Sunday, March 21, 2010

MELAYU MASA DEPAN KETURUNAN ANAK LUAR NIKAH?

Saya tersentuh membaca berita dalam Berita Minggu hari ini bertajuk ‘17,303 anak luar nikah didaftar 2009’.

Angka 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu belum lagi mengambil kira yang lepas-lepas.

Ada sebuah yayasan menganggarkan ada lebih satu juta anak luar nikah keturunan Melayu sahaja di Malaysia ketika ini.

Kita kini jarang menggunakan istilah ‘anak haram’ kerana ia digantikan dengan anak luar nikah. Apa pun istilahnya ia tetap sama. Anak lahir daripada perhubungan haram.

Persoalannya di sini ialah Melayu. Apabila disebut Melayu, automatiknya akan berkaitan Islam.

Apakah nasib masa depan orang Melayu satu atau dua dekad akan datang?

Saya bukan mahu mencari punca atau menyalahkan mana-mana pihak. Malah anak luar nikah itu pun bukan meminta mereka dilahirkan di dunia.

Ada sesetengah pihak mengatakan apa perlu kita hiraukan masalah ini. Rakyat di sesetengah negara maju kini ramai yang ‘anak haram’ tetapi tetap maju dan berjaya.

Pernikahan di negara seperti Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah termasuk yang mengamalkan seks bebas, gay, lesbian dan sebagainya tidak lagi dianggap penting tetapi dunia tetap menerima mereka.

Lebih menyedih dan membimbangkan di Malaysia, angka anak luar nikah itu belum termasuk bayi yang dibuang dan sebagainya dan sebagainya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini jika dicampurkan semuanya berjumlah 49,944 iaitu hampir 50,000.

Kita tidak tahu angka sebelum ini atau mungkin belum didedahkan secara menyeluruh.

Apapun Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.

Menurutnya angka ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara.

Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.

“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Banyak perkara membabitkan anak luar nikah, khususnya jika mereka Islam umpamanya dalam urusan harta, perkahwinan, perhubungan kekeluargaan dan sebagainya.

Namun, satu persoalan yang sering diperkatakan dalam konteks anak luar nikah ialah bila mereka dewasa dan mahu berkahwin. Dengan kata lain, seboleh-bolehnya mereka janganlah mengulangi perkara sama seperti ibu bapa mereka dan keturunan mereka adalah sah di sisi perkahwinan Islam.
Namun, berapa ramai yang berani menyatakan diri mereka yang sebenar, Ada ibu bapa yang menyorok perkara itu untuk menutup malu dan sebagainya tanpa menyedari perbuatan mereka bersalahan dengan hukum Islam.

Saya terbaca sebuah jawapan yang disediakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang melalui laman web persatuan itu yang merujuk kepada jawapan yang sebelum itu disiarkan dalam Berita Harian 14 Ogos 2008.

Tajuknya ialah ‘Bapa tidak boleh walikan pernikakah anak tak sah taraf’’. Anak tak sah taraf ialah anak yang lahir daripada pernikahan yang tidak sah atau fasid menurut hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan." Hukum di atas adalah dengan syarat suami adalah orang yang boleh menyebabkan isteri hamil, anak dilahirkan selepas enam bulan dari masa akad nikah, iaitu menurut ulama Hanafi.

Dengan kata lain, bagi anak luar nikah – bapanya tidak boleh mewalikan pernikahan anak dan perlu berwalikan hakim.

Saya bukan sekadar melihat masalah ini. Persoalannya dengan kedudukan bangsa Melayu yang semakin porak peranda akibat faktor keturunan dan kelahiran, Melayu apakah akan muncul dalam tempoh satu atau dua dekad datang?

Mungkin ramai yang tidak pedulikan masalah ini namun banggakah Melayu masa depan jika ada yang mengetahui mereka atau rakan serta saudara daripada keturunan sedemikian?

Persoalan lain ialah apakah kita wajar atau perlu menyisih dan membiarkan sahaja mereka yang keturunan sedemikian?

Dalam konteks peluang mendapatkan pelajaran, pekerjaan atau juga hak sebagai rakyat mereka tetap berpeluang sama.

Nasib mereka akan tetap terbela. Mereka juga akan menikmati dan mengecapi taraf atau status kehidupan yang sama dengan keturunan yang sah jika mereka mampu mengajar impian mereka.

Jadi apa masalahnya?

Yang penting bagi saya ialah memperbetulkan atau memandu mereka ke haluan yang betul agar keturunan anak luar nikah selepas generasi pertama itu tidak menerima nasib yang sama.

Dengan cara itu mungkin keturunan Melayu dan Islam dapat diperbetulkan semula.

1 comment: