Friday, July 14, 2017

PERJUANGAN ‘KE PUNCAK GUNUNG’ TAWARAN HARAPAN KEPADA RAKYAT...


Ini hanyalah permulaan. Namun langkah pertama inilah membawa harapan seterusnya...

Perjuangan sebenar Pakatan Harapan (PH) sudah jelas namun masih banyak perkara yang perlu difikir, dinilai dan dijadikan dasar sebenar pakatan itu  dalam meyakinkan rakyat bahawa inilah pakatan sebenar yang mampu memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Dengan logo rasmi PH diumumkan melambangkan puncak gunung, ia menggambarkan berapa gabungan berwarna merah dengan perkataan “HARAPAN” yang dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya merupakan lambang  harapan sebuah perjuangan dalam mememuhi kehendak dan tuntutan rakyat.

Ia daripada HARAPAN untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Inilah kunci sebenar perjuangan PH.

Warna merah digunakan itu sebenarnya adalah warna asas tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP, kecuali AMANAH yang menggunakan warna oren.

Namun  segi tiga digunakan oleh AMANAH untuk logonya dan pastinya kombinasi warna dan ‘A’ yang dibesarkan itu menjadi satu gunung puncak yang tinggi – melambangkan perjuangan padu dan bersasar PH.


Logo baharu itu jika diluluskan pendaftaranya akan digunakan buat kali pertama oleh pembangkang pada pilihan raya umum. Dijangkakan logo akan didaftarkan dengan  Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)  selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu dari sekarang.

Ini satu perkembangan menggalakan berbanding Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan sebelum ini,  menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.

Yang nyata, setidak-tidaknya, semalam tiga (bukan dua) perkara asas sudah dipersetujui dalam PH

Isu kepimpinan PH dan logo yang diperkatakan dengan meluas oleh pengkritik PH sudah dapat diselesaikan malam semalam. Juga mengenai isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Struktur dan logo PH itu  akhirnya berjaya dimuktamadkan selepas mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam yang  berlansung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Kejayaan ini pastinya mengejutkan Barian Nasional (BN) yang sebelum ini menggunakan berbagai cara – media sosial dan kenyataan pemimpin mereka -  untuk pecahbelahkan PH dengan berbagai perang saraf mereka kononnya wujud perebutan kepimpinan, selain memperlekehkan mengenai logo PH yang diviralkan sebelum ini.

Namun usaha itu ternyata gagal dan cita-cita pemimpin BN untuk memporak-perandakan pakatan kepimpinan dalam PH,  jelas gagal.


Pastinya ‘pemikir strategi BN’ ketika ini sedang merangka strategi baru untuk cuba melaga-lagakan PKR dan PPBM  agar berlaku pula perselisihan lain, termasuk isu siapa bakal Perdana Menteri selepas PRU14.

Pemimpin atasan PKR dan PPBM perlu pastikan pemimpin bawahan mereka serta penyokong tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan demi kerancakan PH menggempur BN.

Mereka perlu akur dan mendapatkan maklumat jelas mengenai sesuatu isu dan tidak percaya dengan sebarang maklumat tidak sahih dan yang cuba di’spin’kan oleh musuh mereka.

Untuk AMANAH dan DAP, mereka  perlu berusaha untuk menjamin penyokong mereka dapat menerima lantikan ini dengan baik kerana Setiausaha Agong DAP serta Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH, turut berada dalam kedudukan penting.

Sejauh ini secara ringkas PH sudah mengatakan dengan jelas bahawa dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang, akan memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat.

Perkara ini menjadi perjuangan asas semua parti gabungan PH sebelum ini, termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015.


Selain itu PH juga komited  komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

·        1. Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
·        2. Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
·        3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB;
·        4. Memulihkan FELDA, serta.
·        5. Menstabilkan harga petrol.

Apa yang menarik di sebalik persetujuan mengenai struktur dan logo PH, PH juga berikrar memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas PH membentuk kerajaan.

Daripada kenyataan yang  dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH, amat nyata pakatan itu akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar (Anwar  dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman lima  tahun penjara pada 2015 dan amat nyata beliau akan terlepas untuk bertanding pada PRU14.)

Malah, membaca kenyataan PH yang ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, AMANAH dan PPBM, Dr Mahathir menyatakan bahawa: “Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.”


Sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri atau sebaliknya, Dr Mahathir menjelaskan semalam, yang penting Anwar mendapat pengampunan pengampunan diraja dan selepas itu sebarang tindakan perlu melalui proses undang-undang.

Soal siapa Perdana Menteri PH sekiranya menang PRU14 pernah diperkatakan dengan meluas sebelum ini di mana timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri yang kemudian  melantik Anwar.

Yang nyata, dalam isu ini, masih banyak perkara perlu dilakukan. Kerana itu Dr Mahathir mengatakan
“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi.”

Malah beliau mengakui isu Anwar sebagai Perdana Menteri ini  sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.

Apapun, selepas perkara asas PH dapat diselesaikan semalam, tugas mereka ialah menjamin apa yang dirancang berjalan lancer.

Sewajarnya rakyat dan penyokong PH perlu yakin dengan pencapaian ini. Tugas selanjutnya tidak begitu sukar dirancang dan dilaksanakan memandangkan mereka yang memimpin PH kini bukan calang-calang pemimpin.

Selain berpengalaman dalam politik dan pentadbiran, organisasi PH dan pemimpinnya  dilihat  mampu menjayakan harapan rakyat.

Struktur dipersetujui semalam selepas dirundingkan beberapa bulan selain Dr Mahathir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Tiga Timbalan Presidan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH).

Empat naib presiden daripada setiap parti ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir , Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden AMANAH,  Salahuddin Ayub.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran sebagai  bendahari.

Pengumuman ini menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa Muhyiddin dilantik sebagai presiden, sementara Anwar sebagai  penasihat dan Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi. Azmin pula disepekulasikan  sebagai timbalan presiden, manakala Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden Pakatan Harapan.

Malah persetujuan dan pengumuman semalam juga pastinya akan merancakkan lagi momentum menekan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila rasuah dan penyelewengan akan dijadikan antara perkara penting dalam strategi PH menundukkan BN.

Di sebalik kejayaan awal ini, pastinya rakyat lega dengan ‘kesepaduan’ itu pastinya mahu melihat dan mengetahui apa yang akan ditawarkan seterusnya oleh pakaran ini menjelang PRU14. nanti.

Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang sudah tercapai kini, ia akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan jauh lebih baik daripada BN.

Thursday, July 6, 2017

1MDB – PAS SEPATUTNYA MEMERANGI KEMUNGKARAN, BUKAN TERUS…


Jelas sekali Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Khairuddin Aman Razali bermain dengan retorik dalam ulasan terbarunya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenapa penulis mengatakan demikian?

Berdasarkan kenyataannya semalam yang disiarkan oleh portal berita rasmi PAS Terengganu bertajuk "Kemungkaran 1MDB Bermula Apabila Menggunakan Kaedah Hutang ‘Riba’ Haram'", jelas Dr Khairuddin tidak 'menetapi sasaran'.

Kenapa boleh dianggap tersasar dan tidak mengena sasarannya?

Dengan menyebut kemungkaran 1MDB bermula apabila syarikat milik kerajaan itu menggunakan kaedah hutang riba yang diharamkan oleh Islam bagi mendapatkan modal sehingga berpuluh bilion ringgit, tidak membawa makna apa-apa terhadap usaha mengejar ‘pencuri, perompak dan penyamun’ wang dana itu.

Isu sekarang bukan lagi bagaimana ia dimulakan kerana rakyat Malaysia sudah sangat maklum mengenainya.

Yang perlu dilakukan Dr Khairuddin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS ialah mengemukakan nas dan hadith mengenai haram bagi kerajaan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melindungi maklumat tepat dan benar mengenai 1MDB daripada diketahui oleh rakyat.

Maksud di sini ialah, keluarkan fatwa apa hukumnya pemerintah, termasuk Perdana Meenteri dan Kabinetnya yang bersekongkol  meletakkan laporan Ketua Audit Negara sebagai bahan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kenapa ‘menyorotkan kebenaran’ isu laporan itu daripada diketahui rakyat sedangkan 1MDB ditubuhkan dengan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat.

Rakyat perlu tahu apa masalah, apa penipuan  dan sejauh mana penyelewengan yang berlaku.

Dan jika benar berlaku penyelewengan dan perbuatan pengubahan wang haram, ia perlu dibentaras. Ini lebih baik daripada Dr Khairuddin mempersoalkan mengenai modal awal 1MDB kerana ia memang dibuat melalui ‘jalan yang salah’.

Maklumat dalam laporan audit itu penting untuk rakyat bandingkan dengan laporan dan kandungan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk suatu kebenaran yang hakiki.

Dr Khairuddin yang sebelum ini Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan kini menjadi Bendaharinya, tidak usah bermain sengan sentimen agama dalam isu ini secara berbelit-belit kerana akan menimbulkan lebih banyak persoalan kepada integrity beliau dan pemimpin PAS sendiri.

Orang Islam dan bukan Islam pun maklum bahawa perniagaan berasaskan ‘modal ‘haram’ tidak akan diberkati Allah, menyebabkan pelbagai isu melingkari 1MDB sehingga ke hari ini.

Ketika ulama kita membisu mengenai 1MDB, adalah elok jika Dr Khairuddin dan  Dewan Ulama PAS mengorak langkah untuk mendesak kerajaan supaya telus dan berterus terang dengan rakyat mengenai apa masalah sebenar berkaitan 1MDB.

Malah, jika ia turut melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN), PAS perlu berterus terang dan jangan dilihat cuba menyembunyi sesuatu atau bersekongkol dengan mereka yang cuba menutup kelemahan dan penyelewengan dalam 1MDB.

PAS akan dihormati oleh rakyat dan semua pmbangkang jika ulamanya bercakap secara berani dan tidak memihak dalam dalam isu ini.

Apakah retorik oleh Dr Khairuddin ini hanya gambaran bahawa satu sandiwara sedang dimainkan oleh PAS dan UMNO untuk mengelirukan rakyat?

Apakah PAS mahu menjadi parti ‘klu-klek’ di mana pada suatu sudut ia mempersoalkan kerajaan dalam isu modal 1MDB tetapi perjalanan syarikat itu yang dilihat berceluru dan banyak wang lesap tidak pula dikritik oleh PAS?


Dr Khairuddin juga perlu lebih tegas dan jelas dalam menyatakan pendirian jika benar ‘pengurusan kewangan 1MDB sedang bergelut dengan pelbagai pelan bagi menyelesaikan kemelut hutang ini.

Beliau sewajarnya bertanyaa kerajaan bagaimana 1MDB mahu membayar baki hutangnya yang boleh mencecah kira-kira RM40 bilion sementara jumlah bayaran dibuat 1MDB bernilai hampir RM3.9 bilion.
Perlu ditanya dari mana wang untuk bayar hutang itu diperolehi.
Juga Dr Khairuddin sebagai pemimpin Islam wajar mengemukakan pertanyaan apakah status dan kedudukan dana agensi pelaburan milik kerajaan itu yang kini bernilai RM7.07 bilion sedangkan jumlah hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah RM50 bilion setakat Januari 2016.
Dan jika kerajaan tidak bercakap benar, Dr Khairuddin wajar persoal kerajaan kenapa tidak ada keteluasan. Apakah Islam membenarkan pemimpinnya ‘tidak bercakap benar’ dan ‘melindungi maklumat mengenai harta kerajaan daripada diketahui rakyat’?

Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu memberikan pandangan yang bernas bagi menyelesaikan hutag yang beliau sendiri berpendapat ‘jika tidak diselesaikan bakal melibatkan kewangan kerajaan kerana hutang-hutang 1MDB dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.”

Sebagai Ahli Majlis Syura Ulama itu, beliau perlu tegas menyatakan juga hukum dan pandangan Islam dalam menyelesaikan segera hutang 1MDB kerana membabitkan kepentingan rakyat.

Sebagai ahli Parlimen daripada ‘parti Islam’ beliau wajar bertanya kenapa Kementerian Kewangan tidak boleh mendedahkan butiran proses timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi?

Benarkah ia terikat dengan garis panduan kerahsiaan?

Kes timbang tara antara pihak IPIC dan 1MDB masih berlangsung di London Court of International Arbitration (LCIA) memanglah perlu dihormati garis apanduan kerahsiaannya, namun kenapa lansung berdiam diri mengenainya?

Dr Khairuddin diyakini peka mengenai perkara ini tetapi enggan bersuara? Kenapa?

Jika PAS pejuang rakyat, apa lagi rakyat Islam di negara ini yang rata-ratanya berada dalam keadaan yang dihimpit berbagai masalah, kesusahan akibat tekanan hidup dan masa depan tidak menentu akibat 1MDB, Dr Khairuddin  hendaklah diperkatakan dengan jelas dan berterus terang, bukan secara sipi.

Sebagai orang bijak pandai dalam PAS, jangan bermain di bahagian sayap tetapi jadilah pemain yang ‘menyumbat gol’ demi kepentingan penyokong PAS dan rakyat amnya.

Dan jika Dr Khairuddin beretuju bahawa 1MDB juga terpalit dengan dakwaan kebocoran dan ketirisan perbelanjaan, apa pula hukum dan pandangan Islam mengenai perkara ini?

Malah, dengan beliau mengakui bahawa perbelanjaan 1MDB yang dikatakan mengalir kepada beberapa syarikat milik individu tertentu mengundang kepada penyiasatan dan saman sivil oleh DOJ, jangan pula beliau seakan bermain ‘di dua kolam’.

Membiarkan ia terus berlaku tanpa adanya usaha untuk menghentikannya, selain  berdolak-dalik  tindakan untuk mendedahkan kebocoran dan ketirisan jelas perbuatan bersubahat dengan kebejatann?

Apa pula hukumnnya bagi mereka yang bersubahat, apa lagi menyokong perbuatan yang menyebabkan ketirisan?

Sewajarnya sebagai Ahli Parlimen yang mendapat gaji dan berbagai ‘laba’ daripada undi rakyat, Dr Khairuddin memulangkan semula hasil undi rakyat, bukan sahaja di Kuala Nerus dan Terengganu tetapi juga Malaysia amnya untuk menyatakan perkara yang benar dan sebenar-benarnya dalam isu 1MDB ini.

Mengingatkan DoJ dengan kata-kata, “Jangan pula tindakan hanya menjadi modal politik tanpa kesudahan untuk kepentingan pihak tertentu..” bunyinya seakan kata-kata pemimpin UMNO’

Kenapa kita tidak boleh teruja dengan siasatan DoJ? Siapa yang mencemarkan nama negara? Pemimpin BN?UMNO atau rakyat?

Apakah Dr Khairudddin rela bersekongkol dan bersubahat dalam perkara mungkar seperti ini?

Siapa sebenarnya yang mencemarkan nama negara dan meletakkan isu 1MDB ini disiasat oleh banyak negara di dunia? Pembangkang, rakyat atau pemimpin BN/UMNO?

Sepatutnya Dr Khairuddin menasihat pemimpin BN/UMNO jangan cemarkan nama negara dan jangan menyebabkan negara ini digelar ‘kleptokrasii’.

Dr Khairuddin sebagai pemimpin Islam jangan bermain dengan andaian apabila mengatakan ‘dakwaan ada individu rakyat Malaysia yang melobi negara luar untuk mengambil tindakan terhadap aliran kewangan 1MDB juga tidak boleh dipandang ringan’.

Malah beliau menegaskan tindakan individu yang melobi itu ‘bererti membawa masalah negara sendiri untuk campurtangan luar’.

Bukankah andaian seperti ini mirip kepada tuduhan?

Bagaimana Dr Khairuddin boleh yakin dengan itu semua? Maklumat daripada Perdana Menteri, pemimpin UMNO dan yang sewaktu dengannya?

Jika Dr Khairuddin mahu masalah negara sendiri perlu diselesaikan dengan cara kita sendiri tanpa melibatkan orang luar, sewajarnya beliau menasihati Najib, Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar serius dalam menyelesaikan kemelut 1MDB.

Penulis bersetuju jika dibentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tuduhan ketirisan dana 1MDB ini. Namun apakah ia diambil peduli oleh Najib dan Putrajaya?

Selain itu berapa lama lagi siasatan akan mengambil masa?

Jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggap begitu cekap dalam menjalankan tugas pun belum selesai mmbuat siasatan, apa lagi RCI berkenaan.

Berikutan itu berapa lama lagi Dr Khairuddin mahu membiarkan isu 1MDB dan masalah berkaitan dengannya terus disiasat oleh negara luar?

Berapa lama lagi rakyat mahu dibelenggukan dengan isu ini sedangkan mereka yang ‘merompak dan mencuri’ bermewah dan bersenang-senang di luar negara.

Mengaitkan skandal ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 1MDB boleh disifatkan sbagai tindakan bersama Dr Khairuddin dengan BN/UMNO untuk melarikan isu sebenar daripada rakyat.

Kata-kata bahawa pelbagai kemelut dan skandal di era Dr Mahathir akibat pengurusan oleh jiwa yang tidak meletakkan pertimbangan syurga dan neraka’ adalah kenyataan berpihak.

Apakah isu 1MDb yang diakibatkan oleh Najib ini meletakkan pertimbangan ‘syurga dan neraka’? Kenapa Dr Khairuddin tidak menghalakan juga ‘peluru syurga dan neraka’ in kepada Najib?

Kata-kata bahawa pembangkang hanya berhasrat menukar pemimpin BN sahaja tanpa menukar dasar-dasar pentadbiran dan pemerintahan yang menjadi sebab negara terpalit dengan pelbagai kemelut ekonomi, sosial dan politik ini menunjukkan Dr Khairuddin ini berada dalam dunia khayalannya sendiri.

Tidakkah beliau membaca dan memahami perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang suatu ketika pernah disertai PAS dalam memerangi penyelewengan, rasuah, guna kuasa dan pelbagai kekalutan oleh Najib dan kerajaan BN/UMNO?

Retorik Dr Khairuddin akan memakan diri dan pastinya PAS akan terpalit  sama.

Jelas sejauh ini Ahli Parlimen Kuala Nerus ini hanyut dalam khayalannya mencari nas dan dalil melalui al-Quran dan hadith untuk perkara yang berbangkit di awal penubuhan 1MDB.

Beliau memang ‘tertinggal kereta api’ kerana isu 1MDB kini sudah menjangkau kepada pada peringkat menunggu pendakwaan, bukan lagi isu ‘haram dan halal’ penubuhan dana yang sarat dengan hutang dan penyelewengan itu.


Sunday, July 2, 2017

PERJUANGAN PPBM MENYELURUH, BUKAN BERLANDASKAN ETNIK, KENEGERIAN...

Jawapan kepada "Soalan Kepada BERSATU dari ahli DAP".


Sebagai ahli (walaupun bukan pemimpin penting) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saya terpanggil untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan pengarah pendidikan politik DAP Johor, Mahadzir Ibrahim seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam.

Selepas bertanyakan AMANAH melalui “Surat ahli DAP untuk AMANAH”  pada 28 Jun, Mahadzir nampaknya seperti dibekalkan peluru oleh DAP untuk menghala meriamnya kepada PPBM pula.

Tidak diketahui apakah pemimpin DAP ini diberikan lesen untuk menghala meriamnya kepada PPBM, namun diharapkan ia hanya persoalan peribadi.

Apapun, pertanyaan ini ada juga baiknya untuk semua ahli PPBM dan rakyat menilai semula hala tuju parti ini.

Walaupun baru menjadi ahli PPBM kira-kira empat bulan, persoalan yang saya rasakan paling menarik yang dibangkitkan oleh Mahdzir ialah “Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina negara bangsa?”

Menurut beliau, AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah jelaskan pakejnya.

Selain mahu menjadikan UMNO/BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda-agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.

Berdasarkan kenyataan ini, ia menggambarkan sebaliknya dalam konteks PPBM yang seolah-olah agenda utama PPBM hanya ‘untuk menjatuhkan Najib Razak’ sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN, Presiden UMNO dan yang lain dan lain, termasuk Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saya ingin mengajak pembaca, khususnya Mahdzir meneliti, mentelaah dan meyakini ucapan pelancaran PPBM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM pada  Sabtu, 14 Januari 2017 jam 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam.

Bagi saya harapan yang digarapkan oleh  Dr Mahathir dan sumbangan beliau kepada negara selama ini menjadi sebab besar saya menyertai PPBM dan meninggalkan UMNO - parti yang saya sertai sejak 1983 dengan menjadi ahli kali pertama di Cawangan Bukit Chawi, Seberang Perak - selain perkembangan mutakhir dalam negara.

Hakikatnya, inilah intipati perjuangan dan jika mahu dikatakan sebagai wadah dan visi perjuangan PPBM pun, ia memang memang tepat.

Jelas dan nyata,  PPBM ditubuh bertujuan mewakili orang Melayu dan Bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang untuk pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama dengan kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.

“PPBM adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.

“Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain,” kata Dr Mahathir.

Bukankah ini mesej perjuangan dan janji PPBM kepada rakyat negara ini?

Amat nyata sekali bahawa tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang PPBM bersama rakan-rakan kita usahakan bagi mengamal ma’aruf dan membasmi kemungkaran Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

Malah dengan sokongan rakyat melalui parti campuran pembangkang PPBM berharap untuk kembalikan negara ini sebagai egara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.

Sudah pasti melalui cara ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Kerajaan, jika terdapat salahlaku atau jenayah dilakukan mereka.

Dengan kata lain PPBM bersedia dan akan menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama BN dengan Najib  sebagai penerajunya.


Soal menghapuskan imej negara kleptokrasi ini besar perjuangannya apa lagi jika diizinkan Allah swt, tidak aka nada pilih  kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara.

Malah pendakwaraya tidak boleh letak tuduhan dan laporan oleh orang awam atau agensi Kerajaan dalam OSA (Akta Rahsia Rasmi), untuk melindungi jenayah sesiapa.

Tidakkah ciri-ciri ini menggambarkan kebebasan berpolitik dihormati oleh Kerajaan Parti Campuran Pembangkang.dan bukan seperti sekarang?

Banyak perkara berkait pembangunan, dasar kewangan, arah tuju pembangunan, dasar luar, pelaburan asing dan sebagainya ditegaskan oleh Dr Mahathir pada pelancaran parti.

Kata-kata bahawa: “Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan hormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman...“ begitu membawa keyakinan kepada saya sebagai pengundi dan rakyat yang dahagakan arah tuju negara yang lebih baik berbanding sekarang.

Dr Mahathir juga sudah mengatakan dengan jelas bahawa kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui pengwujudan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai Ringgit dan pengurangan kos sara hidup.

Malah yang tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.

“Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi,” demikian tegas Dr Mahathir.

Perkara lain yang penting termasuk:

Ekonomi:

·     1. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.  Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

·     2. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.dengan nilai matawang akan dipertahan tanpa penjualan Dolar Amerika dalam simpanan (reserve) negara.

          3. Kejatuhan nilai Ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan                           kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan.                 Segala perbelanjaan Kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui budget yang sah             yang dikemuka kepada Parlimen.

·     4. Pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri adalah antara yang sewajarnya diterima baik oleh rakyat.

·     5. Tafsiran Foreign Direct Investment (pelaburang asing secara langsung) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

·     6. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara

Dasar Luar:

·     1. Dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia;

·     2. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Pentadbiran:

·     1. Pihak Kerajaan (Perdana Menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.

·      2. Perdana Menteri pula mesti mendapat persetujuan Kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli Dewan.

·     3. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada Perdana Menteri dan laporan disampaikan kepada Parlimen, Kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.
·      
4.  Akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

·     5. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan dikenalpasti dan akan mengkaji semula dari segi kemampuan negara  berhutang.

PPBM tahu bahawa rakyat berkehendak kerajaan yang bersih. Malah sudah dijelaskan bahawa PPBM bersependapat dengan persepsi kebanyakan NGO dan rakyat dan ramai daripada kita telah pun menyertai tunjuk perasaan Bersih.

PPBM bersama dengan parti-parti pembangkang melalui  parti campuran akan berusaha mendirikan Kerajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan pilihanraya di negara tercinta ini. Ini bermakna semua reformasi yang diperlukan akan dilakukan.

Paling penting juga semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu PPBM menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.

Bagi saya sebagai ahli PPBM, pernyataan oleh Dr Mahathir ini adalah dasar parti dan akan dipatuhi oleh kepimpinan parti berkenaan.

Dan jangan lupa, PPBM turut berjanji bahawa maruah negara akan dipulihkan disamping akan selidik habis-habisan akan wang 1MDB yang diselewengkan. PPBM  akan kejar semua wang 1MDB dan Kerajaan yang telah dilesapkan, yang memang diketahui  berada di tangan orang tertentu.

Tidak kiralah siapa akan mengetuai parti itu sama ada Presiden, Timbalannya dan seluruh ahli Majlis Perwakilan Tertinggi, Pengerusi Negara  dan semua ketua-ketua bahagian, ia adalah ‘blue print PPBM yang akan dilaksanakan sepenuhnya ‘sambil melangkah terus ke arah pilihan raya umum ke-14’.

Berikutan itu, janganlah menganggap PPBM hanya mahu menurunkan Najib semata-mata kerana agenda masa depan negara lebih penting daripada segala-galanya.

PPBM berjuang untuk rakyat dan kerana itu sokongan padu daripada rakyat sangat dialu-alukan.

Sebenarnya inilah antara faktor penarik kepada saya untuk menyertai PPBM selain faktor diri Tun Dr Mahathir itu sendiri.

Diharap pembaca dan Mahadzir jelas dengan perjuangan PPBM.

Saya amat yakin, akan ada penjelasan lebih baik daripada pemimpin PPBM  terhadap persoalan pengarah pendidikan politik DAP Johor selepas ini.

Yang penting, rakyat faham dan menyambut baik bahawa PPBM adalah parti yang ‘BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH’.


Insyallah...

Hambali Abdul Latiff
Cendering
Kuala Terengganu
1Julai 2017.