Friday, January 1, 2010

SAYA DAN TOK MAT...

Tok Mat sudah kembali ke Rahmatullah. Bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.


Hanya doa dan al-Fatehah yang mampu yang sedekahkan kepadanya. Tidak terbalas jasanya kepada saya.

Tidak banyak mana perkara manis antara saya dan Tok Mat. Namun di sebalik itu, hubungan kami rapat juga tetapi lebih sebagai orang politik dengan wartawan.

Kami lebih akrab apabila saya bertugas sebagai Penyelidik dan Pengarang akhbar UMNO - Wawasan Merdeka - di Ibu Pejabat UMNO (Menara Dato Onn) pada awal 90an dan beliau pula ketika itu Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Saya mula kenali secara dekat Tok Mat pada 80an. Ketika beliau masih menjadi Ahli Parlimen (Pulai) dan sekembalinya beliau dari menjadi Duta Besar Malaysia di Jakarta membuatkan kami rapat.

Tok Mat yang disayangi warga Kementerian Penerangan sering digelarkan dengan pelbagai panggilan, seperti ‘Mat Bulat’ namun saya yang ada hanya nama ‘Tok Mat’.

Di Parlimen (Dewan Rakyat) - walaupun saya wartawan Berita Harian ketika itu - ada juga saya membantu beliau untuk menulis dan menyemak beberapa ucapan. Namun yang paling penting ialah ucapannya selepas krisis yang menyebabkan UMNO di haramkan.


Semua ini tercatat dalam buku saya UMNO BARU MILIK SIAPA (Kuala Lumpur: 1988).

Banyak juga kami bertukar fikiran dengan merancang program UMNO dan Kementerian Penerangan untuk mempertahankan Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri khususnya apabila UMNO Baru ditubuhkan.

Malah Tok Mat turut berperanan menaikkan pemimpin UMNO lain ketika itu, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Anwar Ibrahim.

Walaupun di Berita Harian orang seperti Datuk Ahmad Sebi, Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Nazri Abdullah menganggap saya sebagai penyokong Team B kerana mengatakan saya rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah, namun saya sebenarnya menyebelahi Team A.

Saya akui saya rapat dengan Datuk Seri Adib Adam, Datuk Zainal Abidin Zin, Datuk Rahmah Othman, juga Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk SeriRadzi Sheikh Ahmad tetapi saya juga ‘kenal rapat’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Sanusi Junid, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Seri Megat Junid (Allahyarham) dan tidak terkecuali Tok Mat.

Tok Mat tahu dan sering menasihatkan saya supaya ‘berdiri sebagai diri saya’ apabila berdepan dengan tuduhan daripada bos Berita Harian atau pihak-pihak lain dalam UMNO.

Kerana sangkaan sedemikian, saya sering ‘terpinggir di Berita Harian’, namun saya sering menyerahkan diri saya untuk ditentukan hidup dan rezeki saya oleh Allah.

Saya juga banyak maklumat mengenai hasrat Dr Mahathir mahu menghantar Yusof Noor (Tan Sri) sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad melalui Tok Mat.

Tidak apalah, itu sudah menjadi sejarah dan ia menjadi pengetahuan untuk saya.

Selain membantu buah fikiran bersama Tok Mat, satu lagi peranan Tok Mat yang tidak akan saya lupakan ialah kebaikannya membantu memudahkan saya sebagai ‘pengawal berita Bahasa Melayu’ di ntv7 ketika mula stesen itu memulakan penyiarannya.

Beliau menasihati saya dalam banyak perkara termasuk proses pelancaran berita dan stesen tv itu sendiri dengan ucapan dan kedatangan beliau ke stesen berkenaan, walaupun ntv7 stesen swasta.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa setiap petang saya datang atau menyuruh kakitangan saya mengambil tape beta di Bahagian Berita RTM.

Tujuannya ialah mendapatkan bahan-bahan yang direkodkan oleh RTM dan saya proses atau olah semula untuk siaran di berita pukul 8 malam ntv7. Bahan-bahan ini juga dipakai untuk berita Inggeris (tengah malam).
Ini tidak diketahui oleh pemilik ntv7, Datuk Seri Effendi Norwawi atau CEO ntv7 ketika itu, Sazali Ramli.

Mereka menyangka berita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bahannya 100 peratus daripada team ntv7.

Pengurus Berita ntv7 ketika itu, James Gibbon juga tidak tahu semua dan dan saya fikir tidak guna beritahunya kerana dia ‘banyak tidak tahu’.

Tanpa bantuan RTM, berita ntv7 tidak akan ‘sehebat’ itu kerana kami hanya mempunyai team kecil berbanding TV3 dan RTM sendiri.

Tok Mat memberikan ‘lampu hijau’ kepada saya untuk berjumpa Khairuddin Che Long atau Mohammad Husin yang ketika itu mengawal berita di RTM.

Inilah jasa Tok Mat kepada ntv7 dan saya.

1 comment:

  1. Salam, Al Fatihah buat arwah...... semoga rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.

    Arwah adalah bekas Menteri di Jabatan kawan, kawan kenal dan masih ingat bagaimana dia mendekati pegawai-pegawai bawahan....... amat prihatin dengan anak buahnya......

    ReplyDelete