Thursday, October 29, 2009

PAS KEMBALI BERTAUT, UMNO JANGAN TERHEGEH-HEGEH…

Tidak mengejutkan. Semalam saya kataka, ribut dalam PAS bagaikan ‘gelora dalam secawan kopi.”

Ternyata selepas mesyuarat khas semalam, yang panas mungkin hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi selepas itu PAS bertaut kembali, setidak-tidaknya pada luaran.

Apapun, ‘api dalam sekam’ dalam PAS akan tetap membara, khususnya dalam isu PAS Selangor pada ketika UMNO semakin bertaut dan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib sudah kuat dan padu.

Mesyuarat semalam memang panas bagai kopi panas sehinggakan Nik Aziz meninggalkan mesyuarat lebih awal, namun segala-galanya kini kembali tenang.

Mesyuarat bermula jam 9 malam, tetapi Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilihat meninggalkan mesyuarat itu kira-kira jam 10.45 malam.

Dalam mesyuarat itu, Nik Aziz turut menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan dalam blognya www.blog.tokguru.com.

Yang pasti akhirnya selepas bermesyuarat malam semalam, tiada apa yang boleh diperkatakan secara khusus mengenai hasil mesyuarat berkenaan.

Tidak perkara utama dibicangkan dan hasilnya tidak akan ada EGM, akan ada siasatan dalaman terhadap PAS Selangor dan isu kerajaan Perpaduan kini ditutup rapat oleh PAS.

PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar akan disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi di Ibu Pajabat PAS, Jalan Raja Laut, berkata mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Isu ini menarik untuk disusuli kerana apakah bentuk siasatan dan tindakan akan dikenakan terhadap PAS Selangor, khususnya Datuk Dr Hassan Ali.

Ada pihak pada mesyuarat malam semalam mencadangkan beliau digugurkan daripada Exco.

Saya yakin selepas ini, untuk mengurangkan tekanan kepada pemimpin dan sebilangan ahlinya, UMNO akan menjadi sasaran serangan. Ubah atau alih pandangan, katakan!

Seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka. Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.

Bagi saya, UMNO tidak lagi menimbulkan isu kerajaan perpaduan. UMNO jangan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ dengan PAS.

Kalau mahu mengajak perpaduan, tidak usahlah melalui usaha politik kerana PAS ternyata tidak mahu. Kalau sesetengah pemimpinnya mahu sekali pun, pemimpin tertinggi PAS lebih berminat bekerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan bukan Islam.

Bukan Islam ternyata lebih mulia di mata pemimpin PAS.

Bak kata pengulas dalam berita mengenai mesyuarat semalam dalam Harakahdaily, Yusoff Abdul: “Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh - musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran.”

Jelas di sini, musuh Islam yang dimaksudkan adalah UMNO dianggap sebagai ‘kebatthilan’, bukannya bukan Isla.

Malah Pemuda PAS Pusat semalam sudah memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak lagi membangkitkan isu kerajaan perpaduan kerana ia tidak lagi menjadi keperluan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata pendirian Pemuda PAS selaras dengan isu dibangkitkan Nik Aziz yang tidak setuju penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi berkata, PAS membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

“Isu kerajaan perpaduan memang dibangkitkan kepemimpinan Pas ketika kerajaan BN diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi, apabila sekarang sudah bertukar Perdana Menteri, maka isu berkenaan (rundingan kerajaan perpaduan) tak berbangkit lagi,” katanya.

“Tok Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai pencetus idea itu telah tutup buku... dah tak bincang lagi sebab suasana tidak mengizinkan dan syarat tidak dipatuhi (pemimpin Umno dan BN) dan keperluan pun tak wujud sekarang.

Jadi, kerajaan perpaduan tidak lagi berbangkit. Malah, perkara ini juga diputuskan dalam Muktamar Agung Pas Pusat baru-baru ini yang mahu mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang,” katanya semalam.

Beliau menyatakannya mengulas pendirian Pemuda PAS Pusat mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN seperti yang dicetuskan parti itu sebelum ini.

Saya berharap sangat, dalam mendekati PAS, UMNO bersuara sebagai satu pasukan dan sebarang kenyataan biarlah selepas mendapat pelepasan Majlis Tertinggi atau ibu pejabat.

Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang UMNO terhegeh-hegeh kerana ketika ini UMNO sebenarnya jauh lebih bersatu berbanding PAS atau PKR sekarang.

2 comments:

  1. Salam. Pada pandangan saya PAS boleh "dibunuh" dengan UMNO dan BN membuat perubahan pada perlembagaan persekutuan dengan memasukkan syariat Islam sebahu dengan undang2 civil sebagaimana diusulkan oleh YB Zulkifli Nordin di parlimen baru2 ni.

    ReplyDelete
  2. Tuan,
    Senario politik Malaysia hari ini di mana parti pembangkang menguasai asalnya 5 negeri kini 4 adalah disebabkan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri yang lalu. Paklah bukan saja telah gagal mentadbir negara dengan baik malahan telah mewujudkan keresahan kepada rakyat berbilang kaum yang sebelum ini menjadi kunci kemakmuran negara.
    Ketelusan kononnya dalam pemerintahan telah menjadikan Paklah ' pelawak ' politik . Hindraf dibiarkan sehingga berani mengancam keselamatan negara. Begitu juga bagaimana Paklah boleh terfikir untuk melantik Zaid Ibrahim sebgai menteri yang menjaga undang-undang . Begitu juga melantik Safie Afdal yang telah langsung merosakkan kawalan keatas harga barangan keperluan harian seperti beras , gula dan minyak. Kegagalan mengawal harga barangan ini sebenarnya menjadi salah satu punca besar hilangnya keyakinan rakyat kepada kerajaan yang diterjemahkan melalui PRU 12 yang lalu.
    Namun, semua itu telah mejadi sejarah . Dr M yang sebelum ini jelas telah dihalang dan dipinggirkan oleh Paklah kini telah kembali menyuarakan pendapatnya . Tak masuk akal langsung bagaimana Paklah boleh melongkangkan pandangan dan pendapat seorang negarawan seperti Dr M jika tidak dipengaruhi oleh seseorang ?
    Dalam isu Pas ini, biarkanlah ia begitu. Pas sebenarnya sedang dipimpin oleh Nik Aziz menuju kehancuran .Tambahan pula parti itu kini sedang coba diambil alih oleh mereka yang pro Anwar. Sekiranya berjaya , tidak mustahil parti itu satu hari nanti akan digabungkan dengan PKR !
    BN di bawah Najib sedang mula pulih dari kejutan PRU 12 . Slogan 'Satu Malaysia' akan menjadi kunci perpaduan negara .
    Ada gelombang yang kuat dari rakyat yang dahagakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.
    Najib sekiranya diberi sokongan dan dorongan akan membawa negara Malaysia menuju wawasannya. Biarkan Pas terjun dengan labunya !

    ReplyDelete