"Mahkamah adalah satu entiti bebas. Malah jika diingat, kes ini sudah sepatutnya lama dibicara dan diselesaikan, namun tertangguh disebabkan percubaan Anwar untuk menggugurkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari mengetuai pasukan pendakwaan."
- Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed (UUM)
Kajang, Kajang, Kajang!
Nampak sangat pembangkang, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim gila kuasa.
Walaupun dia disabitkan kesalahan kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lalu, Anwar dan pemimpin pembangkang meletakkan isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (PRK) Kajang lebih penting daripada segala-galanya.
Mereka lupa bahawa perbicaraan kali ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya kelmarin dan semalam (6 dan 7 Mac 2014) adalah untuk memberikan keadilan kepada dua insan, Anwar sendiri dan Saiful.
Ia sepatutnya tidak ada kena mengena dengan PRK atau juga sebarang konspirasi membabitkan kerajaan , BN atau UMNO.
Prosiding kelamrin dan semalam semata-mata untuk dua insan mencari keadilan.
Kini Anwar sudah bersalah!
Berikutan itu hasrat Ketua Pembangkang itu untuk menyertai DUN Selangor menerusi PRK Kajang dengan sendirinya 'terhalang'.
Anwar boleh melupakan niatnya mahu menjadi Menteri Besar dan apa sahaja di negeri terkaya di Malaysia itu.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Anwar kini dengan sendirinya tidak layak bertanding pada PRK itu.
Anwar dikenakan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan hari ini setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful, kira-kira enam tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim dalam pendengaran rayuan pihak pendakwaan, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000, yang perlu dijelaskan sebelum pukul 11 pagi Isnin.
Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata panel itu sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan terkhilaf dalam penemuannya bahawa sampel DNA digunakan dalam kes berkenaan, telah dicemar.
Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful (ketika itu berusia 23 tahun), di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pengamal undang-undang Datuk Salehuddin Saidin dalam pandangan peribadinya mengikut undang-undang, berkata Anwar kini tidak boleh menjadi calon di Kajang selaras dengan Perkara 64 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
"Perkara itu menyatakan seseorang yang disabitkan dengan suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama tempoh lebih setahun atau denda melebihi RM2,000 tidak layak bertanding bagi dipilih ke dalam Dewan Undangan Negeri, berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan," katanya malam semalam.
Salehuddin bagaimanapun menjelaskan bahawa Anwar tidak kehilangan kelayakannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berdasarkan peruntukan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana di bawah peruntukan itu, kehilangan kelayakan berkuat kuasa selepas pelupusan rayuan, dan Anwar kini mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Dekan Kolej Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang usaha menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada masyarakat yang akan mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat hanya empat hari daripada tarikh penamaan calon PRK Kajang pada Selasa ini.
"Mahkamah adalah satu entiti bebas. Malah jika diingat, kes ini sudah sepatutnya lama dibicara dan diselesaikan, namun tertangguh disebabkan percubaan Anwar untuk menggugurkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari mengetuai pasukan pendakwaan.
"Mana mungkin tarikh mahkamah boleh ditetapkan mengikut tarikh PRK Kajang, memandangkan pilihan raya kecil itu juga diadakan secara tiba-tiba ekoran peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu," katanya.
Bagaimanapun Ahmad Marthada percaya bahawa kepimpinan pakatan rakyat telah bersedia dengan 'Pelan B' jika Anwar dijatuhkan hukuman dan mempunyai calon lain untuk bertanding di Kajang, dan sudah pasti perkara ini akan diumumkan secepat mungkin.
Bagi penganalisis politik Profesor Dr Oh Ei Sun yang juga Felo Kanan S.Rajaratnam School of International Studies Nanyang Technological University, Singapura, Barisan Nasional (BN) kini mempunyai peluang di Kajang.
Namun pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan pakatan rakyat akan cuba memancing undi simpati daripada pengundi dengan 'bermodalkan' perkembangan kes itu.
Sementara itu Karpal Singh, peguam bela Anwar berkata berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, Anwar sah sudah tidak boleh bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.
"Berikutan sabitan kesalahan beliau hari ini (semalam), Anwar tidak boleh memfailkan kertas pencalonan untuk pilihan raya kecil Kajang pada 11 Mac (Selasa), " katanya kepada pemberita di mahkamah pada Jumaat
Pada 28 Januari lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Anwar sebagai calon pakatan pembangkang untuk pilihan raya kecil Kajang setelah anggota dewan undangan negeri kawasan itu daripada PKR Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi berkenaan sehari sebelumnya.
Karpal Singh berkata mengikut Akta Pertubuhan, Anwar yang merupakan penasihat PKR, juga tidak boleh bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu Mei ini.
Katanya pihak pembelaan akan memfailkan rayuan Isnin ini selepas semua urusan ikat jamin selesai. Beliau berkata mereka mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.
Sementara itu, ketika menyuarakan pendapat serupa, peguam R. Sivarasa berkata Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan Anwar, yang disabitkan kesalahan, bertanding pada pilihan raya kecil itu dan tidak boleh mengemukakan kertas pencalonan Selasa ini.
Selain PKR Kajang, jika Anwar terus disabitkan kesalahan apabila rayuan dibuat dalam tempoh 14 hari, dia boleh melupakan segala-galanya kerana kali ini tiada lagi ‘orang dalam kerajaan seperti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Khairy Jamaluddin’ yang akan bersimpati terhadapnya.
Berikutan itu, dia perlu melupakan segala-galanya, termasuk hasratnya menjadi Perdana Menteri.
Tidakkah keputusan Mahkamah Rayuan hari ini dan 14 hari dari sekarang akan melenyapkan terus nama Anwar daripada politik dan pentadbiran Malaysia?
No comments:
Post a Comment