Sewajarnya 'Liga Balai Polis' yang mahu diperkenalkan kerajaan disokong semua pihak.
Saya melihat langkah ini penting bagi tujuan mendekatkan masyarakat dengan polis.
Walaupun Rakan Cop diperkenalkan sekian lama namun ia masih bersifat satu haluan, iaitu orang ramai menghubungi polis.
Yang penting ialah polis turun padang dan mendekati masyarakat supaya polis benar-benar menjadi rakan - bukan sekadar untuk banteras jenayah tetapi juga dalam kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
Liga ini pastinya menuntut prestasi dan pemperkasaan perkhidmatan di 754 buah balai polis seluruh negara.
Dan, dalam memberikan perkhidmatan, anggota polis jangan pula menyalahkan hubungan mereka dengan masyarakat dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan anggota masyarakat merasa wasangka, apalagi jika ada salah laku dan sebagainya.
Soal penting seperti saya tekankan, usaha ini mampu meningkat dan memperbaiki lagi tahap kerjasama antara anggota polis dan masyarakat setempat.
Saya percaya 'Liga Balai Polis' bukan sekadar untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan terhadap prestasi dan pencapaian yang ditunjukkan oleh balai-balai polis.
Ia bukan sekadar mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara.
Lebih daripada itu, liga akan menjadikan semua peringkat kakitangan balai mendekati masyarakat sekeliling.
Seperti diharapkan oleh kerajaan, anggota polis perlu turun padang bertemu dengan masyarakat dan dengan adanya liga ini juga masyarakat boleh memberi maklum balas terhadap perkhidmatan yang disalurkan atau ditunjukkan oleh sesebuah balai (polis) itu.
Juga penting melalui 'Liga Balai Polis' ini, jika terdapat kelemahan daripada pihak polis dalam memberi perkhidmatan, masyarakat boleh membuat aduan terus kepada kita (Kementerian Dalam Negeri (KDN)).
Sudah pasti ketua-ketua balai atau ketua polis daerah perlu menjawab kepada pihak lebih tinggi termasuk Menteri dan mengatasi sebarang kelemahan yang berlaku.
Jika ini dapat dilakukan, pastinya penghormatan terhadap polis akan meningkat dan imej polis di mata masyarakat akan bertambah baik sesuai dengan motonya:
Saya bersetuju dengan kata-kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa liga itu boleh dijadikan sebagai kayu ukur bagi memperlihatkan komitmen pegawai dan anggota-anggota polis setiap balai dalam menjalankan tugas, khususnya bagi mengekang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.
Memanglah usaha ini sebahagian langkah dalam menjayakan agenda mengurangkan kadar jenayah yang digariskan dalam bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
KDN serta PDRM sudah berikrar akan berusaha menangai isu jenayah ini secara bersungguh-sungguh. Malah telah diterjemahkan kesungguhan tersebut dengan penurunan indeks jenayah sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 dan penurunan jenayah jalanan sebanyak 7.6 peraus dalam tempoh yang sama.
Namun, untuk mengekang jenayah secara lebih berkesan, memerlukan kerjasama masyarakat sekeliling.
Kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Rukun Tetangga atau juga persatuan penduduk hendaklah dipertingkatkan.
Jenayah boleh dicegah dan diatasi. Untuk mencegahnya perlu maklumat dan pendidikan.
Sementara untuk mengatasinya memerlukan kelengkapan, kecekapan dan taktik. Ini kerja polis tetapi kerja masyarakat ialah menyalurkan maklumat, mengawas serta juga melapor.
Bagi saya, apabila kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan "Liga Balai Polis”, tugas kerajaan bukan sekadar mengiktiraf peranan anggota polis.
Lebih penting, dengan sendirinya usaha ini akan mempertingkatkan standard balai-balai polis agar kebajikan dan perkhidmatan balai-balai ini sentiasa dipantau dan dijaga.
Hishammuddin berkata pengumuman mengenai liga itu akan dibuat sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka dilancarkan dua minggu lagi.
Beliau berkata: "Mungkin akan ada ganjaran berupa wang tunai jika balai-balai ini terpilih menjadi 10 balai terbaik dan kita akan paparkan keputusan prestasi balai-balai ini mengikut tempoh tertentu...bagaimanapun saya tidak mahu komen lebih-lebih mengenainya kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri nanti."
No comments:
Post a Comment