Tuesday, April 28, 2009

PENANTI – WAJARKAH UMNO BERTANDING?

Barisan Nasional (BN) mahu bertanding atau tidak di Dewan Undangan Negeri Penanti?
Jangan hanya kerana Tun Dr Mahathir Mohamad mahu UMNO bertanding yang seakan disokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO menukar pendiriannya untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menganggap pilihan raya seperti ini hanya akan merugikan wang rakyat.

PKR yang begitu yakin akan menang sudah menemui calon menggantikan bekas ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Timbalan ketua perhubungan PKR negeri Dr Mansor Othman - seperti diura-urakan sebelumnya - disebut-sebut terpilih mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil Penanti bulan depan.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan calon PKR itu malam ini.
Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini berikutan timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng meletakkan jawatanb. Beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus.

Apapun, UMNO akan menentukan pendiriannya sedikit masa lagi sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang 23 Mei ini.

Biro Politik parti yang dipengerusikan oleh Najib akan bersidang dalam tempoh terdekat untuk memuktamadkan keputusan tersebut.

Jumaat lalu, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO telah menyerahkan kepada biro politik parti tersebut untuk membuat keputusan.

Menarik pada pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.

Langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Apa yang perlu difikirkan dalam konteks Penanti ialah:

1. Jika menang akan memberikan keyakinan baru kepada UMNO dan jika kalah, siri pembubaran DUN dan Parlimen seperti yang dimahukan Anwar akan menjadi bertambah rancak;

2. Jika UMNO bertanding, ia bagaikan ‘undur belakang untuk kebaikan’ namun dimanakah rasional merugikan wang rakyat;

3. Jika menang reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan menonjak dan jika kalah ia semakin merudum;

4. Jika bertanding aka nada tuduhan Najib mengikut telunjuk Dr Mahathir dan sebelum ini Muhyiddin seperti menyokong kenyataan Dr Mahathir;

5. Jika bertanding, wang rakyat akan dikorbankan sedangkan kerusi itu tidak akan mengubah apa-apa; dan

6. Akan ada orang yang akan untung daripada pilihan raya kecil ini kerana selalunya walaupun calon kalah pilihan raya kalah tetapi ‘ada orang UMNO yang akan menang’ kerana mendapat pelbagai kemudahan dan wang’ hasil peruntukan pilihan raya berkenaan.

Apa pun, UMNO Pulau Pinang sudah pun menyatakan kesediaannya menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada pucuk pimpinan parti untuk menggerakkan jentera pilihan raya.

Persiapan termasuk di peringkat UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah dibuat sejak kerusi itu dikosongkan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lalu.

Dulupun, UMNO Pulau Pinang menyatakan sedia untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh tetapi apa hasilnya?

Persoalannya kesediaan dalam bentuk apa? Ceramah atau pekerja?

Bagaimana strategi dan jentera mempengaruhi pengundi?

No comments:

Post a Comment