Friday, July 14, 2017

PERJUANGAN ‘KE PUNCAK GUNUNG’ TAWARAN HARAPAN KEPADA RAKYAT...


Ini hanyalah permulaan. Namun langkah pertama inilah membawa harapan seterusnya...

Perjuangan sebenar Pakatan Harapan (PH) sudah jelas namun masih banyak perkara yang perlu difikir, dinilai dan dijadikan dasar sebenar pakatan itu  dalam meyakinkan rakyat bahawa inilah pakatan sebenar yang mampu memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Dengan logo rasmi PH diumumkan melambangkan puncak gunung, ia menggambarkan berapa gabungan berwarna merah dengan perkataan “HARAPAN” yang dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya merupakan lambang  harapan sebuah perjuangan dalam mememuhi kehendak dan tuntutan rakyat.

Ia daripada HARAPAN untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Inilah kunci sebenar perjuangan PH.

Warna merah digunakan itu sebenarnya adalah warna asas tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP, kecuali AMANAH yang menggunakan warna oren.

Namun  segi tiga digunakan oleh AMANAH untuk logonya dan pastinya kombinasi warna dan ‘A’ yang dibesarkan itu menjadi satu gunung puncak yang tinggi – melambangkan perjuangan padu dan bersasar PH.


Logo baharu itu jika diluluskan pendaftaranya akan digunakan buat kali pertama oleh pembangkang pada pilihan raya umum. Dijangkakan logo akan didaftarkan dengan  Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)  selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu dari sekarang.

Ini satu perkembangan menggalakan berbanding Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan sebelum ini,  menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.

Yang nyata, setidak-tidaknya, semalam tiga (bukan dua) perkara asas sudah dipersetujui dalam PH

Isu kepimpinan PH dan logo yang diperkatakan dengan meluas oleh pengkritik PH sudah dapat diselesaikan malam semalam. Juga mengenai isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Struktur dan logo PH itu  akhirnya berjaya dimuktamadkan selepas mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam yang  berlansung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Kejayaan ini pastinya mengejutkan Barian Nasional (BN) yang sebelum ini menggunakan berbagai cara – media sosial dan kenyataan pemimpin mereka -  untuk pecahbelahkan PH dengan berbagai perang saraf mereka kononnya wujud perebutan kepimpinan, selain memperlekehkan mengenai logo PH yang diviralkan sebelum ini.

Namun usaha itu ternyata gagal dan cita-cita pemimpin BN untuk memporak-perandakan pakatan kepimpinan dalam PH,  jelas gagal.


Pastinya ‘pemikir strategi BN’ ketika ini sedang merangka strategi baru untuk cuba melaga-lagakan PKR dan PPBM  agar berlaku pula perselisihan lain, termasuk isu siapa bakal Perdana Menteri selepas PRU14.

Pemimpin atasan PKR dan PPBM perlu pastikan pemimpin bawahan mereka serta penyokong tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan demi kerancakan PH menggempur BN.

Mereka perlu akur dan mendapatkan maklumat jelas mengenai sesuatu isu dan tidak percaya dengan sebarang maklumat tidak sahih dan yang cuba di’spin’kan oleh musuh mereka.

Untuk AMANAH dan DAP, mereka  perlu berusaha untuk menjamin penyokong mereka dapat menerima lantikan ini dengan baik kerana Setiausaha Agong DAP serta Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH, turut berada dalam kedudukan penting.

Sejauh ini secara ringkas PH sudah mengatakan dengan jelas bahawa dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang, akan memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat.

Perkara ini menjadi perjuangan asas semua parti gabungan PH sebelum ini, termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015.


Selain itu PH juga komited  komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

·        1. Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
·        2. Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
·        3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB;
·        4. Memulihkan FELDA, serta.
·        5. Menstabilkan harga petrol.

Apa yang menarik di sebalik persetujuan mengenai struktur dan logo PH, PH juga berikrar memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas PH membentuk kerajaan.

Daripada kenyataan yang  dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH, amat nyata pakatan itu akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar (Anwar  dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman lima  tahun penjara pada 2015 dan amat nyata beliau akan terlepas untuk bertanding pada PRU14.)

Malah, membaca kenyataan PH yang ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, AMANAH dan PPBM, Dr Mahathir menyatakan bahawa: “Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.”


Sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri atau sebaliknya, Dr Mahathir menjelaskan semalam, yang penting Anwar mendapat pengampunan pengampunan diraja dan selepas itu sebarang tindakan perlu melalui proses undang-undang.

Soal siapa Perdana Menteri PH sekiranya menang PRU14 pernah diperkatakan dengan meluas sebelum ini di mana timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri yang kemudian  melantik Anwar.

Yang nyata, dalam isu ini, masih banyak perkara perlu dilakukan. Kerana itu Dr Mahathir mengatakan
“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi.”

Malah beliau mengakui isu Anwar sebagai Perdana Menteri ini  sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.

Apapun, selepas perkara asas PH dapat diselesaikan semalam, tugas mereka ialah menjamin apa yang dirancang berjalan lancer.

Sewajarnya rakyat dan penyokong PH perlu yakin dengan pencapaian ini. Tugas selanjutnya tidak begitu sukar dirancang dan dilaksanakan memandangkan mereka yang memimpin PH kini bukan calang-calang pemimpin.

Selain berpengalaman dalam politik dan pentadbiran, organisasi PH dan pemimpinnya  dilihat  mampu menjayakan harapan rakyat.

Struktur dipersetujui semalam selepas dirundingkan beberapa bulan selain Dr Mahathir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Tiga Timbalan Presidan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH).

Empat naib presiden daripada setiap parti ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir , Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden AMANAH,  Salahuddin Ayub.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran sebagai  bendahari.

Pengumuman ini menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa Muhyiddin dilantik sebagai presiden, sementara Anwar sebagai  penasihat dan Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi. Azmin pula disepekulasikan  sebagai timbalan presiden, manakala Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden Pakatan Harapan.

Malah persetujuan dan pengumuman semalam juga pastinya akan merancakkan lagi momentum menekan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila rasuah dan penyelewengan akan dijadikan antara perkara penting dalam strategi PH menundukkan BN.

Di sebalik kejayaan awal ini, pastinya rakyat lega dengan ‘kesepaduan’ itu pastinya mahu melihat dan mengetahui apa yang akan ditawarkan seterusnya oleh pakaran ini menjelang PRU14. nanti.

Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang sudah tercapai kini, ia akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan jauh lebih baik daripada BN.

No comments:

Post a Comment