Kita seakan terlupa bahawa hari ini akan ada keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang, di Kota Kinabalu menentukan sama ada aka nada pilihan raya kecil di Sabah.
Pada ketika tumpuan politik banyak di arahkan kepada mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Sabah akan ada satu keputusan penting hari ini.
Keputusan itu berkenaan bakal menjawab sama ada pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan akan diadakan atau sebaliknya.
Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan sama ada menerima atau menolak rayuan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau tanpa bertanding pada pilihan raya umum Mac lalu, tidak sah dan batal.
Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 11 September lalu bagi membatalkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi di sini pada 8 September lalu, berdasarkan petisyen dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai.
Parlimen Pensiangan, kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu mempunyai kira-kira 19,000 pengundi dengan majoritinya masyarakat Murut.
Hakikatnya, beberapa parti politik di Sabah sudah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya itu.
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, khususnya UMNO sudah menyusun jentera dan hanya menunggu waktu untuk digerakkan.
BN umumnya sudah bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil berkenaan dan yakin mampu mempertahankan kerusi itu.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman bulan lalu menyatakan jentera BN kini menunggu keputusan mahkamah sahaja untuk berfungsi.
Persoalannya ‘perang dingin’ antara Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan mengenai parti mana sepatutnya mewakili kawasan Parlimen itu boleh menjejaskan BN.
Kedua-duanya mempunyai kekuatan sendiri, namun jentera parti mana lebih berfungsi yang menjadi perdebatan.
Apa pun apabila BN negeri sudah menyatakan kesediaan, soal jentera parti – sama ada PBRS atau juga PBS – tidak lagi timbul kerana parti yang bertanding akan mewakili BN.
Sementara, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program perjumpaan dengan pemimpin PKR Sabah di Kota Kinabalu, menyatakan kesediaan untuk bertanding.
Selain itu, Parti Maju Sabah (SAPP) yang sudah keluar dari BN Sabah juga dikatakan berminat meletakkan calon bagi mencuba nasib di kerusi berkenaan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada calon bebas turut akan bertanding jika pilihan raya kecil berkenaan diadakan.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut, September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, David Wong Dak Wah, membuat keputusan berkenaan berdasarkan petisyen pilihan raya dikemukakan Andipai pada 9 April lalu yang meminta mahkamah mengiystiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada penamaan calon 24 Februari tahun lalu, Pegawai Pilihan Raya (RO), Bubudan OT Majalu, mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.
Ketika bertanding pilihan raya umum lalu, Kurup yang juga Presiden PBRS melepaskan kerusi DUN Sook yang dimenanginya pada 2004 untuk bertanding kerusi Parlimen Pensiangan.
No comments:
Post a Comment