Tak boleh cakap apa. Sensitif, nanti orang Kelantan marah. Kalau sebut acap kali nanti boleh gaduh.
Sudah banyak kali ditimbulkan soal ini. Namun nampaknya pihak yang bertanggung jawab mentadbir Kelantan, lebih-lebih lagi Kota Bharu - Bandaraya Islam – akan berterus terusan tidak sensitif. Namun, apabila ditegur mereka jadi melenting.
Apakah pihak yang berwajib mahu terus memekakkan telinga dan memejam mata?
Hakikatnya banyak tempat di Kelantan kotor dan Kota Bharu Bandaraya Islam tidak jauh bezanya.
Apakah kotor ada kaitan dengan politik? Apakah dengan mengatakan Kelantan kotor, Barisan Nasional (BN) boleh tumpaskan PAS Kelantan?
Tidak sama sekali. Orang Kelantan akan jadi marah dan BN akan lebih ditolak. Namun, apakah perlu kita selamanya berdiam diri?
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen semalam membidas kerajaan Kelantan kerana mengabaikan aspek kebersihan terutama di kawasan tumpuan pelancong.
"Dalam tinjauan, saya mendapati tandas awam di Kelantan begitu kotor dan tiada penjaga dan sebab itu saya juga mengsyorkan kepada Kelantan agar mengambil warga emas dan ibu tunggal bagi bekerja sebagai penjaga di tandas awam, sekaligus dapat membantu mereka," katanya.
Ng mengakui beliau menerima rungutan pelancong mengenai perkara itu yang secara tidak langsung memberikan impak tidak baik terhadap industri pelancongan negara.
Berikutan itu secara tidak langsung ia menggagalkan usaha kementerian menarik ramai pelancong ke negeri itu.
Hakikat Kelantan dan Kota Bharu kotor disuarakan setahun lalu oleh exco kerajaan PAS sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada 27 Februari tahun lalu mengakui usaha mengikis tanggapan umum tentang bandar Kota Bharu kotor dan memalukan melalui beberapa pendekatan termasuk kempen kesedaran sejak beberapa tahun lalu ternyata belum berhasil.
Beliau sendiri menyatakan rasa kekecewaannya kerana tanggapan itu telah menjejaskan imej negeri.
Masalah itu dikatakan bukan sahaja kerana kebanyakan anggota masyarakat termasuk para peniaga tidak mengutamakan kebersihan persekitaran malah ia juga berkait dengan kelemahan pihak berkuasa tempatan. ''Saya amat tidak puas hati terhadap tahap kebersihan bandar Kota Bharu, ia belum dapat ditingkatkan," ujarnya pada hari tersebut.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri beberapa hari sebelum itu, Takiyuddin menyatakan tekad kerajaan negeri untuk menjadikan Kota Bharu sebagai kawasan bebas sampah pada tahun 2010.
Dalam tinjauan di beberapa premis makanan, beliau mendapati proses penyediaan makanan dilakukan dalam persekitaran yang agak kotor malah memualkan. Berikutan itu beliau mahukan pengusaha agar tidak mengabaikan kebersihan dan bersikap lepas tangan kerana tindakan tegas akan diambil selain meminta MPKB-BRI memperbaiki kelemahannya.
''Kita kesal kerana kebanyakan anggota masyarakat masih menunjukkan sikap kurang prihatin terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan demi kepentingan mereka dan masyarakat. Masih ramai buang sampah di merata-rata tempat, sama ada oleh peniaga dan orang ramai di sekitar bandar," ujarnya.
Ekoran kegagalan Kelantan itu, Menteri Pelancongan itu berkata Kementerian Pelancongan mengambil langkah berhati-hati dengan pengagihan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kelak.
"Dalam RMK-9 kementerian memperuntukkan RM31 juta tetapi ia gagal dimanfaatkan oleh kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memajukan pusat pelancongan seperti di pantai-pantai dan di bandar-bandar utama.
"Sebab itu kementerian kali ini akan berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan baru agar pelaksanaan tidak menjadi seperti yang lalu apabila PBT mengambil sikap sambil lewa membantu kementerian," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas Majlis Riang Ria Sambutan Tahun Baru Cina di semalam.
Lebih 3,000 masyarakat berbilang kaum hadir pada majlis itu termasuk Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Ng berkata peruntukan yang bakal diberikan kepada Kelantan nanti akan memberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur di lokasi pelancongan seperti pembinaan tandas dan kemudahan asas lain.
"Kementerian akan menumpukan kepada konsep eko-tourism yang menjadi daya tarikan utama pelancong ke Kelantan selain memajukan program inap desa agar Kelantan menjadi tumpuan pelancong," katanya.
Salam Tuan,
ReplyDeleteLari topik tapi mohon tumpang sekaki supaya dapat menarik perhatian pihak bertanggungjawap di Terengganu.
http://dinturtle.blogspot.com/2010/02/terengganu-kite-1.html