Thursday, January 21, 2010

PESANAN DR M, PRIBUMI PERKASA UNTUK RAKYAT MALAYSIA!

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati rakyat supaya bertenang berikutan insiden membaling bom api di empat gereja sekitar Kuala Lumpur dan tidak bertindak melakukan perbuatan di luar kawalan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, lebih mudah untuk mengawal golongan sofistikated, berpendidikan dan bersikap terbuka dalam perkara yang membabitkan sentimen keagamaan tetapi bukan mereka yang “dikatakan” kurang berpendidikan dan tidak rasional.

“Satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini adalah untuk bertenang, tetapi bagaimana anda boleh beri jaminan bahawa mereka yang kurang berpendidikan akan turut akur dan bertenang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keluarga Proton 2010 yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 Proton Rabu lalu (13 Jan 2010).’

Dr Mahathir berkata, lebih baik untuk membincangkan isu sensitif seperti isu keagamaan secara tertutup dan tidak terlalu brsikap ghairah dengan mengadakan perhimpunan awam dan demonstrasi.

“Di negara ini, isu sensitif tertentu perlu diselesaikan secara tertutup tetapi apabila ada peristiwa umum dengan mahkamah membuat keputusan, maka sesetengah pihak mungkin berasa gembira dan ada juga yang tidak gembira… saya berasa tidak gembira,” katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember yang membenarkan Gereja Roman Katolik di Malaysia menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mingguannya, Herald.

Mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang meminta penerbitan media supaya tidak memainkan isu perkauman dalam penerbitan mereka, Dr Mahathir berkata pengamal media perlu lebih matang untuk tidak memainkan isu seperti itu.

Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia supaya tidak dipaksa bersetuju dengan pandangan terbuka berhubung isu sensitif tertentu yang diterima dan diamalkan oleh beberapa negara maju.

“Kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai agama, pelbagai ekonomi, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa… kita tidak seharusnya dipaksa bersetuju dengan apa yang dikatakan peradaban dan pandangan terbuka negara maju.

“Kita telah pun muncul sebagai sebuah negara maju dalam acuan kita sendiri dan ini tidak bermakna bersikap terlalu bebas sehingga mula berjalan ke sana sini tanpa berpakaian dan sebagainya. Itu adalah cara mereka (negara maju) yang menganggapkan diri mereka maju dan bukannya kita,” katanya.

2.Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak menolak kemungkinan serangan terhadap tiga gereja beberapa hari yang lepas adalah perbuatan pihak tertentu untuk mensabotaj umat Islam dan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kejadian itu seakan-akan dirancang sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Gereja Katholik selepas solat Jumaat minggu lepas.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak cepat membuat kesimpulan menuduh ia perbuatan orang Islam kerana terdapat pelbagai kemungkinan dalam kejadian tersebut.

“Perkasa tidak menolak kemungkinan ia adalah kaedah ‘psikologi balikan’ untuk memburukkan orang Islam dan pada masa sama meruntuhkan ekonomi negara.
“Cuba kita lihat kebetulan yang ada, sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi, ada pula pihak yang bertindak membakar gereja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Minggu lepas, Gereja Metro Tarbenacle, Taman Melawati terbakar manakala Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Chapel, Damansara dibaling bom petrol namun ia tidak meletup.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada pihak berkuasa membuat siasatan dan menyokong penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika perlu.

“Jika siasatan mendapati orang Islam terlibat dalam kejadian itu, ia hanya melibatkan individu yang tidak mewakili keseluruhan umat Islam yang cintakan kedamaian,” ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak boleh dimaafkan itu walau apa pun alasannya.

Katanya, ia merupakan perbuatan orang yang pengecut dan tidak bertanggungjawab.
“Memang Perkasa konsisten membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, namun perjuangan kami melalui cara yang aman, bukannya kekerasan,” katanya.

Sumber asal tidak diketahui tapi dipetik dari Malaysia Instinct

Daripada: http://parpukari.wordpress.com

1 comment:

  1. Tuan,
    Ada di luar sana mereka yang inginkan kekacauan sentiasa berlaku di Malaysia ini. Mereka terlalu ingin berkuasa. Apabila dirujuk kepada negara jiran , peluang untuk berkuasa apabila ada rusuhan sangat cerah. Jadi, mereka akan kekalkan tempo kekacauan sehingga sampai PRU 13. Ini sebenarnya strategi politik PR untuk memerintah.
    Kekalutan dan kekacauan di kalangan rakyat merupakan aset besar mereka untuk menang pilihanraya. Dalam PRU 12 yang lalu , kegagalan menteri mengawal kenaikan harga barangan telah menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada rakyat. Anehnya orang ini menang jawatan Naib Presiden UMNO !

    ReplyDelete