Sunday, January 18, 2009

Segala-galanya dah terjawab

Kemenangan calon Pas Mohd Abdul Wahid Endut pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi selepas kesemua 144 peti undi dikira membuktikan ia pilihan tepat.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi termasuk 838 pengundi pos. Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Jadi jelas keputusan kumpulan ulama meletakkan Wahid Endut tepat.

Malah, kemenangan ini akan memperkuatkan kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang selepas cakap-cakap kononnya beliau membelakangkan pandangan dan permintaan kumpulan Erdogan supaya meletak calon mereka.

Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam pula hanya memperolehi 193 undi.
Bagi BN, apa lagi yang boleh dikatakan.

BN terpaksa menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan hati terbuka kerana menghormati pilihan rakyat selaras dengan sistem demokrasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai sebuah parti yang percaya kepada prinsip demokrasi, BN akur dengan keputusan itu kerana “suara rakyat adalah suara keramat”.

“Ini bukan bererti kita akan hentikan iltizam dan semangat BN untuk terus memberi khidmat
kepada rakyat. Kita akan terus berkhidmat berlipat kali ganda untuk rakyat,” katanya di kediaman Menteri Besar Terengganu di Seri Iman di Kuala Terengganu malam ini.

Menurut laporan Bernama, Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Setiausaha Agung Umno dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Najib. Ahmad Said dan Wan Farid tetap memberikan senyuman walaupun tewas pada pilihan ini.

Najib berkata BN akan melaksanakan setiap perkara yang perlu dilakukan bagi menyusun semula imej parti dan apa jua dasar supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

"Saya masih amat yakin bahawa kesudahannya rakyat yakin BN tetap parti terbaik untuk memimpin negara kita," katanya.

Mengenai majoriti lebih besar yang diperoleh calon PAS itu, Najib berkata BN tidak boleh membuat kesimpulan terhadap perkara itu walaupun ia memberikan tamparan terhadap Umno dan BN.

"Ini pilihan raya kecil...banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional," katanya.

Sedikit musykil ialah, kenapa hanya 79.9 peratus atau 63,993 pengundi keluar mengundi hari ini sedangkan cuaca begitu baik. Undi rosak hanya sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.9 peratus .

Apakah yang tidak keluar mengundi adalah mereka yang memprotes pemilihan Wan Farid atau sebab-sebab lain?

Hanya BN boleh menjawab soalan itu dan di peti undi mana, pengundi enggan mengundi.
Jawapan bagi soalan ini hanya ada kepada pengundi sendiri.

2 comments:

  1. KAH KAH KAH...DAHLAH TU

    ReplyDelete
  2. Perjuangan perlu diteruskan... UMNO bukan perlu dibaiki dari luar, tapi perbaiki UMNO dari dalam.

    Orang sebenarnya bukan bencikan UMNO, tapi bencikan dengan kepimpinan UMNO yang tidak mementingkan suara rakyat.

    Buktinya... seorang lagi orang kanan Pak Lah kecundang.

    ReplyDelete