Sunday, June 21, 2009

NAJIB JANGAN HILANG FOKUS

(Sembang Ahad)
Bagi saya, baik lupakan sahaja konsep kerajaan perpaduan.

Jangan menjadi hipokrit – kerajaan perpaduan asal ialah kerjasama UMNO dan PAS tidak membabitkan parti lain sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Jika tidak masakan pemimpin MCA seperti Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek di Pasir Putih, Kelantan kelmarin bernai mengatakan: "Demi kepentingan rakyat, maka MCA juga boleh duduk bincang dengan DAP."

Apa maknanya ini? Bukankah ia juga konsep kerajaan perpaduan tetapi antara Cina dengan Cina.

Oleh itu, Soi Lek percaya UMNO tidak mungkin membentuk satu kerajaan bersama PAS dan membiarkan parti kaum Cina menjadi pembangkang.

Yang jelas, kerana mahu menjaga hati pakatan pembangkang, pemimpin PAS terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sewaktu dengannya - konsep PAS mengenai kerajaan perpaduan asal sudah lari daripada matlamatnya.

Kalau konsep kerajaan perpaduan mahu dirojakkan, baik tidak usah adakan kerajaan perpaduan kerana konsep Barisan Nasional (BN) dan 1Malaysia sudahpun ada dan lengkap.
Ia lebih baik daripada ‘kawin campur’ melalui pakatan pembangkang.

Agak mengejutkan juga semalam apabila PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan Umno termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan.
Ini disuarakan senditi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Yang pasti, kenyataan terbaru ini dikeluarkan tiga hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Umno-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Sedangkan sebelum ini, apa yang difahamkan ialah perbincangan hanya membabitkan UMNO-PAS yang menjadikan banyak pihak dalam PAS, khususnya Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang serik dengan kerajaan campuran menentang bulat-bulat.

Malah, sebelum ini Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Pada 16 Jun lalu, Najib berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai reaksi kepada kenyataan itu berkata PAS menerima dengan hati terbuka keyakinan Perdana Menteri mengenai keikhlasan parti itu berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Akibatnya, Nasharudddin diminta oleh Nik Aziz supaya tinggalkan PAS dan masuk UMNO selain kata-kata pedih lain.

Persoalannya apa konsep kerajaan perpaduan terbaru?

Apakah ia UMNO + BN + PAS+ pakatan pembangkang? Kalau begini, sampai kiamat pun sukar untuk dibentuk kerana sebab-sebab yang rakyat sendiri sudah tahu.

Malah, semalam Nik Aziz mendakwa konsep pakatan pembangkang jauh lebih baik daripada kerajaan pimpinan UMNO dan dan kerana itu PAS tidak perlu mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pendiriannya tetap menolak konsep kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) yang hangat diperkatakan kalangan pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu kebelakangan ini.

"Kerajaan pakatan jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan... nak buka lembaran baru kerana apa, yang lama tutup kenapa. Ya... tetap (menentang kerajaan perpaduan)... kami dah kenal Umno," katanya di Alor Setar.

Jelas dan nyata kini PAS semakin menjauhkan dirinya dari UMNO.

Tidak diketahui sejauh mana UMNO masih mahu mendekati PAS. Yang pasti, PAS lebih selesa dengan sekutunya DAP dan PKR.

Benar juga kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa cadangan rundingan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS bukan keputusan yang bijak kerana ia boleh memberi pelbagai kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada ahli UMNO bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan.

Hendaknya Najib memberikan arahan supaya jangan membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya.

Selain itu saya (siapalah saya) ingin mengingatkan Najib, teruskan dengan agenda 1Malaysia itu kerana ia perjuangan yang berpandangan jauh dan mula diterima rakyat. Rakyat Didahulukan, Pencapaian diUtamakan cukup memberangsangkan daripada pakatan pembangkang yang bercelaru.

BN sudah mempunyai rekod pencapaiannya tetapi kerajaan perpaduan pembangkang berkecamuk di mana sahaja – Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan sebelum ini di Perak.

Di Kelantan tanda-tanda menunjukkan ia juga akan berkecamuk sesama sendiri kerana ada puak yang tidak mahu Melayu dan Melayu bersatu selain membenci orang Islam sesama Islam berbaik-baik.

Bagi mereka asal jangan UMNO, yang lain tidak apa kerana UMNO itu kafir dan diharamkan masuk syurga.

Apakah UMNO atau BN yang begitu murni perjuangannya mahu mendekati orang yang bersikap seperti ini?

Adalah baik Najib meneruskan agenda BN dengan memperkukuhkan UMNO dan jika ada yang sudi dari PAS untuk berbaik-baik, terimalah mereka dengan apa cara sekali pun tetapi lupakan kerajaan perpaduan jika ia akan mendatang lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Fikirkanlah Datuk Seri Mohd Najib Razak!

Saturday, June 20, 2009

MOHD NIZAR BERJUANG UNTUK PERIBADI

(Isu Sabtu)

Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin semalam memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Selepas melihat gelagat Mohd Nizar di Dewan Rakyat dan perjuangannya dalam isu Menteri Besar Perak bagaikan bersaorangan, timbul persoalan – apakah Mohd Nizar berjuang untuk kedudukan peribadi atau pakatan pembangkang.

Bagai samseng, Mohd Nizar menunjukkan warnanya di Dewan Rakyat yang menyebabkan beliau digantung bersama beberapa yang lain.

Dengan memakai lilitan kepala dan tidak menghiraukan Speaker Dewan Rakyat, rakyat meluat melihat sikapnya dan tindakannya itu bertujuan menggambalikan kuasa kepadanya.

Apakah Mohd Nizar melihat jawatan itu ekslusif untuknya? Juga apakah beliau masih tidak sedar bahawa istana mempunyai hak dalam isu perlantikan Menteri Besar?

Apakah kini beliau pada tahap riak dan menderhaka kepada Sultan Perak apabila terus mempertikai dan menunjukkan aksi bantahannya kepada istana apabila bertindak liar di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Apakah Mohd Nizar terlalu yakin akan menang kes rayuannya tetapi apakah dua parti pakatan pembangkang – DAP dan PKR – akur supaya Mohd Nizar terus menjadi Menteri Besar?

Maksudnya di sini, jika menang kes ini di mahkamah, apakah jika diminta oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Nizar rela melepaskan jawatan itu untuk orang lain atau dia sahaja layak menjadi Menteri Besar Perak.

Ini kerana dengan kedudukan PAS yang bercelaru dan lagipun PAS hanya ada tiga kerusi DUN di Dewan Undangan Negeri Perak, apakah parti lain yang lebih besar perwakilannya akan membiarkan parti yang terumbang ambing it uterus mengetuai kerajaan Perak jika mampu dibentuk.

Selain itu imej Mohd Nizar dengan istana sudah tercalar dan selagi Mohd Nizar terus memperkatakan kes ini, rakyat akan melihat Mohd Nizar sebagai ‘gilakan kerusi Menteri Besar’.
Buktinya, Mohd Nizar dari serendah-rendah mahkamah akan ke setinggi-tinggi mahkamah berusaha menjamin Dr Zambry tidak menjadi Menteri Besar.

Mohd Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, semalam, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang melalui Tetuan Leong & Tan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohd Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.
(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohd Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, beliu turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

Mohd Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sama dengan Fasal 16(6) UTKP dan sebarang keputusan berkenaan Fasal itu akan memberikan impak atau kesan berkenaan Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung jawatan Perdana Menteri.

"Ini bermakna sekiranya Yang di-Pertuan Agong hendak memecat Perdana Menteri, Baginda boleh berbuat demikian. Baginda boleh menelefon Perdana Menteri dan memberitahu bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat," kata Mohammad Nizar dalam sidang media selepas menfailkan permohonan itu.

Ketika ditanya mengapa beliau memohon supaya kesnya didengar di hadapan 11 hakim, beliau berkata: "Apabila ada ramai hakim, kita harap supaya dapat memberikan keputusan yang adil kerana rakyat negara ini sangat menagih keadilan."

Mohd Nizar juga berkata beliau gembira kerana akhirnya permohonan itu berjaya difailkan walaupun keputusan hujahan bertulis oleh Mahkamah Rayuan masih belum diperolehi.

Pada 22 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Md Raus, dalam penghakiman lisannya memutuskan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membuat keputusan yang betul ketika melantik Zambry sebagai menteri besar yang baru, berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Mohd Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Md Raus yang bersidang bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati bahawa Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Pertikaian jawatan Menteri Besar Perak bermula apabila tiga daripada wakil rakyat pakatan DAP-PKR-PAS keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional pada Februari lepas.

Mohd Nizar, 52, kemudiannya memfailkan semakan penghakiman untuk memohon satu writ bersifat "quo warranto" atau "melalui kuasa apa" dikeluarkan terhadap Zambry bagi menyatakan tunjuk sebab atas asas apakah beliau menjadi menteri besar yang sah.

Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah Mohd Nizar kini bagaikan orang hilang akal selepas dilucutkan jawatan dan dendam kesumatnya ialah mengganggu-gugat Kerajaan BN pimpinan Dr Zamry selain mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa ‘istana tidak betul dan tidak adil kerana melucutnya’.

Persoalannya kenapa tunjuk belang di Dewan Rakyat bukannya secara langsung kepada istana kerana perlantikan Dr Zambry ialah kerana perkenan istana.

Sewajarnya Mohd Nizar mendapatkan perkenan istana walau apa cara juga sekali pun terlebih dahulu sebelum ke mahkamah rayuan kerana kalau menang pun beliau tetap akan menghadapi halangan.

Jika halangan berterusan, Mohd Nizar terpaksa akan melupakan niatnya dan putihlah matanya untuk menjadi Menteri Besar.

Ironinya, jika jawatan Menteri Besar itu menjadi matlamat peribadinya, tidak pelik jika beliau akan ‘membuat kacau’ pula kepada rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang kerana matlamat Mohd Nizar hanyalah satu iaitu mendapatkan kembali kerusinya – kerusi Menteri Besar Perak.

KELEWATAN LPT2 – AKIBAT KERENAH KONTRAKTOR ‘KRONI’?

Datuk Ahmad Said hanya menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mempengurusikan Mesyuarat Exco Rabu lalu. Ahmad Said tidak mendedahkan dan tidak merujuk kelambatan projek pembinaan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) sebagai kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Ahmad Said juga tidak menamakan kontraktor ‘kroni’ apabila menjawab soalan pemberita. Setiap patah perkataannya merujuk kepada kontraktor (dua kontraktor) dan tidak lebih daripada itu.

Perbuatan laman ‘Media Informasi Terkini’ menambah-nambah cerita mengenai kelewatan LPT2 ini disengajakan untuk merancakkan semula pertelingkahan dalam UMNO.

Laman yang pro-PAS ini jelas menyimpang sama sekali mengemukakan pendapat apabila mengatakan kenyataan Menteri Besar mengenai kelewatan LPT2 sebagai suatu pendedahan oleh Ahmad Said umum ‘dilihat mempunyai kaitannya dengan perbalahan kumpulan yang menyokongnya dengan kumpulan Idris Jusoh.’

Menurut blog berkenaan, ”Ahmad mendedahkan masalah pembinaan LPT2 yang terlewat selepas runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan,Ia akan memberikan impak negatif berganda kepada kegagalan Idris mentadbir negeri Terengganu kerana kedua-dua projek mega itu dilaksanakan pada zaman Idris,”tambahnya.

Kenapakah nama Datuk Seri Idris Jusoh dikait-kaitkan dengan isu ini?

Ahmad Said menjelaskan Rabu lalu, berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, Fasa dua LPT yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Menurut laman itu, berasaskan sumber dalamannya, kedua-dua kontraktor yang menarik diri itu adalah kontraktor ‘kroni’ yang tidak mampu meneruskan pembinaan tersebut kerana hanya mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan.

Beliau yang turut terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu berkata, kontraktor berkenaan dianggap istimewa kerana bukan hanya mendapat satu pakej, sebaliknya telah dianugerahkan dua pakej projek lebuhraya yang pertama ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya itu.

”GPQ/Bukit Puteri JV mendapat pakej mendapat pakej 1C dan pakej 11 manakala Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 dan pakej 9B,”katanya.
Semakan lalan itu mendapati GPQ merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang beralamat di Tingkat 2, Menara Permint, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.

GPQ/ Bukit Puteri JV adalah syarikat usahasama yang ditubuhkan untuk mendapatkan tender pembinaan LPT2 bagi tujuan mengagih-agihkan konrak tersebut kepada beberapa kroni dizaman pemerintahan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pakej 1C adalah kontrak membina lebuhraya sepanjang 6.2 km dari Sungai Jabur ke Ladang Bukit Sah di Kemaman dan Pakej 11 sepanjang 5.9 km dari Bukit Petiti ke Telemong di Hulu Terengganu.

Selepas mendapat tender pakej 11 pada tahun 2005, dua tahun kemudian, GPQ/Bukit Puteri dianugerahkan pula pakej 1C pada tahun 2007.

Melalui kedua-dua tender anugerah itu, GPQ/Bukit Puteri JV meraih projek bernilai hampir RM 150 juta dengan pakej 1C bernilai RM90,000,000.00 dan pakej 11 bernilai RM57,961,710.50.

GPQ/ Bukit Puteri JV menarik diri dari membina pakej 1C kerana sehingga April, 2009 syarikat tersebut gagal mencapai sasaran dan hanya melaksanakan 3.7% kerja dari sasaran 15.1% sebagaimana jadual (dibawah).

Syarikat kedua, Arah Jitu Sdn Bhd. pula beralamat di 343E Bangunan Umno, Kuala Terengganu 21700, Terengganu dan, atau No. 47, Jalan 2/27 F Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSE), 53300 Kuala Lumpur.

Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 sepanjang 6.8 km dari Felda Kerteh 6 ke Hutan Simpan Santong, dan pakej 9B sepanjang 5.2km di lokasi Hutan Simpan Bukit Bauk dan Ladang Ternak Genetik, Dungun.

Dengan dianugerahkan kedua-dua tender tersebut, Arah Jitu Sdn Bhd sepatutnya mendapat perolehan sebanyak RM 110 juta dengan tender pakej 8 yang bernilai RM50,823,220.00 manakala pakej 9B bernilai RM59,215,000.00.

Arah Jitu Sdn Bhd mungkin menarik diri dari pembinaan pakej 9B kerana syarikat tersebut hanya mampu melaksanakan 14.6% dari sasaran 26.7% mengikut jadual.

Sumber tersebut memberitahu, kegagalan kerajaan UMNO/BN menyiapkan LPT2 pada tempoh sebagaimana yang dijadualkan adalah disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri.

Katanya harga bitumen yang melambung disebabkan oleh kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak secara tergesa-gesa dan melampau pada Jun 2008.

Walaupun kini, harga minyak telah turun, namun kebanyakkan harga barang dan perkhidmatan
tidak turun kerana kerajaan telah hilang kawalan terhadap pemborong dan pembekal.

”Bitumen adalah bahan yang berasaskan minyak, sepatutnya harga bitumen turun sekiranya harga minyak turun,

”Namun hingga kini, harga bitumen tidak turun, walaupun harga minyak telah lama diturunkan,”jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab keatas kenaikkan kos yang berlaku keatas pembinaan lebuhraya berkenaan.

UMNO TERENGGANU – SIAPA LAYAK?

Bahagian Kedua

Mungkin esok akan menjawab segala persoalan mengenai siapa dilantik dan apa hala tuju UMNO Terengganu.
Dalam bahagian pertama, saya nyatakan dengan jelas bahawa PAS lebih ke hadapan untuk menentukan agendanya di Terengganu apabila menyifatkan perjuangan mereka adalah ke arah ‘Kerajaan Baru’.

Maksud kepada Kerajaan Baru ialah menumpaskan Barisan Nasional (BN) dan gantikan dengan PAS.

Pernyataan PAS ini dibuat pada ketika UMNO Terengganu masih terkial-kial untuk melantik pasukan baru diketuai gandingan Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Pengerusi Perhubungan) dan Timbalannya Datuk Ahmad Said.

Persoalan juga ialah apakah UMNO Terengganu akan mengekal atau menggugurkan dua Datuk R – Setiusaha dan Bendahari Rosli Mat Hassan dan Roslan Awang Chik –dan digantikan dengan muka baru?
Ia ada kaitan dengan isu rasuah yang membelenggu 2 R berkenaan dan ada pandangan mengatakan adalah baik sekiranya kedua-dua pemimpin itu ‘direhatkan’ sementara.
Bagi saya mesyuarat Perhubungan UMNO Terengganu petang Ahad ini (Esok dijangka 5 petang) di pejabat UMNO Negeri akan menjawab beberapa persoalan penting mengenai siapa yang akan dilantik dan siapa akan digugurkan bagi menyediakan pasukan menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Namun, seperti saya katakan sebelum ini, Hishamuddin mungkin sukar membuat pilihan kerana wujudnya pelbagai kumpulan dan kepentingan individu tertentu di Terengganu.

Yang paling penting ialah Hishamuddin perlu meletakkan dirinya sebagai pendamai, tidak berpihak dan menjamin BN terus berkuasa di Terengganu.

Sebut mengenai pendamai – apakah kumpulan yang menyerang Ahmad Said bersedia untuk kembali duduk semeja selepas Hishamuddin mengumumkan barisan ‘pentadbir UMNO Terengganu’.

Pendamai bukan bererti tunduk kepada tuntutan tertentu.

Pendamai adalah yang mampu membawa kumpulan bertelagah duduk semeja. Masalahnya di Terengganu hanya ada kumpulan yang menyerang Ahmad Said tetapi Menteri Besar itu tidak mempunyai hulubalang untuk menyerang bekas kumpulan yang menyerangnya.

Tidak berpihak pula bermakna Hishamuddin perlu memikirkan kepentingan UMNO bukan kepentingan pihak tertentu. Hishamuddin tidak boleh memikirkan kepentingan ‘kawan dan sahabat karibnya’ ketika dalam Pemuda UMNO dalam menentukan syarat perlantikan.

Juga dalam konteks menjamin BN terus berkuasa, Hishamuddin tidak boleh menggunakan formula UMNO Pantai Barat atau Johor untuk membawa kemenangan kepada UMNO Terengganu.

Jadi siapa yang sewajarnya Hishamuddin tentukan?
Jawapannya ialah untuk Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan ahli jawatankuasa badan UMNO Terengganu itu, Hishamuddin perlu memberikan ruang kepada Ketua-Ketua Bahagian terlebih dahulu.

Bagi jawatan ketua penerangan, Datuk Zuber Embong tidak ada sebab untuk ditukarkan kerana sejauh ini beliau bukanlah tokoh kontroversi.

Selain Ahmad Said (Kemaman) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), ketua Bahagian lain yang boleh dilantik ialah Datuk Tengku Putera Awang (Hulu Terengganu), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu), Datuk Mohd Jidin Shafee(Setiu), Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Yahya Khatib Mohamad (Marang) .

Datuk Rosli Mat Hassan, walaupun Ketua Bahagian UMNO Dungun dianggap tidak lagi layak selepas mempunyai kes yang sedang siasat.

Jika didapati ketua bahagian tidak layak, Hishamuddin perlu melihat calon Timbalan Ketua Bahagian dan beberapa muka baru daripada Wanita UMNO dan Pemuda juga boleh diketengahkan.

Pokok pangkalnya mereka ini bukan kontoversi dan mempunyai cita-cita ‘bisnes’ yang tinggi kerana jawatan yang diberikan untuk untuk mencari keuntungan diri atau keluarga sebaliknya untuk memperkukuhkan UMNO Terengganu.

Kukuhnya UMNO Terengganu akan membuka ruang untuk menang pilihan raya dan bakti mereka yang memperjuangkan nasib UMNO di Terengganu sudah pasti akan diiktiraf oleh Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi.