Monday, January 19, 2009

TIADA PESTA, TIADA SOKONGAN KEPADA UMNO?

Khairy Jamaluddin kata kekalahan BN bukan faktor calon semata-mata. PAS kata faktor calon kelebihan PAS.

PAS percaya kejayaannya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelamrin banyak dibantu faktor kelebihan calonnya Mohd Abdul Wahid Endut yang lebih berpengalaman memenangi hati rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata PAS belajar daripada kesilapan lepas, lantas memilih Mohd Abdul Wahid, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam, yang dianggap bebas daripada segala isu.

"Ini merupakan mesej yang jelas daripada rakyat yang mahukan perubahan dan PAS telah mempelajari daripada kesilapan lampau," katanya.

Khairy pula berpandangan berikut: “Kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita daripada iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan, kita boleh gunakan pengalaman ini untuk kebaikan parti.

"Kita kena terima semua pandangan dan selepas ini kita kena baiki diri untuk hadapi pilihan raya akan datang," kata Khairy.

Beliau berkata semua pihak dalam Umno dan BN perlu berhenti menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan sebaliknya perlu sama-sama memikul tanggungjawab itu seperti perumpamaan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

"Dalam Umno dan Barisan Nasional, berat mesti dipikul bersama dan ringan mesti dijinjing bersama juga, dalam hal ini banyak faktor menyumbang kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Kalau dikatakan ini (faktor calon) adalah faktor yang sebabkan kekalahan BN, saya rasa itu (rumusan) terlalu mudah...kalau memang itulah faktornya, senanglah kerja kita," katanya di Kuantan.

Baguslah kalau begitu kerana dalam konteks Pemuda UMNO sendiri, mereka perlu menjawab dua soalan berikut.

Pertama, ketika pemimpin Pemuda UMNO dari luar Terengganu dalam perjalanan pulang, golongan muda yang menyokong PAS berarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu.

Saya anggarkan ada lebih 4,000 motosikal. Kalau didarab dengan dua bermakna 8, 000 orang – benar pendapat mengatakan tidak semestinya pengundi – sementara kereta dan lori lebih 500 buah. Didarab dengan empat bermakna 2,000 pemuda.

Saya akui bukan semua daripada mereka pengundi pada pilihan raya kecil Sabtu lalu. Tetapi saya yakin mereka akan menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Apakah rancangan untuk menarik pemuda dekat dengan UMNO? Apa pula pengumuman Putera UMNO untuk menarik golongan muda selepas ini!

Kedua, pada malam terakhir, iaitu malam Jumaat, satu pentarama diadakan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah.

Tidak diketahui anjuran siapa tetapi kononnya ia untuk mengumpulkan pengundi muda di Kuala Terengganu.

Yang pasti ia dikhususnya untuk ‘orang muda’. Yang tua datang ialah beberapa pemimpin UMNO Terengganu dan tetamu terhormat ialah Timbalan Presiden UMNO.

Pada ketika pemuda dan muslimat PAS sedang memperkukuhkan ‘pondok panas’ dan sesetengahnya sembahyang hajat, pemuda dan pemudi (Puteri UMNO) kita sedang ‘berpesta’ dalam stadium mendengar lagu merdu daripada penyanyi popular yang sesetengahnya dari Terengganu sendiri.

Untuk makluman pelayar dan pembaca, ia acara tertutup. Tidak dibenarkan press masuk. Ekslusif katanya. Untuk apa?

Ada khabar mengatakan Najib diberi jaminan akan ada 10,000 pemuda di stadium berkenaan tetapi yang hadir hanya kira-kira 3,500 orang.

Malah ada kalangan pemuda yang datang pun ramai yang jadi ‘bingung’ sambil tertanya-tanya untuk apa pesta itu pada ketika saat begitu kritikal. Tetapi kerana mereka dikurung, tiada apa boleh dilakukan, lagipun ia program parti!

Pada ketika pesta berlangsung, klik jam semakin menghampiri 12 tengah malam dan kempen tidak dibenarkan lagi selepas detik itu.

Pada ketika pesta tamat kira-kira 10.45 malam, pemuda dan puteri terpaksa menempuh jalan yang sesak dan sesampai ke ‘kawasan masing-masing’ pada detik 12 malam semakin hampir.
Tiada apa boleh dilakukan ketika itu. Sedangkan orang muda PAS melakukan ‘pusingan akhir kempen’ ketika Pemuda dan Puteri UMNO berpesta.

Pernahkah kita belajar daripada Perang Uhud? Tentera Islam ramai yang terbunuh akibat terlena kerana harta dan mereka mula mengejar ‘kekayaan’ dan tidak sedar musuh datang mengepung kerana asyik mengambil harta rampasan.

Di Bukit Uhud, 50 tentera Islam yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk mengadakan kubu pertahanan di atas bukit. Mereka diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu kelak.

Pertempuran awal mmenyaksikan kegoyahan tentera Quraisy. Tentera musyrik mula berundur dan tentera Muslim mula nampak kejayaan mereka dan ketika itu, tentera yang bertahan di atas bukit mula meninggalkan tempat itu untuk memungut harta yang tertinggal dan menguasai medan kemenangan.

Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang untuk mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut.
Serangan tersebut memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka.

Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) telah terkorban. Nabi bersama-sama Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibni al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib sebenarnya selamat.

Di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam itu, kejadian hampir sama berlaku. Mungkin kerana yakin akan menang dan mahu menang selesa, pemuda dan pemudi UMNO ‘dipaksa’ datang berpesta.

Apakah pengundi muda tidak boleh dipujuk kalau tidak ada pesta? Apakah pengundi muda mengharapkan konsert baru mereka datang ke majlis UMNO dan BN?

Apakah pemuda mesti diumpan dengan konsert serta habuan baru mereka mengundi BN?
Sampai bila pemimpin muda UMNO mesti berfikiran begini. Siapakah yang masih ada dalam UMNO berfikiran sebegini? Betulkah strategi sebegini?

Bagi saya, pada saat genting seperti ini, ada juga bentuk pesta tidak sesuai.

Pesta dan nyanyi-nyanyian boleh dibuat sepuas-puasnya selepas hari membuang undi.

Jikapun kalah, sekurang-kurangnya pesta itu boleh menghilangkan kedukaan!

Sunday, January 18, 2009

PILIHAN RAYA KECIL WAKAF MEMPELAM PULA?

Kini pertanyaan bermain di kepala, apakah akan ada pilihan raya kecil di DUN Wakaf Mempelam?

Cakap-cakap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika kempen ialah beliau akan meletak jawatan sekiranya menang dalam pilihan raya kecil semalam (17 Januari 2009) bagi P036.

Difahamkan, jentera UMNO Terengganu khususnya, bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan jika dilangsungkan.

Sebenarnya, ada opsyen bagi BN iaitu tidak bertanding untuk tidak terperangkap dengan taktik PAS.

Bertanding memerlukan wang dan tenaga. Jika kalah akan lebih menjatuhkan moral UMNO dan BN.

Sebelum ini pendapat supaya tidak bertanding di Permatang Pauh tidak dipedulikan. Sekiranya tidak berlaku sesuatu yang menguntungkan UMNO dan BN di Wakaf Mempelam, akan semakin punahlah imej UMNO dan BN.

BN tidak rugi apa-apa kalau tidak bertanding di Permatang Pauh dan Wakaf Mempelam dalam konteks kerusi dan moral. Kekalahan akan menjatuhkan lagi imej UMNO dan BN di mata rakyat.

Ketika ini BN menguasai 24 kerusi DUN dan PAS, lapan.

Sumber PAS berkata, parti itu bersetuju dengan cadangan Wahid Endut sebagai usaha memperbanyakkan pemimpin negeri sebagai persediaan PAS menawan Terengganu.

Walaupun ia tidak memberi sebarang kesan kepada Barisan Nasional (BN) negeri yang membentuk kerajaan tetapi kemenangan moral bagi PAS memberikan kesan baik kepada parti itu.

Di Parlimen, BN kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam gagal memenangi kerusi Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.
Dalam pilihanraya kecil semalam, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Dengan itu, pembangkang kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Segala-galanya dah terjawab

Kemenangan calon Pas Mohd Abdul Wahid Endut pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi selepas kesemua 144 peti undi dikira membuktikan ia pilihan tepat.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi termasuk 838 pengundi pos. Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Jadi jelas keputusan kumpulan ulama meletakkan Wahid Endut tepat.

Malah, kemenangan ini akan memperkuatkan kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang selepas cakap-cakap kononnya beliau membelakangkan pandangan dan permintaan kumpulan Erdogan supaya meletak calon mereka.

Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam pula hanya memperolehi 193 undi.
Bagi BN, apa lagi yang boleh dikatakan.

BN terpaksa menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan hati terbuka kerana menghormati pilihan rakyat selaras dengan sistem demokrasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai sebuah parti yang percaya kepada prinsip demokrasi, BN akur dengan keputusan itu kerana “suara rakyat adalah suara keramat”.

“Ini bukan bererti kita akan hentikan iltizam dan semangat BN untuk terus memberi khidmat
kepada rakyat. Kita akan terus berkhidmat berlipat kali ganda untuk rakyat,” katanya di kediaman Menteri Besar Terengganu di Seri Iman di Kuala Terengganu malam ini.

Menurut laporan Bernama, Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Setiausaha Agung Umno dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Najib. Ahmad Said dan Wan Farid tetap memberikan senyuman walaupun tewas pada pilihan ini.

Najib berkata BN akan melaksanakan setiap perkara yang perlu dilakukan bagi menyusun semula imej parti dan apa jua dasar supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

"Saya masih amat yakin bahawa kesudahannya rakyat yakin BN tetap parti terbaik untuk memimpin negara kita," katanya.

Mengenai majoriti lebih besar yang diperoleh calon PAS itu, Najib berkata BN tidak boleh membuat kesimpulan terhadap perkara itu walaupun ia memberikan tamparan terhadap Umno dan BN.

"Ini pilihan raya kecil...banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional," katanya.

Sedikit musykil ialah, kenapa hanya 79.9 peratus atau 63,993 pengundi keluar mengundi hari ini sedangkan cuaca begitu baik. Undi rosak hanya sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.9 peratus .

Apakah yang tidak keluar mengundi adalah mereka yang memprotes pemilihan Wan Farid atau sebab-sebab lain?

Hanya BN boleh menjawab soalan itu dan di peti undi mana, pengundi enggan mengundi.
Jawapan bagi soalan ini hanya ada kepada pengundi sendiri.

Saturday, January 17, 2009

WAN FARID UNTUK REALITI BUKAN FANTASI










Pagi ini cuaca terang sekali.

Sudah pasti di pusat mengundi segala-galanya berjalan lancar.
Kalau mengikut tinjauan umum dan ramalan awal, calon PAS mendahului dan laman web dan blog pro-pembangkang mengatakan PAS berpeluang cerah dan ‘bulan terang’.

Seorang penganalisis pungutan pendapat mengatakan PAS akan menang dengan majority 7,000. Berita ini dilepaskan oleh Malaysiakini pukul 8.01 pagi ini.

Tinjauan akhbar Berita Harian bertarikh 14 Januari 2009 melalui laman webnya: http://www.bharian.com.my/klikkhas/kterengganu, calon PAS memang mendahului sebagai calon pilihan di Kuala Terengganu.

Menurut harakahdaily pula, sehingga jam 12 tengah malam tadi, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat undian sebanyak 73.3 peratus manakala Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 23.3 peratus, dan Saudara Azharuddin Mamat @ Adam (bebas) sebanyak 3.3 peratus
Walaupun dari tinjauan ini rata-rata pengundinya bukannya pengundi sebenar dari Kuala Terengganu, namun begitu, ia menggambarkan pilihan orang ramai terhadap calon yang bakal dipilih nanti, kata harakahdaily.

Kebanyakkan pembaca laman web Berita Harian lebih yakin dengan calon PAS walaupun akhbar itu sendiri memberi gambaran berat sebelah terhadap beliau.
Sebelum ini undian seperti itu dibuat oleh laman web terkenal yahoo.com.my.

Peratusannya juga mendapati pengundi lebih memihak kepada calon PAS iaitu sebanyak 58 peratus menyaingi calon BN dengan peratusan 22. Calon bebas pula mendapat dua peratus manakala lebih 19 peratus pembacanya tidak tahu atau tidak kisah perihal perjalanan pilihanraya kecil ini.

Saya berusaha mendapatkan pandangan beberapa individu yang rapat dengan UMNO dan calon BN.

Mereka tetap merasakan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempunyai sedikit kelebihan akhir-akhir ini, apabila selepas ditolak-campur, pengundi Terengganu mengharapkan pembelaan kehidupan seharian mereka.

BN membuktikan ia benar-benar mahukan Kuala Terengganu maju, bersih dan bergerak maju kea rah menjadikan bandar raya ini setanding setidak-tidaknya Pulau Pinang dan Melaka.
Mereka memerhatikan bagaimana bandar Kota Bharu yang tetap tidak banyak berubah sejak 20 tahun lalu dan dilabel ‘kotor’ oleh pemimpin PAS Kelantan sendiri.
Persoalannya, apa yang mereka buat?

Kegagalan Tahun Melawat Kelantan 2008 sebahagiannya kerana orang luar tidak berminat melawat Kota Bharu. Yang ditonjolkan kononnya pemerintahan Islam dan menggelarkan Kota Bharu dengan Bandaraya Islam.

Namun , jika bercirikan Islam kenapa tidak tersusun, kotor dan tidak terurus.
Penduduk Kuala Terengganu jauh ke depan daripada konteks kehidupan yang lebih tersusun dan lebih bersih.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut member jaminan kerajaan akan memastikan pelan pembangunan yang dirancang di Terengganu diteruskan tanpa gangguan supaya impian rakyat menikmati kemajuan ketika menolak pentadbiran Pas pada pilihan raya umum 2004 menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu memastikan Terengganu mendapat kemajuan seimbang dalam pelbagai bidang merangkumi kemudahan kesihatan dan perubatan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Abdullah berkata, sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, banyak projek berimpak besar yang dirancangkan dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerjasama baik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berlangsung sekarang harus meliputi semua lapisan, termasuk peringkat wakil rakyat bagi memudahkan pelaksanaan setiap projek dirancang.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri pada 2004, pelbagai projek untuk rakyat sudah dilaksana, termasuk penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lebuhraya Pantai Barat (LPT) Fasa II.

Beliau berkata, pembangunan ilmu pengetahuan untuk memacu kecemerlangan ummah hanya dapat dijana dan disuburkan lagi jika rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan bermutu. Selain itu, kesihatan yang baik juga adalah asas kepada kesempurnaan ibadat.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, tahap kemiskinan negeri ini juga berjaya dikurangkan dari 15.4 peratus kepada 6.5 peratus sekarang. Selain itu katanya, Terengganu juga berada di tempat paling atas daripada segi pencapaian dalam peperiksaan awam yang kejayaan itu tidak mudah dicabar pelajar di negeri lain.

Juga dengan janji Kerajaan Negeri dan Pusat mahu mempertingkatkan imej dan peranan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai ini, pengundi seramai 80,229 termasuk 838 pengundi pos, mampu membuat pilihan tepat.

Memilih calon dan parti yang hanya membawa janji-janji kosong yang bersifat fantasi atau memilih calon dan parti memperjuangkan realiti – ke arah kehidupan lebih makmur, sejahtera dan harmoni!