Showing posts with label SUKMA. Show all posts
Showing posts with label SUKMA. Show all posts

Sunday, July 7, 2013

ROGOL & MINUMAN KERAS DI SUKMA KE-16 - LAIN DIHARAPKAN, LAIN YANG BERLAKU...


"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar. Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu.”
 – Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Kejadian memalukan di Sukma 2013 iaitu kejadian rogol bergilir-gilir oleh atlet terhadap atlet atau pegawai pengiring bolajaring wanita sangat-sangat jijik dan memalukan.

Kes mungkin berpunca daripada pesta 'mabuk-mabuk' dan menghairankan bagaimana minuman keras sewenang-wenangnya dibawa masuk ke kem Sukma di Universiti Putra Malaysia itu.

Kes seumpama itu kali pertama berlaku dalam sejarah temasya Sukma dan ia mencemarkan imej Sukma.

Sudah tentu Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, pastinya terpaksa menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes rogol ini.

Media melaporkan seorang atlet bola baling telah membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas.

Atlet atau pengiring bolang baling wanita berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu lalu.

Laporan sama turut menyebut, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan meneguk minuman keras bersama beberapa atlet bola baling lelaki pasukannya di sebuah gelanggang bola keranjang bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Etika apakah yang dipraktikkan oleh kesemua mereka?

Selepas itu, mangsa dikatakan dibawa pulang ke sebuah bilik penginapan kolej oleh beberapa atlet lelaki berkenaan.

Mangsa sedar kira-kira jam 4 pagi dan mendapati dirinya dalam keadaan bogel serta dihimpit oleh seorang lelaki. Lelaki itu serta rakannya bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, sebelum tiga atlet lelaki itu ditahan polis di perkampungan sukan berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Tiga lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. Ketiga-tiga atlet berusia 18 hingga 19 tahun terbabit kini direman seminggu bermula tangkapan

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana siasatan sedang dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan kerana merogol," katanya, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, polis memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan imej sukan negara amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya.


"Laporan ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kes ini," katanya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan, pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam memastikan kawalan keselamatan terjamin di Perkampungan Sukan. Pegawai keselamatan hanya mengawal di persekitaran kawasan Perkampungan Sukan dan tidak melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik atlet.

"Saya pun baru diberitahu mengenai perkara itu pagi ini. Mengikut laporan (sebuah akhbar tempatan), ia sudah menjadi kes polis, jadi kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan.

Kita mempunyai hampir 4,000 atlet di Perkampungan Sukan, tidak mungkin kita memeriksa setiap bilik. Kita juga mengadakan pengasingan blok mengikut jantina bagi tujuan keselamatan," katanya.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beliau mencadangkan supaya ketiga-tiga atlet yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pegawai pengiring atlet bola baling wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013 digantung dahulu sementara siasatan dijalankan.

Khairy berkata, meskipun kes ini telah dilaporkan kepada polis dan ia adalah di bawah siasatan polis sekarang ini, namun disebabkan atlet itu merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), tindakan awal perlu diambil terhadap atlet tersebut.

“Oleh kerana atlet ini merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab MSWP, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, untuk mengambil tindakan awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy turut meluahkan rasa terkilan dengan insiden terbabit apabila beberapa atlet dan pegawai daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telah membawa masuk minuman keras ke dalam UPM yang menjadi perkampungan Sukan Malaysia.

“Mereka telah minum minuman tersebut di Gelanggang bola keranjang Kolej Kedua UPM. Saya memandang serius perkara ini," katanya.

Khairy turut mengarahkan agar MSN membuat satu "post-mortem" segera supaya kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar.

“Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu,” jelas beliau.

Khairy turut menjelaskan, Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan peserta.

Malah katanya, kerjasama daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut digunakan untuk menjaga aspek ini termasuk Unit Keselamatan UPM.

“Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita.

"Pengawal dan anggota polis sentiasa membuat rondaan kawasan terutama di sebelah malam tetapi ia tidak meliputi dalam kawasan asrama kerana menjadi tanggungjawab anggota kontinjen sendiri.

Bagi Khairy, pegawai-pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, jurulatih dan sebagainya bertanggung jawab penuh kepada anggota pasukan mereka termasuk hal-hal keselamatan dan disiplin

Apakah atlet dan mangsa rogol sahaja wajar dipersalahkan dan pihak lain cuci tangan?

Sumber – Bernama & Sinar Harian

Sunday, June 20, 2010

TERENGGANU KUASA BARU SUKAN NEGARA?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan trofi kepada ketua kontinjen Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim selepas Terengganu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia ke-13 pada majlis penutup sukan itu, di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, 19 Jun. – Gambar Utusan

Kata orang menang di tempat sendiri adalah ‘jaguh kampung’.

Tetapi jika menang di gelanggang orang atau tempat lain, ia adalah kemenangan sebenar dan manis untuk diperkatakan .

Apa yang mahu dikatakan di sini ialah, Terengganu menjadi juara Sukan Malaysia (SUKMA) sekali lagi. Kali ini di Melaka pada Sukma XIII bukan di Kuala Terengganu seperti Sukma XII pada 2008.

Ternyata Terengganu bukan jaguh kampung dan kini ia menjadi kuasa baru sukan negara yang melahirkan banyak bakat muda.

Terengganu kini kilang melahirkan atlet muda bukan sekadar kanu dan basikal tetapi juga judo, olahraga serta angkat berat.

Selama ini apabila disebut sukan tempat, mata akan terpandang ke Sarawak, Wilayah Persekutuan, Johor atau Perak.

Namun tidak lagi kerana dengan semangat Terengganu Nelang, Terengganu mampu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Ia memenuhi harapan dan sasaran.

Malah, lebih manis, beberapa sukan baru yang diceburi Terengganu turut membawa keputusan yang cemerlang, walaupun dengan satu atau dua pingat emas.

Sukan judo misalnya memberikan kepuasan kepada Terengganu apabila ia mencatat lima emas, kima perak dan empat gangsa iaitu lebih daripada sasaran. Terengganu mensasarkan untuk menang tiga emas dan dua perak.

Mengejutkan kerana Terengganu memintas Johor dan penganjur, Melaka dari segi pungutan pingat untuk judo. “Kami terkejut dengan pencapaian ahli sukan kita”, tegas jurulatih judo Terengganu, Marjan Abdullah.

Selepas 33 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma XIII, Terengganu diumumkan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 emas mengatasi saingan terdekat Selangor dan Wilayah Persekutuan apabila masing-masing memperoleh 43 emas.

Lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.


ATLET olahraga Melaka, J. Karthik dan atlet renang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan menunjukkan trofi yang mereka menangi selepas diumumkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia ke-13, di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, 19 Jun. – Gambar Utusan

Sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta pada temasya kali ini.

Sebaik obor kejohanan dipadamkan tepat pada pukul 11.00 malam disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berakhir sudah temasya sukan selama 14 hari selain meninggalkan banyak kenangan suka dukanya.

Selepas itu, Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyerahkan bendera kejohanan kepada Perdana Menteri yang kemudiannya menyerahkannya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob selaku tuan rumah temasya edisi ke-14.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Kemeriahan jelas terasa sehinggalah berakhir acara penutup yang penuh warna-warni disempurnakan oleh Najib. Sejurus Perdana Menteri mengumumkan majlis penutupan, bendera kejohanan mula diturunkan dan obor yang menyala sejak majlis pembukaan pada 12 Jun lalu dipadamkan.

Selepas Melaka, giliran Pahang pula akan menjadi tuan rumah temasya edisi ke-14 pada 2012.
Dengan lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.

Slogan `Terengganu Nelang’ ternyata berjaya membawa atlit Terengganu ke puncak kejayaan. Secara mutlaknya, penamat Sukma Melaka merekodkan Terengganu sebagai juara keseluruhan dan membawa berita gembira buat sejuta rakyat Terengganu terutama Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong dan menjaga kebajikan atlit serta penggiat sukan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata kejayaan Terengganu membuktikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara sebagaimana yang pernah diuar-uarkan dalam ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008 lalu.

Katanya, emas terakhir kontinjen Terengganu dipungut menerusi sukan teras dan paling dinanti-nantikan iaitu bola sepak apabila berjaya mengalahkan Selangor dengan 1-0.

“Pasukan bola sepak yang dibarisi pemain berpengalaman daripada persatuan bola sepak negeri, pasukan Terengganu dan T-Team mengesahkan kemenangan untuk edisi Sukma yang ketiga berturut-turut hasil kemenangan 1-0 ketika menentang Selangor malam semalam,” kata beliau ketika menjadi tamu khas Imbasan Sukma Ke-13 di TV1, petang semalam.

Katanya, kejayaan kontinjen Terengganu membolehkan janji Kerajaan Terengganu untuk menghadiahkan insentif kepada pemenang yang mampu mengekalkan kejuaraan dengan RM5,000 untuk pingat emas dan RM3,000 serta RM2,000 untuk pingat perak dan gangsa akan dikotakan.

“Kekalkan kejuaraan suatu yang tidak dapat dilupakan, kerana kita jangka Wilayah Persekutuan yang akan menggugat kedudukan kita, tetapi akhirnya Selangor akhirnya yang mencabar kita sebelum kekal sebagai juara.

Sebenarnya kekuatan Kontinjen Terengganu atas sokongan kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang menonjol dengan slogan `Terengganu Nelang’.

“Persediaan lebih awal termasuk bengkel sebelum bermulanya Sukma membuatkan atlit Terengganu lebih bersedia dan membuktikan mereka bukan jaguh kampung yang hanya berjaya di laman sendiri,” katanya.

Katanya, kontinjen Terengganu juga tidak menduga cabaran lapan pasukan teratas dalam Sukma kali ini dan tetap optimis untuk bersaing di tempat yang terbaik walaupun gagal menepati sasaran awal 66 emas akibat gagal dalam beberapa acara sasaran.

Pungutan emas terbanyak diraih menerusi acara kanu sebanyak 12 pingat emas diikuti basikal (8), olahraga (6 ); judo, pencak silat dan angkat berat masing-masing 5 emas. Manakala enam emas lagi masing-masing menerusi bola sepak, tinju, lawn bowls, sepak takraw, ragbi dan ekuestrian.

Sumber: Bernama, Utusan Malaysia & Teganukita