Wednesday, September 22, 2010

PR PDRM PERLU DIPERTINGKAT...

Wartawan meja jenayah Kosmo!, Nuraishah Amin dibantu Lans Koperal Faizyal Jamaludin menggunakan komputer riba di Pusat Media PDRM selepas majlis pelancaran oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien di Kuala Lumpur. 21 Sept. –Gambar Utusan


Akhirnya apa yang selama ini ditunggu datang juga.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melancarkan pusat medianya bertujuan mengatasi masalah dan salah faham berkaitan laporan berita dan kes-kes jenayah di seluruh negara.

Soal sekarang ialah apakah hebahan dan penjelasan PDRM mengenai sesuatu isu berkesan?

Dalam satu-satu kes jenayah atau kritikan pihak tertentu terhadap polis khusysnya oleh pembangkang, selalunya jawapan berbagai dibuat oleh PDRM yang menggambarkan tiada ‘penyelarasan’ antara jabatan dalam PDRM.

Kadangkalanya kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri atau timbalannya ada unsur-unsur ‘kelainan’ dan sesetengahnya bertentangan antara satu sama lain.

Cara perhubungan awam (PR) PDRM perlu diselaras, bukan sekadar menubuhkan pusat media.

Penjelasan cepat dan strategik oleh polis terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan memerlukan pasukan PR PDRM yang professional dan bijak menangkis serangan terhadap imej pasukan itu.

Kita lihat bagaimana PDRM dihentam dan diperlecehkan begitu teruk dalam kes-kes seperti pembunuhan Altantuya, kematian Kugan serta juga kes kematian Teoh Beng Hock.

Malah, seaorang pegawai polis berpangkat tinggi mengakui PR PDRM di Bukit Aman ‘sedikit teruk’.

Menurutnya berbanding dengan PR yang dilakukan polis Singapura, kita jauh ketinggalan. Cara mereka menjelaskan isu amat professional bagi membuktikan perkhidmatan kepolisan berintegriti dan perlu dihormati.

Apakah selama ini PDRM tidak melihat kepada pentingnya maklumat dan penjelasan kepada kritikan-kritikan terehadap mereka yang menyebabkan suatu ketika polis dilihat sebagai pasukan yang tidak boleh diharap dan dipercayai.

Belajarlah PR polis dengan negara-negara yang lebih berjaya walaupun hakikatnya cara polis menggendalikan kes di negara kita antara yang top di dunia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata semalam, dengan pelancaran pusat media itu semalam , pengamal media dapat bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan berita-berita yang tepat, sahih, benar dan cepat kepada masyarakat.

Melalui pusat media ini, saya percaya pihak media dan PDRM boleh menjalinkan kerjasama bagi menyampaikan hasrat agar berita dapat disalurkan dengan telus dan tidak dibelenggu dengan apa-apa masalah antara media dan PDRM," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Media PDRM yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Memang media sejak kesekian lama berganding bahu dengan PDRM tetapi banyak ketika apabila memerlukan maklumat yang berupa PR untuk polis mereka menghadapi masalah kepada siapa mahu dirujuk.

Memanglah media boleh mendapatkan hebahan lain selain berita dan kes jenayah melalui pusat ini tetapi kadangkalanya media memerlukan maklumat yan g lebih daripada itu dalam kes-kes istimewa.

Kita mengalu-alukan pusat media ini kerana masyarakat juga boleh mengetahui aktiviti 'community policing' yang diadakan di kawasan kediaman mereka menerusi portal Facebook PDRM yang julung kali diperkenalkan itu.

Seperti kata Ketua Polis Negara, "Facebook sebagai medium baru untuk mendekati masyarakat, di mana sudah tiba masa polis melaksanakan strategi ofensif daripada defensif dalam hubungan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PDRM."

Beliau berkata pendekatan 'Facebook' juga dilihat mampu memecah dinding halangan dan persepsi negatif yang terbentuk di kalangan segelintir masyarakat terhadap polis.

Dengan dikendalikan oleh pegawai-pegawai terpilih dari cawangan Perhubungan Awam, Bukit Aman yang mempunyai kemahiran dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam , pusat media ini perlu dipertingkatkan fungsi dan kemudahan mengikut aliran dan kedudukan semasa.

Apapun, penubuhan pusat media itu ternyata mencerminkan bahawa PDRM fokus dan komited dalam menyampaikan maklumat yang perlu diketahui rakyat dan kelemahan sudah pasti boleh diperbaiki dari masa ke masa.

No comments:

Post a Comment