Saturday, January 10, 2009

SIASAT JANGAN TIDAK SIASAT

Saya mengucapkan syabas dan menerima dengan hati yang lapang apabila Kementerian Pelancongan mengarahkan Tourism Malaysia Terengganu semalam, menyiasat dakwaan bahawa terdapat sesetengah hotel di Kuala Terengganu yang mengenakan kadar sewa bilik sehingga mencecah RM1,000 ekoran kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jika dakwaan itu benar, ia boleh menjejaskan industri pelancongan di Terengganu.

“Saya mendapat maklumat bahawa ada beberapa syarikat yang menempah semua bilik hotel dan kemudian menjualnya semula pada kadar RM1,000 semalam kepada pengunjung lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean ke-29 yang akan berlangsung selama dua hari di Hanoi semalam.
Azalina berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang didapati melakukan perbuatan sedemikian.

Kabinet juga, katanya, telah dimaklumkan mengenai perkara itu semalam.
Cerita mengenai hotel mahal ini berlaku kepada saya apabila tempahan saya di Hotel Primula antara 4 dan 18 Januari 2009 terpaksa saya biarkan dibatalkan begitu sahaja gara-gara menerima panggilan daripada seseorang yang menjadi orang tengah antara Hotel Primula dengan saya.

Orang berkenaan yang menggunakan nama “Monsoon Reach” dan bertindak bagi pihak Hotel Primula memberitahu saya supaya membayar secara penuh sewa selama 18 hari jika saya berminat tinggal di hotel berkenaan.

Selain itu walaupun saya membuat booking dan nama saya tersenarai dengan bayaran bilik sebanyak RM207.00 satu bilik seperti seperti yang saya nikmati sebelum ini, tiba-tiba menjadi RM300 satu malam.

Saya membuat tempahan sebaik sahaja keluar daripada hotel berkenaan bersama keluarga saya ketika bercuti Hari Raya Aidiladha yang lalu.

Tiada sebab diberikan – hanya kerana pilihan raya.

Yang anehnya, kata orang perantaraan itu, sekiranya saya tidak mampu membayar sebanyak itu, beliau menyediakan bilik di Permai Inn dengan kadar sedikit murah.

Saya ke hotel berkenaan dan bertemu dengan salah seorang kakitangan dan mendapatkan penjelasan dan beliau meminta tempoh dan kemudian menelefon saya.

Kakitangan wanita itu kemudian memberitahu bahawa memang saya ada membuat tempahan tetapi harga sudah dinaikkan menjadi RM300 bukan lagi RM207.00 seperti ketika membuat tempahan.

Saya mempunyai bukti bahawa orang persaorangan dengan kerjasama kakitangan hotel melakukan perbuatan ini kerana orang yang bertindak menjadi orang tengah ini berkeliaran di hotel berkenaan.

Saya mempunyai beberapa bukti (dokumen yang ditaip pada sebuah komputer di ‘internet cafe’ hotel berkenaan yang mungkin secara tidak sengaja ditinggal oleh mereka yang melakukan kerja salah ini) dan ini semua adalah dengan kehendak Allah, membolehkan saya menyalinnya.

Yang menariknya, dokumen-dokumen mengenai harga yang ditawarkan dan siapa yang menjadi mangsa, saya dapati apabila saya mahu menggunakan computer berkenaan dan dokumen ditinggalkan di screen tanpa disedari oleh mereka yang menaipnya.

Saya rasa antara mereka yang ‘dikenakan’ bukan sahaja saya. Dirasakan mereka yang turut menerima nasib malang termasuklah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan beberapa pemimpin UMNO yang lain. Apa pun mereka mungkin tidak terasa kerana wang mereka banyak!

Tidak hairan dengan bayaran setinggi itu.

Malah ada kalangan pemimpin UMNO dari luar Terengganu turut mengeluh panjang kerana bayaran dikenakan di hotel berkenaan tinggi daripada biasa.

Saya memang mahu membuat aduan mengenai perkara ini kepada pengurusan Hotel Primula yang memang menjadi ‘rumah saya’ setiap cuti persekolahan atau cuti umum selepas pilihan raya kecil ini selesai.

Ini kerana walaupun saya adalah ahli kelab hotel berkenaan tetapi yang nyata, saya tidak mendapat layanan sewajarnya sebagai ahli dan kad berkenaan bagaikan tidak diterima oleh hotel berkenaan.

Pertanyaan saya apakah dengan ada pilihan raya, hotel boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya seperti rumah sewa sekitar Bandar Kuala Terengganu.

Yang pasti saya akan menjadi saksi pertama jika dipanggil oleh Menteri atau juga pegawai Tourism Malaysia.

Bukan kerana saya ‘dikenakan’ tetapi tidak mahu kejadian berulang jika ada temasya atau peristiwa besar dilangsungkan di Kuala Terengganu pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said juga mungkin boleh lihat masalah ini!

No comments:

Post a Comment