Monday, November 27, 2017

BAIAH – MENCARI LEBIH RAMAI PEMIMPIN SEPERTI IR AMIRUDDIN...


"Amat nyata akan semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan Ir Amiruddin semalam membuka mata lebih ramai pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu."

Nasib baik baiah PAS tempohnya tidak sampai kiamat.
Mujurlah ia  sekadar sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen) dibubarkan.

Jika tidak, ramai wakil rakyat PAS yang takut meninggalkan PAS  akan ‘merana’ seumur hidup dan jika menentang araus akan merasa berdosa sepanjang hayat mereka.

Namun, perasaan itu hanya akan ada dalam diri seseorang jika mereka tinggalkan PAS tanpa sebab yang mereka fikir munasabah.

Tetapi bagi yang mempunyai sebab atau perjuangan tersendiri, khususnya menentang nahi munkar, penyelewengan dan rasuah dan zalim, mereka akan berani melakukan tindakan bertentangan dengan baiah yang pernah mereka lafazkan.

Kerana itu, perkataan sesuai berkaitan seorang wakil rakyat PAS berani meninggalkan parti itu semalam ialah, kita mencari lebih ramai ADUN PAS yang berani seperti Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Persoalannya, dengan tindakan Ir Amiruddin itu, apakah lebih ramai yang sanggup membelakangkan baiah sambil berjuang melawan Barisan Nasional (BN) melalui parti lain selain PAS?

Isunya juga ialah, pada ketika  PAS menakut-nakutkan wakil rakyatnya, apakah kepimpinan PAS sendiri melaksanakan tugas mereka seperti yang mereka lafazkan dalam ikrar dan baiah mereka?

Jika tidak, kenapa wakil rakyat PAS tidak boleh menentang mereka. Juga jika perlu  berjuang melawan BN, dengan tinggalkan PAS dan sertai parti pembangkang lain selain PAS?

Mengulas tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari PAS itu semalam, pemimpin PAS diingatkan tentang baiah oleh kepimpinan PAS.


Ingatan itu disampaikan sendiri Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Jelas dan terang lagi bersuluh bahawa setiap wakil rakyat PAS, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen, dipaksa berbaiah yang antaranya perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan PAS.

Isunya dalam konteks baiah ini, apakah PAS hanya melihat kepada wakil rakyatnya yang meninggalkan PAS.

Tidakkah juga PAS melihat kenapa wujud penentangan berani sama ada secara persaorangan atau beramai-ramai terhadap kepimpinan PAS?

Apakah pemimpin PAS yang masih ada dalam parti itu, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi mempraktikkan apa yang terkandung dalam perjuangan dan perlembagaan PAS?

Juga apakah PAS benar-benar membela rakyat yang dilafazkan melalui janji mereka kepada rakyat?

Apakah pemimpin mereka tidak melakukan salah laku dan apakah tidak ada perbuatan antara mereka saling ‘tutup-menutup’ kesalahan pemimpin di atas  demi maruah dan kepentingan peribadi.

Sedangkan yang menentang dan keluar daripada PAS mempunyai keberanian tersendiri untuk menentang atau melawan arus berasaskan keyakinan mereka kepada kebenaran walaupun pernah melakukan baiah?

Amat nyata semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan  Ir Amiruddin membuka mata pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu.

Melihat daripada ‘perjanjian dan sumpah’ melalui Baiah ini amat nyata PAS tidak pernah percaya kepada wakil rakyatnya. Kebimbangan kepimpinan PAS bahawa akan ada yang ‘melarikan diri daripada PAS tetap wujud sejak kesekian lama.


Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu kepada Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1959 tetap menjadi pengajaran kepada mereka. Ironinya, parti lain yang tidak menyebut Islam dan meletakkan Al-Quran dan Hadirh dalam perjuangan mereka, tidak pula menjadikan baiah sesuatu yang perlu.

Tidak dinafikan ada sumpah tertentu, termasuk sumpah menyimpan rahsia tetapi tidaklah ke peringkat sampai perlu bercerai berai dengan isteri atau suami jika meninggalkan parti.

Apakah peringatan Tuan Ibrahim ini menggambarkan masih ramai dalam PAS yang sedang menunggu untuk lompat pagar?

Namun ketika ini mereka tidak berani bertindak kerana baiah?

Tidakkah apa yang dilakukan oleh Ir Amiruddin itu menggambarkan bahawa PAS sebenarnya sedang bergolak dari dalam? Tidakkan keberanian Ir Amiruddin itu membuka mata pemimpin PAS lain yang 'mementang dari dalam' terhadap PAS?

Tuan Ibrahim yang menyifatkan terkejut dengan pemergian Ir Amiruddin lebih-lebih lagi kerana beliau seorang yang mudah dibawa berbincang dan tidak bermasalah dalam parti meningatkan pemimpin PAS bahawa ‘air tenang itu tidak semestinya tidak ada buaya’.

Dengan jelas Tuan Ibrahim mengingatkan Ir Amiruddin bahawa beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan.

Namun, Ir Amiruddin seperti rakan beliau yang meninggalkan PAS sebelum ini yang kebanyakannya menyertai AMANAH, berani untuk melanggar baiah kerana melihat PAS sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Dengan kata lain, PAS sekarang bukan PAS yang asli.

Ada pemimpin PAS mengulas tindakan Ir Amiruddin sekadar mampu mengatakan “Kita doa (agar) dia dapat lepasi baiah yang dilafaznya dalam pilihan raya sebelum ini di akhirat kelak.”

Beliau merupakan pengganti Allahyarham Datuk Fadzil Noor di DUN itu, selepas menang dalam pilihan raya kecil 2002 susulan kematian bekas presiden PAS itu.
  
Selain ADUN Anak Bukit, Ir Amiruddin juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Pada 12 Mei 2016 lalu. media melaporkan, ADUN Anak Bukit itu meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.

Baginya,  keputusan beliau  itu kerana merasakan BN hanya dapat dihadapi melalui gabungan pembangkang yang erat seperti yang dibuktikan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

"Yang penting kita berada dalam kesepakatan yang padu dan ini saya lihat dapat dicapai dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Malah, Ir Amiruddin mengakui  pernah berjumpa dengan Pesuruhjaya PAS Kedah untuk memastikan sama ada masih wujud kemungkinan PAS bekerjasama dengan PH, tetapi jalan kea rah sudah ‘hampir mustahil’ sama sekali.

Friday, November 24, 2017

UMNO vs PPBM - WAHAI NAJIB, BANDINGLAH ‘EPAL DENGAN EPAL’…


UMNO, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak jangan buta sejarah apabila membandingkan UMNO dengan pembangkang yang menganggapnya berada dalam keadaan kucar-lanar atau berserabut.

Bagi Najib, UMNO kini semakin kukuh dan terus konsisten. Memang pun, parti dah berusia 70 tahun.

Bercakap pada satu majlis di Pekan kelmarin, Najib lupa bahawa pada awal penubuhannya, banyak rintangan di hadapi UMNO. Ini termasuk pemisahan antara sayap ulamanya yang membawa kepada pembentukan PAS.

Malah, Presiden UMNO (lama) yang ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 Dato Onn Jaafar turut meletakkan jawatan dan menubuhkan parti baru, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun penubuhan UMNO mendapat sokongan istana namun itu tidak bermakna ia tidak menempuh gelora.

Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951 yang menolak usul beliau mengenai cadangan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Berikutan itu, Dato Onn kemudian menubuhkan IMP pada 26 Ogos, 1951

Selain itu, UMNO turut berdepan dengan krisis diakibatkan oleh  Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan yang dikatakan  diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini.
 
Bukan sedikit pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa akan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja loteri yang dianggap perjudian.

Akibatya wujud  penubuhan PAS selepas berlangsungnya Muktamar Ulama Ke-3 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Ada mengatakan PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951 dan ada yang lain mengatakan PAS ditubuhkan pada 24 November 1951. Akhirnya tarikh rasmi penubuhan PAS bersetuju pada 24 November 1951.

Krisis selepas itu adalah perkara biasa tetapi yang nyata, UMNO tidak pernah lepas daripada cabaran dan ujian getir.

Kerana itu apalah pelik sangat jika PPBM turut menghadapi krisis dan ancaman dalaman?

Membandingkan UMNO yang kini dianggap begitu stabil dengan PPBM adalah tidak  adil.

PPBM baharu setahun jagung!

Malah, penubuhan cawangan PPBM berasaskan Pusat Daerah Mengundi juga banyak yang masih belum selesai.

Kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti.
Perkara itu diakui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mengesahkan kegagalan menyelesaikan isu berkenaan turut meletakkan PPBM dalam situasi keliru untuk menentukan siapa yang layak menghadiri AGM terbabit.
Kerana itu kepastian diperlukan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) apakah PPBM tidak perlu pemilihan peringkat cawangan? Jika ia tidak perlu PPBM boleh teruskan AGM di peringkat bahagian dengan perwakilan ahli jawatankuasa bahagian sahaja.
Najib juga dengan bangganya berkata semangat perjuangan parti itu berbeza dengan situasi pembangkang.

“Biar pembangkang kucar-lanar, kita tetap utuh dan sentiasa berbudi. Bukan sahaja suka bantu rakyat tetapi sentiasa di sisi rakyat sama ada ketika mereka senang atau susah.

Sebagai Perdana Menteri, Najib bertuah kerana dapat memberikan apa sahaja kepada pemimpin UMNO di semua peringkat.

Namun di pihak parti PPBM yang kekurangan segala-galanya perlu bergerak dengan banyak halangan, namun keupayaannya untuk berkembang dengan begitu cepat memuaskan hati semu pihak, khususnya Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau menepuk dada bangga kerana wujudnya kekuatan parti itu, Najib lupa kepada sumbangan mereka yang pernah ada dalam parti itu, di mana setengahnya kini dalam PPBM tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Najib menerima UMNO dalam keadaan yang mantap dan stabil dan pastinya ini memberikan kelebihan kepadanya untuk turut memberi manfaat hingga dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Perbandingan tidak adil, tidak setaraf dan ‘permainan di padang yang berlainan’ antara sebuah parti yang sudah 70 tahun dengan parti setahun jagung adalah tindakan ‘masuk bakul angkat sendiri’.

Apa lagi, PPBM bukan sebuah partii yang mempunyai ramai pemimpin ternama seperti dalam Parti Semangat 46 yang ditubuhkan hasil perpecahan akibat pemilihan UMNO 1988.


Satu lagi, PPBM bukanlah parti yang diakibatkan keluarnya pemimpin UMNO secara enbloc seperti yang berlaku melalui penubuhan Semangat 46 atau Parti AMANAH daripada PAS
.
Dua pemimpin utama PPBM kini – Presiden dan Timbalannya - adalah mereka yang dipecat oleh kerajaan dan parti, namun pengikut PPBM tetap mendadak.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi 'tiang seri' kepada PPBM sebenarnya mengundurkan diripada UMNO lebih awal berbanding dua pemimpin UMNO yang dipect itu.

Najib jangan terlalu merasa terselamat dengan kedudukan UMNO hari ini. Hakikatnya wujud ‘bantahan secara senyap’ daripada rakyat dan mereka yang ada dalam UMNO sendiri.

Yang menunjuk-nunjuk memberi sokonan ialah mereka yang mendapat imbuhan secara langsung daripada Najib dalam apa juga bentuk, termasuk ‘dedak’.

Sudah pasti semakin ekat pilihan raaya ramai mahu menjadi juara pertahankan Najib.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang berada di peringkat cawangan UMNO? Apakah mereka selesa dengan kedudukan sekarang?

Jika selesa, kenapa ada cawangan yang tidak mampu mengadakan mesyuarat cawangan atau kalau ada laporan mesyuarat cawangan pun, apakah ia mesyuarat yang benar-benar sah?

Jika UMNO yang berusia 70 tahun tetap berdepan berbagai masalah, apakan pula bagi PPBM yang baru setahun ditubuhkan, semestinya tidak boleh terlepas daaripada berdepan dengan berbagai isu dalam konteks strukturnya.

Bandinglah epal dengan epal, bukan durian Musang King dengan ‘Timun Cina’ (tembikai) wahai Najib! 

Tuesday, November 21, 2017

ISU KOS SARA HIDUP – WAKIL RAKYAT PENTING PAS TIDAK PEDULI?



"Menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat. Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti ini?"

"Kita kalah satu undi. Rakyat akan fikir bahawa dua wakil rakyat Parlimen (MP) yang berkecuali daripada mengundi ini menyebabkan kekalahan kita."

Kekalahan apa itu?

Ia membabitkan isu kos sara hidup yang dibincangkan di Dewan Rakyat semalam.
Kesimpulan di atas dibuat oleh wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar mengenai keputusan usul Pakatan Harapan (PH) yang membuat pengundian blok (belah bahagian) menolak  Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pada pengundian dalam suasana kecoh di Dewan Rakyat semalam, usul PH yang turut disokong oleh beberapa wakil rakyat (MP) PAS tewas tipis satu undi -  51-52.

Lalu timbul persoalan, apakah kos sara hidup tidak sepenting cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) atau Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) bagi pemimpin PAS?

Atau apakah isu mempertahankan tuduhan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima RM90 juta ‘segala-galanya’ berbanding isu kos sara hidup yang sedang menghimpit kebanyakan rakyat sekarang?

Dan untuk dua orang wakil rakyat yang berkecuali itu, ucaplah tahniah kepada mereka kerana menyelamatkan kerajaan ddaripada dimalukan.

Apakah akan ada ‘habuan menarik’ untuk penyelamat ini?


Namun di pihak rakyat -  masih ada beberapa ‘wakil rakyat PAS’ – penulis ulangi - wakil rakyat PAS yang disebut oleh Mahfuz sebagai tetap ‘menjiwai kesulitan rakyat’ apabila mengundi mengundi menolak Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam.

Enam Ahli Parlimen (MP) PAS yang mengundi menolak Bajet 2018 ialah Mahfuz (Pokok Sena), Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Husin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Mereka mengundi menyokong usul Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat pengundian blok (belah bahagian) malam semalam selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyimpulkan bahagian Bajet 2018 semasa peringkat jawatankuasa.

Mahfuz memberitahu Malaysiakini, “mereka beritau saya ini kali undi tolak sebab ini melibat soal kos kehidupan."

Tidak diketahui sama ada sudah dijangka atau tanpa disangka, dua wakil rakyat PAS iaitu MP Bukit Gantang Idris Ahmad dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) berkecuali daripada mengundi.

Perlu diulangi, pada pengundian belah bahagian (blok) terhadap Bajet 2018 peringkat polisi sebelum ini,11 orang MP PAS kecuali Mahfuz berkecuali daripada mengundi.

Taktik berkecuali ini menjadi amalan PAS ketika membuat undian belanjawan persekutuan, sejak ia berpisah dengan PKR dan DAP.

Wakil rakyat PAS yang tidak hadir ketika pengundian semalm ialah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan pemimpin utama Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Nik Abduk Nik Aziz (Pasir Mas) , Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) serta ketua kelab penyokong parti Che Rosli Che Mat (Hulu Langat)  juga tidak hadir.

Tidak diketahui di mana dan kenapa tetapi sikap wakil rakyat PAS - , selain enam yang dianggp sebagai ‘cakna dengan soal kos kehidupan’ rakyat - jelas tidak jauh bezanya dengan kumpulan sesetangah wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Penulis mengatakan demikian kerana BN yang menang hanya satu undi dalam undi belah bahagi seperti diminta oleh G Manivannan (PKR-Kaparyang diadakan selepas Menteri Datuk Seri Hamzah Zainudin selesaiu menggulung ucapan untuk kementeriannya.


Malah, sewaktu loceng untuk undi belah bahagi dibunyikan, kelihatan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kebanyakannya tidak berada di dalam Dewan Rakyat.
Walaupun deringan loceng yang berbunyi selama dua minit sudah tamat, masih ada Ahli Parlimen BN berlari masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.
Apa erti semua ini? Tidakkah sikap mereka membuktikan ramai yang tidak peduli dengan ‘perkara yang dibincang dan digulung’ di Dewan Rakyat.
Berikutan itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkora) menggesa pintu masuk Dewan Rakyat ditutup agar tidak ada lagi wakil rakyat  dapat masuk selepas deringan loceng tamat.
Antara wakil rakyat yang didakwa pembangkang lewat masuk namun dibenarkan mengundi adalah Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).
Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) dalam keadaan marah meminta BN berhenti “menipu” dan meminta pengundian dilakukan secara jujur, sementara Mahfuz mendakwa ada “konspirasi” ketika undi belah bahagi dilakukan.

Tidak keterlaluan jika Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit “tipu” pada Ronald.Kiandee.
 “Kita mahu senarai nama itu disemak semula. Kenapa ini berlaku, satu dunia melihat kejadian ini. Mereka ini hanya menang dengan 1 undi sahaja,” kata Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Ronald menjawab kritikan pembangkang berkaitan kekecohan yang berlaku hampir 15 minit itu berkata tiada peraturan menyatakan undi wakil rakyat yang lambat masuk tidak boleh dikira.
Tidak usah fikirlah dengan sikap wakil rakyat BN. Ia sangat mudah difahami.
Tetapi bayangkkan jika dua wakil rakyat PAS yang berkecuali itu
mengundi usul PH demi ‘kos kehidupan’ rakyat., apa akan jadi?

Namun kini ia menjadi sejarah bagaimana dalam soal ‘kos kehidupan rakyat’ pun orang politik boleh mempermainkan nasib rakyat.

Apakah rakyat boleh tahan dengan sikap dan gelagat wakil rakyat seperti  ini?

Sunday, November 19, 2017

ISU ROS - PPBM MUNGKIN PIHAK YANG AKAN ‘GELAK TERAKHIR’


"Janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM."

Ramai gembira dan ‘tergelak besar’ apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikhabarkan berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN)/UMNO melihat perkara ini akan banyak memberikan kelebihan kepada mereka.

Malah, pelbagai kemungkinan sudah diperkatakan oleh media rasmi, televisyen dan media sosial milik BN/UMNO mengenai perkara ini.

PAS tidak mengulas tetapi sebagai parti lawan mereka, pastinya jika sesuatu berlaku kepada PPBM, pastinya akan turut melegakan beban saingan ditanggung mereka.

Kenapa mereka gembira dan sesetengahnya berdoa sedemikian?

Malah,  ada pemimpin penting UMNO di sebuah negeri mengatakan ‘kedudukan parti itu (PPBM) yang  terus goyah selain bakal memberi kelebihan kepada UMNO’.

Bagi mereka,  jika PPBM dibatalkan, seolah-olah dengan sendirinya pemimpin PPBM tidak boleh bertanding pilihan raya. Satu beban berat BN/UMNO sudah dapat diatasi.

PPBM yang dlihat ancaman kepada UMNO melebihi PAS khususnya di negeri Johor, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, akan ‘mempermudahkan kerja UMNO’ berdepan pesaing sengit mereka.

Bagi UMNO, walaupun PAS menyatakan akan bertanding banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia bukan ancaman besar.

Apa lagi sebarang kemungkinan akan berlaku antara dua parti itu dan jika ‘taawun’ diisytiharkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO. Kerja UMNO lagi ringan.

PPBM kini berdepan dengan tindakan RoS kononnya gara-gara tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.



Kelmarin, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim memaklumkan ,pihaknya tidak mengiktiraf Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PPBM yang di hadiri  12 orang ahli majlis tertinggi pada 2 November tahun lalu.

Menurut Surayati, fasal 28, yang merujuk kepada pindaan perlembagaan pribumi, menyatakan bahawa sebarang pindaan kepada perlembagaan parti itu mesti disokong tidak kurang daripada 2/3 perwakilan yang hadir pada AGM atau EGM.

Sejak RoS memperkatakannya kepada umum, UMNO bagaikan mengambil kesempatan untuk memburuk-buruk dan mengecam PPBM seolah-olah parti yang mahu menggantikan UMNO itu tidak berusaha untuk mematuhi perkara-perkara yang ditetapkan oleh RoS.

JIka mahu diperkatakan apa yang melanda PPBM sekarang, sebuah parti pembangkang yang menjadi sekutu PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini, iaitu DAP, pernah berdepan dengan berbagai ancaman kemungkinan terbabal pendaftarannya.

Jika ramai masih ingat, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP berdepan kemungkinan logo 'Roket' tidak boleh digunakan dalam pilihan raya selepas pendaftaran parti itu mungkin terbatal ekoran kemelut berhubung pemegang jawatan yang dibentuk semasa pemilihan parti pada 15 Disember 2012.

Akibat kes itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan parti itu bercadang menggunakan logo PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak, jika isu itu tidak diselesaikan sebelum pilihan raya tersebut.

Jadi bukan sesuatu yang pelik jika benar PPBM akan dibatalkan kerana calon-calon PPBM boleh bertanding atas tiket parti seperti PKR.


Menariknya, semalam Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan bahawa PH sudah bersedia dengan kemungkinan pendaftaran PPBM dibatalkan menjelang PRU14.

Malah bagi beliau, ini bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

Janji PH untuk bersama-sama PPBM untuk ‘bersama-sama dalam menanganinya’ walau dalam apa juga keadaan pastinya tidak akan ‘melepaskan BN/UMNO’ begitu sahaja.

Lebih melegakan PPBM ialah kata-kata Wan Azizah bahawa PH tidak akan mengarahkan PPBM supaya segera menyelesaikan konflik dalaman mereka, sebaliknya yakin dengan kepimpinan parti itu dalam membuat keputusan yang terbaik.

Lebih meyakinkan, PPBM bukan berpeluk tubuh sebaliknya akan mengemukakan laporan berkaitan penubuhan parti kepada Jabatan RoS bagi mendapatkan maklum balas lebih terperinci mengenai desakan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu.

Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, terdapat beberapa kekeliruan oleh pihaknya yang digesa untuk membentuk AGM kerana faktor tempoh masa kelulusan bahagian daripada ROS masih baru dan kurang dari setahun.

Usaha PPBM untuk meminta pandangan ROS dalam status mengelirukan, malah  hanya lapan bahagian terawal sahaja diluluskan ROS iaitu 24 Julai lalu. “Bagaimana ,ahu buat AGM?” tanya

Kerana itu pertemuan dengan RoS pada 30 November ini untuk membentangkan segala laporan sangat penting sebagai menandakan PPBM bersedia untuk patuh dengan sebarang keputusan ROS sekiranya pihak terbabit terus mendesak untuk PPBM mengadakan AGM dalam tempoh terdekat.

Selain itu PPBM akan turut meminta panduan daripada ROS dalam pembentukan AGM seandainya perkara itu terus ditekankan termasuk melaksanakan sebarang kehendak mereka.


Jadi, janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin dalam isu ini jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM.


Malah, apabila selesai, mereka bukan sahaja tidak boleh ketawa lagi tetapi terpaksa mengunci mulut dan berdepan serangan politik lebih besar daripada PPBM.

Friday, November 17, 2017

APAKAH AKAN ADA EPISOD ‘KES LIWAT KETIGA ANWAR’ SELEPAS INI?


Ada beberapa persoalan apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memanggil Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah behubung kenyataan liwatnya di Parlimen, dua minggu lalu.

Pertama, apakah kes ini akan membawa kepada episod ‘kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ketiga’?

Kedua, beranikah Ahmad Husni membawa saksi, iaitu ‘anak saudaranya’ jika dipangil oleh JAWI; dan

Ketiga, kenapa yang membuat laporan rasmi kepada JAWI hanya ‘orang AMANAH’ dan tiada daripada PKR?

Rabu minggu lalu, ketika berhujah pada sidang Dewan Rakyat, Ahmad Husni mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak lagi mengikuti perjuangan Anwar.

"Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

"Selepas dia berhenti jadi timbalan perdana menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan," kata Ahmad Husni.

Kenyataan ini membawa kepada suatu situasi baru di mana ‘ada orang yang kali ketiga sudah kena liwat oleh  Anwar’.

Sedangkan ketika ini Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun, sejak 2015 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini adalah kes kedua selepas kes pertama yang membawa kepada pemecatan Anwar dan dipenjarakan kali pertama kerana kesalahan kes lain.

Namun ramai orang beranggapan Anwar disabitkan dengan kes ‘liwat’ pada hukuman penjaranya kali pertama.

Berikutan kenyataan Ahmad Husni itu, pemimpin Pakatan Harapan menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), menyiasat dakwaan bekas Menteri Kewangan Kedua itu berhubung tuduhan liwatnya membabitkan Anwar.


Ramai berpendapat tuduhan Ahli Parlimen Tambun itu merupakan satu tuduhan berat yang perlu kepada siasatan terperinci.

Ramai juga berpendapat tuduhan itu dibuat untuk ‘mencemarkan imej Anwar’ yang dilihat kini sudah bersatu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin BN dikatakan sangat bimbang dengan pakatan Anwar-Dr Mahathir dan sanggup mengambil apa sahaja langkah termasuk mengitar semula kes lama dengan menggunakan Ahmad Husni.

Isunya juga apakah Ahmad Husni sanggup ‘mengorbankan anak saudara dan keluarganya’ demi karier politiknya sendiri dan mempertahankan Najib Razak serta kerajaan BN?

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, pegawai penyiasat JAWI memaklumkan kepadanya bahawa selain menyiasat laporan qazaf terhadap Ahmad Husni, mereka juga mengatakan, jika perlu anak saudara Ahmad Husni pun akan dipanggil.

Sebelum ini PH mengesahkan 'mangsa' liwat oleh Anwar itu adalah kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidakkah ini akan menjejaskan maruah ‘anak saudara dan keluarganya’ serta tempat beliau bertugas  yang sebelum ini tidak diketahui langsung ‘turut terbabit dalam kes liwat Ketiga Anwar’ ini.

Sanggupkah anak saudara Ahmad Husni dan keluarganya menerima aib dan malu seperti dialami oleh individu dan keluarga mereka yang dituduh diliwat oleh Anwar dua kali sebelum ini?

Persoalan ketiga ialah di manakah pemimpin PKR sehingga membiarkan dua pemimpin AMANAH – Mohamed Hanipa dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad – ‘memperjuangkan’ laporan qazaf terhadap Ahmad Husni gara-gara  kenyataan liwat tanpa bukti dan saksi terhadap Anwar?

Dua pemimpin berkenaan mengambil usaha itu dengan pendapat bahawa ‘orang yang dituduh itu di dalam penjara dan tidak boleh membela diri’.

Diakui perkara ini memang bukan ringan dan harus diambil tindakan sewajarnya.

Namun, apa pendirian keluarga dan rakan Anwar dalam isu ini?


Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul sudah mencabar Ahmad Husni mengulangi dakwaan beliau di luar Dewan Rakyat mengenai anak buahnya diliwat Anwar namun Ahli Parlimen Tambun itu masih membisu.

Kenapa Ahmad Husni berdiam diri sedangkan bekas Menteri itu perlu berbuat demikian bagi memperlihatkan bahawa beliau tidak berselindung di sebalik imuniti Parlimen.

Atau apakah pemimpin PKR dan keluarga Anwar memberikan hak memperjuangkan isu ‘liwat kali Ketiga Anwar’ ini kepada dua pemimpin AMANAH berkenaan?

Atau apakah dua orang paling rapat dengan Anwar – isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah sudah diberikan nasihat oleh Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang juga merupakan peguam Anwar supaya ‘berdiam diri’ dan membiarkan kepada dua pemimpin AMANAH itu untuk mengambil tindakan sewajarnya?

Ini kerana Sivarasa sebelum ini pernah mengatakan beliau akan menasihati Anwar dan mungkin turut membabitkan ahli keluarga pemimpin PKR itu mengenai  tindakan undang-undang yang akan diambil selepas ini.

Yang nyata Anwar yang dipenjarakan terpaksa berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat gara-gara berjuang dengan bekas musuhnya, Dr Mahathir yang kini sangat ditakuti oleh Najib dan sekutunya.


Apapun persoalannya, apakah ‘kes Liwat Ketiga Anwar’ ini berjaya membendung pengaruh pembangkang atau lebih memberi tekanan kepada Najib dan BN, apa lagi Ahmad Husni sendiri?