Sunday, July 5, 2009
JANJI PILIHANRAYA JADI TIKAMAN KEPADA PEMBANGKANG
(Sembang Ahad)
Mereka tahu tidak mampu dan tidak boleh melakukannya. Tetapi mereka tetap berjanji.
Kalaupun palsu, palsulah, asalkan dapat undi dan sokongan.
Akhi rnya pekong sudah terlondeh. Bangkai gajah tidak boleh disembunyikan lagi. Busuknya menusuk jantung dan paru-paru.
Tidak perlu ambil kesempatan daripada kemelut pakatan pembangkang. Biarkan “pembangkang terjun dengan labu-labunya”.
Yang penting Barisan Nasional (BN) memperbetulkan rumah tangganya dahulu sebelum berhasrat mengambil kesempatan terhadap kemelut orang lain.
Memang benar keretakan kerjasama antara DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku tetapi biarlah mereka dengan masalah dan kemelut mereka sendiri.
Ternyata hubungan DAP, PAS dan PKR terutama di Kedah dan Pulau Pinang dilihat semakin kalut.
Kini semakin banyak tuduh-menuduh antara mereka berlaku berhubung beberapa isu dan ia sehingga melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Ternyata PAS kini terperangkap antara dasar dengan tuntutan orang Cina di Alor Star khususnya.
Di Pulau Mutiara, sudah ada suara yang meminta Guan Eng balik saja ke Melaka.
Penduduk yang terlibat dalam kontroversi pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang pula dilaporkan menyesal kerana mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Benar apa yang dikata - tiadanya kesepakatan tulen berbanding Barisan Nasional (BN) yang asas penubuhannya adalah untuk mentadbir negara menyebabkan mereka porak-peranda.
Kemelut yang melanda pakatan pembangkang sudah diramalkan sejak awal kerana pakatan membabitkan PAS, DAP dan PKR tidak tulen seperti BN yang telah teruji sejak lebih 50 tahun.
Yang jelas dan nyata, siapa pemimpin nombor satu mereka? Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang?
Rakyat tetap tertanya-tanya siapa akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang. Anwar dengan kesnya, Hadi semakin hilang pengaruh dan Kit Siang pula membawa DAP menjadi parti perkauman.
Sedangkan walau apa keadaan dan tekanan, BN meletakkan jawatan Perdana Menteri itu daripada UMNO dan parti-parti komponen akan membantunya sebagai satu struktur yang berdaftar.
Pakatan pembangkang berada dalam keadaan itu kerana banyak sebab - dasar berbeza yang ketara – PAS dengan ‘dasar Islam’, DAP dengan dasar mirip “Malaysian Malaysia’ dan PKR pula bercelaru walaupun mereka mengatakan asas perjuangan ada keadlian untuk semua.
Namun apa juga yang mereka hadapi, BN kena melihat ke dalam.
Ketika inilah BN khususnya UMNO perlu menggandakan usaha memulih imejnya yang tercemar sejak sebelum pilihan raya umum lalu.
Katanya kepada rakyat - tiada pilihan lain selain BN memerintah negara ini. Kenapa? Ini kerana kesediaan ketiga-tiga parti pembangkang itu duduk semeja hanya kerana ini memerintah negeri bukan membela rakyat.
Sedangkan BN yang mesra rakyat dan berusaha membangunkan negara sehingga menjadi negara maju seperti sekarang adalah berkat perpaduan dan kerja keras pemimpin dan rakyat.
Dengan 1Malaysia yang mendahulukan rakyat dan pencapaian diutamakan, Malaysia akan melonjak lebih jauh yang tidak mampu dilaksanakan oleh pakatan pembangkang.
Yang jelas, oleh kerana mereka tiada sokongan untuk memerintah kerajaan Pusat, pembangkang terpaksa membalas dendam bagi menghalang BN daripada terus memerintah di pusat dan beberapa negeri.
Inilah juga masanya parti komponen menunjukkan bahawa tunjang kerjasama dengan berteraskan UMNO itu adil dan memberikan saksama kepada semua kaum.
Dalam BN tiada perbalahan membabitkan isu-isu seperti babi yang berlaku di Kedah atau pertelingkahan dalam perlantikan untuk pertubuhan atau badan-badan kerajaan seperti di Pulau Pinang.
UMNO menunjangi BN dengan semangat setiakawan dan sentiasa beralah untuk menjamin keharmonian dan perpaduan wujud.
Pemimpin BN, UMNO serta komponen lain janganlah terus-terusan meratap atau kesal kerana rakyat menolak kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Bangkitlah untuk menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa janji manis sewaktu kempen pilihan raya dahulu adalah muslihat pembangkang semata-mata.
Ternyata hari ini, selepas hanya setahun kerajaan pakatan memerintah, banyak janji sukar malah tidak dapat dilaksanakan.
Malah pertubuhan haram Hindraf yang selama ini menyokong kuat PKR pun nampaknya mulai sedar yang mereka terpedaya.
Benar sekali bahawa janji-janji inilah yang kini menjadi duri dalam daging kepada kerajaan pakatan pembangkang.
Mereka mungkin boleh bertolak ansur pada peringkat awal penubuhan kerajaan negeri kerana mahu menjaga hati semua pihak.
Ternyata sekarang selepas setahun, terbukalah belang masing-masing apabila semua mahu penuhi agenda parti sendiri.
Sedar atau tidak. apa yang berlaku kini membuka mata rakyat - bagaimana nasib dan masa depan mereka -sekiranya pembangkang diberi peluang memerintah negara.
Biarlah pemimpin pembangkang cuba menunjukkan mereka gah dari segi berceramah atau memperkatakan isu tetapi kerjasama mereka begitu rapuh.
Yang nyata apabila mendapat kuasa tidak tahu berbuat apa. Dengan kerajaan pakatan baru setahun jagung sudah berlaku kemelut, apakah rakyat tidak boleh membuka mata?
Jika rakyat terus-terusan tidur, inilah masanya BN membuka mata dan melangkah lebih jauh meneruskan perjuangannya yang bersifat tradisi membela rakyat.
Kemelut hanya sumbangan kecil tetapi sumbangan sebenar untuk memenangi pilihan raya terletak di bahu kemampuan dan keupayaan BN menjamin dasar dan perjuangannya diterima rakyat.
Biarlah pakatan pembangkang bergelumang dengan kemelutnya. Lagi lama ia berlaku, lagi baik untuk BN. Rakyat tahu menilainya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PKR: Parti Kehancuran Rakyat!
ReplyDeleteSebenarnya Pakatan Rakyat tiada presiden macam Barisan Nasional. Pakatan Rakyat juga tiada timbalan presiden, yang ada cuma tiga orang ketua yang sedang sedaya upaya untuk memahami dan menegakkan dasar parti masing-masing.
ReplyDelete