Thursday, February 18, 2010

BIBIT-BIBIT PERPECAHAN DALAM PAS?

PAS yang mendakwa dirinya parti Islam sepatutnya tidak boleh amalkan asobiyah – kenegerian atau semangat mementingkan puak, bangsa atau wilayah.

Tetapi hari ini sebuah blog memberi amaran kepada PAS supaya berwaspada dengan ‘geng’ Terengganu dalam PAS.

Apakah dalam PAS kini wujud PAS Kelantan, PAS Terengganu, PAS Kedah, PAS Selangor dan sebagainya?

Kenapa jadi demikian?

Kenapa ada rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan pemimpin PAS yang bukan dari Terengganu?

Sebuah blog mendakwa PAS perlu bimbang terhadap dominasi pemimpinnya dari Terengganu – atau dikenali sebagai 'geng Terengganu' – yang didakwa mengawal tindakan politik presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Blog yang proPAS itu diasaskan kepada luahan beberapa ahli jawatan kuasa PAS yang penulisnya kenal.

Malah menurut Tulang Besi atau nama sebenarnya Abdul Rahman Talib – yang sering mendedahkan isu-isu dalaman PAS - kumpulan tersebut mampu menguasai parti ekoran kedudukan 'strategik' mereka.

“Ini luahan beberapa ahli jawatankuasa PAS yang saya kenal, bahawa idea (kerajaan perpaduan) ini dipersetujui mereka yang dulunya menjadi pemimpin di PAS Terengganu, atau saya panggil geng Terengganu.

“Nama-nama seperti ustaz Abu Bakar ChiK, Haron Taib, idea perpaduan, muzakarah (PAS-Umno) ini disokong mereka. Dan yang saya risau, presiden lebih suka menyokong kehendak-kehendak geng Terengganu daripada kehendak majorotiti ahli jawatankuasa,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau difahamkan, dalam kes tindakan terhadap pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hasan Ali yang dikritik mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai antara “beberapa kerat pemimpin bermasalah”, hanya Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Terengganu yang mempertahankannya.

“Jadi presiden hanya melebihkan geng Terengganu. Sebab itu setiausaha agung Datuk Mustafa Ali pernah keluarkan kenyataan (bahawa) keputusan dibuat sebulat suara. Kalau diambil undi, agenda kumpulan Terengganu akan ditolak,” katanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Abdul Rahman yang konsisten menentang keras idea kerajaan perpaduan dan muzakarah PAS-Umno berkata, penguasaan kumpulan tersebut berleluasa terutamanya di pejabat presiden.

“Tengok dalam pejabat presiden itu, semua orang Terengganu, (setiausaha politik) Dr Samsuri Mokhtar, setiausaha itu, setiausaha ini semuanya orang Terengganu,” katanya yang mengaku menjadi ahli PAS kawasan Lembah Pantai.

Penguasaan pemimpin-pemimpin Terengganu di peringkat pusat PAS, antaranya di kerusi presiden, setiausaha agung, Dewan ulama, Dewan Pemuda, akhbar organ parti Harakah dan unit IT PAS, sentiasa disebut-sebut.

Kumpulan tersebut yang sering dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno sering diperolokkan di blog sebagai kumpulan 'kerajaan perpaduang' - sebutan menurut loghat Terengganu.

Nama Abdul Rahman, seorang perunding perniagaan di luar negara mula menjadi perhatian banyak pihak selepas mendedahkan beberapa siri pertemuan PAS-Umno selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau yang sering menyerang Dr Hasan kerana tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat pernah berkhidmat sebagai penceramah motivasi tersebut selama dua tahun sehingga 2007 – yang menjadikannya 'orang dalam'.

Apa yang menarik melalui pendedahan ini ialah PAS bagaikan bergolak dengan penguasaan orang Terengganu di keliling Presiden PAS sedangkan kuasa politik kini bukan lagi berpusat di Terengganu.

Kerajaan PAS Terengganu jatuh pada pilihan raya 2004 dan Kedah menjadi kerajaan pimpinan PAS mulai 2008 lalu. Kelantan menjadi kerajaan negeri yang ditawan PAS sejak 20 tahun lalu, iaitu pada pilihan raya 1990.

Ada suara mengatakan, seharusnya PAS dikuasai oleh pemimpin yang datang dari negeri yang menang pilihan raya khususnya Kelantan.

Yang jelas, wujud semacam pertelingkahan antara PAS Kelantan dan Terengganu dalam isu kerajaan perpaduan dan penamaan calon bagi pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu tahun lalu.

2 comments:

  1. Manusia yang berfikiran sempit tentang politik saja yang anggap PAS se olah2 berpecah.

    Sebenar nya parti politik yang mana di dalam dunia ini tanpa masalah? Dalam UMNO, MCA, MIC dan Gerakan juga bermasalah besar. BN itu sendiri ada bermasalah yang sangtat besar yang tidak mingkin dapat diselesaikan dengan mudah.

    ReplyDelete
  2. hah...parti politik rupanya...hahahaha...dah tau dah...Hampas

    ReplyDelete