Thursday, July 1, 2010

ISU STADIUM – AHMAD SAID WAJAR KECEWA DAN MALU

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sepatutnya dalam soal runtuhan stadium, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tidak perlu kecewa, tetapi sebagai Menteri Besar ‘yang mempunyai kuasa’, beliau sepatutnya menunjukkan wibawa.

“Dato’ Ahmad Said orang Kemaman, saya pun orang Kemaman, sepatutnya beliau menunjukkan kewibawaannya sebagai Menteri Besar orang Kemaman, mengarahkan jentera kerajaan dibawahnya,

“Tapi, sebaliknya, Ahmad mengadu kepada pihak media, bahawa beliau rasa kecewa,”jelas Hanafiah kepada sebuah portal berita pro PAS semalam.

Pada Selasa, Menteri Besar Terangganu Ahmad Said menyuarakan rasa malu dengan keadaan stadium itu, yang sejak bumbungnya runtuh pada 2 Jun tahun lepas sehingga kini masih belum dibersihkan mahupun dibaiki.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung itu masih tertangguh walaupun pihak JKR memaklumkan bahawa tender kerja-kerja itu sudah dibuka.
Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Persoalannya, Hanafiah faham atau tidak, siapa sepatutnya membersih runtuhan dan membina semula bumbung stadium yang runtuh itu?

Dengan mengatakan , wujud kelemahan urustadbir negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Said hanya kerana beliau melahirkan ‘rasa kecewa’ berikutan runtuhan bumbung stadium yang tidak dibersihkan, setelah lebih setahun berada dalam keadaan sedemikian, tidak tepat.

Rakyat Terengganu perlu tahu perkara sebenar (bukan mengiakan sahaja kenyataan atau komen pemimpin PAS yang ‘hentam sajalah’ seperti yang dibuat Hanafiah) bahawa memang kuasa Kerajaan Negeri menentukan kepada siapa tender akan diberikan tetapi laporan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) hendaklah didapati terlebih dahulu.

Jika Hanafiah tidak tahu atau memang ‘buta’ dalam isu pembersihan stadium ini, jangan komen sesuka hati.

Jika sekadar mahu memperkecilkan ‘orang Kemaman’ seperti Ahmad Said, Hanafiah jelas menunjukkan ‘kebodohannya’ sendiri!

Seperti ditegaskan oleh Ahmad Said selepas mesyuarat EXCO semalam, Kerajaan Terengganu tidak dapat membuat keputusan untuk membaikpulih bumbung stadium berkenaan yang runtuh selagi tidak menerima laporan penilaian daripada JKR.

"Memang mereka (JKR) serah kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan membaiki stadium itu, tetapi kalau laporan penilaian yang dibuat JKR tidak diterima, bagaimana kami mahu buat keputusan. Kita kena ikut laporan yang mereka (JKR) buat," katanya.

Yang pasti hingga ke hari ini kerajaan negeri belum menerima laporan yang diperlukan untuk membolehkan Lembaga Tender kerajaan negeri bersidang.

Adalah tidak benar tuduhan Hanafiah yang mengatakan Ahmad Said sedang meminta simpati seluruh rakyat.

Hanafiah berpendapat, jangan diambil ringan sikap dan ‘pe’el perangai’ Ahmad Said itu, kerana menurutnya Ahmad orang mengaji ‘Sains Politik’.

Katanya “Semua orang tahu macamana Ahmad berpolitik, sehingga ada sebuah blog yang mengatakan ‘tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…”,

“Mungkin dengan ‘melahirkan rasa kecewa’ Ahmad cuba meraih simpati dari rakyat, yang kini dimerata-rata orang memperkatakan tentang kelemahan UMNO dan kerjaan BN Terengganu,”ujar Hanafiah.

Nampaknya spin Hanafiah cetek dan tersasar kerana Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Prof Judin Abdul Karim semalam berkata jabatan itu sedang menyenarai pendek beberapa kontraktor daripada 48 kontraktor yang mengemukakan cadangan masing-masing.

"Oleh kerana kerja-kerja itu sangat rumit, Mei lepas JKR Terengganu merujuk kepada ibupejabat JKR bagi mendapatkan nasihat pakar teknikal yang berkaitan," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Judin berkata kerja-kerja pembersihan runtuhan perlu dilakukan dengan teliti dan cermat bagi memastikan keselamatan struktur stadium dan keselamatan pekerja terjamin.

"Prosedur dan turutan kerja pengalihan serta pembersihan adalah sangat kritikal kerana ia boleh menjejaskan kestabilan struktur. Ini memerlukan kontraktor yang berkemampuan, mempunyai kebolehan dan memenuhi syarat-syarat sahaja yang layak dipertimbangkan," katanya.

Selepas meneliti apa yang berlaku sejauh ini, apakah Ahmad Said tidak wajar menyatakan kekecewaannya?

Sebagai pemimpin nombor wahid di Terengganu mana beliau mahu meletakkan muka apabila runtuhan stadium itu kini turut menjadi ‘ejekan’ pihak PAS sendiri yang menggelarkan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’.

Malah, selepas lebih setahun bumbung stadium runtuh, bukan sahaja pihak yang bertanggungjawab tidak dihadapkan ke muka pengadilan tetapi kelambatan membersihkan keruntuhan itu turut mencalarkan imej negeri.

Lebih memalukan Ahmad Said apabila stadium yang runtuh itu kini menjadi salah satu’ tarikan pelancong’ yang melawat Terengganu, apabila ia dapat dilihat dengan jelas melalui tingkap pesawat – tidak kiralah pesawat penumpang atau sewa.

Lebih memalukan jika tinjauan bandar Kuala Terengganu dibuat dengan pesawat ringan atau helikopter apabila runtuhan bumbung itu bagaikan satu daripada tarikan pelancong ke Terengganu!

WAHAI PAS – MANA SATU YANG BETUL

Apa sahaja masalah dalam negara, termasuk kegagalan mendaftar mengundi, terus dihempuk ke atas kepala UMNO.

Itulah sikap PAS hari ini. Pandangan sempit Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad membahayakan kerana pandangannya asyik tertumpu dalam kotak ‘menyerang UMNO’ bukan sama-sama melihat pentingnya untuk diatasi masalah ini.

Katanya, PAS berpandangan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa nisbah 1 orang Melayu dan 40 bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi, adalah petunjuk kegagalanUMNO sebagai tonggak kepada negara pada hari ini untuk menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu.

Beliau berpendapat perkara itu terjadi kerana UMNO BN yang berkuasa di negara ini telah menjadikan generasi muda Melayu, hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau.

Katanya, orang Melayu yang dilanda dengan budaya itu memang mereka tidak akan mempedulikan soal politik dan apa sahaja gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita.

“UMNO mengharap dengan dihadang program hiburan sebegini maka mereka tidak akan mengambil peduli apa yang berlaku kepada negara ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Itulah pandangan Idris kelmarin.

Sebaliknya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal memberikan kesedaran kepada orang Melayu untuk mendaftar sebagai sebagai pengundi.

Menurut Hadi, pendedahan kajian daftar pemilih yang dijalankan oleh Pergerakan Pemuda Umno bahawa nisbah pendaftaran pengundi baru adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) membuktikan kelemahan SPR melaksanakan peranan mereka.

“Pendedahan itu hanya melihatkan kelemahan SPR dalam gerak kerja mereka untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu untuk mendaftar sebagai sebagai pengundi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen kelmarin.

Namun di sebalik itu, saya tertarik dengan pandangan Mutaligat ( http://mutaligat.blogspot.com) yang walaupun membantai kerajaan Barisan Nasional tetapi mencadangkan agar SPR diberi kuasa untuk mendaftar pemilih secara automatik di mana pangkalan data mengenai semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun boleh diperolehi terus dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, masalahnya sekarang kita berasa hairan dan pelik mengapa kerajaan tidak mahu memberikan kuasa kepada SPR dan JPN untuk menjalankan pendaftaran secara automatik seperti yang telah lama dituntut oleh BERSIH dan pakatan pembangkang.

Pandangan beliau agak sedikit selari dengan pandangan Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang bahawa kerajaan sepatutnya meminda undang-undang sedia ada dengan membenarkan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang telah mencapai umur 21 tahun.

Yang penting, kerajaan patut meminda undang-undang dengan mempunyai sistem jaringan maklumat dengan Jabatan Pendaftaran.

Bagi Hadi, sebaik sahaja pengundi ini mencapai usia 21 tahun maka pendaftaran dapat dibuat secara automatik.

Maka tidak akan timbul isu pengundi Melayu sedikit berbanding kaum Cina.

Saturday, June 26, 2010

UMNO SEBULAT SUARA TOLAK PERTARUHAN SUKAN

Spin pembangkang khususnya PAS melalui suara rasminya, Harakahdaily, tidak menjadi untuk memecahbelahkan UMNO dan sokongan orang Melayu-Islam terhadap parti itu melalui isu lessen pertaruhan sukan.

Tajuk ‘UMNO pecah ekoran lesen judi’ hanya tinggal tajuk semata-mata dan UMNO serta orang Islam yang waras tidak akan mudah terpengaruh dengan putar-belit Harakahdaily dan pemimpin PAS yang menuduh UMNO ‘sokong judi’.

Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat semalam sebulat suara meminta kerajaan tidak mengeluarkan sebarang lessen pertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn Bhd.

Berikutan itu kerajaan membuat keputusan tidak akan mengeluarkan lesen pertaruhan sukan dan berhak menarik balik sebarang lesen yang sudah dikeluarkan.

Bukan sekadar itu sahaja, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan kegiatan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan.

Syarat ini menggambarkan betapa kerajaan begitu tegas dalam perkara ini. Jadi di manakah kewajarannya menuduh kerajaan menyokong judi atau mengeluarkan lessen pertaruhan sukan?

Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, keputusan sebulat suara UMNO ini membuktikan ia sealiran dengan keputusan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain kerana kesemua mereka menerima keputusan itu demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah, Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, Ascott tidak akan dibayar ganti rugi memandangkan Kementerian Kewangan berhak menarik balik sebarang lesen judi yang dikeluarkan.

Beliau berkata Ascott telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan mereka memahaminya.

Soal penting di sini ialah keputusan sebulat suara itu menggambarkan UMNO peka, bertanggungjawab dan sensitif selain bersedia mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

UMNO juga ternyata amat mengambil berat terhadap pandangan rakyat semua kaum dan walaupun ada pihak yang menyokong dan ada pihak tidak menyokong atau menentang, maka setelah mengambil kira semua pandangan ini, jelas kepada kerajaan bahawa sebilangan besar masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut diberikan kepada Ascott Sports.

Lesen pertaruhan sukan telah bermula pada 1989 tetapi syarikat itu telah menyerahkan semula kepada kerajaan pada 1990 kerana mengalami kerugian besar. Sejak tarikh itu syarikat berkenaan telah mencuba beberapa kali untuk memperbaharui lesen dan baru-baru ini kerajaan telah memberikan kelulusan secara dasarnya berasaskan kepada syarat-syarat tertentu untuk dipenuhi.

Kerana itu kerajaan berhak member, menolak atau menarik balik lessen berkenaan dan tidak timbul kerajaan ‘berbohong’ dalam perkara ini.

Ternyata usaha Harakahdaily, ‘suara keramat PAS’ yang mahu mengeruhkan suasana dalam UMNO, orang Melayu dan Islam kini gagal walaupun ada menyebut dalam edisi 25 Jun 2010 (semalam) bahawa selepas Johor, UMNO Perak dan Kedah, Pemuda UMNO juga memecahkan sokongan mereka kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak apabila secara terbuka menentang keputusan beliau meluluskan lesen judi untuk bola sepak.

Harakahdaily memetik ketuanya, Khairy Jamaluddin sebagai berkata: “Kita berharap apa yang kita dengar dalam berita iaitu kenyataan yang dibuat pihak swasta bahawa kerajaan bersetuju (mengeluarkan lesen) adalah tidak benar. Kita berharap kerajaan tidak mengeluarkan lesen itu.”

Sebelum ini, Umno Johor pimpinan Datuk Seri Abdul Ghani Othman telah membuat bantahan yang sama.

Menurut Harakahdaily yang cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO, “Namun yang memeranjatkan adalah Perak turut membantah judi bola ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Perak tidak setuju lesen judi boleh diberikan. Ini kerana, Umno Perak khasnya Zambry dikatakan pihak yang mendapat manafaat secara langsung dari hubungan baik antara Najib dan Vincent Tan, pemimpin kumpulan Berjaya yang dikatakan mendapat lesen ini.”

Najib menjelaskan semalam, adalah menjadi hasrat kerajaan selama ini untuk mengawal pertaruhan sukan haram yang dikatakan melebihi RM10 bilion di samping menyumbang kepada kegiatan jenayah yang lain dan ancaman sosial dalam negara.

KEMELUT POLITIK PKR SELANGOR SUDAH TERLALU PARAH?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan bahawa wujudnya sekumpulan 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menyingkirkan beliau hanya satu spekulasi.

Ini kerana hingga kini beliau tidak menerima apa-apa memorandum atau surat bantahan daripada mana-mana pihak yang menggesa supaya beliau berundur.

Ditanya sekiranya ada pihak yang akan menghantar memorandum kepadanya bagi mendesak agar beliau melepaskan jawatannya, Abdul Khalid berkata: "Saya akan terima dan baca."

Isu wujudnya perbalahan di Selangor kembali timbul apabila Naib Presiden PKR, Azmin Ali bertindak melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Rabu lalu.

Dilaporkan antara sebab Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengumumkan pengundurannya daripada PKNS kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Abdul Khalid yang tidak merujuk kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Dikatakan juga beliau turut tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid melantik Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Itu kata Khalid. Namun, ada khabar mengatakan beliau akan disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Permukiman dua hari PKR yang akan diadakan Shah Alam mulai hari ini dan esok dikatakan medan untuk ‘menyerang’ Khalid. Malah, ia juga medan untuk menyuruhnya turun daripada kedudukannya sekarang.

Khalid kini tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti.

Yang pasti sejak beberapa hari lalu, beberapa akhbar, termasuk berbahasa Inggeris mengatakan sekumpulan 15 ahli parlimen daripada PKR bergabung tenaga untuk menyingkirkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, beberapa media menyebut semua anggota parlimen PKR itu mahu Khalid berundur dan melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Khalid, ketika menyampaikan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Sungai Yu, di Kuala Selangor semalam menganggap laporan itu hanya satu spekulasi.

Ditanya apa tindakan beliau sekiranya diberikan surat mengandungi desakan kumpulan itu, Abdul Khalid berkata: "saya akan terima dan baca".

Apapun, isu mengenai dakwaan ‘rampasan kuasa’ terhadap Khalid oleh sekumpulan ahli parlimen PKR, dijangka menjadi topik panas dalam permukiman parti itu di Shah Alam itu.

Bagaimanapun, naib presiden PKR, R Sivarasa berkata, pemukiman hanya akan membincangkan perkara-perkara berkaitan strategi parti untuk berdepan dengan pilihanraya umum akan datang.


Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam pula berkata memang ada perbincangan dan desakan terhadap Menteri Besar Selangor mengenai hala tuju pentadbiran negeri itu pada sesi pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan ada desakan pemimpin parti supaya Abdul Khalid berundur daripada jawatannya. “Memang ada perbincangan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor dan isu parti, tetapi tidak pula ada desakan beliau berundur jawatan Menteri Besar.

“Kalau ada konflik masa perbincangan itu hanya perkara biasa, mana-mana parti pun sama. Cuma banyak desakan dilemparkan terhadap (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya semalam.

Pengarah Strategik parti itu, Tian Chua mendakwa, memang wujud desakan supaya Abdul Khalid melakukan rombakan membabitkan beberapa kakitangan penting di pejabat kerajaan negeri. Katanya, segelintir pemimpin parti mahu tenaga kerja itu dipecat kerana dipercayai dilantik ketika kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Ada desakan supaya kakitangan kerajaan negeri yang dilantik Barisan Nasional (BN) dipecat kerana gagal memberi kerjasama, tetapi kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya memecat mereka, jadi Abdul Khalid perlu bijak menanganinya,” katanya.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya pula mengesahkan bahawa salah satu daripada dua perkara dalam agenda permukiman tersebut ialah mengenai pentadbiran Selangor, dengan fokus khas untuk mencari jalan bagi parti menyalurkan lebih banyak input dalam dasar-dasar kerajaan negeri.

Sumber-sumber lain parti itu pula membayangkan bahawa pihak parti akan mendesak senarai baru ahli exco negeri, bagi membuka ruang kepada ahli PKR memainkan peranan dalam kerajaan negeri.

Selain isu ‘pemberontakan dalam PKR Selangor’ Khalid juga berdepan dengan kritikan terhadapnya dalam isu perkongsian kuasa pembangkang di negeri itu.

Model perkongsian kuasa dalam kerajaan Selangor - satu kerjasama antara PKR dan DAP - yang mempunyai hampir sama banyak wakil rakyat dalam kerajaan negeri akhir-akhir ini sering diperkatakan. PAS merasakan pihaknya sering diketepikan sementara PKR berusaha memperkukuhkan cengkamannya di Selangor sebagai persediaan untuk pilihan raya umum yang dikatakan tidak lama lagi.

Azmin turut dikatakan sebagai ketua ‘rampasan kuasa’ membabitkan kumpulan 15 ahli parlimen tersebut, selepas pemerhati politik mengesan tanda-tanda wujudnya hubungan semakin buruknya dengan Khalid.


Keadaan ini dikatakan memberikan kesan kepada imej parti.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan terasa bahang akibat pergeseran dalaman PKR dan kecacatan dalam politik Selangor perlu beliau perbetulkan.

Pilihannya bagaimana? Apakah mengekalkan kedua-dua – Azmin dan Khalid – atau memencilkan salah seorang daripadanya.

Perkembangan terbaru ini benar-benar menguji Anwar kerana kedudukan yang ‘telan mati emak dan luah mati bapak’ tidak akan mendatangkan kebaikan kepada PKR dan semestinya apa juga tindakannya akan mencalarkan maruah parti.

Bagaimanakah akan dilakukan kelak?

Mampukah Anwar menjamin ‘rambut dalam tepung yang ditarik tidak putus’ dan Azmin serta Khalid dapat diperbaikkan semula?

Sejauh ini nampaknya Azmin tidak boleh bersabar lagi. Diasak oleh wartawan berhubung khabar angin pergeserannya dengan Khalid, Azmin kelmarin menafikannya tetapi mengakui sesetengah pihak di parti itu mempunyai beberapa isu dengan menteri besar berkenaan.

Namun katanya, beliau bukan seorang daripada mereka.

"Ini bukan isu saya. Ia luahan ahli dalam parti. Anda lihat pada kongres lalu...kebanyakan perwakilan melahirkan kebimbangan mereka dengan kerajaan negeri, khususnya Selangor yang mesti bergandingan tangan dengan ahli parti dan pemimpin lain kerana mereka mesti melaksankan polisi yang dilulus dan ditauliahkan oleh PKR,” katanya.

Azmin juga menafikan bahawa beliau dalang yang cuba mengulingkan Khalid daripada kerusi menteri besar dan berkata jika beliau berhasrat berbuat demikian ia akan dilakukannya sejak tahun 2008 dan bukan ketika penggal sekarang hampir berakhir.

Persoalannya, apa juga penafian Azmin, dalam perkiraan ini apakah Anwar berani membelakangkan keakraban beliau dan Azmin selama ini sebaliknya terus mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor?