Monday, January 26, 2009

SEKARANG PERCAYA?

Apakah ini permulaan?

Saya menerima sms daripada rakan menggelarkan dirinya WIP bahawa Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, Datuk Fakir Adam dan Datuk Hamdi akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, salah seorang akan dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru bagi menggantikan Menteri Besar sekarang yang mewakili PAS.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sedang mengumpul kekuatan pemimpin Melayu dalam PKR untuk diketengahkan sebagai usaha mengumpul keyakinan orang Melayu menyokong matlamatnya – menumbangkan BN.

Anwar dikatakan bertindak sedemikian sebagai membalas perbuatan PAS menolak calon kumpulan Erdogan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu dan meletakkan calon pilihan ulama.

Anwar dikatakan mahu pilihannya Dr Syed Azman Syed Nawawi sebaliknya calon dipilih ialah Mohd Abdul Wahid Endut. Abdul Wahid menang pada pilihan raya kecil P036 itu.
Desas desus seperti ini sudah ditimbulkan oleh blog, termasuk oleh saya dan akhbar berbahasa Inggris, khususnya The Malay Mail.

Pada 21 November lalu, The Malay Mail menyiarkan sebuah berita bertajuk “Quit threat by Perak Umno reps” dan puncanya ialah mereka kecewa dengan cara pengendalian politik wang yang melanda beberapa Bahagian UMNO di Perak yang dikatakan berleluasa tetapi gagal diuruskan oleh Ibu Pejabat UMNO.

Lebih jelas Malay Mail melaporkan: “All is not well in Perak Umno, with a group of State assemblymen said to be mulling the idea of leaving the party because their complaints on money politics have not been looked into.”

Semalam, salah seorang anggota ADUN Barisan Nasional (BN) Perak sudah meninggalkan UMNO menyertai pembangkang.

Apakah pemimpin BN, khususnya di Ipoh dan Kuala Lumpur menganggapnya sebagai kes terpencil?

Apabila timbul desas-desus kononnya ada ADUN Barisan Nasional (BN) Perak akan menyertai pembangkang, pemimpin UMNO di Perak tidak endah dan langsung tidak menjadi sesuatu yang boleh merisaukan mereka.

Kepimpinan UMNO Perak yang jelas semakin ‘hanyut’ dan tiada arah perjuangan, bagaikan tidak merasa apa-apa dengan desas-desus itu.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nasaruddin Hashim, menyertai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Kini, ternyata berita itu benar dan Nasaruddin kini sebahagian kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, Pas dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan UMNO bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu.

Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.
Soal apa yang dicari atau mahu dimanfaatkan oleh dirinya mengenai ‘lompatnya’ ke Pakatan Rakyat jangan dipersoalkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Nasaruddin membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Nasarudin, 58, berkata, beliau mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota dan amat yakin dengan kepimpinan PKR.

Kepimpinan PKR dianggap Nasarudin sebagai yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Mohd Nizar berkata, Nasarudin telah memberitahu hasrat beliau untuk menyertai PKR beberapa minggu yang lalu.

"Saya telah mengetahuinya sebelum ini dan beliau lebih nekad untuk mengambil keputusan itu setelah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini yang berpihak kepada PAS," kata Mohd Nizar.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menawarkan sebarang jawatan kepada Nasarudin berikutan penyertaannya ke dalam Pakatan Rakyat, Nizar berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut.

Jadi, jelas pemilihan UMNO cukup meninggalkan kesan kepda UMNO. Apalagi jika masalah atau tidak puas hati mereka yang bertanding tidak diatasi secara bijak oleh pengurusan parti sama ada peringkat negeri atau juga Ibu Pejabat.

Mohd Nizar berharap lebih ramai ADUN BN akan mengikut jejak wakil rakyat Bota itu menyertai Pakatan Rakyat.

BN Perak dilaporkan mengadakan mesyuarat malam semalam, antara lain membincangkan isu Nasarudin meninggalkan Umno untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali di pejabat Umno di Ipoh.

Dengan perkembangan ini, Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR - salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat.

Nasarudin juga merupakan bekas Pengerusi Felcra Berhad selama dua tahun sejak Oktober 2006.

BEREHAT SEKETIKA

Saya memohon maaf kepada penjenguk blog saya kerana tidak update beberapa hari. Saya bukan berehat dalam erti kata menenangkan fikiran tetapi berehat untuk membuat satu keputusan diri dan keluarga yang agak besar.

Dalam usia mencecah 55 tahun, saya perlu menilai apakah langkah saya mulai tahun ini. Apakah saya perlu terus menerus berada di Kuala Lumpur atau berhijrah demi keluarga dan diri saya. Peluang hanya datang sekali.

Selepas mengimbau ke arah Laut China Selatan dan menikmati bayu Timur yang nyaman, akhirnya saya membuat pendirian. Hidup perlu diteruskan dan saya sudah membuat keputusan. Jika sebelum ini saya ‘berkelana’ di Kelantan lebih satu tahun setengah (mulai Jun 2007, kini saya akan beralih angin ke Terengganu mulai Mac 2009).

Saya tinggalkan Terengganu pada 1972, selepas peperiksaan MCE dan akan kembali pada 2009. Saya pernah merantau di Pulau Pinang, Johor, Perak, Wilayah dan Selangor.

Apapun, syukur kerana ada ‘kawan’ yang membuka peluang untuk saya kembali ke Terengganu.

Saya berdoa biarlah saya kekal beberapa tahun di Terengganu untuk saya menyumbang dan melakukan yang terbaik demi sama-sama membantu membangunkan negeri dan rakyat Terengganu yang kini diterajui Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Kepada rakan-rakan yang menyambut Tahun Baru Cina, XONG XI FA CHAI!

Tuesday, January 20, 2009

TOUCH & GO POLITIK’ SUDAH TIDAK LAKU

Pembedahan politik – mudahnya Tan Sri Muhyiddin Yassin bermadah merujuk kepada faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari 2009.
Sebaliknya, banyak yang berkata, faktor utama kekalahan BN pada pilihan raya kecil P036 itu kerana faktor calon.

Memanglah banyak sebab kekalahan BN tetapi dalam pilihan raya kecil, faktor calon memainkan peranan besar.

PAS sendiri tidak mahu orang luar Terengganu kerana faktor calon. PAS memilih calonnya kerana ADUN Wakaf Mempelam ini ‘tidak reti kalah’ selama lima penggal.

Apakah pembangunan atau projek khusus dibuat di Wakaf Mempelam? Zero. Tetapi dia pemimpin setempat, pemimpin yang boleh diharap jika ‘sakit-deman’, ‘kenduri-kendara’ serta musim haji. Itu sumbangan calon ini.

Sebalinya bagi calon BN, bukan sekadar ciri-ciri peribadi yang ada pada Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh yang diperkatakan tetapi lebih hebat, bagaimana Wan Salleh digambarkan.
Cara pembangkang ‘membunuh peribadi Wan Farid’ lebih berkesan daripada mengkritik dasar-dasar kerajaan atau menggambarkan kerajaan sebagai zalim dan melakukan pembaziran.

Memburukkan lagi keadaan, awal-awal lagi Tun Dr Mahathir Mohamad melalui blognya menggambarkan Wan Farid sebagai ‘calon paling terburuk ‘ diketengahkan oleh BN.

Kata Dr Mahathir: “UMNO pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon UMNO tidak memperdulikan sentimen rakyat. Dan calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang.

Kenyataan sebegini daripada bekas Perdana Menteri dan seseorang yang dihormati oleh pembangkang dan orang UMNO sendiri seperti Dr Mahathir, memberikan kesan besar kepada sokongan terhadap pembangkang. Ia meletakkan UMNO dan BN dalam keadaan tersepit.
Segala usaha ‘membersihkan Wan Farid’ sepanjang kempen tidak banyak berkesan kerana ‘damage has been done’.

Sejak diumumkan sebagai calon, persepsi terhadap Wan Farid ialah beliau sebagai tidak mesra rakyat, tidak pandai bergaul dengan rakyat, lagak ‘bangsawan’ serta banyak lagi.

Tetapi satu hal yang baik ialah Wan Farid berusaha bertemu seramai mungkin – mungkin dia belum ‘jelira’ bila bertemu rakyat. Ini akan mengambil masa.

Inilah masanya Wan Farid perlu bermuhasabah untuk mengenal pasti ‘cara baru’ memujuk pengundi. Lagipun dalam masa 10 hari, apakah boleh dibuat beliau?

Setidak-tidaknya Wan Farid yang dikenali daripada keluarga ‘bangsawan’ berusaha menjadi rakyat biasa!

Muhyiddin pula secara terus terang mengakui bahawa Umno telah kehilangan faktor "penarik" untuk menarik rakyat kepada parti tunjang komponen BN itu.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, faktor itu perlu dibawa kembali kerana dengan memiliki faktor penarik itu, bermakna rakyat akan tertarik dan memberikan perhatian terhadap perkara baru dan menarik yang disampaikan oleh parti itu.

"Sekarang ini dalam Umno, apakah faktor penarik itu. Tidak ada faktor penarik, kita telah kehilangan faktor penarik yang akan membuatkan rakyat benar-benar mahu mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin," katanya.

Bagi saya apabila sebut faktor penarik ini, jika melihat kepada kemenangan Mohd Abdul Wahid Endut – beliau digambarkan mesra rakyat, mudah turun ke bawah dan sanggup masuk ke pondok UMNO dan bersalam dengan pekerja BN dan UMNO.

Rakyat Terengganu, khususnya Kuala Terengganu tahu Mohd Wahid tidak akan dapat melakukan setanding apa yang ditawarkan oleh Wan Farid tetapi mereka tetap memilih Mohd Wahid kerana faktor ‘mesranya’ dengan rakyat.

Bukan itu sahaja, pemimpin pembangkang dilihat rata-rata ‘mesra rakyat’ dan ini tidak berlaku kepada pemimpin UMNO.

Pemimpin UMNO hanya berharap kepada faktor pembangunan dan tawaran-tawaran projek sebagai penarik hati. Bukan ini tidak baik tetapi kesannya kini semakin berkurangan.
Saya bersetuju dengan Muhyiddin bahawa tidak dapat tidak, pasti ada kelemahan dalam mana-mana pilihanraya kecil walaupun jentera parti bekerja keras siang dan malam. Tetapi mungkin ada isyarat yang perlu diberi perhatian dengan serius.

Kata Muhyiddin, apa yang penting, tegasnya, ialah Umno dan BN menangani isu persepsi tertentu yang bermain di benak pemikiran pengundi.

Yang bermain di benar pemikiran pengundi ialah calon UMNO tidak mesra rakyat. Tanyalah pendapat orang Kuala Terengganu yang mengundi pembangkang dan UMNO sendiri.

Seperti saya katakan di atas, saya tidak menyalahkan Wan Farid. Dia sudah berusaha. Malah, walaupun Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berusaha membantu Wan Farid hingga ke peringkat ada yang bertanya “Siapa bertanding – Wan Farid atau Ahmad Said?” , imej Wan Farid yang dicalarkan sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Sepatutnya kita jangan asyik mengatakan ia berlaku kerana putar-belit pembangkang seperti yang disebutkan oleh Muhyiddin. Lihatlah dalam diri kita apa yang tidak kena dengan kita.
Melihat kepada Muhyiddin sendiri, apakah beliau mesra rakyat? Apakah beliau boleh disamakan ciri-ciri ‘mesra rakyat’ yang ada pada Mohd Wahid ?

Banyak penyokong UMNO merasakan Muhyiddin sendiri pun hanya mesra seketika dan ‘tidak pernah mahu ingat’ orang yang pernah bersalam dengannya.

Malah pekerja kempennya pada 1995 dan 2004 ada yang mendakwa Muhyiddin tidak lagi mengenali mereka walaupun merekalah yang ke sana ke sini membawa Muhyiddin bertemu pemimpin UMNO untuk mengundinya pada pemilihan tahun-tahun tersebut.

Apakah pemimpin UMNO seperti Muhyiddin adalah kalangan yang hanya berharap kepada jawatan dan pengumuman projek kerajaan semata-mata untuk menawan hati rakyat?
Apakah ‘mesra rakyat’ tidak penting?

Jika faktor ini tidak diambil berat oleh pemimpin UMNO, akan lebih ramai pemimpin UMNO akan menerima nasib seperti Wan Farid dengan gambaran-gambaran bahawa mereka ‘tidak jelira’ apabila turun bertemu rakyat.

Hakikatnya ‘touch & go’ politik tidak lagi laku untuk dijual kepada rakyat. Contohnya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Orang kebanyakan memilih ‘mesra rakyat’ - pemimpin yang ‘mudah kiro’ bukan yang jenis mengumumkan peruntukan semata-mata!

Monday, January 19, 2009

TIADA PESTA, TIADA SOKONGAN KEPADA UMNO?

Khairy Jamaluddin kata kekalahan BN bukan faktor calon semata-mata. PAS kata faktor calon kelebihan PAS.

PAS percaya kejayaannya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelamrin banyak dibantu faktor kelebihan calonnya Mohd Abdul Wahid Endut yang lebih berpengalaman memenangi hati rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata PAS belajar daripada kesilapan lepas, lantas memilih Mohd Abdul Wahid, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam, yang dianggap bebas daripada segala isu.

"Ini merupakan mesej yang jelas daripada rakyat yang mahukan perubahan dan PAS telah mempelajari daripada kesilapan lampau," katanya.

Khairy pula berpandangan berikut: “Kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita daripada iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan, kita boleh gunakan pengalaman ini untuk kebaikan parti.

"Kita kena terima semua pandangan dan selepas ini kita kena baiki diri untuk hadapi pilihan raya akan datang," kata Khairy.

Beliau berkata semua pihak dalam Umno dan BN perlu berhenti menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan sebaliknya perlu sama-sama memikul tanggungjawab itu seperti perumpamaan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

"Dalam Umno dan Barisan Nasional, berat mesti dipikul bersama dan ringan mesti dijinjing bersama juga, dalam hal ini banyak faktor menyumbang kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Kalau dikatakan ini (faktor calon) adalah faktor yang sebabkan kekalahan BN, saya rasa itu (rumusan) terlalu mudah...kalau memang itulah faktornya, senanglah kerja kita," katanya di Kuantan.

Baguslah kalau begitu kerana dalam konteks Pemuda UMNO sendiri, mereka perlu menjawab dua soalan berikut.

Pertama, ketika pemimpin Pemuda UMNO dari luar Terengganu dalam perjalanan pulang, golongan muda yang menyokong PAS berarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu.

Saya anggarkan ada lebih 4,000 motosikal. Kalau didarab dengan dua bermakna 8, 000 orang – benar pendapat mengatakan tidak semestinya pengundi – sementara kereta dan lori lebih 500 buah. Didarab dengan empat bermakna 2,000 pemuda.

Saya akui bukan semua daripada mereka pengundi pada pilihan raya kecil Sabtu lalu. Tetapi saya yakin mereka akan menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Apakah rancangan untuk menarik pemuda dekat dengan UMNO? Apa pula pengumuman Putera UMNO untuk menarik golongan muda selepas ini!

Kedua, pada malam terakhir, iaitu malam Jumaat, satu pentarama diadakan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah.

Tidak diketahui anjuran siapa tetapi kononnya ia untuk mengumpulkan pengundi muda di Kuala Terengganu.

Yang pasti ia dikhususnya untuk ‘orang muda’. Yang tua datang ialah beberapa pemimpin UMNO Terengganu dan tetamu terhormat ialah Timbalan Presiden UMNO.

Pada ketika pemuda dan muslimat PAS sedang memperkukuhkan ‘pondok panas’ dan sesetengahnya sembahyang hajat, pemuda dan pemudi (Puteri UMNO) kita sedang ‘berpesta’ dalam stadium mendengar lagu merdu daripada penyanyi popular yang sesetengahnya dari Terengganu sendiri.

Untuk makluman pelayar dan pembaca, ia acara tertutup. Tidak dibenarkan press masuk. Ekslusif katanya. Untuk apa?

Ada khabar mengatakan Najib diberi jaminan akan ada 10,000 pemuda di stadium berkenaan tetapi yang hadir hanya kira-kira 3,500 orang.

Malah ada kalangan pemuda yang datang pun ramai yang jadi ‘bingung’ sambil tertanya-tanya untuk apa pesta itu pada ketika saat begitu kritikal. Tetapi kerana mereka dikurung, tiada apa boleh dilakukan, lagipun ia program parti!

Pada ketika pesta berlangsung, klik jam semakin menghampiri 12 tengah malam dan kempen tidak dibenarkan lagi selepas detik itu.

Pada ketika pesta tamat kira-kira 10.45 malam, pemuda dan puteri terpaksa menempuh jalan yang sesak dan sesampai ke ‘kawasan masing-masing’ pada detik 12 malam semakin hampir.
Tiada apa boleh dilakukan ketika itu. Sedangkan orang muda PAS melakukan ‘pusingan akhir kempen’ ketika Pemuda dan Puteri UMNO berpesta.

Pernahkah kita belajar daripada Perang Uhud? Tentera Islam ramai yang terbunuh akibat terlena kerana harta dan mereka mula mengejar ‘kekayaan’ dan tidak sedar musuh datang mengepung kerana asyik mengambil harta rampasan.

Di Bukit Uhud, 50 tentera Islam yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk mengadakan kubu pertahanan di atas bukit. Mereka diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu kelak.

Pertempuran awal mmenyaksikan kegoyahan tentera Quraisy. Tentera musyrik mula berundur dan tentera Muslim mula nampak kejayaan mereka dan ketika itu, tentera yang bertahan di atas bukit mula meninggalkan tempat itu untuk memungut harta yang tertinggal dan menguasai medan kemenangan.

Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang untuk mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut.
Serangan tersebut memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka.

Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) telah terkorban. Nabi bersama-sama Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibni al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib sebenarnya selamat.

Di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam itu, kejadian hampir sama berlaku. Mungkin kerana yakin akan menang dan mahu menang selesa, pemuda dan pemudi UMNO ‘dipaksa’ datang berpesta.

Apakah pengundi muda tidak boleh dipujuk kalau tidak ada pesta? Apakah pengundi muda mengharapkan konsert baru mereka datang ke majlis UMNO dan BN?

Apakah pemuda mesti diumpan dengan konsert serta habuan baru mereka mengundi BN?
Sampai bila pemimpin muda UMNO mesti berfikiran begini. Siapakah yang masih ada dalam UMNO berfikiran sebegini? Betulkah strategi sebegini?

Bagi saya, pada saat genting seperti ini, ada juga bentuk pesta tidak sesuai.

Pesta dan nyanyi-nyanyian boleh dibuat sepuas-puasnya selepas hari membuang undi.

Jikapun kalah, sekurang-kurangnya pesta itu boleh menghilangkan kedukaan!