Tuesday, May 11, 2010

UMNO PERLU DINAMIK, SEGAR & BERNAFAS BARU

SMS saya kepada rakan-rakan UMNO malam semalam berbunyi : “Hidup Aman Damai, makmur & Sejahtera. Inilah salah satu nikmat daripada UMNO. Selamat Ulangtahun ke 64.”

Reaksi rakan-rakan berbagai. Semuanya masih meletakkan harapan tinggi kepada UMNO.

Tiada noktah mahupun halangan bagi perjalanan jauh UMNO untuk kepentingan orang Melayu.

Kerana itu orang Melayu sewajarnya menyertai UMNO. Orang Melayu juga sewajarnya tidak meninggalkan UMNO.

Kenapa mesti ada orang Melayu mahu tinggalkan atau tidak berminat lagi dengan UMNO?

Sewajarnya orang Melayu bangga dengan jasa dan pencapaian yang disumbangkan oleh UMNO.

Biarlah ada pendapat mengatakan UMNO semakin reput atau hampir pupus tetapi hakikatnya UMNO akan relevan sepanjang masa jika orang Melayu merasakan UMNO mampu melindungi mereka.

Hakikatnya UMNO berupaya dan sejarah lebih setengah abad membuktikannya.
Yang penting bak kata Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, UMNO perlu bersikap realistik dan sanggup membuat perubahan.

Ini penting kerana rakyat bukan sahaja melihat parti itu daripada segi nilai sejarah sahaja tetapi juga kedudukannya masa kini dan masa akan datang.

Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 adalah parti tunjang yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan ternyata Malaysia berjaya disebabkan dasar yang didokong oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Parti keramat orang Melayu dan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa kedua-duanya sudah melakukan transformasi yang besar kepada negara.

Benar kata Najib bahawa UMNO tidak boleh leka dengan faktor sejarahnya kerana rakyat menilai parti itu bukan berdasarkan faktor sejarah semata-mata tetapi juga sumbangan parti itu di masa kini dan masa akan datang. Kerana itu UMNO mestilah dinamik, segar dan bernafas baru.

Berikutan itu UMNO perlu melakukan perubahan, kerana jika ia gagal berubah atau mensesuaikan dengan semasa, parti itu akan terdedah kepada beberapa kemungkinan seperti yang berlaku kepada parti-parti lain seusia dengannya.

Kerana itu, jangan pedulikan dengan mereka yang lupa diri, lupa jasa UMNO atau juga yang memang tidak mahu menghargai sumbangan UMNO.
UMNO kini memasuki usia 64 tahun dan ia sebuah parti yang memang konsisten di dalam agenda perjuangannya. UMNO tetap berjuang untuk meningkatkan martabat agama, bangsa dan tanah air yang tercinta melalui dasar, pelaksanaan dan pengawasannya.

UMNO juga terbuka dan tidak mengamalkan dasar tertutup seperti parti lain di negara ini yang hanya menurut arahan ketua atau hanya patuh kepada kepentingan pemimpinnya.

Satu sumbangan besar UMNO ialah menegakkan perpaduan bagi menjamin keamanan. UMNO tidak tunduk kepada desakan ahli atau pemimpin yang berkepentingan diri atau kelompoknya umpamanya dalam pembahagian kerusi bagi pilihan raya.

UMNO adalah parti yang penuh bertimbang rasa, bertolak ansur dan mementingkan setia kawan.

Ia berkorban untuk rakan-rakan komponen dalam menentukan calon bertanding. Lihat sahaja bagaimana kerusi yang ramai pengundi Melayu dan Bumiputera, sanggup diserahkan kepada parti komponen seperti MCA, MIC atau juga Gerakan.
Amat jelas UMNO dari segi semangat dan rohnya bukan untuk Melayu semata-mata. Ia untuk semua – untuk rakyat Malaysia pelbagai kaum.

UMNO tidak tamak. Dalam ia memperjuangkan kepentingan Melayu, ia juga menjaga kepentingan bukan Melayu. Dalam ia menegak dan menjamin Islam terpelihara, ia menjamin agama lain diamalkan dengan bebas oleh penganut bukan Islam.

UMNO juga tidak pentingkan orang Melayu semata-mata. Dasar ekonomi negara menjamin semua kaum mendapat peluang. Yang mengatakan dasar kerajaan berat sebelah adalah yang mahukan semua bukan berkongsi kemakmuran dan kesejahteraan.

UMNO perlu memerangi sikap cauvinis dan berkepentingan ras dan agama. UMNO perlu menjadi ketua dalam memerangi politik perkauman dan keagamaan melampau.

UMNO mempunyai ahlinya yang bersikap rasional dan sederhana. UMNO tidak menunjuk-nunjuk kononnya merekalah paling baik, ekstrem dan kumpulan yang dimuliakan.

UMNO tidak menunjukkan yang kaum Melayu adalah kaum ‘terpilih’ atau mereka yang paling baik dari segi pegangan agama. UMNO membuktikan melalui kesederhanaannya, ia diterima masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah negara progresif yang rakyatnya bekerja kuat dan rasional.

Pemimpin UMNO membuktikan dengan jelas melalui dasar-dasarnya ia mampu mentadbir urus negara dengan baik, penuh bertanggungjawab dengan meletakkan pembangunan pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan taraf hidup, pembangunan lestari dan akhirnya dasar luar yang diterima baik seluruh negara dunia.
Ternyata selepas 64 tahun, UMNO mampu menjadi peneraju Barisan Nasional (BN) dengan melahirkan rakyat yang berdaya saing menghadapi cabaran semasa.
Seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO diharapkan akan meneruskan perjuangannya untuk membela nasib masyarakat Melayu negara ini.

Cuma apa yang perlu dielakkan ialah tidak wujud kelompok dalam UMNO yang akhirnya membentuk komplot sehingga boleh merosakkan parti.

Kewujudan kelompok dan komplot akan mengakibatkan ahli-ahli parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan untuk berdepan dengan parti pembangkang serta melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Gejala sedemikian, akan menjejaskan keupayaan UMNO dan kelemahan akan menyebabkan parti sukar memenangi pilihan raya umum. Kekalahan dalam pilihan raya akan melemahkan parti dan sokongan.

Apabila keadaan itu timbul sukarlah untuk parti bangkit atau bingkas semula selain semangat ahli akan menjadi layu.

Kerana itu, sempena Hari UMNO hari ini, ahli UMNO perlu memperkukuhkan semangat selain meningkatkan azam agar parti terus berdaya maju sambil ahli-ahlinya terus mampu berdaya saing sama ada dalam pilihan raya mahupun kerja-kerja memperkasakan parti.

Solat maghrib, bacaan Yassin, tahlil dan doa kesyukuran di Dewan Tun Razak 4, PWTC bermula 6.30 petang ini hanyalah upacara.

Yang penting di benak dan jauh di sudut hati setiap ahli UMNO tetap yakin dan mempercayai bahawa UMNO akan terus relevan, segar, bernafas baru dan selamanya dinamik.

SELAMAT MENYAMBUT HARI UMNO!

1 comment:

  1. salam tuan hambali,
    Mengenang 64 tahun umno di malaysia:
    *tulisan jawi dan bahasa melayu hidup segan mati tak mahu
    *kes murtad sudah banyak tak terkira
    *Melayu sudah menukar budaya hidupnya mirip kepada barat
    *Buang anak menjadi-jadi
    *Jenayah pembunuhan bermaharaja lela
    *pemimpin banyak yang korup
    *Islam bukan menjadi penyelesaian masalah
    *belia melayu hilang identiti(Transexsual,homoseksual,pengkid,rempit dll)
    *Hidup makin tertekan(kos hidup yg tinggi)
    *Banyak siswazah yang menganggur
    *Kemiskinan tidak selesai
    *judi dan arak di halalkan
    *payung rakyat(istana)berantakan
    *Rakyat hidup tertekan dan gelisah

    ReplyDelete