Tuesday, July 7, 2009

MELAYU SUDAH MATI...

“Melayu buat apa?”

Wahai orang Melayu satu Malaya, ambillah nasihat dan petunjuk Nik Aziz ini.

Musyridul Am PAS hari ini mengatakan “Melayu buat apa” atau dengan perkataan lain – Melayu untuk apa - tidak perlu Melayu, apa lagi perpaduan Melayu.

Bagi Nik Aziz, perpaduan Melayu tidak penting kerana cadangan kerajaan perpaduan demi kepentingan Melayu telah ‘berkubur’ dan PAS tidak akan menyebutnya lagi.

Tun Dr Mahathir Mohamad jangan lagi gundah gulana atau tidak begitu gembira dengan dasar liberalisasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan ia menghakis kepentingan Bumiputera negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga tidak perlu merintih mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun merasakan proses liberalisasi akan membantutkan perkembangan Bumiputera.

Perlu apa Dr Mahathir memikirkan bahawa kuota Bumiputera masih belum dipenuhi sedangkan kuota bukan Bumiputera pula semakin meningkat dan bertambah.

Dengan cara “Melayu buat apa?” akan membuka peluang untuk semua – adil pada pendapat Nik Aziz walaupun Melayu-Islam akan tercicir.
Kita sama-sama lihat dan perhatikan ke arah mana PAS selepas ini.

Jika apa pemimpin PAS yang menimbulkan isu Melayu atau perpaduan Melayu, kita akan katakan kepada mereka, “Melayu buat apa”?

Di Kedah, Menteri Besarnya, Datuk Azizan Razak tidak perlu susah-susah lagi membela orang Melayu dari segi tanah dan rumah.

Ikutlah pertunjuk Nik Aziz kerana apabila menjadi Islam cara PAS, segala-galanya akan beres dan perpaduan akan tercipta dengan sendirinya.

Elok juga Nik Aziz sudah sebut dengan jelas. Lagipun beliau juga sebut dengan loud and clear bahawa “isu (kerajaan) perpaduan kami dah tanam, dah berkubur. Pakatan adalah lebih melambangkan perpaduan, lebih daripada maksud perpaduan iaitu ia terdiri daripada berbilang kaum.

“Melayu buat apa? Tak usahlah timbul isu perpaduan itu lagi kerana kami dah baca talkin, jadi apa masalahnya?” tegas beliau.

Ini jelas menunjukkan bahawa perkataan Melayu dalam perlembagaan itu tidak lagi penting. Lebih jauh, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu juga patut dihapuskan.

Kesan daripada kenyataan Nik Aziz ini besar kesannya.

Pertamanya, bagi Nik Aziz, perpaduan Melayu tidak penting. Yang penting perpaduan antara kaum. Biarpun orang Cina atau India bersatu tetapi Melayu tidak perlu. Kalau berpecah sekali pun tidak apa kerana “Melayu buat apa”?

Janganlah kita pedulikan lagi sentimen pejuang dan perjuangan Melayu. Tokoh-tokoh seperti Zaaba, Tun Razak Hussein atau juga Tun Dr Mahathir Mohamad tidak penting lagi.

Kedua, dasar untuk orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru yang banyak menolong orang Melayu buang jauh-jauh. Buka dan selak seluas-luasnya. Kangkangkan tanah air dan ekonomi negara berasaskan meritokrasi kerana Nik Aziz sudah menyediakan Melayu Kelantan untuk bersaing.

Kalau selagi orang Melayu terus ditolong atau diutamakan, perpaduan tidak akan dicapai. “Melayu buat apa”? bermakna dasar-dasar membela orang Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan tidak lagi penting kerana Kelantan kini contoh negeri maju melalui perpaduan cara Nik Aziz.

Pergi jahanam dengan mereka kerana yang penting Islam, bukan Melayu.

Ketiga, identiti diri sebagai Melayu tidak penting kerana “Melayu buat apa?”Dalam kad pengenalan atau surat beranak – buang sahaja keturunan Melayu tetapi gantinya dengan Malaysia atau Kelantan atau apa-apa sahaja kerana bagi Nik Aziz “Melayu buat apa”?

Keempat, hubungan Melayu dan Islam kini tidak penting lagi. Sebut Melayu, tidak bermakna dia Islam – mungkin murtad atau tidak pernah beragama Islam langsung.

Jika sebelum ini orang Melayu malu menyatakan mereka tidak Islam tetapi selepas “Melayu buat apa”, akan ramailah Melayu nengaku mereka bukan Islam atau tidak berminat dengan Islam.

Menyebut Melayu, saya teringat kepada perjuangan pemimpin PAS yang terdahulu seperti Dr Burhanuddin Helmy, Zulkifli Mohamad serta Asri Haji Muda.

Mereka ini perjuang bahasa, budaya, Islam dan ekonomi Melayu dengan begitu lantang, sehinggakan ada kalanya lebih lantang daripada Melayu UMNO.

Dalam buku saya Putera Mahkota UMNO (1995), saya ada mengupas bagaimana Pemuda UMNO yang lantang menyuarakan kepentingan Melayu – ekonomi, bahasa, budaya serta pendidikan – pada 1950an, 1960an dan 1970an mendapat saingan kuat daripada pemimpin PAS yang bercakap perkara yang sama.

Hari ini Nik Aziz kata “Melayu buat apa”?

Saya berdoa rakyat Kelantan akan cepat maju dan tidak ketinggalan khususnya mereka yang tinggal di pedalaman seperti Manek Urai kerana perlu bersaing dengan bukan Melayu di Pantai Barat.

Mereka bukan sahaja kena fasih Bahasa Inggeris atau Mandarin selain Bahasa Melayu untuk menjamin mampu mendapat pekerjaan atau berusaha sendiri secara merit.

“Melayu buat apa”? Saya berdoa, melalui dasar yang diperkenalkan di Kelantan akan membawa pelajar Kelantan lebih jauh bukan sekadar Asia tetapi juga dunia seluruhnya.

Jangan sebut Melayu Kelantan, nanti Nik Aziz tidak meluluskan biasiswa atau rumah murah.
Orang Kelantan tidak memerlukan rumah PPRT, baja padi, bantuan buku, pakaian atau sebagainya kerana kerajaan memberikannya kepada Melayu dan Bumiputera.

Apakah orang PAS semuanya kini bersikap seperti Nik Aziz yang melihat Melayu tidak penting kerana “Melayu buatapa?”

Dasar kerajaan Barisan Nasional yang membuka ruang untuk Melayu meneroka ke seluruh dunia tidak penting lagi untuk Nik Aziz. Melayu sudah bersedia dan kerana itu Nik Aziz kata”Melayu buat apa”?

Hanya kerana Melayu menjadi teras perjuangan UMNO, Nik Aziz tidak boleh terima lagi Melayu.

Melayu juga tidak Islam kerana hanya PAS sahaja yang Islam. Orang Melayu Patani atau Melayu Siak, Padang atau juga Riau, bukan Islam kerana mereka mengaku orang Melayu.

Selagi ada bau Melayu, bagi Nik Aziz mereka bukan Islam sebenar.

Melayu di Afrika Selatan – Cape Town – pun tidak Islam kerana mereka bukan PAS.

Ternyata Nik Aziz tolak bulat-bulat pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyentuh soal perpaduan di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Sudah pasti Nik Aziz tidak akan melayan peringatan Harussani mengenai ketuanan.

Kata Harussani, umat Melayu-Islam negara ini akan hilang status ketuanan sekiranya membiarkan unsur-unsur perpecahan terus membelenggu hidup mereka.

Harussani pastinya sedar dengan sejelas-jelasnya apa yang berlaku. Beliau pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan itu jika situasi semasa tidak menjurus kepada kemungkinan terjadi apa yang dibimbangkan olehnya.

Sepatutnya nasihat tokoh agama seperti beliau disambut baik oleh semua pihak tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang.

Kalaupun ada yang lain dalam PAS mungkin berfikir sejenak tetapi tidak Nik Aziz.
Selama memerintah Kelantan sejak 1990, Nik Aziz mampu mengangkat negeri itu sebagai negeri Islam contoh. Itu kata beliau.

Tidak apalah jika beliau mahu mendakwa sedemikian. Setidak-tidaknya kalau ada kelemahan di Kelantan, Melayu tidak malu. Tetapi lain keadaannya, oleh kerana Melayu=Islam, kelemahan negeri Kelantan akan menyebabkan orang Melayu turut malu sama.

Kini sampai masanya kita persetankan dengan pendapat Prof Ismail Hussein, Gapena atau sesiapa juga kerana kita perlu ikut pertunjuk daripada Nik Aziz bahawa “Melayu buat apa?” atau Melayu Untuk Apa?

Yang rasa dia masih Melayu berhentilah jadi Melayu dan yang memang dah hilang semangat keMelayuannya, mereka menjadi semakin mudah untuk tidak jadi Melayu.

Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini mengatakan ‘saya juga orang Melayu’ tidak perlu bersusah payah mengatakan dia Melayu kerana bagi Nik Aziz itu semua tidak penting.

Bagi Nik Aziz, Melayu sudah mati – tidak ada – seperti matinya kerajaan perpaduan yang cuba merapatkan dua parti berasaskan sokongan Melayu-Islam – iaitu UMNO dan PAS.

1 comment:

  1. Kalau Nik Aziz nak debat, Mufti Perak adalah orang yang paling layak. Jika perpaduan yang hendak ditanam itu bermakna beliau telah kuburkan Abdul Hadi dan jika hendak tolak perpaduan juga bermakna beliau telah menolak kepimpinan Abdul Hadi. Begitukah bongkaknya seorang yang bergelar Tok Guru yang telah dikeramatkan oleh segelintir pengikut parti PAS.

    ReplyDelete