Friday, January 16, 2009

MAT RAZALI DARIPADA DUA SUDUT

Nak cakap ikut sedap mulut memang mudah.

Ada pendapat mengatakan situasi awal berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat apabila moral Umno terjejas teruk setelah Pegawai Pengurus pilihan raya, Datuk Mat Razali Kassim menarik diri.

Pendapat mengatakan belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini apabila pegawai pengurus pilihan raya menarik diri di saat-saat akhir menjelang hari pengundian, memang benar.

Tetapi ia ada implikasi tersendiri. Yang paling penting ialah tindakan itu langkah terbaik bagi menjaga integriti dan kewibawaan SPR.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah pengendalian pilihan raya di negara ini pegawai pengurus pilihan raya menarik diri.
"Tindakan itu sekurang-kurangnya menjejaskan moral Umno yang kini sedang berusaha keras bagi menarik sokongan rakyat.

"Kita mempunyai bukti yang kukuh pegawai terbabit cuba mengugut kakitangan di bawahnya di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi memberi sokongan kepada calon BN," katanya ketika ditemui selepas Munajat Perdana di Masjid Penghadang Baru di Kuala Terengganu pagi ini.
Petang semalam pegawai pengurus pilihan raya tersebut membuat kejutan apabila melepaskan jawatan bagi mengendalikan pilihan raya terbabit.

Beliau yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Dato Ngah bin Senik, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang juga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan menggantinya berkuat kuasa serta-merta.

Ngah Senik menjelaskan SPR mengadakan mesyuarat khas dengannya dan memperhalusi daripada pelbagai sudut permohonan penarikan diri Datuk Bandar itu sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

SPR bersetuju menerima penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil P36 Kuala Terengganu berkuat kuasa serta-merta.

Hakikat di sebalik semua ini mempunyai kesan berikut:

1. Tindakan Mat Razali mempunyai dua aspek. Pertama, beliau bertindak sebagai ketua kepada sebuah jabatan dengan ‘menasihati’ kakitangan; dan kedua, beliau ‘terlupa’ dirinya juga Pegawai Pengurus pilihan raya kecil ini.

2. Perletakan jawatan adalah jalan terbaik dan ini menggambar cirri-ciri ‘bersihnya’ SPR dan Barisan Nasional (BN) agar sesuatu pilihan raya memang telus dan pegawainya tidak berpihak.
Kenapa saya katakan begini?

Mat Razali sudah menafikan beliau mengugut. Tetapi menjadi tanggungjawab Mat Razali menjamin kerajaan berhemah terus memerintah Terengganu dan beliau tiada pilihan selain ‘menasihati’ pegawainya untuk membuat pilihan. Apakah ini salah?

Apakah pemimpin Kerajaan PAS tidak melakukan perkara yang sama untuk mengekalkan kerajaannya. Kita lihatlah nanti sama ada Menteri Besar Perak , Selangor dan Kedah ‘berkecuali’ dalam soal menasihati kakitangannya untuk mengundi PAS, DAP atau Keadilan.

Dan dalam menasihati kakitangannya, Mat Razali meletakkan dirinya sebagai ketua eksekutif sebuah jabatan atau majlis.

Bagaimanapun, oleh kerana beliau juga Pegawai Pengurus pilihan raya, nasihatnya itu dianggap kempen dan ugutan. Beliau melakukan perkara yang betul dengan meletakkan jawatan.
Memburukkan keadaan, semalam dua pemuda - Raja Arizal Raja Arif, 32 dan Mohd Fadzil Wahad - membuat laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya kerana membuat ugutan terhadap pengundi.

Kerana itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat – Mustafa Ali berani mengatakan pihaknya mempunyai bukti yang kukuh mengenai kenyataan mengugut bekas pegawai pengurus pilihan raya terbabit terhadap kakitangannya supaya menyokong BN.
Mustafa berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan pegawai pengurus pilihan raya perlu bersikap berkecuali.

Katanya sebagai pengadil pegawai berkenaan perlu bertindak adil kepada calon-calon yang bertanding.

Mat Razali tidak berkempen di luar tetapi dalam jabatannya dan ‘tidak bernasib baik’ kerana kebetulan dia Pegawai Pengurus. Itu sahaja.

Mat Razali dipetik sebagai berkata, semua dakwaan pembangkang beliau berjumpa kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan meminta mereka menyokong BN tidak benar.
Precedent untuk membuat laporan polis seperti yang terjadi kepada Mat Razali sudah ada.

Percayalah akan banyaklah laporan polis di masa hadapan.

Saya percaya dan yakin, ia akan dilakukan terhadap pembangkang pula, khususnya PAS!

No comments:

Post a Comment