Saturday, March 27, 2010

KEMELUT ISTANA...RAKYAT MEMERHATI


Tolonglah mana-mana pihak sekali pun, jangan kelirukan rakyat jelata, khususnya rakyat Kelantan.

Jangan individu atau parti pula dikaitkan dengan kemelut ini.

Mereka mengasihi raja mereka tetapi kelemut istana khususnya isu dua pemangku Raja Kelantan - bukan sahaja mengusutkan fikiran hamba rakyat jelata tetapi menimbulkan banyak tanda tanya.

Sebagai rakyat mereka keliru namun, mereka memerhatikan apa yang akan berlaku seterusnya.
Seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Mutaligat menulis dalam Harakahdaily meletakkan kesalahan kepada seseorang menyebabkan kecelaruan istana Kelantan.

Menurutnya: “Saya masih ingat di awal pemerintahan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990 di Kelantan, antara orang yang membuat onar mengacau pentadbiran kerajaan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

Selepas beliau melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri maka amanlah pemerintahan kerajaan negeri. Beliau selepas itu lama menghilangkan diri dari arena pentadbiran kerajaan dan politik Kelantan. Mungkin beliau berehat gamaknya.

Sehari dua ini namanya timbul kembali. Kali ini beliau dikaitkan pula dengan kemelut istana Kelantan.

Apa sebenarnya yang beliau mahukan.? Apakah beliau masih berdendam dengan kerajaan negeri sehingga sanggup kembali timbul dalam kancah ini.

Tidak cukupkah beliau membuat onar mengacau dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Tok Guru pada era 90-an.?”

Terbukti orang dimaksudkan oleh Mutaligat ialah Datuk Wan Hashim Wan Daud yang sudah ditahan polis. Apapun, kita belum tahu apakah kemelut istana ini disebabkan olehnya secara bersaorangan atau berkumpulan.

Wan Hashim hanya ditahan polis dan belum pasti beliau terlibat atau sebaliknya.

Juga sedikit pelik ialah apabila dalam menyiarkan berita dan ulasan mengenai perkara ini Malaysiakini menyiarkan gambar Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra berlatar belakangkan bendera Kelantan dan logo UMNO.

Apakah mainan Malaysiakini dalam konteks kemelut istana ini? Apakah Malaysiakini babitkan UMNO dalam kemelut berkenaan?

Adalah baik juga kalau kita mendengar nasihat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya semua rakyat mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana-mana kumpulan dalam isu itu, tetapi mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kerana kerajaan negeri mempunyai perlembagaan tubuhnya sendiri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, masa kekecohan ini supaya patuh kepada perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut perlembagaan," katanya.

Kita belum mendengar apa-apa keterangan polis mengenai penahanan 'Setiausaha Sulit' Sultan Kelantan itu yang sebelum ini mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Keadaan mungkin reda seketika apabila Wan Hashim ditahan polis di rumahnya di Taman Seri Aman, Kubang Kerian malam kelmarin. Menurut laporan penahannya dipercayai mempunyai kaitan dengan penglibatannya sebagai `Setiausaha Sulit’ Sultan yang telah membuat pengumuman rasmi pagi ini dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan pemecatan pemangku raja.

Wan Hashim selaku ‘Setiausaha Sulit Sultan Kelantan’, kelmarin membaca perisytiharan di Istana Mahkota, Kota Bharu bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilantik sebagai Pemangku Raja yang baru.

Titah mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz, 76, abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah, itu dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di Kota Bharu.

Mengenai keadaan Sultan Kelantan, Wan Hashim berkata: "Dia boleh bertitah, boleh bercakap dan ingatannya bagus."

Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Tengku Muhammad Faris dan kerajaan negeri berhubung pengumuman itu.

Bagaimanapun, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata Tengku Muhammad Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Ternyata kemelut istana Kelantan meruncing akibat perisytiharan itu kerana Sultan Kelantan didakwa telah melucutkan jawatan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

"Pelantikan Tengku Abdul Aziz tidak ikut Perlembagaan negeri kerana untuk sebarang pelantikan dan pemecatan ianya memerlukan dua pertiga persetujuan daripada ahli Majlis Perajaan Negeri dan bukannya daripada seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Yahya Petra yang didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Pada ketika Wan Hashim mengatakan Sultan Kelantan boleh bertitah, Tengku Muhammad Faris bertitah ayahandanya, Sultan Kelantan masih gering dan beliau kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan untuk menjalankan tugas hal ehwal negeri sejak beliau dilantik pada 29 Mei tahun lalu disebabkan Sultan Kelantan gering dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Baginda bertitah kesemua laporan mengenai kesihatan Ayahandanya selain daripada pakar doktor-doktor yang dilantik adalah tidak tepat.

Yang baiknya kita berdoa semuga kemelut ini cepat berakhir dan biarlah istana menyelesaikan kemelutnya.

Rakyat wajar bersabar dan mendoakan agar Sultan Kelantan cepat sembuh.
Ini kerana jika Baginda sembuh, titahnya akan menyelesaikan semua kemelut.

Pentadbiran kerajaan negeri juga ‘tidak akan terganggu’ dengan pelbagai kenyataan oleh pihak-pihak yang sesetengahnya tidak ada kaitan pun dengan pertelingkahan istana!

No comments:

Post a Comment