Saturday, May 8, 2010

KRISIS ISTANA KELANTAN SEMAKIN RUMIT

Krisis istana Kelantan kini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain pertama kali di dunia, permohonan habeas corpus difailkan untuk membebaskan pemerintah kerajaan negeri (sultan) daripada ditahan oleh polis.

Najib berharap kemelut yang dilihat semakin meruncing itu dapat diselesaikan dalam konteks keluarga diraja itu.

Kata Perdana Menteri, krisis itu tidak seharusnya menjadi pertikaian terbuka sehingga menimbulkan tuduh-menuduh yang membawa kepada tindakan undang-undang di kalangan kerabat diraja berkenaan.

Namun krisis itu kini bertambah rumit apabila ia membabitkan perundangan apabila peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pagi semalam memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Langkah itu dilihat sebagai yang julung-julung kali dibuat oleh seorang sultan iaitu memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Jelas Raja Aziz, mengikut peruntukan undang-undang, Mahkamah Khas akan dianggotai oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Empat lagi hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta dua hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Dalam notis usul tersebut, Tuanku Ismail Petra selaku pemohon menuntut perintah agar satu writ habeas corpus dikeluarkan oleh Mahkamah Khas dan baginda dibebaskan dengan serta merta. Baginda menamakan Ketua Polis Kelantan; Ketua Polis Negara (KPN); Ketua Pengarah HUSM; Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima. Turut difailkan adalah afidavit yang diikrarkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, bagi menyokong permohonan ayahandanya.

Menurut peguam berpengalaman, Raja Aziz Addruse yang mewakili baginda memberitahu, permohonan habeas corpus itu difailkan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Khas untuk membebaskan Sultan Kelantan yang kini berada di HUSM. ''Pada hemat kami Tuanku berada di bawah tahanan di hospital. Sebab itu kami menuntut pembebasan Tuanku melalui perintah ini (habeas corpus) di Mahkamah Khas,'' ujar beliau.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat bukan untuk membolehkan Sultan Kelantan dihantar ke Singapura, sebaliknya ia bertujuan supaya baginda tidak disekat daripada bebas bergerak atau dihadkan pergerakan di hospital dengan kawalan polis. 'Apa yang diberi perhatian pada peringkat ini adalah tidak sepatutnya Tuanku ditahan dan sebaik sahaja Tuanku dibebaskan menerusi perintah mahkamah, sama ada baginda hendak pergi ke Singapura atau tidak, isu yang timbul itu tidak semestinya dibuat melalui permohonan ini.

''Tuanku berhak untuk pergi ke Singapura atau ke mana-mana dengan syarat Tuanku bebas,'' katanya sambil menyatakan pihaknya telah memohon kes itu dibicarakan secepat mungkin berikutan keadaan kesihatan baginda.

Raja Aziz mengetuai barisan enam peguam yang dilantik mewakili Tuanku Ismail Petra. Lima yang lain terdiri daripada Datuk Param Cumaraswamy, Gobind Singh Deo, Datuk Mohd. Haaziq Pillay, Malik Imtiaz Sarwar dan Abdul Rashid Ismail.

Tuanku Ismail Petra dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika baginda dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Selasa lalu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Bagi Najib, perkara berhubung rawatan Sultan Kelantan itu sepatutnya dirunding secara kekeluargaan. "Perkara ini sepatutnya dapat dirundingkan antara anak beranak. Itu yang terbaik dan yang paling utama ialah meletakkan kepentingan kesihatan Sultan Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Persekutuan akan campur tangan, Najib menjelaskan, pihaknya tidak berhasrat berbuat demikian kerana ia adalah masalah yang melibatkan kerajaan negeri dan Istana Kelantan.

Namun semalam, peguam yang mewakili Sultan Kelantan telah memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian.

Sultan Kelantan telah menerima rawatan di Wad Diraja HUSM sejak Selasa lepas dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh polis dengan hanya ahli keluarga diraja tertentu dibenarkan bertemu baginda.

Putera ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra mendakwa dalam afidavit berkenaan bahawa kereta baginda telah dikepung oleh 30 lelaki bertopeng yang bersenjatakan mesingan ketika mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Beliau mendakwa lelaki berkenaan mengacukan senjata ke kepala pemandu Sultan, yang kemudiannya diseret keluar daripada kenderaan tersebut.

Sultan Kelantan dijadualkan berlepas ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas kira-kira 11.45 pagi semalam menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra, putera ketiga Sultan. Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Berikutan itu, Mahkamah Khas dijadualkan bersidang Isnin ini untuk mendengar permohonan habeas corpus Sultan Kelantan bagi mendapatkan kebenaran supaya dibawa keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam baginda, Datuk Mohd. Haaziq Pillay pada sidang akhbar petang semalam.

Semalam, sebuah panel dengan 10 pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri memulakan pemeriksaan kesihatan ke atas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini Selasa lepas untuk rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, kesemua pakar perubatan itu tiba di pagi semalam untuk menjalankan pemeriksaan rapi ke atas Sultan Kelantan.

Beliau berkata, pasukan pakar perubatan itu akan berada di HUSM sehingga laporan status kesihatan baginda selesai dijalankan. Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, pihaknya tidak pasti berapa lama pakar perubatan itu akan berada di HUSM.

Menurutnya, pakar-pakar perubatan itu tiba di HUSM kira-kira 3 petang dengan menaiki kenderaan kerajaan negeri.

"Mereka melakukan pemeriksaan untuk mengetahui status kesihatan baginda Al-Sultan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, setelah siap, laporan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dijangka akan menjawab kandungan afidavit yang difailkan oleh sekumpulan peguam dalam permohonan habeas corpus untuk membawa Sultan Kelantan itu.

Walaupun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut, beliau berkata: “Saya akan jawab permohonan habeas corpus itu di mahkamah,” katanya kepada mStar semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga enggan mengulas mengenai afidavit berkenaan.
“Saya serahkan perkara ini kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment