Saturday, March 21, 2009

HADI TIDAK BERKUASA DALAM PAS

(Isu Sabtu)

Jelas sudah bahawa perpecahan dalam PAS mengenai isu bekerjasama dalam konteks kerajaan campuran UMNO/BN-PAS menyerlah.

Juga jelas, selagi ada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ia tidak akan berlaku.

Dengan kata lain, perpaduan umat Islam UMNO-PAS tidak akan berlaku selagi Nik Aziz ada dalam PAS.

Ini kerana PAS bukan diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi oleh Nik Aziz.

Musyridul Am PAS itu sudah menyifatkan dirinya sebagai nakhoda kapal dalam kepimpinan parti itu.

Beliau turut mengingatkan presidennya, Hadi, agar berbincang dengan beliau dahulu sebelum membuat keputusan mengenai penubuhan kerajaan campuran.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau tidak mahu terdapat ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti PAS.

Nik Aziz mengulangi pendiriannya sebagai ketua tertinggi PAS bahawa beliau menolak cadangan Hadi itu atas alasan ia sudah diputuskan pada Muktamar Agung PAS di Ipoh tahun lalu.
"Saya Mursyidul Am umpama nakhoda, kalau tukang sauh nak jumpa, saya tak boleh tolak, kena jumpa. Kalau tukang layar nak jumpa tak boleh tolak, kalau Haji Hadi nak jumpa pun saya tak boleh tolak," katanya.

Baginya, jika ramai pemimpin PAS yang menggesa untuk penubuhan kerajaan campuran dengan BN, maka perlu ada satu platform yang khusus untuk membincangkan perkara itu dengan teliti.

Kenyataan Nik Aziz ini membuktikan PAS ‘rigid’ dengan sebarang keputusan muktamarnya dan tidak akan mengubahnya biarpun keadaan berubah.

Kalaupun perpaduan umat Islam memerlukan tindakan segera, PAS tidak akan melakukannya jika muktamar berbuat demikian.

Demokrasi? Ya tetapi tidak mengikut keperluan semasa!

Kenyataan bahawa beliau sedia berbincang dengan Hadi mengenai isu menubuhkan kerajaan campuran antara pakatan pembangkang dan BN hanya untuk menyedapkan hati sahaja.

"Saya tetap dengan pendirian asal saya, tidak bersetuju dengan cadangan itu. Kalau hendak juga hubungan kerjasama itu, (PAs) kena adakan mesyuarat khas lain membincangkan khusus tentang perkara itu," katanya.

Itulah sikap keras dan tidak mahu bertolak ansur Nik Aziz.

Beliau berpendirian sedemikian mungkin kerana serik dan menganggap ditipu oleh BN ketika wujudnya kerjasama antara UMNO-PAS di Kelantan pada 1974 hingga 1978.

Namun, bagi saya ada perkara lain sebenarnya kenapa Nik Aziz bersikap demikian.
Saya tidak melihat kenyataan Nik Aziz sebagai kenyataan daripadanya semata-mata.

Ada orang di belakang Nik Aziz yang tidak mahu wujud kerajaan campuran. Ini kerana kalau ada kerajaan campuran orang yang menyokong Anwar Ibrahim akan kehilangan segala-galanya.

Orang ini berharap sangat akan menjadi Menteri Besar dan kalaupun tidak ‘memerintah Kelantan’, beliau amat teruja dengan Anwar dan mempunyai keyakinan penuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menjadi Perdana Menteri.

Apa lagi dengan serangan bertalu-talu terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak sekarang, beliau semakin ‘meroyan’.

Kegilaannya untuk menjadi menteri di bawah kerajaan pakatan pembangkang begitu menyerlah apabila orang ini asyik ‘ikut bontot’ Anwar, malah menjamin Anwar menang di Permatang Pauh pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Dengan kenyataan Nik Aziz beliau nakhoda, jelas Nik Aziz akan mempertahankan orang ini untuk menjamin beliau akan meningkat .

Tanda-tanya jelas bahawa jika Hadi ‘gagal memimpin PAS dengan baik’, orang yang dipersiapkan oleh Nik Aziz ini mungkin ‘melanggar Hadi’ pada pemilihan PAS Julai depan.

Kita tunggu dan saksikan bagaimana pertelingkahan Nik Aziz-Hadi ini dipenghujungnya.

No comments:

Post a Comment