Tuesday, November 22, 2011

APABILA TUAN RUMAH TERPAKSA MENGALAH DENGAN AMAH...

Tahniah untuk anak muda kita yang sanggup bertarung dalam kedudukan ancaman bukan sahaja di padang tetapi juga di luar padang.

Apa dosa anak muda kita yang bertanding pada Sukan SEA 2011 sehingga dilayan begitu rupa?

Pada pertembungan terakhir peringkat kumpulan menetang Indonesia Khamis lalu, skuad Harimau Muda terpaksa menaiki Barakuda ketika mahu pulang ke hotel atas nasihat pihak keselamatan Indonesia sendiri.

Penggunaan Bakuda itu merupakan kali kedua setelah skuad negara berdepan situasi yang sama ketika perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Kenapa rakyat Indonesia jadi begini?

Apa dosa kita dengan Indonesia? Kenapa pemerintah Indonesia membiarkan rakyatnya kurang ajar dengan kita sedangkan kita berusaha menjaga hati mereka setiap masa.

Perlukah ‘tuan rumah’ sepanjang masa menjaga hati ‘amah’? Perlukah kita mengalah sepanjang masa?

Kenapakah kita begitu takut dengan Indonesia? Atau apakah kerana ramai pemimpin kita merasakanm tidak apa kerana mereka keturunan dari sana?

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memang wajar jika membuat laporan kepada persatuan sukan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung layanan sedemikan.

Sikap penyokong Indonesia yang boleh mengancam keselamatan skuad bola sepak negara dan atlert lain sudah melampau.

Pihak berkuasa antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Indonesia, termasuk skuad Garuda kerana selain memastikan semangat kesukanan sentiasa terjamin, nyawa rakyat Malaysia juga perlu diberikan perhatian mendalam.

Apakah dengan semangat mahu menjaga hubungan baik kedua-dua kerajaan kita asyik dibuli dan pembuli itu sebenarnya banyak bergantung kepada kita dari segi tenaga kerja.

Ada seramai lebih satu juta pekerja Indonesia di Malaysia yang halal dan yang haram yang kita tidak tahu mungkin lebih ramai!

Yang mendapat kerakyatan juga ramai dan yang bermustautin di negara ini, khususnya selepas kejatuhan ekonomi Indonesia pada akhir dekad ke 20 juga ramai.

Laporan terbaru awal bulan ini menyebut, pekerja Indonesia di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah AS$1.7 bilion (RM5.3 bilion) pada suku ketiga tahun ini (2011).

Catatan bank pusat, Bank Indonesia (BI) menganggarkan angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak AS$2.91 bilion (RM9.02 bilion) yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.

Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mereka mencapai AS$5.05 bilion (RM15.7 bilion) atau kira-kira Rp43 trilion sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI bekerja di Asia mengirim pulang paling banyak wang.

“TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai AS$2.91 bilion. Terbesar dibandingkan kawasan lain,” kata Difi yang dipetik detikfinance melalui portal berita detik.com baru-baru ini.

TKI yang bekerja di kawasan Asia Barat dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah AS$2.01 bilion (RM6.23 bilion) dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak AS$1.68 bilion RM5.21 bilion).

Bayangkan jika kita hentikan pengambilan buruh Indonesia dan gantikan dengan tenaga tempatan, negara kita dapat menjimatkan RM5,000 juta setahun.

Bayangkan dengan wang sebanyak itu, banyak yang boleh kita makmurkan rakyat kita, bukan menanggung biawak hidup yang asyik-asyik menyusahkan kita!

Monday, November 21, 2011

MSO PERLU DEDAHKAN SIAPA MB DIMAKSUDKAN, BUKAN MENYERANG SAYA!


Mohd Sayuti Omar atau MSO memberi reaksi kepada penulisan saya (posting 13 November bertajuk “MB Khalwat – Tunggu Pendedahan MSO, Pengarang’ ) dengan menyerang peribadi dan merendahkan kredibiliti saya bukan menjawab persoalan yang saya timbulkan.

Pada postingnya bertajuk “Siapa Bloger Bermuka Babi - Respons Kepada Beberapa Pertanyaan” pada 13 November 2011, walaupun beliau tidak menyebut nama – seperti juga beliau tidak menyebut nama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dalam postingnya 25 Oktober - tetapi saya tahu dia tujukan ‘serangan’ itu kepada saya.

Buktinya beliau merujuk saya sebagai “seorang blogger yang bekerja dengan Ahmad Said dan penerima anugerah Hadiah Kajai."

Saya bukan blogger yang bekerja dengan Menteri Besar kerana saya memulakan blog saya ini sebelum pun bekerja dengan Datuk Seri Ahmad Said lagi.

Menurut beliau: “…ada seorang bloger yang dikenal pasti bekerja dengan Ahmad Said mencabar saya dan sumber saya (pengarang) agar mendedah seterusnya tentang laporan itu. Bloger ini juga nampak tidak reti dan belum sampai ke tahap boleh menerima anugerah berprestaj Rahim Kajai dalam dunia penulisan.

Saya minta dia membaca sebaik mungkin apa yang saya tulisan sebelum mencabar saya. Secara tidak langsung apabila bloger ini bersikap demikian ia seakan mengesahkan apa yang saya laporkan itu adalah bosnya. Ertinya yang membusukkan nama bosnya adalah dia sendiri bukan orang lain jauh sekali saya."

Saya tidak menuduh atau mengatakan beliau terbabit kerana jelas MSO tidak merujuk pun dalam tulisannya bahawa MB yang ditangkap khalwat itu Menteri Besar Terengganu.

Yang saya minta ialah beliau atau Pengarang yang beliau maksudkan itu dedahkan siapa sebenarnya MB yang dimaksudkan.

Perkataan saya ialah : “Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dua Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya. Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.”

Selanjutnya saya mengatakan: “Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi. Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.”

Hakikatnya, yang membuat kesimpulan mengenai ‘pembabitan fitnah oleh blog MSO Melayu’ ini adalah kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri.

Menteri Besar mungkin mendapat nasihat daripada pihak tertentu untuk ‘menuding jari’ kepada MSO tetapi bukan ‘nasihat atau pandangan’ daripada saya.

Ahmad Said menimbulkan isu ini pada sidang media. Pertama pada 9 November 2011 dan kemudian membuat laporan polis pada petang 14 November 2011.

Jadi saya fikir agak keterlaluan kalau MSO ‘bengang’ dan menyerang saya sedemikian rupa kerana saya hanya memperkatakan soal isu bukan peribadi (walaupun saya tahu saya tidaklah blogger ternama dan ‘semulia orang beragama’ seperti MSO).

Saya hanya mengharapkan beliau dan pengarang yang dimaksudkan dapat mendedahkan identity MB yang dimaksudkan. Jika membiarkan ia tergantung seperti itu maka banyaklah tohmahan dan fitnah akan berlegar.

Kita tidak mahu fitnah dan tohmahan berlegar, Itu sahaja, Jika memang MB itu kena tangkap basah, umumkan, Biar padan mukanya dan pembangkang akan dapat untung. MSO tentu gembira jika pembangkang ada modal politik!

Selain itu, saya ulangi, amat benar sekali MSO tidak menyebut MB Terengganu pada postingnya secara khusus.

Jadi, dengan landasan sedemikian kenapa menyerang saya sedemikian rupa?

PEMBLOG PRO-BN 'ASKAR BARU' LAWAN PEMBANGKANG - NAJIB

Mungkin hanya Datuk Seri Najib Razak dan beberapa yang lain sahaja menyifatkan pemblog pro-Barisan Nasional (BN) sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Yang lain tidak peduli dan mengganggap cara lama - ceramah, akhbar, tv dan radio - masih amat penting.

Najib semalam melahirkan sokongan padu kepada pemblog-pemblog dan pengguna media sosial pro-Barisan Nasional (BN) dengan menyifatkan mereka sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Pengerusi BN itu berkata dunia atas talian adalah medan pertarungan antara pembangkang dan perikatan pimpinannya, dan ramai yang kini mengunjungi laman-laman web, portal dan blog sebagai saluran maklumat.

“Barisan Nasional mengiktiraf anda semua, pengamal-pengamal media sosial. Anda pejuang-pejuang kami, askar baru kami,” kata Najib (gambar) selepas melancarkan Konvensyen Media Sosial 1 Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli BN perlu mengadaptasi mengikut perubahan masa dengan menggunakan media sosial jika mahu kekal relevan.

Media sosial menjadi semakin penting dalam arena politik negara ini dengan 11.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setakat pertengahan tahun ini.

Najib juga memberitahu peserta konvesyen itu, kebanyakannya pemblog pro-BN bahawa mereka perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia atas talian tentang usaha-usaha diambil kerajaan dan kejayaannya, serta melawan kenyataan-kenyataan pembangkang yang bersifat bohong dan separuh benar.

“Ini adalah peranan pejuang-pejuang atas talian, yang akan meneruskan usaha mereka menggunakan BlackBerry, komputer bimbit dan iPad.

“Jika tidak boleh tangani gelombang ini, kita akan hanyut,” kata Najib.

Sunday, November 20, 2011

TAHNIAH MOHD. SAIFUL KERANA TERUS CEKAL

Di sebalik cabaran dan dugaan berdepan isu liwat, Mohd. Saiful Bukhari Azlan masih mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran apabila menerima Anugerah Sijil Dekan Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Beliau yang mengikuti pengajian jarak jauh di UUM cawangan Kuala Lumpur dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) melebihi 3.50.

"Anugerah dekan ini membawa makna besar kepada saya, keluarga dan sahabat-sahabat saya. Ia memberi motivasi dan semangat terhadap saya untuk mengekalkan prestasi ini di samping meningkatkan potensi diri sehingga tamat pengajian.

"Walaupun terdapat beberapa pihak yang memandang hina terhadap saya berhubung kes liwat tersebut yang berjalan lebih tiga tahun, namun saya tetap cekal dan fokus terhadap pelajaran kerana saya juga ingin berjaya dalam hidup," katanya kepada Mingguan Malaysia pada Majlis Penganugerahan Sijil Dekan UUM di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd. Saiful Bukhari, 26, adalah antara 72 pelajar pengajian jarak jauh UUM cawangan Kuala Lumpur menerima Sijil Anugerah Dekan dan Sijil Kecemerlangan Akademik universiti itu.

Anugerah disampaikan Naib Canselornya, Datuk Dr. Mustapha Ishak.