Wednesday, July 22, 2009

ISU TEOH – APA SANDIWARA SETERUSNYA?

Apabila Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah hari ini memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memohon deklarasi bahawa seorang saksi hanya boleh disoal siasat dalam tempoh waktu pejabat, isu punca sebenar kematian Teoh Beng Hock akan mula terhakis.

Kenapa Teoh dibunuh dan apa ‘rahsia dan bahan bukti’ yang ada pada Teng, cuba ditenggelamkan oleh pihak-pihak tertentu.

Perlu diingat bahawa Teoh bukan suspek tetapi adalah saksi utama. Teoh datang dengan sendiri membawa kereta sendiri dan bukan diambil dari rumah atau pejabat.

Mengikut amalan SPRM, mereka akan hantar pulang suspek yang diambil dari rumah atau pejabat. Kemana saja suspek bergerak, termasuk bilik air, depa akan letak pegawai ikut. Oleh sebab Teoh bukan suspek, SPRM tidak perlu meletakkan orang untuk ikut dia. Kematiannya berlaku selepas dia dilepaskan untuk pulang.

Boon Wah, 39, dalam saman pemula itu menamakan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan iaitu Ketua Suruhanjaya SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli selaku Penolong Penguasa SPRM Selangor dan SPRM masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif mendakwa sesiapa yang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (akta 694) hanya boleh direkodkan pernyataan sebagai saksi dalam waktu pejabat iaitu mulai pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan bukannya selepas tempoh yang ditetapkan.

Plaintif sehubungan itu memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak bertentangan dengan proviso di bawah Seskyen 30(3)(a) akta tersebut.

Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi (termasuk teladan dan teruk) ekoran dakwaan penahanan salah, faedah atas jumlah penghakiman, ganti rugi, kos dan perintah lanjutan serta relif yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Tidak semena-mena kini SPRM menjadi fokus dan dijadikan ‘badan yang bersalah’ dan dengan sendirinya menenggelamkan isu kematian Teng yang sepatutnya menjadi fokus utama.

Permainan atau sandiwara ini sudah pun bermula semalam apabila tindakan seorang Exco yang tidak bekerjasama dengan polis.

Ini bermakna polis juga aka nada masalah dalam kerja-kerja siasatan mereka dan jelas ada pihak yang berusaha mengelirukan pihak berkuasa.

“Dia minta kita (polis) datang ke pejabatnya pada pukul 3 petang, bila pegawai kita pergi, dia pula tidak berada di pejabat dan hanya muncul pukul 6 petang,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.

Ketua Polis Selangor, itu merujuk kekecewaannya dengan tindakan Exco Selangor, Ean Yong Hian yang gagal hadir memberi keterangan semalam berhubung kematian Teoh - Setiausaha Politiknya.

Ean sepatutnya tampil memberi keterangan semalam tetapi enggan berbuat demikian.

Khalid berkata, keterangan daripada Ean perlu bagi mempercepatkan siasatan polis mengenai kes kematian Teoh.

Exco itu turut enggan membenarkan percakapannya dirakamkan dengan alasan dia dimaklumkan Menteri Besar Selangor bahawa percakapan saksi tidak boleh dirakamkan selepas pukul 6 petang.

Lima ahli keluarga termasuk tunang mendiang Teoh sudah dipanggil untuk memberi keterangan
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, sepatutnya pukul 3 petang ini.

Khalid berkata, sehingga malam tadi, seramai 45 orang telah dipanggil memberi keterangan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan.

Sudah pasti polis kecewa dengan tindakan itu dan percayalah ini adalah permulaan kepada sandiwara lebih besar selepas ini.

Bukan sekadar Boon Wah dan Yong Hian, polis juga berdepan dengan kritikan wakil rakyat Kota Alam Shah M. Manoharan yang keterangannya direkodkan di bagunan Setiausaha Kerajaan Selangor semalam bagi membantu siasatan kes kematian Teoh.

Manoharan yang ditemani isteri, S.Pushpaneela tiba pada kira-kira pukul 3.15 petang. Polis mengambil kenyataannya sehingga pukul 6.40 petang dan beliau disoal siasat oleh ASP Mohd Amirul Abdullah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Manoharan kemudian berkata beliau tidak berpuas hati dengan cara polis menjalankan siasatan kes kematian Teoh yang sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekesaan iaitu membabitkan kes bunuh.

"Saya tidak puas hati degan cara siasatan dijalankan. Saya amat kesal dengan polis kerana siasatan kematian Teoh sepatutnya dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan bukannya kematian mengejut," katanya.

Manoharan mendakwa beliau adalah orang terakhir yang bercakap dengan Teoh ketika dia di pejabat SPRM.

"Saya menerima panggilan (telefon) daripada Teoh pada kirakira pukul 6.15 petang 15 Julai dan segera ke tingkat 14 Plaza Masalam iaitu pejabat SPRM.

"Malangnya, saya tidak dibenar menemani klien saya (Teoh) sebaik tiba di pejabat itu," katanya.
Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment