakat Islam di negara ini merasai derita dan perit kerananya.

Sampai bilakah Hadi mahu berdegil?

Monday, March 18, 2013

PENGGANAS KIRAM III MAHU LANCAR PERANG GERILA DI SABAH

Jamalulu Kiram III tarik balik gencatan senjata dan minta diteruskan gerakan mengganas.
Jamalul Kiram III (saya sngaja tidak gunakan nama Sultan) hari ini mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan media, Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.
"Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?" kata Kiram kepada pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan 'The Philippine Star'.
 
Anggota Rela menyambut bayi berusia sebulan yang dipindahkan di pusat penempatan sementara di Dewan Besar Cenderawasih, dekat Felda Sahabat, semalam.
Jamalulkiram III sebelum ini dipertikaikan menamakan dirinya ‘Sultan’ dan saya tidak mengguakan namanya berpangkatkan ‘Sultan’ bimbang orang ramai menyamakan kedudukannya dengan Sultan Melayu di Malaysia yang berdaulat dan dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Lagipun Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) semalam turut menggesa kerajaan dan media tempatan di negara ini menukar panggilan pengganas Sulu kepada pengganas Kiram.

Pemangku Presiden PSBS, Faizal Sisar berkata, tindakan melabelkan penceroboh sebagai pengganas Sulu turut terpalit tempiasnya kepada masyarakat Suluk yang menetap di Semenanjung

 Kata-kata ini ada kebenarannya kerana melabelkan semuanya ‘Sulu’ akan menyebabkan pihak yang bersih dan taat kepada pemerintah Malaysia akan terpalit sama. Amat wajar jika Faizal bimbang masyarakat Suluk di negara ini turut dilabel pengganas gara-gara tindakan kejam penceroboh Kiram.


“Kita menggesa kerajaan dan media melabelkan pengganas Sulu kepada pengganas Kiram kerana kami masyarakat Suluk di negara ini tidak mahu terpalit dengan insiden berkenaan. Kita tak mahu turut dianggap pengganas,” tegasnya semalam.

Dengan keputusan Kiram hari ini, amat jelas dia tidak mahu mengaku ‘kalah’ dan mahu kesemua anggota pengganas di bawah perintahnya terdedah kepada bahaya serangan pasukan keselamatan Malaysia.

Bagi Kiram III, nafsu dan kehendaknya lebih penting daripada anggota pasukan bersenjatanya walaupun tahu masyarakat antarabangsa sudah mengiktiraf Sabah dalam Malaysia.


Malang sekali apabila jurucakap Kiram III, Abraham Idjirani menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu 'perjuangan' berkata tenteranya akan meneruskan 'perjuangan' mereka.

Katanya, Kiram III telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera Diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara "serang dan lari" terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Kiram III berkata adik lelaki kepada Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram dan pengikut-pengikutnya masih berada di Sabah dan ini bertentangan dengan laporan dari Malaysia yang mendakwa mereka telah melarikan diri. Idjirani juga mendakwa Agbimuddin dan kumpulan pengikutnya masih kuat berdasarkan perbualan telefon dengan Agbimuddin pada malam Sabtu.

Tentera Diraja yang pada masa ini mempunyai 170 orang telah berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengelak daripada pesawat pengintip yang berlegar di sekitar Lahad Datu
 

Kita kesian dengan ‘keyakinan palsu’ diberikan kepada askar Kiram III yang masih di Sabah bahawa mereka akan menang dalam perjuangan tetapi sebenarnya berdepan dengan Operasi Daulat yang semakin kukuh bertapak di Negeri Di Bawah Bayu Itu.

Adalah baik sekiranya persatuan Suluk dan pemimpinnya menyedarkan penyokong Kiram III meletakkan senjata daripada ‘mati tanpa tujuan’ dengan menurut perintah Kriam III yang hanya meletakkan kepentingan peribadi, bukan asasi dalam tindak tanduknya.

Tuesday, March 12, 2013

KISAH ANWAR INTIM DENGAN ‘ANAK IKAN’, HADI, KARPAL & WAN AZIZAH KENAPA DIAM?


Kecoh cerita ‘Anak Ikan Anwar’ dikejar pengawal Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana cemburu - belum berakhir atau tamat!

Hubungan intim apa yang menyebabkan Wan Azizah begitu cemburu?

Sandiwara, komplot atau konspirasi lagi selePAS kisah Mohd Saiful Bukhari Azlan?

Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh jawab dan ‘bersihkan Anwar’ segera.


Saman saja Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd Fareez Kamal Intidzam! Ini kerana Mohd Fareez berkali-kali mengulangi kata-kata yang terkandung dalam satu suratnya bahawa Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar amat cemburu akan hubungan rapatnya dengan Anwar.

Kekecohan ini timbul apabila Mohd Fareez membuat laporan polis dengan mendakwa diri serta keluarganya kini diancam bahaya.

Ancaman itu dipercayai datang daripada kumpulan yang menyokong Wan Aziziah selepas pendedahan tentang satu surat bertarikh 3 Mac lalu yang diutuskan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Surat yang ditulis tangan itu antara lain mendakwa bahawa Mohd Fareez ‘rapat’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kononnya menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar berasa cemburu akan hubungan mereka.

Dalam surat itu, Mohd Fareez mendakwa Anwar melantiknya sebagai Pegawai Diplomat Sulit Antarabangsa sejak tahun 2008 kerana hubungan yang rapat tersebut. Selain itu, beliau juga merupakan bekas Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Surat yang dihantar kepada Presiden PAS itu bertujuan mahu meminta campur tangan Hadi agar menasihati Wan Azizah supaya berundur daripada parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Pengunduran Wan Azizah dikatakan dapat menyelamatkan PKR dalam pilihan raya daripada sikap negatif Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Mohd Fareez mendakwa kemuncak ancaman bahaya yang diterimanya berlaku sejak 48 jam 10 Mac lalu apabila sekumpulan orang telah bertindak memburunya sehingga ke bilik hotel.

"Perkara ini berlaku sebaik sahaja surat yang saya utuskan kepada Abdul Hadi itu didedahkan. Saya percaya mereka yang memburu saya ini merupakan penyokong atau mungkin juga orang suruhan Presiden. Jadi isunya hari ini saya mahu menuntut jaminan keselamatan buat diri saya dan keluarga," katanya.

Ditanya sejauh mana benarnya dakwaan ancaman bahaya sedang menimpanya sekeluarga, beliau berkata, pihak media sendiri melihat bagaimana pihaknya terpaksa ke balai polis hari ini untuk meminta pertolongan. "Berhubung isu sejauh mana tahap bahaya yang menanti saya telah dijelaskan kepada polis. Alhamdulillah polis telah menerima laporan saya," katanya.

Beliau mengakui tidak tinggal di rumahnya ketika ini.

Difahamkan, Mohd Fareez telah memberikan segala maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit kepada pihak polis berhubung kesnya itu. “Kemuncaknya semalam (malam 9 Mac 2013) apabila saya telah diserbu di hotel penginapan," katanya ketika menjawab sama ada beliau telah dikasari atau tidak oleh kumpulan terbabit.

Mohd. Fareez masih ahli PKR sejak 2008 dan sehingga hari ini belum menerima apa-apa notis pemecatan daripada parti atau unit tindakan disiplin parti.

Sama ada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengetahuinya membuat laporan polis pada hari berkenaan, beliau berkata: "Ini adalah tanggungjawab saya kepada keluarga. Jadi saya rasa tidak perlu untuk beritahu dia atau macam mana."

Selain sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez juga merupakan Pegawai Diplomasi Antarabangsa PKR.

Ditanya selama mana beliau mengenali Anwar dan adakah Ketua Pembangkang itu tahu tentang isu yang dibangkitkan itu, Mohd. Fareez berkata: "Awak tanyalah Anwar."

Dalam suratnya, Mohd Fareez menyatakan hanya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang layak memimpin parti dan bukannya Wan Azizah demi kecemerlangan pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

"Saya percaya surat ini telah menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan kepada pihak tertentu terutamanya kepada penyokong parti dan Presiden sendiri.

Seperti yang saya nyatakan dalam surat itu juga, Puan Presiden sendiri iaitu Wan Azizah sangat cemburu dengan hubungan rapat antara saya dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya di ibu pejabat Polis Dang Wangi kelmarin (10 Mac 2013).

Surat yang diutuskan kepada Abdul Hadi itu turut diberi salinan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya pula bagaimana beliau syak yang melakukan perbuatan itu adalah orang suruhan Presiden PKR sedangkan tidak pernah menerima sebarang ugutan dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, Mohd. Fareez berkata: "Saya telah berada di dalam parti dan saya tahu bagaimana mereka mahu serang hendap seseorang. Saya kenal bagaimana kerja mereka."

Berikutan itu, Wan Azizah diminta menjelaskan kandungan surat yang dibangkitkan oleh Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez Kamal baru-baru ini.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, sebagai presiden parti yang 'berkuasa', Wan Azizah tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan perkara itu terus diperkatakan ahli parti berkenaan.

"Kalau surat itu satu pembohongan, Wan Azizah harus tampil menafikannya kerana menjadi tanggungjawab beliau berbuat demikian. Seterusnya, saya mencabar Wan Azizah supaya mengheret Mohd. Fareez ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana telah memburukkan parti," katanya kepada Utusan Malaysia di Pulau Pinang, semalam.

Yang nyata, tindakan Mohd. Fareez membuat laporan polis berhubung keselamatannya semalam merupakan gambaran jelas wujud keretakan serius dalam kepimpinan PKR.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, tindakan Mohd. Fareez itu juga membuktikan terdapat pertembungan antara Presiden PKR dengan Timbalannya, Azmin Ali.

"Selama ini mereka cuba menyorok krisis dalaman parti antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin, namun menerusi pendedahan terbaharu ini, saya tidak fikir mereka boleh menutupnya lagi.

Dengan pelbagai masalah dalam PKR, pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang membabitkan DAP dan PAS PAStinya lebih kalut dan penuh dengan kepincangan," katanya.