Friday, May 22, 2009

UMNO TIDAK BERTANDING DI MANEK URAI?

Cabaran pertama untuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau wajar mencadangkan kepada Barisan Nasional (BN) Pusat sama ada bertanding atau tidak di DUN Manek Urai, Kelantan.
Jika berasakan kepada sebab-sebab utama Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada bertanding di Penanti – perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta faktor penjimatan wang rakyat, seharusnya UMNO tidak perlu masuk gelanggang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai.
DUN Manek Urai jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 2008 selepas berada di tangan BN apabila UMNO memenanginya pada pilihanraya umum 2004, yang ketika itu Mustapa juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.

Namun jika berasaskan kepada kedudukan status quo DUN Kelantan ketika ini, UMNO sewajarnya beri menang percuma sahaja kepada PAS, kecuali seperti di Penanti ada calon bebas mahu bertanding.

Yang pasti, PAS sudahpun menyuarakan pandangan mereka bahawa Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei.

"Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini .

PAS sudah menyatakan bahawa ia akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai. Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan akan mencadangkan kepada pemimpin UMNO dan BN bertanding pada.lihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob hari ini.

Ahmad, bekas anak didik Mustapa, akan mencadangkan demikian kerana kerusi DUN berkenaan kosong atas faktor kematian dan bukan atas alasan yang direka.

"Walaupun itu kawasan PAS, saya secara peribadi akan cadangkan supaya BN bertanding, tetapi kata putus adalah di tangan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Thursday, May 21, 2009

PERTAUTKAN YANG RENGGANG

(Kemaskini)

Ternyata pagi ini Ahmad Said yang ‘got the last laugh’. Semua dah settled. Dah beres. Yang dinanti-nantikan sudahpun berakhir.

Yang pasti status quo kepimpinan Kerajaan Negeri kekal. Tiada perubahan (setakat hari ini).

Kini semua pihak mahu perpaduan. Malah mesej perpaduan dalam UMNO Terengganu inilah yang ditekankan oleh Datuk Hishamuddin Hussein.
Datuk Ahmad Said yang pulang ke Kuala Terengganu pagi ini turut menekankan perkara yang sama. “Kita mulakan episod baru dengan semangat perpaduan. Lupakan yang keruh,” katanya.
Beliau bersyukur dan gembira kerana pertemuan semalam dapat diadakan dalam suasana penuh harmoni dan semangat perpaduan UMNO.
“Yang penting sekarang kita perlu tumpu kepada pilihan raya ke 13 nanti bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional,” katanya.
Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Hishamuddin mendengar segala rasa tidak puas hati - pihak yang marahkan Datuk Ahmad Said - di Putrajaya, semalam.
Kesemua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Terengganu menyertai pertemuan dengan Hishammuddin berhubung kemelut politik Terengganu.
Pertemuan tersebut yang diadakan mulai pukul 10 malam bagaimanapun terlepas daripada intipan beberapa wartawan yang turut berada di lokasi pertemuan yang berlarutan hingga ke awal pagi.
Saya mendapat maklumat awal daripada mereka yang menyertai pertemuan itu hampir jam 2.00 pagi ini.
Pertemuan banyak mata yang diatur oleh Hishamuddin semalam berjaya mengendurkan ketegangan dan jelas suara-suara tidak puas hati dapat dihemburkan dengan ‘loud and clear’.
Usaha mempertautkan yang renggang ini baik dan keterbukaan Ahmad Said untuk menerima teguran dan amarah sebahagian pemimpin UMNO patut dipuji.

Laporan-laporan sebelum ini mengatakan Ahmad Said menjadi tumpuan rasa tidak puas hati tetapi hakikatnya ada beberapa pemimpin UMNO lain yang turut kena belasah.

Apapun ada dua perkara yang menarik ditimbulkan dalam pertemuan banyak mata itu.
Pertama isu mencari ‘penawar’ – bunyi macam lagu Black Dog Bone – “Ku Cari Penawar Luka” yang lebih kurang sebagai formula mengatasi kemelut politik Terengganu.

Apa dia formula dimaksudkan? Ia ditimbulkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memang macam ‘meluat sangat’ dengan Ahmad Said.

Dengan cara beliau menggunakan cara pusing kiri, pusing kanan tanpa menyebut maksud, Hishamuddin dapat menangkap maksudnya.

Ia lebih kepada menggugurkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar bagi mengatasi kemelut ini. Namun pernyataan terus terang tidak dibuat.

Tidak diketahui sama ada yang menimbulkannya takut menyatakannya depan Ahmad Said atau beranggapan ia sudah difahami semua.

Yang menariknya, Ahmad Said tidak mempertahankan diri dan diam membisu sambil mendengar apa sahaja yang diperkatakan mengenainya.
Ini disahkan oleh seorang Exco yang pulang pagi ini dan ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pagi ini.
“Saya gembira dan memuji sikap Ahmad Said yang tidakpun cuba mempertahankan diri walaupun beliau dikritik,” kata Exco berkenaan.
Beliau anggap semuanya sudah selesai dan semua pihak perlu tumpukan kepada usaha mengukuhkan kembali UMNO.

Ternyata menggantikan Ahmad Said bukan kerja Hishamuddin. Ia juga bukan kerja UMNO, melainkan kalau UMNO lingkup di Terengganu.

Seperti pada 1999, sukar sangat menggulingkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, sebahagian ahli UMNO mengundi PAS dan dibantu dengan gelombang reformasi, Wan Mokhtar jatuh.

Jatuhnya Wan Mokhtar membolehkan Datuk Seri Idris Jusoh melebarkan sayapnya dengan memimpin UMNO Terengganu untuk menang kembali pada 2004.

Jadi untuk ketika ini walaupun cuba dicari penawar, status-quo kekal - Ahmad Said terus jadi Menteri Besar seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu.

Kedua, ialah soal berkaitan dengan pemimpin UMNO lain selain Ahmad Said.
Ada yang menimbulkan isu perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dikatakan tidak adil kepada mereka.

Hakikatnya kerajaan negeri belum melantik ahli JKKK dan dijangkakan selepas ini baru perlantikan dibuat walaupun sudah ada cadangan daripada satu dua Bahagian UMNO.
Jelas, pertelingkahan antara pemimpin di bahagian, kesan melimpahnya kepada Ahmad Said.
Baik juga pertemuan itu dilakukan, setidak-tidaknya Hishamuddin tahu apa sebenarnya berlaku di Terengganu.

Dalam kemelut begini, yang benar bukan benar semua dan yang salah bukan salah semua.
Hendaknya selepas ini, tidak akan ada lagi kemelut seperti yang berlaku sebelum ini.
Semua pihak harus faham, kalau lingkup UMNO yang jadi YB tidak akan jadiYB lagi dan yang ada harapan pun akan musnah segala-galanya.

Setidak-tidaknya sekarang, walaupun ada kemelut, ramai yang masih bergelar YB kalaupun Menteri Besar hanya seorang.

Dalam isu Menteri Besar ini, serahkanlah kepada pucuk pimpinan menentukannya.

Berilah peluang kepada Ahmad Said meneruskan agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diperkenalkan lebih awal daripada 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Juga, bak pesanan Hishamuddin, janganlah lagi bersms kepadanya dengan pelbagai ‘maklumat’ kerana cara itu akan mengusutkan lagi suasana.

Kepada Hishamuddin pula, apabila tidak dilayan sms seperti itu, akan terhenti sendirilah penghantarannya kerana yang menghantar akan merasa dirinya ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Mungkin yang belum beras setakat ini ialah siapa yang akan menerajui UMNO Terengganu, selain Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang sudah diumumkan oleh Presiden UMNO.
Pengerusi Perhubungan Terengganu, selepas mendengar kata hati semua pihak semalam, mungkin sudah mula mengenal nama.

Yang pasti akan ada yang tidak berpuas hati tetapi seperti biasa, sebagai pemimpin, Hishamuddin tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

Hishamuddin sudah melihat bagaimana Ahmad Said ‘diserang’ dan dia juga mulai sekarang perlu membina kubu kerana akan ada orang yang akan menyerang beliau apabila nama-nama diumumkan olehnya bagai mentadbir UMNO Terengganu.

Dalam konteks kepimpinan UMNO Terengganu ini, ‘jangan takutkan ombak, berumahlah di tepi pantai’ – ini pesanan saya untuk Hishamuddin!

Wednesday, May 20, 2009

MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

Hari ini yang ada di negeri Terengganu rakyat sahaja.

Semua orang ‘berpolitik’ di Terengganu - ada di Kuala Lumpur. Semua orang politik - ADUN, Ketua Bahagian dan Menteri Besar ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat mingguan Exco juga diadakan di Kuala Lumpur.

Malam ini mereka ke Putrajaya. Agenda kemuncak akan berlaku di Putrajaya.

Ramai yang menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu malam ini. Selain kedudukan Menteri Besar, siapa akan menduduki Setiausaha Perhubungan, Bendari dan Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.

Apa tidaknya. Sesetengah menganggap mesyuarat malam ini yang akan menghimpunkan semua ADUN Terengganu dan Ketua-Ketua Bahagian dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein itu sebagai ‘jalan terakhir’ menentukan kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dengan kata lain, teka teki bila dan siapa akan menggantikan Ahmad Said, dikatakan bergantung kepada keputusan mesyuarat malam ini.

Kerana itu tidak pelik kalau ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Besar itu, dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut "terlalu awal" kerana perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya malam.

Malah, kata ADUN berkenaan, beliau dan rakan-rakannya akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad Said mesti diganti.

"Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu. Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, dilaporkan berkata, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Muhyiddin dikritik oleh sesetengah ADUN kerana membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Ahmad Said mendahului Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Tidak tahulah SIAPA BESAR dalam konteks membuat kenyataan mengenai kedudukan Ahmad Said antara Timbalan Presiden UMNO berbanding Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Yang pasti Ahmad Said yang telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi akan terlebih dahulu bertemu Hishamuddin sebelum mesyuarat penuh membabitkan semua ADUN.
Bagi yang waras, mesyuarat ini dilihat sebagai ‘mendengar’ daripada ‘menghukum’. Mendengar ialah memberikan ruang kepada ADUN dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua-Ketua Bahagian menyatakan pendirian mereka.
Biarkan mereka menghentam apa sahaja. Dengan kata lain Putrajaya akan menjadi medan di mana Ahmad Said akan ‘dibelasah’ habis-habisan.
Persoalannya, apakah Hishamuddin akan membiarkan medan itu untuk membenarkan Ahmad Said dibelasah sedemikian rupa?
Persoalannya juga, sejauh mana luahan itu akan dijadikan asas untuk memutuskan untuk mengguggurkan Ahmad Said?
Pada pengamatan saya, Hishammuddin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar bukan ditentukan oleh parti sahaja.
Kalau parti sahaja menentukan perlantikan Menteri Besar, sudah pasti Datuk Seri Idris Jusoh boleh menjadi Menteri Besar.
Dalam politik Terengganu, Barisan Nasional dan UMNO perlu bertindak bagai ‘menarik rambut dalam tepung’ – Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Tumpah.

Saya tertarik dengan kata-kata Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib baha kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini namun saya melihat rasa tidak puas hati -kenapa Datuk Ahmad Said yang masih terpacak di situ - tetap membara.

Kata Mohd Zaabar, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

"Kita serahkan kepada pimpinan UMNO untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Persoalannya, bolehkah Putrajaya selesaikan kemelut politik Terengganu. Bolehkah UMNO melalui Hishamuddin meredakan kemelut ini?

RASUAH BUKAN BARU BAGI PAS

Saya seronok baca mengenai rasuah dalam PAS.

Selama ini pemimpin PAS berkokok tidak henti-henti bahawa pemilihan UMNO penuh dengan rasuah.

Tetapi PAS sendiri bukan sahaja bergelumang dengan rasuah tetapi juga menggalakkan rasuah.

Yang nyata, Musyridul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan berlaku rasuah ataupun politik wang semasa berlangsung pemilihan peringkat kawasan bulan lepas. Beliau tidak menolak mentah-mentah dakwaan yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama, Mohamed Daud Iraqi.

Nik Aziz juga tidak dapat menentukan apakah Mat Iraq memberi nasihat ataupun beliau (Mat Iraqi) ada bukti bila menuduh berlaku rasuah dalam pemilihan PAS.

Saya ingin penjenguk fikir satu perkara sebelum menilai tulisan saudara Mohd Sayuti Omar bertajuk “Jangan Sembunyi Rasuah Bawah Kupiah “Celoteh Murai 45” melalui blognya untuk renungan bersama. Saya perturunkan beberapa para untuk tetapan.

Hakikatnya PAS sudah lama bergelumang dengan RASUAH SECARA TERANG-TERANGAN.

Bukan sekadar menawarkan ‘syurga’ dan perkara-perkara Islam sahaja.

Ambil sahaja fatwa Nik Aziz “Beri duit ambil, beri kain pakai, beri gula kacau, bila mengundi pangkah bulan. ...”

Kata-kata ini merujuk kepada kononnya ‘rasuah UMNO dan Barisan Nasional (BN)’ kepada pengundi pada musim pilihan raya.

Pokoknya – jika DUIT, KAIN, KOPI, GULA bersifat rasuah, apakah wajar pengundi PAS (sudah pasti Islam) mengambilnya? Apakah agama Islam menggalakkan orang Islam pejam mata mengambil apa sahaja bentuk pemberian berunsur rasuah.

Tidakkah PAS menganggap wang, kain dan minuman itu rasuah? Kenapa kepada penyokong dan pengikut PAS ‘pemberian UMNO dan BN itu halal’ dan kepada penyokong UMNO dan BN haram?

Setahu saya rasuah berlaku apabila ada orang memberi dan menerima. Dia bukan di pihak pemberi sahaja. Malah lebih buruk, apabila Nik Aziz berfatwa ‘menghalalkan orang PAS menerima rasuah, walaupun wang, kain, kopi dan gula’.

Jadi tidak hairan kalau dalam pemilihan parti, ada perbuatan rasuah dilakukan dan cita-cita untuk menang dalam pemilihan tetap tinggi, kalaupun pemimpin PAS mendakwa merekalah benar-benar Islam.

Jadi jom kita tinjau apa kata Sayuti:

1. Mat Iraq tidak dikenakan apa-apa tindakan. Kalau benar tidak ada rasuah dalam PAS kenapa Mat Iraq tidak dikenakan tindakan disiplin? Apakah PAS memberi amaran kepada Mat Iraq? Kalau amaran kenapa pula tidak disebut ia diberikan amaran? Logik dan adilnya kalau dah buat fitnah, hukum saja jangan taruh dan simpan lagi. Pas tentu arif mengenai bahaya fitnah dan kata-kata Rasulullah mengenai anaknya Fatimah! Apakah PAS juga mengamalkan tindakan double standard macam parti cap keris itu?

2. Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) cuba menyembunyikan isu rasuah atau politik wang di bawah kupiah kerana nak jaga maruah parti. Tentu Hadi tahu apa hukumnya hipokrit dan munafik serta persoalan di Mahsyar kelak. Kalau Hadi juga berbuat begitu bermakna Hadi juga mengamalkan politik tusuk punca dalam kain?

3. Murai cukup benci kalau orang bercakap; berkatalah yang benar walaupun pahit, tetapi bila kena gilirannya sendiri yang pahit tidak mahu dikatakan dan hanya suka mengatakan yang manis-manis sahaja. Keputusan yang Pas ambil berhubung dengan rasuah itu menjelaskan bagaimana wibawa para ulama dalam PAS itu sendiri!

Sebenarnya bagi PAS, memang dia pandai menutup kelemahan parti dan pemimpinnya.

PAS berbeza dengan UMNO bukan dalam konteks Islamnya tetapi cara pemimpin utama PAS menutup dosa dan kelemahan pemimpinnya.

Saya bersetuju dengan Sayuti kalau beliau mengandaikan PAS menutup perbuatan rasuah dengan kopiahnya.

Bukan ini kali pertama PAS menutup kelemahan pemimpinnya. Ada beberapa kes rasuah lain PAS selindungkan, termasuk rasuah dalam Kerajaan Negeri Kelantan.

PAS juga bijak menutup malu parti dan pemimpinnya. Lihatlah berapa banyak kes khalwat dan ‘main dengan bini’ orang PAS boleh tutup rapat-rapat.

Inilah sahaja kelebihan pemimpin dan ahli PAS. Pemimpin tutup kesilapan dan ahli menerima dan kunci mulut. ‘Tidak baik memperkatakan dan menyebarkan aib orang lain”

Tetapi UMNO, pemimpin dan hali tidak reti tutup atau lindungi salah laku pemimpinnya.

Pemimpin buka mulut seluas-luasnya kalau ada perbuatan rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO jadi tukang karut yang menjaja ke seluruh negara. “Lebih banyak dedah, walaupun aib, lebih seronok”.

Lihat sahaja isu rasuah dalam pemilihan parti UMNO yang lalu. Yang dipanggil dan didakwa beratus-ratus. Belum tentu salah sudah nampak bersalah.

Yang kena tindakan seorang dua tetapi hebohnya sampai satu dunia.

Lebih memburukkan keadaan yang tidak didakwa ada beratus-ratus dan selepas pemilihan, Jawatankuasa Disiplin pun tidak berfungsi dan UMNO dilihat parti yang mengamalkan rasuah.

Sewajarnya kalau mahu nampak bersih, bicara dan dakwa dan bagi yang bersih, umumkan nama mereka sebagai ‘bersih daripada rasuah’, bukan longgokkan dengan yang memang sewajarnya didakwa.

Akhirnya, kononnya mahu dilihat bersih dan bersedia menjadi telus – UMNO dilihat parti kotor dan rasuah sedangkan PAS parti bersih dan Islam.

Tiba pilihan raya UMNO yang telus putih mata dan PAS yang menutup dosa dan kejahatan di bawah kopiah di lihat bersih dan disokong oleh rakyat yang dibutakan mata melalui fatwa – termasuk fatwa Nik Aziz mengenai duit, wang, kopi dan gula.