Wednesday, July 1, 2009

DUA ANGGOTA TERIMA ANUGERAH INTEGRITI

Ini adalah antara contoh yang patut diketegahkan. Walaupun setengah juta ringgit cuba disuap, mereka menolaknya.

Selain menolak suapan, dua anggota polis ini turut membantu memerangi penyebaran syabu yang kesannya bukan kecil, khususnya kepada anak-anak muda.

Dengan menolak rasuah, mereka ini menjayakan satu operasi penting polis yang ternyata menjadi kebangaan kita seluruh rakyat Malaysia.

Syabas. Perkara baik seperti ini perlu dihebahkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya memikirkan ‘habuan’ untuk mereka kerana memberikan perkhidmatan sebegini. Bukan mudah dan bukan selalunya kejadian seperti ini berlaku!

Dengan kata lain, bukan ramai kakitangan yang cekap selain amanah seperti ini.

Kerana adanya sikap ‘bersih dan amanah’ dua anggota polis yang menolak rasuah lebih setengah juta ringgit daripada dua pengedar dadah bagi mengelak 480 bungkusan syabu bernilai RM280 juta dirampas pada Mei lalu, dianugerahkan Anugerah Integriti hari ini.

Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini, 44, dan Lans Koperal Mohd Tarmazi Arbayee, 25, juga dinaikkan pangkat masing-masing kepada Detektif Sarjan dan Koperal atas kejayaan terbesar dalam sejarah PDRM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyampaikan anugerah berkenaan kepada kedua-dua anggota polis itu dalam satu upacara selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Bangunan Parlimen di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada kejadian 2 Mei lalu, Mohd Surani dan Mohd Tarmazi yang dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Cenderawasih, Rompin, Pahang pada jam 6.45 pagi, ternampak sebuah lori yang mencurigakan lalu memeriksa dan mendapati lori itu membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua anggota polis itu bertindak menahan dua suspek lelaki yang kemudiannya menawarkan suapan rasuah sebanyak RM10,000 dan berjanji akan menyerahkan lagi RM500,000 sebagai ganjaran membebaskan mereka.

Musa, ketika ditemui pemberita, berharap masyarakat tidak memberikan rasuah kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa kerana mereka boleh dikenakan hukuman berat.

"Saya minta masyarakat janganlah beri rasuah, kalau hadapi apa-apa masalah terimalah masalah tetapi jangan merasuah kepada pegawai kerajaan kerana kita mempunyai kuasa untuk menangkap kalau orang memberi rasuah," katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua anggotanya itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengiktirafan itu.

"Saya rasa gembira dan rasa bahawa pegawai dan anggota bawahan saya telah melakukan tugas dengan baik. Alhamdulillah apa yang selama ini saya utarakan untuk membetulkan pasukan polis supaya anggota dan para pegawai mempunyai integriti yang tinggi berhasil," katanya.

Tahniah untuk PDRM dan carilah seberapa ramai lagi kakitangan seperti ini.

No comments:

Post a Comment