Monday, February 2, 2009

KERAJAAN PIMPINAN PKR BAKAL TUMBANG

Isu straight forward dan jadi bengkang-bengkok.

Asalnya dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Namun sehingga kini, kedua-duanya tidak membuat sebarang kenyataan.
PKR melalui speaker jelas cuba menghalang ‘kemenangan percuma kepada BN’ apabila cuba ‘membatalkan’ kedudukan dua wakil rakyatnya yang dikatakan akan menyeberang.

Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 ADUN termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu, manakala BN dianggotai 27 ADUN.

Yang anehnya, beliau langsung tidak menyebut mengenai status wakil rakyat UMNO yang menyeberang ke PKR sebelum ini. Dengan kata lain, PKR memilih kes terpilih yang dirasakan merugikan mereka sahaja.

Sehingga ke saat ini, PKR tetap menganggap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu yang “hilang” sejak Isnin lepas sebagai wakil rakyat parti itu.

Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar dari parti.

“Kita tidak ada menerima sebarang surat meletak jawatan atau keluar dari parti (daripada mereka),” katanya Ipoh hari ini.

Kebimbangan kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang dan mereka kehilangan jawatan - Menteri Besar Perak dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) membuat kenyataan yang mendahului masa.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menyerahkan surat rasmi memaklumkan kekosongan DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak hari ini.

Sementara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, pagi ini dan kelihatan memasuki Istana Kinta kira-kira pukul 10 pagi dan keluar pada pukul 10.25 pagi.

Difahamkan perjumpaan itu berkaitan isu politik yang ‘genting’ di negeri ini. Beliau yang enggan ditemubual pemberita terus meninggalkan pintu masuk istana sambil berkata “Selamat tinggal, jumpa lagi”.

Sebelum itu beliau enggan menemui pihak media selepas majlis ceramah eksekutif di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Perak.

V. Sivakumar pula hari ini menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

Sivakumar dalam kenyataan satu perenggan yang difakskan kepada Bernama berkata surat rasmi itu telah diserahkan kepada Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah pada pukul 8 pagi tadi di pejabat SPR di sini.

Semalam, Sivakumar dalam satu kenyataan media mengumumkan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai ADUN di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Jan lepas, pada malam tadi menafikan kenyataan Sivakumar bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Jamaluddin dan Mohd Osman dijadual mengadakan sidang media di Shah Alam dan Kuala Lumpur secara berasingan petang ini bagi menjelaskan pendirian mereka, sama ada mereka masih dengan PKR atau keluar dari parti itu.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Kedua-dua ADUN itu menganggap kenyataan Sivakumar itu adalah "satu pembohongan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya."

Jamaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi, Pertanian dan Perladangan dan Mohd Osman yang juga Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Kerajaan, mendakwa masih anggota PKR dan tidak pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, menjadi calon bebas ataupun menyertai Umno.

Kedua-dua mereka mendakwa surat peletakan jawatan yang dimaksudkan oleh Sivakumar itu ialah surat yang tidak bertarikh yang ditandatangani mereka bersama lima lagi anggota PKR selepas memenangi pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas, Jamaluddin mengalahkan calon BN, Datuk M. Ramasamy, dengan majoriti 1,027 undi manakala Mohd Osman menewaskan calon BN, Datuk Mat Isa Ismail, dengan majoriti 1,102 undi.

Jamaluddin memperolehi 6,771 undi berbanding Ramasamy yang mendapat 5,744 manakala Mohd Osman memperolehi 9,411 undi berbanding Mat Isa 8,309 undi.

Kedua-duanya kini menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah. Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari bermula 10 Februari ini.

Ahmad Adli mengesahkan menerima surat itu dan akan menyerahkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu keputusan Speaker DUN Perak berhubung kekosongan dua kerusi - Changkat Jering dan Behrang - yang akan membuka laluan untuk pilihan raya kecil - adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN terbabit, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

Kata beliau, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak bertarikh semasa ditandatangani memandangkan kedua-dua mereka mengetahui kandungan dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

No comments:

Post a Comment