Saturday, August 6, 2011

KEDUDUKAN DR HASSAN BAGAI TELUR DI HUJUNG TANDUK

"JAIS perlu tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri yang berkeliaran pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.,," - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

”Walaupun PAS mengatakan akan membuat pendirian rasmi berhubung serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama esok. Kedudukan Dr Hassan Ali kini bagai telor di hujung tanduk.

PAS yang terpaksa memelihara perasaan DAP dan PKR akan berbuat sesuatu bagai menarik ‘rambut dalam tepung’.

PAS seboleh-bolehnya tidak mahu DAP terutamanya ‘terkedu’ dengan tindakan dan tuduhan Dr Hassan dan mereka rela menghukum Dr Hassan daripada mengeruhkan hubungan antara parti dalam kerajaan Selangor.

Janji Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa esok akan diketahui keputusan atau pendirian PAS mengenai perkara ini hanya untuk pengesahan sahaja.

Tuan Ibrahim mahukan “JAIS dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri yang berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.”

“Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah,” nasihat beliau.

Semua pihak pasti menunggu pendirian PAS Pusat kerana PAS Selangor kini bercelaru selepas pemimpin PAS Selangor mengecam Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali berkaitan perkara itu.

Dr Hassan sudah memberikan penjelasan kepada PAS Pusat mengenai perkara ini dan sebagai salah seorang ahli mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat, beliau juga akan menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat yang dijangka diadakan esok.

Dr Hassan ketika ini mungkin sudah menagak apa keputusan PAS Pusat terhadapnya, bukan kerana beliau mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi lebih daripada itu, beliau turut mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti itu dengan usaha memurtadkan umat Islam.

Pada ketika PAS Selangor masih menuntut penjelasan Dr Hasan berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz, mengatakan semua rumah ibadat tidak boleh diceroboh dan sebarang bentuk pencabulan tidak dibenarkan melainkan dengan “kuasa dan hak.”

Nik Abduh berkata setiap rumah ibadat perlu sentiasa dijaga dan dihormati.

Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, pihaknya juga menunggu laporan Jabatan Agama Islam Selangor mengenai serbuan itu yang turut disertai polis.

Malah PAS Selangor berkata akan memanggil DR Hasan berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam dalam program anjuran Harapan Komuniti itu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu. Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan JAIS.

Nik Abduh – anak Nik Aziz - bagaimanapun menegaskan sekiranya ada bukti mengaitkan dalam usaha untuk memurtadkan orang Islam tindakan boleh dilakukan tapi mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Dari sudut Islam semua rumah ibadat termasuk gereja tidak boleh ada apa-apa pencabulan kecuali dengan kuasa dan hak yang dibenarkan selain mempunyai bukti yang kukuh, baru ia (serbuan) boleh dilakukan.

“Kita tidak boleh membunuh kecuali dengan hak, kita tidak boleh mencuri kecuali dengan hak, sama seperti rumah ibadat...rumah ibadat ini perlu dijaga, kalau nak buat serbuan perlu ada bukti yang kukuh,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Friday, August 5, 2011

JAIS PERTAHAN TINDAKAN, KHALID SAMAD GANYANG DR HASSAN...

"Tindakan JAIS adalah satu tindakan yang tidak beretika dan perlu menerima hukuman yang berat. Inilah hasil didikan penjajah dan pentarbiayahan songsang selama ini...” - Pemimpin PAS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertahankan tindakannya melakukan serbuan pada majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu pada ketika Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mahukan tindakan tegas terhadap Exco agama Islam Kerajaan Negeri Datuk Dr Hassan Ali.

JAIS berharap isu serbuan berkenaan tidak dipolemikkan kerana ia dibuat demi menjaga kepentingan umat Islam dan jika perkara ini tidak dikontroversikan, tiada sebarang tangkapan sebaliknya hanya pemeriksaan.

JAIS akan mengeluarkan laporan penuh mengenai serbuan tersebut selepas siasatan terhadap 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan selesai.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, pihaknya akan sediakan laporan nanti selepas siasatan selesai. Siasatan terhadap 12 orang berkenaan akan diteruskan.

Beliau mengulas mengenai gesaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan pihak berkuasa agama itu.

Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

Kelmarin (Rabu) penguatkuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam. Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sementara itu menurut blog sungai rapat online mengatakan Khalid Samad terus menjauhkan kepimpinan Pas Selangor daripada kenyataan Dr Hassan yang mempertahankan tindakan JAIS sambil berkata majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utara bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam.

Khalid Samad menegaskan pandangan Hasan yang dikeluarkan petang semalam adalah menyeleweng daripada Islam dan bukan pendirian Pas Selangor, sekali gus memperlihatkan perpecahan yang mendalam dalam hubungan kepimpinan parti itu di peringkat negeri itu.

“Apakah penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah al-Quran dan doa? Ini bukan pendirian Pas. Ia pendirian beliau sebagai Exco yang tidak bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama,” katanya.

Sehubungan itu Khalid Samad selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor akan mengesyorkan Datuk Dr. Hassan Ali dikenakan tindakan yang keras di atas perbuatannya itu.

Selain itu beberapa pemimpin Pas Selangor yang pro- Khalid Samad seperti Khairuddin Othman terus 'mencincang lumat' Hassan Ali tanpa usul periksa asalkan Dr Hassan dilihat bersalah dalam isu gereja demi menjaga hati sahabat sebantal mereka DAP.

Beberapa pemimpin PAS bercakap dalam sidang media di pejabat Khalid Samad di Shah Alam hari ini, Islam tidak membenarkan sama sekali umat Islam memasuki gereja walaupun apa pun yang mereka lakukan.

Kata pemimpin PAS berkenaan: "Tindakan JAIS adalah satu tindakan yang tidak beretika dan perlu menerima hukuman yang berat". Inilah hasil didikan penjajah dan pentarbiayahan songsang selama ini....

ISU GEREJA – KENAPA KHALID IBRAHIM TERGESA-GESA MINTA MAAF?

"Saya memberitahu beliau (Pastor Daniel Ho) bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan.Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima..." - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Pendedahan oleh Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam sepatutnya diambil perhatian berat oleh Kerajaan Selangor.

Sebaliknya. Kerajaan Selangor memandang serius kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya malam kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

"Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan, :" kata Khalid.

Kenapa Khalid begitu tergesa-gesa dan takut kepada paderi kanan berkenaan? Khalid takut paderi atau DAP?

Ternyata selepas ini PAS Selangor akan berdepan dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP sekali lagi dan Dr Hassan mungkin akan dianggap mendatangkan masalah kepada kerajaan Selangor.

Malah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka akan ditanya mengenai perkara ini.

Kita menunggu apa pula kata Khalid Samad dan konco-konconya terhadap Dr Hassan. Apakah Dr Hassan akan dibelasah oleh Khalid yang mempertahankan tindakan Menteri Besarnya yang akan menyebabkan Dr Hassan akan dikenakan tindakan atau amaran keras?

Hassan membuat pendedahan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist berkenaan dan maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

“Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Laporan Malaysiakini menyebut, Dr Hassan berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua 12 mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO malam semalam bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

Menurutnya, majlis itu juga bagi meraikan usaha NGO berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam beberapa projek komuniti, termasuk kerja-kerja amal dengan wanita dan kanak-kanak, mangsa HIV/AIDS dan penyakit lain.

Persoalannya, tiada tempat lainkan bagi 12 individu itu berbuka puasa?

Atau kalau miskin sangatpun, kenapa Gereja dijadikan tempat berbuka puasa?

Atau juga apakah Kerajaan Selangor lalai untuk mendekati 12 ‘individu miskin ini’ sehingga terpaksa berbuka puasa di Gereja?

Thursday, August 4, 2011

WAJARKAH NAJIB LEPAS JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI?

Apa sedang berlaku dalam politik orang Melayu dan UMNO sekarang?

Pada ketika ramai memperkatakan mengenai ura-ura Tengku Razaleigh Hamzah akan menyertai pembangkang, sekumpulan veteran UMNO lain dikatakan mendesak Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib meletakkan jawatan.

Tengku Razaleigh yang memimpin sebuah NGO baru dilihat semakin ‘menjauhi UMNO’ tetapi mengejutkan apabila sebuah pertubuhan yang diwakili veteran UMNO iaitu Penawar dikatakan mahu Najib meletakkan jawatan.

Baca tulisan berikut yang sudah diterjemahkan oleh sebuah blog daripada rencana asalnya dalam bahasa Inggeris:

Veteran Umno Desak Datuk Sri Najib Letak Jawatan...

Spekulasi telah bertiup kencang bahawa kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno sedang terancam. Orang dalaman parti mendakwa bahawa sokongan terhadap Muhyiddin Yassin begitu kuat di samping sokongan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi tekanan kepada Najib.

Cengkaman kuasa Perdana Menteri menurun berikutan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai manakala kontroversi berkaitan isterinya Rosmah Mansor juga membelenggu beliau.

Kini, sebuah organisasi yang mewakili bekas ahli UMNO Parlimen telah menyuarakan kekurangan keyakinan terhadap kepimpinan Najib dan mahu beliau meletakkan jawatan.


Organisasi yang dipanggil Penawar yang diketuai oleh bekas Menteri Kabinet Aziz Shamsuddin, yang merupakan Setiausaha Politik Mahathir dari tahun 1981 hingga 2002.

Bercakap mengenai isu ini, ahli Penawar berkata organisasi ini memutuskan dalam mesyuarat minggu lalu bahawa ini adalah masa untuk Najib melepaskan jawatan."Terpulang kepada Najib. Jika dia mencintai negara dan orang Melayu, beliau harus meletakkan jawatan secepat mungkin.

"Jika dia tidak beliau adalah orang yang mementingkan diri sendiri, maka dia mesti berhenti," kata bekas Ahli Parlimen kepada FMT, sambil menambah bahawa mesyuarat itu dihadiri oleh bekas menteri dari era Mahathir.

Menurut beliau, Penawar, yang mewakili kira-kira 50 bekas Ahli Parlimen, tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib kerana beberapa sebab. Apabila ditanya, beliau enggan mengulas lanjut mengenai sebab-sebab, yang menyatakan bahawa ini adalah pengetahuan umum.

Dihubungi kemudiannya, Aziz memberitahu yang merupakan pengerusi Penawar, enggan mengulas mengenai perkara itu tetapi mendedahkan bahawa organisasi akan mengadakan satu lagi mesyuarat esok.

Abang Muhyiddin turut hadir?

Najib mengambil alih pada April 2009 dan segera menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang sederhana di bawah konsep 1Malaysia bertujuan untuk memancing undi Cina dan India.

Walau bagaimanapun, pendekatan menyeluruhnya gagal turun ke bawah dengan baik menyebabkan ketidakpuasan hati golongan pihak-pihak tertentu dalam Umno. Walaupun Mahathir mendakwa bahawa parti itu telah gagal untuk melindungi orang Melayu dan ini membawa kepada munculnya kumpulan-kumpulan seperti Perkasa.

Dalam perkembangan yang sama, sokongan kaum Cina terus meningkat untuk pembangkang seperti yang dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil dan tekanan ke atas Najib yang dipasang.

Blogger terkemuka Mohd Sayuti Omar juga mencatatkan satu artikel mengenai panggilan Penawar kepada Najib untuk meletak jawatan.

Menurut suatu sumber, di kalangan mereka yang hadir pada mesyuarat itu adalah abang Muhyiddin, Aziz Yassin, bekas Menteri Belia Dan Sukan Mokhtar Hashim dan Tamrin Ghaffar, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Ghaffar Baba.

Hakikatnya gangguan sepert ini akan semakin menyulitkan Najib dalam usahanya memantapkan sokongan kepada Barisan Nasional yang semakin tercabar pada ketika semakin dekatnya pilihan raya.

Persoalan ialah apakah jika Najib lepas jawatan, UMNO dan Barisan Nasional akan menang atau kita biarkan Najib membuktikan sesuatu dalam pilihan raya umum nanti?

Ini kerana pilihan raya umum ini adalah pengukur sebenar sokongan rakyat kepada Najib.

Namun persoalan juga ialah, kenapa ramai veteran UMNO yang begitu menyayangi dan menghormati Allahyarham Tun Abdul Razak semakin tidak berpuas hati dengan Najib?