Monday, November 29, 2010

AHMAD SAID LETAK JAWATAN MB TERENGGANU HARI INI?

“SalamYB. Maaf mengganggu. Sy dapat info bhw esk ptg ada perjumpaan MB dgn semua ADUN. Ada maklumat diterima bhw terdpt rombakan BPUNT dan kemungkinan juga MB akan meletak jwtn. Cuma nak confirmation dd YB.”

Ini adalah SMS yang diforwardkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pukul 21:46 (09:46) malam semalam kepada saya.

Apa yang terkandung dalam SMS ini amat jelas bahawa subjek pentingnya ialah:

1. Ada perjumpaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan semua ADUN;

2. Rombakan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) dan;

3. Kemungkinan Menteri Besar akan letak jawatan.

Saya berminat untuk mulakan perbincangan dengan perkara ketiga iaitu kemungkinan Menteri Besar akan meletakkan jawatan.

Tetapi sebelum itu, ingin diberitahu di sini bahawa yang SMS ini asalnya dihantar oleh ‘pegawai penyiasat’ yang jelas beliau sendiri tidak pasti dan mahukan pengesahan daripada YB tersebut.

Oleh kerana YB berkenaan juga tidak tahu ‘hujang pangkal’ mengenai perkara ini, beliau pula meminta penjelasan atau maklumat daripada saya.

Berbalik kepada perkara letak jawatan ini, saya rasa SMS seperti ini sudah lebih sepuluh kali dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu pentadbiran Ahmad Said.

Malah, beberapa kali Ahmad Said sudah menjawab isu ini dengan mengatakan beliau menunaikan amanah parti dan istana. Selagi tidak diarahkan sama ada oleh Sultan Terengganu atau parti yang mendapat perkenan istana beliau tidak akan melakukannya.

Ini jelas kerana Ahmad Said dilantik menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh bukan kerana beliau melobi atau mencalonkan diri sendiri seperti sesetengah ADUN Terengganu lakukan sebelum ini, sebaliknya kerana ditakdir beliau dipilih daripada ADUN-ADUN yang menang pilihan raya umum lalu.

Ahmad Said ketika pentadbiran Idris atau ketika berlakunya krisis tidak bertindak seperti sesetengah ADUN di Terengganu yang menyatakan ‘mereka adalah layak’, ‘wajar dilantik’ atau ‘mampu menggantikan Ahmad Said’ menjadi Menteri Besar.

Berita angin yang ditiupkan kononnya Ahmad Said bakal diganti bermula selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila BN kecundang dan ramai yang meletakkan kesalahan di bahu Ahmad Said. Jika kita ingat kembali, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak ditugaskan menjamin BN menang di Kuala Terengganu dengan kerjasama UMNO dan BN Negeri.

Kebetulan ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah Ahmad Said, maka beliau mahu dijadikan kambing hitam.

Sedangkan banyak faktor menyumbang kepada kekalahan berkenaan yang kebanyakannya tidak ada kena mengena dengan Ahmad Said mahupun Najib.

Juga pada pilihan raya itu tiada pengarah khusus ditugaskan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun).

Selepas peristiwa berkenaan, SMS mengatakan Ahmad Said akan ditukarkan hampir berlegar setiap dua atau tiga bulan sekali. Secara khusus antara peristiwa besar yang dikaitkan dengan pengunduran, perletakan jawatan atau Ahmad Said ditukar selain selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah:

1. Peristiwa penghantaran SMS Ugut Bunuh terhadap tiga ADUN pada April 2009;

2. Pemulauan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh ADUN BN selepas tersebarnya SMS berkenaan;

3. Selepas Ahmad Said ‘diturunkan pangkat’ oleh Presiden UMNO apabila Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik sebagai Pengerusi BPUNT;

4. Sinar Harian pada 28 Februari 2010 melalui satu analisis mengatakan Ahmad Said diminta lepaskan jawatan pertengahan Mac. Akhirnya pada 13 Mac 2010, Hishammuddin meminta pihak media tidak diperalatkan untuk menimbulkan persengketaan;

5. Pertengahan tahun ini kononnya Ahmad Said gagal menghadap Yang DiPertuan Agong di Jerman;

6. Terbaru sebelum SMS semalam ialah kononnya Tuanku Mizan Zainal Abidin murka dengan Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada majlis keberangkatan pulang Yang DiPertuan Agong selepas mengambil bahagian dalam pertandingan kuda lasak Piala Sultan awal bulan ini.

Bagi Ahmad Said, beliau sudah lali dengan SMS sebegini dan yang mampu dilakukan ialah mendamba diri kepada Allah yang menentukan nasibnya. Bagi MB Terengganu ini beliau berpegang kepada ketentuan Allah dan jika ditakdirkan hari ini atau esok beliau terus menjadi Menteri Besar itu adalah amanah dan jika sebaliknya beliau menerima dengan tangan terbuka dan penuh redha.

Mengenai ada perjumpaan beliau dengan semua ADUN Barisan Nasional hari ini, ia tidak benar sama sekali kerana pengesahan daripada Setiausaha Sulit Kanannya, Encik Azman Ghani dan Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Ab Hamid, Ahmad Said akan mempunyai dua mesyuarat penting hari ini iaitu Mesyuarat Jemaah Lembaga KETENGAH dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Tasik kenyir kali ke 3.

Pada sebelah malamnya Menteri Besar akan menghadiri Majlis Makan Malam Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT).

Dan esok (30 November 2010) Menteri Besar akan ke Acara Pelayaran Coronation Cup (Piala Pertabalan). Laporan media sebelum ini menyebut Tuanku Mizan akan menyertai acara ini.

Perkara yang juga menarik dalam SMS semalam ialah rombakan PBUNT. Sungguh pelik bagaimana mereka yang menghantar SMS itu boleh mengaitkan perkara ini.

Perlantikan dan pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri hanya boleh dilakukan oleh Presiden UMNO.
Walaupun disebut akan berlaku pengumuman pertukaran yang akan dibuat oleh Najib pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT UMNO) malam esok (30 November) tetapi hanya Najib sahaja yang tahu.

Persoalannya siapakah Ahmad Said untuk memanggil ADUN UMNO untuk mengadakan mesyuarat. Untuk apa?

Apakah kerana kecewa kerana sesuatu sebab umpamanya sekiranya tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Said terlalu kecewa?

Ahmad Said bukan jenis orang politik macam itu. Ahmad Said tidak mengkhianati ketua dan perjuangan. Ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad diserang, Ahmad Said adalah orang di barisan hadapan mempertahankan Menteri Besar Terengganu itu ketika itu.

Dan jika pun tidak memegang jawatan UMNO Negeri, Ahmad Said yang menjadi Ketua UMNO Bahagian Kemaman tetap boleh memberikan sumbangan.

Lagipun jawatan Menteri Besar bukan boleh ditukar-tukar begitu sahaja.

Ahmad Said memegang amanah dan tidak boleh melepaskan amanah hanya kerana beliau digugurkan daripada PBUNT.

Kepercayaan istana dan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap gaya pemerintahannya yang berslogankan MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN perlu dipertahankan.

Dan kalaupun berpuluh lagi datang SMS mengatakan beliau akan meletakkan jawatan, Ahmad Said tidak hairan.

Yang pasti ia bukan datang daripada pembangkang tetapi mungkin daripada kalangan orang UMNO sendiri.

Lagipun, SMS sebegini tidaklah sehebat SMS Ugut Bunuh. SMS ini yang sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu lebih serius.

Bukan sekadar ia SMS yang cuba mencemarkan nama bekas Setiausaha Sulit Kanannya yang tempiasnya kelak akan dirasai oleh Ahmad Said.

Tetapi SMS itu menyebabkan berlakunya sabotaj bersejarah dan terulung dalam konteks UMNO dan Barisan Nasional apabila ADUN memulaukan sidang DUN Terengganu. Apakah cara ini akan menjadi ikutan di negeri lain jika wakil rakyat BN tidak bersetuju dengan Menteri Besarnya?

Mungkin kerana tidak ada hukuman atau tindakan terhadap kumpulan ADUN BN yang melakukan perbuatan sabotaj itu, SMS mengatakan Ahmad Said akan meletak jawatan terus berlaku.

Mungkin ada pihak dalam UMNO atau Putrajaya seronok melihat apa yang berlaku di Terengganu.

Persoalannya bagaimana jika suatu hari Ahli Parlimen UMNO/BN yang mengambil contoh apa yang dilakukan oleh ADUN UMNO/BN Terengganu melakukan sabotaj atau cara serupa terhadap Perdana Menteri atau Timbalannya?

Saya tidak mampu meramal dan memberikan jawapan sama ada ia akan berlaku atau sebaliknya tetapi yang jelas precendent sudah ada.

UMNO Pusat serta Putrajaya dudah ‘menghalalkannya’ kerana mereka yang mensabotaj sidang DUN itu 'bebas' daripada sebarang hukuman.

1 comment:

  1. Syabas Hambali, kamu tetap membela kebenaran Ahmad Said walaupun tidak disenangi oleh kumpulan wakil rakyat, PTN dan .orang politik yang membenci dengan Sultan Terengganu yang melantik Ahmad sebagai MB, sehingga mereka sanggup menggunakan perkataan " natang " kepada DYMM Sultan. Syabas Hambali, teruskan perjuangan menegak kebenaran.

    ReplyDelete