Hanya untuk menampilkan buruknya perangai dan tidak konsistennya Tun Dr Mahathir
Mohamad, kenyataannya mengenai Bantuan 1
Rakyat Malaysia (BR1M) malam semalam dilaporkan begini:
“Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan
diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum
ini mengeluarkan kenyataan kontroversi menyatakan bantuan tersebut kononnya
sebagai rasuah kerajaan, berkata, BR1M akan dikekalkan jika bantuan itu
didapati penting buat rakyat.”
Kenyataan di atas ialah oleh mStar Online sementara BeritaHarian Online (BH Online) pula menyebut, Dr Mahathir memberi bayangan BR1M akan
diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. “Kenyataan
itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini yang melabelkan
BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan.”
Kedua-duanya menggunakan perkataan bayangan pada perenggan intro, dikira ‘ok lah’.
Bagaimanapun, dengan memasukkan perkataan ‘kenyataan kontoversi’ oleh mStar dan Berita Harian
pula menggunakan ‘bercanggah dengan dakwaan’ ia memberikan gambaran seolah-olah Dr
Mahathir menolak bantuan untuk rakyat
Apakah tujuan mereka untuk menunjukkan Dr Mahathir jenis
pemimpin yang ‘klu-klek’ atau istiqamah dengan kenyataan dan pendiriannya?
Apakah untuk menggambarkan Dr Mahathir tidak menghargai
bantuan untuk rakyat?
Sedangkan yang ditolak oleh Dr Mahathir mengenai BR1M
sebelum ini ialah apabila ia dijadilan ‘alat politik untuk meraih sokongan’
umpamanya mengapa mesti pemimpin UMNO perlu menyampaikan bantuan itu untuk fasa
pertama.
Kerajaan bersetuju dengannya mungkin hasil desakan melalui
Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang baru lalu.
Sepatutnya, fahami apa yang diucapkan oleh Dr Mahathir dan tidak membuat laporan mengelirukan melalui
interpretasi sendiri demi mengulas apa yang dimaksudkan BR1M oleh Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
Kata Dr Mahathir pada perasmian PPBM semalam: “Sesungguhnya yang miskin dan daif akan
diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau
tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang
akan diberi.
Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan
lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat
sokongan dalam pilihan raya.”
Penting di sini – yang miskin dan daif akan diberikan
bantuan. Rasuah berbentuk wang atau barangan tidak akan diberi kepada pengundi
untuk sokongan dalam pilihan raya.
Malah, kata Dr Mahathir, jika didapati BR1M mustahak maka
wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan.
BR1M juga tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana
manifesto mana-mana parti.
Penting di sini – jika BR1M
mustahak akan diagih oleh pegawai kerajaan. Tidak boleh dijadikan manifesto
pilihan raya.
Apa yang dibayangkan oleh Dr Mahathir ialah, jika ditakdirkan pembangkang memerintah, ia akan menilai sama ada ia perlu atau mustahak atau sebaliknya.
Malah BR!M boleh dijenama atau dinamakan dengan panggilan lain tetapi tetap bantuan untuk rakyat.
Dr Mahathir juga meletakkan syarat bahawa, BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa, jika ia dipersetujui oleh rakyat.
Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau
jumlahnya, atau cara penyampaiannya.
Penting di sini – Bantuan BR1M
adalah bantuan ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa. Perdana Menteri
tidak ada kuasa tentukan pemberian, jumlah atau cara penyampaian. Inipun jika dipersetujui oleh rakyat.
Tolong dengar, baca, teliti dan faham ucapan beliau.
Bukan ulas melalui persepsi sendiri Fahami secara mendalam
apa yang diperkatakan oleh beliau bukan dengan tanggapan yang berkepentingan.
Akibat tindakan sedemikian maka gegar gempitalah berita media perdana dengan tajuk
seperti “BR1M Akan Diteruskan Jika Pembangkang Menang - Tun M” oleh mStar juga
“BR1M
mungkin diteruskan parti campuran” oleh Berita Harian.
Sebaliknya laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star lebih jelas apabila mengatakan, “Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) has indicated that it will maintain the 1Malaysia
People’s Aid (BR1M) if it wins in the next general election. Its chairman Tun Dr Mahathir Mohamad said BR1M would be
maintained if it was found to be essential, but would have to be made into a
statutory aid determined by law and the budget.”
Amat nyata cara penyiaran
berita akhbar Melayu dan Inggeris amat berbeza, termasuk antara mStar dan The
Star sendiri.
Sama ada ia untuk kepentingan
pembaca atau parti tidaklah diketahui. Namun, perbezaan ayat yang cukup jelas
itu mengambarkan betapa penggunaan perkataan dan pengolahan ayat itu membawa
makna berbeza.
mStar meletakkan perkataan namun yang menjelaskan
kenyataan sebenar Dr Mahathir di perenggan ketiga dan begitu jugalah dengan
Berita Harian.
Ia berkait dengan (“BR1M itu perlu dijadikan sebagai
bantuan berkanun berlandaskan undang-undang dan bajet. Jika didapati BR1M
mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh
dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti (campuran)}.
Jika disebut bahawa laporan Malaysiakini lebih baik, akan ada pula yang akan menuduh sebagai memuji media yang kononnya menyokong pembangkang.
Namun laporan oleh Malaysiakini sangat mudah difahami dan
berciri straight forward reporting apabila menyebut: “Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
bersikap terbuka untuk mengekalkan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
sekiranya pembangkang, bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
mengambil alih kuasa.
Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata BR1M akan
dikekalkan jika dasar itu didapati perlu.Bagaimanapun, beliau berkata sebarang
usaha untuk menggunakan dasar itu bagi memancing undi akan dihapuskan.”
Portal FMT juga jelas dalam laporannya dengan melaporkan: “Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan
dikekalkan oleh kerajaan pembangkang sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu
bagaimanapun berkata, BR1M tidak boleh dimasukkan ke dalam manifesto mana-mana
parti.”
Apakah dengan melaporkan yang benar itu bermakna mereka menyokong pembangkang?
Pada ketika banyak portal dan media sosial ditakrifkan
sebagai menyokong pembangkang, media rasmi yang jelas prokerajaan - janganlah
membuat laporan ‘menyeleweng’ dan terlalu mendedahkan ia untuk kepentingan parti pemerintah atau
individu tertentu.
Pada ketika media perdana sedang menghadapi ujian ditolak
oleh sesetengah pengikut lamanya, selain gagal menarik pembaca baru, laporan
atau pemberitaan jangan terlalu terkongkong dengan kepentingan keterlaluan oleh pihak tertentu.
Biar rakyat atau pembaca menilai kejujuran atau
pembohongan sesuatu kenyataan pemimpin melalui laporan yang tepat dan jelas.
Bola di kaki anda.
Tetapi jika tangan sudah diikat atau pisau sudah di letakkan di leher,
pertimbangkanlah sendiri apa yang wajar dilakukan.
Cuma jika masih memilih spin berlebihan, ia akan merosakkan imej akhbar atau pertubuhan
media itu sendiri.
Ini kerana kebanyakan rakyat di Malaysia kini, khususnya
golongan muda, sudah bijak dan jemu
dengan pemberitaan yang dikawal.
Pemberitaan di dekad ini tidak sama lagi dengan dekad 70-an, 80-an dan 90-an.
Rakyat atau pengikut media sebenarnya sudah mampu membandingkan antara laporan atau
pemberitaan yang baik atau yang berpihak, tidak kira yang dihidangkan di dalam
negera atau yang datang dari sumber luar negara.
No comments:
Post a Comment