Monday, January 12, 2009

PAS SANGGUP GUGUR HUDUD?

Apa lagi PAS mahu katakan?

Ternyata sudah DAP meletakkan syarat.

Biarpun ia dilihat seakan sendiwara pemimpin DAP dalam soal ini, jelas DAP melihatnya daripada sudut pelaksanaan hukum berkenaan.

Untuk bekerjasama dengannya, DAP mahu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggugurkan usaha melaksanakan undang-undang hudud.

DAP melihat hukum Hudud dalam konteks perundangan sementara PAS dan PKR nampaknya ‘main hentam saja’ untuk kepentingan sokongan dan sebagai slogan semata-mata.
Jelas DAP tidak mahu berkompromi atau bertolak ansur.

Semalam Pengerusi DAP Karpal Singh berkata parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya PAS dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

"Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik," katanya dalam satu kenyataan.

DAP sudah menyatakan prinsipnya.

Apa prinsip PAS mengenai perkara ini? Apakah PAS sanggup dilihat sebagai parti ‘merojakkan Islam’ kerana sikap klu-kleknya dalam isu Hudud ini.

Karpal berkata PAS dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

"Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan," kata Karpal.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang bagaikan kenyataan untuk menutup perbezaan pendapat antara komponen Pakatan Rakyat.

Guan Eng cuba menutup perbezaan pendapat antara DAP dan PAS khususnya apabila mengatakan perjanjian bersama pakatan itu cukup jelas sebaliknya menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang menurutnya isu tersebut ditimbulkanbertujuan memecahbelahkan perpaduan pembangkang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagaikan berfalsafah apabila mengatakan “jika salah satu pihak (dalam pakatan pembangkang) tidak setuju dalam sesuatu perkara seperti hudud maka ia tidak boleh dilaksanakan... ia mesti dibincangkan lagi.”

Pada ketika mengatakan Pakatan Rakyat mengamalkan prinsip musyawarah, Guan Eng dengan tegas menyatakan, “sekiranya nak dilaksanakan juga hudud dan dalam pakatan pembangkang ada mana-mana parti tidak setuju, ia tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Karpal jelas Hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini dan menganggap kenyataan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penganut Kristian tidak perlu merasa gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.sebagai hujah tidak logik.

Hadi Awang pula berkata hukum hudud adalah untuk orang Islam sahaja sementara bukan Islam boleh memilih untuk dibicarakan di bawah undang-undang sivil.

Berikutan itu, Karpal mengemukakan soalan: "Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih untuk dibicarakan menerusi hudud sementara yang bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini."

Yang pasti, ketika ini Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang sahaja iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam.

Jadi dalam konteks ini, apakah Hadi sanggup mengorbankan Hudud hanya kerana mahu bekerjasama dengan DAP pada ketika parti yang memperjuangkan kepentingan satu kaum itu terang-terang menolaknya?

Tindakan PAS ini akan hanya akan memarahkan penyokong-penyokongnya terhadap pemimpin parti itu seolah-olah tanpa DAP, PAS tidak berpengaruh dan sukar mendapat sokongan.
Apakah dengan tidak bekerjasama PAS tidak mampu berdiri sendiri?

No comments:

Post a Comment