Sunday, July 31, 2016

JELAJAH MUHYIDDIN BERSAMA DR WAN AZIZAH - LANGKAH ‘PERWIRA’ ATAU LANGKAH ‘SUMBANG’?


"Langkah Muhyiddin bersetuju untuk menyertai PKR bagi jelajah isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) mempunyai strategi tersendiri. Ikatan yang rapat dengan PKR ini mungkin akan membuka langkah kepada hubungan rapat dengan DAP dan AMANAH, atau juga parti baru yang akan diumumkan selepas ini."

 Maka akan berkatalah segala ‘pahlawan UMNO’ bahawa pakatan Muhyiddin – Dr Wan Azizah yang diumumkan semalam, tidak akan dapat mempengaruhi rakyat.

Ia sia-sia dan tidak akan menjejaskan sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memerintah sekarang.

UMNO  tidak akan terjejas dan pakatan baru bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga  bekas Timbalan Presiden UMNO,  Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Malah ia tidak akan menjadikan UMNO dan Barisan Nasional ‘berkudis’.

Mereka tidak ada pengaruh kerana kepimpinan Perdana Menteri masih teguh dan tidak terjejas dengan sebarang ancaman.

Mereka juga tidak akan mampu mempengaruhi rakyat yang  dibuktikan melalui sokongan pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen di Sungai Besar (negeri Selangor) dan Kuala Kangsar (Perak) baru-baru ini.


Sebaliknya, langkah Muhyiddin bersetuju untuk menyertai PKR bagi jelajah isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) mempunyai strategi tersendiri.

Ikatan yang rapat dengan PKR ini mungkin akan membuka langkah kepada hubungan rapat dengan DAP dan AMANAH, atau juga parti baru yang akan diumumkan selepas ini.

Bekas Timbalan Presiden UMNO itu akan  memulakan siri jelajah seluruh negara bagi menjelaskan skandal 1MDB secara mudah kepada orang ramai.

Kerjasama Muhyiddin  selepas mendapat jemputan daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melalui inisiatif siri jelajah sebagai sesuatu yang baik. Seharusnya dipertingkatkan.

Apakah langkah Muhyiddin itu langkah ‘perwira’ untuk menentang ‘panglima’ atau berakhir sebagai ‘langlah sumbang’?


Juga apakah penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Shafie Afdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan penyokong Muhyiddin yang masih ramai dalam UMNO akan menyertai beliau dan PKR bagi tujuan ini?

Dalam penampilan dengan Presiden PKR itu, Muhyiddin berkata mereka akan menumpukan usaha di kawasan bandar dan luar bandar.

"Saya kira mungkin isu 1MDB kalau tak diberi penjelasan secara meluas dalam bahasa agak mudah,  rakyat sampai bila pun tak tau kesan dan impak ke atas negara," kata bekas timbalan perdana menteri itu.
  
PKR bersetuju menjalinkan kerjasama bersama Muhyiddin menggerakkan program jelajah berhubung skandal kewangan 1MDB di mana menurut Dr Wan Azizah, keputusan itu dibuat sebagai inisiatif memberi pemahaman menyeluruh kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar terhadap krisis dalam pentadbiran negara.

“Rakyat menjadi mangsa kebobrokan pentadbiran di Putrajaya yang gagal menangani krisis penyelewengan negara. Seluruh negara dan dunia sudah mengetahui identiti Malaysian Official 1MDB. Namun Putrajaya hanya menafikan penglibatan Perdana Menteri,” katanya.

Siri jelajah yang tidak dinyatakan tarikhnya adalah sebagai persediaan parti pembangkang itu untuk menghadapi pilihan raya.

Bagi  Muhyiddin, kerjasama itu diadakan demi kepentingan rakyat berikutan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri terus mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Ditanya jika kerjasama ini bermakna beliau akan menyertai PKR, Muhyiddin berkata ia bukan satu isu. Muhyiddin akan menyokong inisiatif PKR tanpa mengira parti mana yang disertainya.

Muhyiddin berkata semalam, beliau masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti termasuk PKR.

“Saya fikir kerjasama penting untuk menangani isu besar negara, sesuatu yang kita tidak boleh elakkan. Soal jadi ahli atau tidak, itu soal kedua. Kalau saya tidak jadi ahli mana-mana parti pun tetapi atas semangat juang yang ada, saya tetap sokong," katanya pada sidang media khas di Subang Jaya itu.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada sudah memutuskan menyertai PKR berdasarkan kehadirannya bersama pemimpin-pemimpin parti pembangkang itu pada sidang media khas itu.

Kemunculan Muhyiddin sebagai penentang kerajaan telah mencetuskan spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang.

Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim Khamis lalu secara terbuka menggesa Muhyiddin untuk memimpin pembangkang dengan berkata Pakatan Harapan tidak mempunyai seorang pemimpin untuk menyatukan mereka.


Namun Muhyiddin menegaskan kepada Presiden PKR yang duduk di sisinya semalam, dengan kata-kata bahawa "dia memang ketua pembangkang." Ini adalah kemunculan pertama Muhyiddin dan Wan Azizah bersama-sama.

Kedua-dua mereka agak akrab hari ini dengan bekas timbalan perdana menteri itu memanggil ketua pembangkang itu "Kak Wan."

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata UMNO mempunyai agenda untuk menipu rakyat Malaysia dalam isu 1MDB.

Beliau berkata penerangan bergerak itu akan bermula tidak lama lagi, walaupun tidak diberitahu secara spesifik pada sidang akhbar di Subang Jaya hari ini.

Kedua-dua pihak kini bekerjasama dengan pemimpin masyarakat sivil atas kapasiti peribadi mereka sebagai sebahagian daripada gerakan Selamatkan Malaysia yang diterajui Mahathir.

Muhyiddin dijangka mengetuai parti baru yang terdiri kebanyakannya daripada penentang UMNO bagi menyingkirkan Perdana Menteri. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti baru itu akan membentuk satu gabungan besar yang baru dengan parti-parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan.

Ditanya mengenai parti baharu yang bakal disertainya akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang, Muhyiddin berkata, "Mungkin tunggu masa yang sesuai untuk kita umumkan. Setakat hari ini, ia tidak berbangkit."

Baru-baru ini, Muhyiddin bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan.

Pada masa sama, timbul khabar angin mengenai Muhyiddin akan mengetuai parti baharu, dan perkara itu sehingga kini masih menjadi teka-teki semua pihak.

PRN mengejut mungkin diadakan di Pulau Pinang berikutan dakwaan rasuah terhadap ketua menteri, Lim Guan Eng.  

 Sejauh ini, gabungan baru itu masih belum memberi impak yang besar dalam politik negara seperti yang dibuktikan dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan lalu.

Kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertembungan antara BN, PAS, dan AMANAH yang disokong oleh gerakan Selamatkan Malaysia.


Muhyiddin dipecat daripada UMNO bulan lalu selepas mengkritik Najib berhubung skandal 1MDB.

No comments:

Post a Comment