Friday, July 8, 2016

APABILA KEDUTAAN AMERIKA DI KL MINTA RAKYATNYA BERWASPADA...

Negara-negara terbabit dalam serangan yang diarah atau diilhamkan oleh ISIS.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sejak kelmarin (6  Julai) mengingatkan rakyatnya yang berada di Malaysia supaya berwaspada terhadap keselamatan diri susulan serangan berkaitan IS ke atas sebuah pusat hiburan di Puchong minggu lalu.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan pengganas pada masa lalu merancang melancarkan serangan seiring tarikh penting dalam kalendar.

Kebimbangan AS jelas bukan sahaja kepada rakyatnya bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara di luar lingkungan pengaruh IS di Asia Barat.


Dalam laporan New York Times bertajuk ‘As Islamic State loses land, it gains ground in overseas terror’ yang diterbitkan pada 4 Julai lalu, akhbar itu menyebut perjuangan IS bukan sahaja menggambarkan kekejaman tetapi kini serangan dalam berbagai rupa.

Kini pusat rahsia IS dikatakan ada di Britain, Jerman dan Itali, demikian menurut James R Clapper Jr, Pengarah Perisikan Kebangsaan April lalu.

Kumpulan ini sama dengan penyerang berani mati Paris dan Brussels.

Ada pendapat lain menyokong pandangan ini dengan mengatakan pusat rahsia dalam bentuk yang sama turut beroperasi di Turki, yang bertanggungjawab melakukan serangan di Lapangan Terbang Istanbul, minggu lalu.

Serangan di Lapangan Terbang Istanbul, Turki.
Kejadian di luar Eropah seperti di Turki dan Bangladesh, Jumaat lalu menyemarakkan lagi serangan dan di Iraq sendiri, iaitu antara pusat keganasan, IS, serangan di Baghdad beberapa hari lalu menyebabkan lebih 140 terbunuh.

Tiga serangan itu dilihat oleh pakar kajian keganasan sebagai bukti bahawa IS sedang memperluaskan sempadan pengaruhnya – mereka membuktikan bahawa versi kegiatan dan serangan mereka lebih terancang dan sukar dikesan berbanding kumpulan pesaingnya,  al-Qaida, selepas semakin kehilangan wilayah akibat digempur oleh tentera Amerika Syarikat di Iraq dan Syria.

Andrew M Liepman, bekas Timbalan Pengarah Pusat Anti-Keganasan Kebangsaan Amerika Syarikat yang kini menjadi penganalisis dasar kanan di  RAND Corp menyebut bahawa mana-mana anggota IS yang terpaksa meninggalkan Iraq dan Syria, apabila pulang ke negara asal mereka akan tetap membawa bersama mereka ideologi IS.

Beliau memberi amaran, kalaupun khalifah IS berjaya dimusnahkan di Asia Barat, beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu pejuang bersenjata ‘totok’ IS akan meneruskan kegiatan mereka di tanah air mereka sendiri.

Tidak kiralah di mana mereka berada sama ada di Jordan atau Tunisia, di Perancis atau AS sendiri – perjuangan akan tetap diteruskan dan akan ‘diperturunkan kepada genarasi baru’ di negara asal mereka.

Mungkin sekatan sempadan berjaya dilakukan kemasukan pejuang IS untuk masuk ke  Syria dan  Iraq, tetapi berates-ratus yang dihantar keluar ke pusat rahsia di luar negara, seperti Libya, sukar dikesan.

Benar, jumlah anggota IS di Iraq dan Syria lini antara 18,000 dan 22,000 orang berbanding ketika kemuncak sebelum ini kira-kira 33,000 orang tahun lalu tetapi jangan lupas ada lagi  20,000 pengganas kini berjuang melalui sepanduk IS di lapan negara termasuk Libya, Mesir, Afghanistan, Pakistan dan Nigeria.
  
Menurut satu lagi laporan New York Tmes bertajuk “How Many People Have Been Killed in ISIS Attacks Around the World”, 1 Julai lalu, Malaysia adalah  antara negara yang disebut sebagai ‘’wujudnya latihan ketenteraan yang aktif IS’. (lihat peta di atas)

Selain Malaysia, negara lain ialah Belgium, Perancis, AS, Syria, Turki, Afghanistan, Iraq, Maghribi, Pakistan, Algeria, Libya, Mesir, Arab Saudi, Bangladesh, Yemen, dan Nigeria.

Jadi tidak peliklah jika Kedutaaan AS di Kuala Lumpur mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di sebalik   mengaku tidak mengetahui sebarang ancaman khusus pengganas ke atas rakyat Amerika Syarikat di Malaysia.

“Rakyat Amerika perlu sentiasa berhati-hati setiap masa ketika melancong. Rakyat Amerika di luar negara mungkin disasarkan kumpulan-kumpulan pelampau tidak kira di negara mana mereka berada,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu turut menggesa rakyatnya mengkaji semula pelan keselamatan peribadi, sentiasa berwaspada terhadap persekitaran mereka dan mendapatkan maklumat terkini melalui media tempatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) mengesahkan letupan bom di pusat hiburan Movida di Puchong bulan lalu adalah serangan pertama IS di negara ini.

Serangan pada awal pagi 28 Jun lalu itu mencederakan lapan pengunjung yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 di bahagian luar premis berkenaan.

IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas tempat-tempat yang menggalakkan aktiviti maksiat pada bulan Ramadan.

Susulan itu, dua lelaki ditahan pada 1 Julai lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Pelabuhan Klang yang disyaki bertanggungjawab melontar bom tangan ke premis itu, manakala seorang lagi suspek berusia 33 tahun, Jasanizam Rosni dilaporkan ditahan di sekitar Batu Pahat, Johor pada petang kelmarin.

Seorang lagi suspek diburu polis, Md Saifuddin Muji, 28, yang dipercayai bersubahat melancarkan serangan ke atas pusat hiburan Movida minggu lalu, dipercayai masih berada di selatan Semenanjung dan dia dikatakan membawa bersamanya bom tangan.

Semalam, Ketua Polis Negara mengesahkan, polis menahan beberapa lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.

Khalid mengesahkan penahanan itu kepada The Star pada majlis rumah terbuka Hari Raya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beliau berkata, operasi memburu dua suspek serangan bom tangan di Puchong diteruskan.
"Mereka bersembunyi tetapi kita yakin kita boleh mengesan mereka," kata Khalid.

Operasi memburu dilakukan di seluruh negara terhadap Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 38, yang didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di kelab malam di Puchong.

Beliau berkata, polis turut memantau rapi di laman web media sosial dan mengerah lebih ramai anggota ke kawasan sensitif, dan mengingatkan media untuk tidak menghebahkan aktiviti militan atau ancaman baharu mereka.

No comments:

Post a Comment