Friday, April 16, 2010

AHMAD SAID & E-BOOK

www. teganuku.blogspot.com
(Wednesday, April 14, 2010)



John E Davies mengatakan sesuatu kepada Menteri Besar pada perbincangan lebih satu jam kelmarin

Skeptikal mengenai penggunaan e-Book dalam kelas akan berlanjutan. Tiada had dan batas sama ada dalam konteks peruntukan, peralatan mahupun waktu.

Individu termasuk ibubapa dan guru akan mengambil isu remeh temeh untuk memperkatakan mengenai e-Book ini. Ada mengatakan masalah salah guna, terlalu mahal, masalah ketiadaan elektrik, masalah kepada guru, sukar menggendalikan peperiksaan dan berbagai lagi.

Sesetengahnya akan mengatakan e-Book adalah bagi tujuan mencari sokongan politik dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sanggup menggunakan perbelanjaan besar bagi tujuan sokongan politik.

Saya tidak pelik dengan kata-kata sebegini. Pengalaman sama pernah saya hadapi ketika menjadi Penyelaras Akhbar Dalam Darjah (ADD) Berita Harian antara 1984 dan 1986.

Saya yang bertanggungjawab memperkenalkan program ADD ke sekolah-sekolah di Malaysia bermula di Batu Pahat, Johor hingga ke Kota Kinabalu Sabah pada 1980-an turut menghadapi masalah yang sama, termasuk Pejabat Pelajaran Negeri ketika itu.

Skeptikal penggunaan akhbar dalam kelas banyak ditimbulkan tetapi penerimaan di Johor, Kelantan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perak serta Kuala Lumpur amat menakjubkan.
Lebih sukar apabila orang politik campur tangan. Namun kini penggunaan akhbar untuk pembelajaran bukan sahaja oleh Berita Harian tetapi juga Utusan Malaysia dan akhbar berbahasa Inggeris.

Langkah pertama saya dan Berita Harian kini sudah berjaya.

Sebagai orang yang memperkenalkan ADD sama ada di sekolah, maktab perguruan dan juga university, saya faham sangat kalau ada bantahan apalagi daripada guru-guru dan pegawai pelajaran.

Namun, di Terengganu, Ahmad Said nampaknya mendapat kerjasama erat Pejabat Pelajaran Negeri, malah mereka kini bekerjasama untuk mengumpul soalan untuk diisi dalam e-Book bagi dimafaatkan pelajar.

Saya tidak mahu memperkatakan mengenai proses pengisian dan penggunaan tetapi lebih kepada bagaimana kesedaran Ahmad Said mengenai e-Book dan kepentingannya dalam pembelajaran kanak-kanak sekolah rendah.

Apa yang menarik perhatian saya, jika sebelum ini orang politik, guru, pegawai pendidikan dan ibubapa memberikan pujian dan sokongan, semalam, Naib Presiden Intel Corporation menyatakan lebih daripada yang diperkatakan sebelum ini.

Beliau menyatakan perkara ini bukan dalam konteks perniagaan tetapi dalam konteks pengalamannya berbincang dengan pemimpin bagi penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk tujuan pembelajaran.

“Menteri Besar anda mempunyai kepimpinan terpuji. Jarang pemimpin berani mengambil risiko besar sebegini. Salah langkah dia akan dikritik dan sesetengahnya boleh hilang kedudukan,” katanya dalam perbualan ringkas dengan saya semalam.

Turut serta ialah Pengurus Wilayah Asia, Inter Technology Asia Pte Ltd., Andrew Allison.
Saya hanya mendengar dengan tekun. Bagaimana John boleh berpendapat sedemikian.
Menurut John, banyak pemimpin yang bercakap mengenai IT, komputer dan pembelajaran maya. Namun banyak yang hanya tertinggal di rangka kepala sahaja.

Namun Ahmad Said berani menterjemahkannya kepada dasar.

Untuk dijadikan dasar dan program ia memerlukan political will dan keberanian. Keberanian untuk mengumum dan menyediakan peruntukan.

Malah, menurutnya untuk meluluaskan RM50 juta bagi tujuan ini tidak ramai yang berani, apalagi membahagikan e-Book kepada setiap murid.

Sesetengah pemimpin bimbang ia akan hilang begitu sahaja. Sesetengahnya pula membahagikannya tetapi terpilih kepada murid tertentu sahaja.

John mengeluh panjang apabila mendengar e-Book bukan untuk anak yang bapanya menyokong kerajaan sahaja tetapi juga untuk anak yang membangkang.

John menganggap cara pentadbiran Ahmad Said bukan sahaja berani memperkenalkan langkah ke hadapan tetapi juga demokrasi dalam menyediakan kemudahan mendapatkan ilmu di negeri ini.

Saya bangga dengan kepimpinan Menteri Besar ini, katanya. Beliau mengulangi kata-kata Menteri Besar ketika pertemuan selama hampir sejam semalam apabila mengatakan: “A STEP FORWARD IS BETTER THAN NOT TAKING A STEP AT ALL”.

Hakikatnya, walau apa juga kritik terhadap dasar ini, jelas e-Book Terengganu akan menjadi model pembelajaran penting di negeri ini dan tidak lama lagi di negara ini.

Yang pasti, John yang akan ke Indonesia dan kemudian akan ke sebuah negara Afrika selepas ini akan menjadikan e-Book Terengganu sebagai modal perbualannya.

Beliau teruja dengan lawatan singkatnya ke Terengganu semalam apabila pada tengah hari beliau melihat demonstrasi penggunaan e-Book di salah sebuah hotel sebelum melawat kilang selepas mengadakan perbincangan selama hampir satu jam dengan Ahmad Said.

Selepas berbual dengan John dan Andrew, saya bertambah yakin bahawa visi Ahmad Said mengenai e-Book ini akan menjadi kenyataan.

Terengganu selepas ini bukan sahaja dilihat sebagai negeri pelancongan terkemuka tetapi juga anjung ilmu yang menggunakan teknologi semasa dalam pembelajaran.
Ia juga akan menjadi rujukan kepada negara-negara yang akan turut menggunakan e-Book sama ada di Asia, Afrika , Amerika Tengan tetapi juga Eropah.

Kita tunggu ketikanya dan dengan sedikit pengalaman memajukan ADD, saya yakin penuh penggunaan e-Book akan melonjak ke tahap lebih cemerlang.

Kerana itu visi e-Book Ahmad Said perlu didokong dan disokong!

Perbincangan mengenai e-Book di Pejabat Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment